Wednesday, May 13, 2015

Apabila ADUN Umno desak larang orang Islam bekerja di premis jual arak (13/5/15)

Tuntutan untuk kembali kepada hukum dan peraturan Islam khususnya dalam mentadbir hal ehwal kehidupan umat Islam di Malaysia telah semakin lantang sejak isu perlaksaan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan yang melibatkan perlaksanaan Hukum Hudud hangat diperdebatkan.

Usaha Kelantan untuk memperkenalkan Hukum Jenayah Syariah ke atas umat Islam di negeri itu sesungguhnya telah membangkitkan kesedaran kepada umat Islam di Negara ini tanpa mengira fahaman atau pegangan politik masing-masing untuk kembali kepada Islam. Memartabatkan hukum dan peraturan Islam mahu dilihat sekurang-kurangya dikalangan umat Islam itu sendiri.
Perlaksanaan Hukum yang sama di Negara Brunei Darul Salam contohnya semakin memberi semangat dan kesadaran kepada umat Islam akan betapa pentingnya untuk kembali kepada formula penyelesaian Islam khasnya dalam menguruskan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Semalan di Dewan Undangan Negeri Johor ADUN BN Kukup Suhaimi Salleh telah mencadangkan agar agensi negeri yang berkaitan diminta untuk melihat kemungkinan mengharamkan masyarakat Islam di Johor bekerja di kedai serbaneka 24 jam terutamanya yang menjual arak.
Beliau berkata isu penjualan arak melibatkan pekerja Melayu yang bekerja di kedai serbaneka tersebut tidak boleh dikompromi kerana mempertaruhkan soal maruah, bangsa dan agama serta berdosa di sisi Islam.

Menurutnya lagi:
"Hukum sudah jelas. Minum (arak) haram, (mereka) yang menjual (arak) haram, yang membungkus botol (arak) haram, yang mengangkut kotaknya ke 7-Eleven haram dan yang menyusunnya pun haram. Takkanlah kita hendak membiarkan perkara haram, yang nampak seperti kecil tetapi besar dosanya di sisi Allah, berlaku secara berterusan. Keuntungan akhirat adalah lebih penting. Sanggupkah kita melihat anak-anak muda yang tidak tahu apa-apa dan baharu lepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia sudah diajar dan terjebak dengan perkara ini,"

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Johor di dewan berkenaan.
Saya bersetuju bahawa perkara ini adalah sesuatu yang serius yang harus diberi perhatian oleh umat Islam dalam Negara ini khasnya mereka yang memiliki kuasa dan mewakili suara umat Islam di Dewan-dewan Negeri dan di Parlimen.

Kalau atas apa sahaja sebab pertimbangan maka kita tidak mampu atau punya kuasa politik untuk mengharamkan pengilangan, pengimpotan dan pejualan arak sama sekali, sekurang-kurangnya kita mengambil prihatin dan inisiatif nasib umat Islam itu sendiri.
Allah swt mengharamkan arak, lalu apakah tindakan kita bagi menunjukkan yang kita tunduk pada pengharaman ini sekurang-kurangnya ke atas kita sesama umat Islam.

Saya percaya Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri semuanya memuatkan peruntukkan larangan ini terhadap umat Islam di negeri masing-masing. Di Selangor umpamanya Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menyebut:
Seksyen 18 (1) - Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2) - Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Lantas pemimpin-pemimpin Islam yang duduk di Dewan-dewan Negeri dan di Parlimen, wajib mendesak agar penguatkuasaan pekara ini diberi perhatian dan disamping itu mendesak agar umat Islam dilarang bekerja dimana-mana premis ini, atau sekurang-kurangnya dilarang mengendalikan atau terlibat dalam penjualan arak ini.

Walaupun berlainan fahaman politik saya mengalu-alukan ucapan ADUN Kukup itu. Sebelum ini kita dengar Ketua Menteri Melaka juga pernah menyatakan perkara yang hampir sama khasnya melibatkan pengharaman jualan arak di kawasan majoriti Islam.

Bangkitlah kita semua atas kesedaran dan semoga dalam usia hidup kita, dapat kita lihat usaha untuk memartabatkan hukum Islam ini beransur-ansur terlaksana bermula dengan di Negeri Kelantan dan kemudiannya seluruh Negara insyallah.

 

No comments: