Presiden PAS akan ditentukan dalam muktamar ini dan begitu
juga para pembantunya dari Timbalan, Naib-naib sehinggalah ahli-ahli
jawatankuasa.
Posting saya kali ini mahu memberi fokus kepada pertandingan
tiga jawatan Naib Presiden. Jawatan ini penting kerana mereka diperlukan bagi
memberi kekuatan kepada Presiden dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya
mengepalai parti.
Mereka sesungguhnya berperanan bagaikan anggota kabinet Presiden,
orang paling kanan yang terapat dengan Presiden selain Timbalannya yang boleh
duduk bersama berkongsi idea dan fikiran bagi memacu PAS melangkah ke hadapan mengejar
cita-cita perjuangannya dalam keadaan sentiasa mengapit dan mengiringi
Presiden.
Amatlah malang kiranya jawatan yang membantu Presiden ini
diberikan kepada mereka yang tidak boleh memahami apalagi menyokong aspirasi
kepimpinan Presidennya. Bukan hanya begitu lebih malang lagi kiranya mereka itu
bertindak pula bagaikan pembangkang dalam kabinet apatah lagi bagaikan gunting
dalam lipatan.
Lantaran itu mustahak buat para perwakilan memutus dan
memilih satu pasukan Naib Presiden yang mampu memain peranan berdiri bersama
Presiden.
Pemegang-pemegang jawatan ini kini adalah Dato Tuan Ibrahim
Tuan Man, Dato Husam Musa dan Salahuddin Ayob.
Dato Tuan telah memutuskan untuk bertanding jawatan Timbalan
Presiden, dimana beliau dijangka menang. Ini bermakna dua Naib Presiden kini
iaitu Husam dan Salahuddin akan cuba mempertahankan jawatan mereka
masing-masing.
Dalam kerangka pemahaman di atas para perwakilan mesti
berupaya menilai sejauh manakah Husam dan Salahuddin memain pernanan mereka
sebagi Naib dalam membantu dan menyokong tugas Presiden. Adakah mereka selama
ini telah berjaya atau sebaliknya?
Penilaian prestasi ini penting kerana keputusan para
perwakilan itu sesungguhnya nanti mewakili keputusan seluruh ahli PAS yang
mencecah 1 juta orang itu.
Yang jelas Dato Tuan telah berjaya memain peranan
sebagaimana dihuraikan di atas. Kenyataan-kenyatannya, tindak-tanduknya
rata-rata selaras dengan fikrah Presiden kerana itu kita melihat beliau
menerima pencalonan hampir 90 peratus dari kawasan-kawasan seluruh Negara untuk
bertanding jawatan lebih tinggi bagi memantapkan lagi perananannya iaitu
sebagai Timbalan Presiden pula.
Kita tidak langsung ada mendengar sebarang kenyataan atau
komen dari beliau selama beliau Naib Presiden yang kelihatan menyanggah apalagi
menyerang Presiden PAS. Ini tidak bermakna beliau seorang “yes man”, sebaliknya
jelas beliau tahu menggunakan forum dan gelanggang yang sesuai untuk memberi
pandangan dan menegur tidak dengan secara terbuka dan menyondol tanpa adab.
Calon-calon lain yang menawarkan diri untuk bertanding
jawatan Naib Presiden kali ini adalah Ustaz Idris Ahmad, Ustaz Dato Nik Amar
Adbullah, Dato Iskandar Abd Samad dan Dato Mahfuz Omar.
Saya melihat Ustaz Idris Ahmad, yang memiliki pencalonan
terbanyak untuk jawatan ini mempunyai potensi cerah untuk menang. Beliau
seorang ulamak yang disenangi ramai, beliau aktif dalam program-program parti
dan majlis-majlis ilmu, malah memiliki keupayaan berhujah dengan matang dan
waras umpamanya di Dewan Rakyat sehingga disegani oleh kawan dan lawan.
Ahli-ahli PAS rata-rata iktiraf beliau sebagai seorang yang
istiqamah, tidak punya musuh dan “team player” yang sangat sesuai bertugas di
bawah Presiden parti.
Oleh itu siapakah dua lagi yang sewajarnya digandingkan
dengan Ustaz Idris bagi jawatan penting Naib Presiden ini?
Para perwakilan perlu beri perhatian bahawa kita punya dua
buah negeri yang kita perintah melalui PR yang punya wakil PAS dalam kerajaan.
Mereka ini perlu diperkasakan dengan jawatan kanan dalam parti demi memberikan
mereka kekuatan untuk memperteguhkan lagi kedudukan parti di negeri-negeri
berkenaan.
Ustaz Dato Nik Amar sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan
dan Dato Iskandar Abd Samad sebagai EXCO kanan Selangor boleh menggunakan
jawatan Naib Presiden ini untuk memantapkan kekuatan PAS di Kelantan dan
Selangor. Selain itu dengan kombinasi jawatan negeri dan jawatan kanan dalam
parti, bolehlah mereka membantu jentera-jentera parti di negeri-negeri lain
untuk melebar luaskan lagi kekuatan PAS dengan lebih efektif.
Kedua-dua Dato Nik Amar dan Dato Iskandar dikenali sebagai
pemimpin yang istiqamah, dan boleh berkerjasama baik dengan Presiden.
Dato Nik Amar cekal bersama MB Kelantan yang kini Timbalan
Mursyidul Am dalam memperjuangkan perlaksanaan Hudud di Kelantan dengan
Presiden memain peranan di peringkat Parlimen. Beliau “team player” yang gigih
di Kelantan dan tidak pernah bermasalah dengan MB mahupun Presiden.
Begitu juga Dato Iskandar yang terserlah kekentalan semangat
juangnya serta istiqamah dalam mendukung kepimpinan Presiden terutama dalam
beberapa isu kritikal di Selangor. Kukuh tanpa goyang dengan pimpinan Presiden
apabila berhadap dengan krisis MB Selangor dahulu membuktikan betapa
bersedianya beliau memegang amanah yang lebih tinggi demi mempertahan dan
melonjakkan lagi kedudukan parti.
Dato Iskandar yang saya kenali seorang profesional yang
selesa berkerja bersama Kepimpinan Ulamak, beliau bangkit dari bawah dan sangat
disenangi oleh semua.
Kesimpulannya PAS perlukan saf Naib Presiden yang
benar-benar dapat menyerlahkan perjuangan Islam yang dijuarai PAS di bawah
panduan dan kepimpinan Presiden parti. Ketiga-tiga Naib Presiden ini perlu
memantapkan lagi kedudukan Presiden dan parti samada ketika meneroka jalan
bersama rakan-rakan parti-parti lain mahupun ketika berhadapan dengan seteru politik.
Perjuangan Islam yang diteroka bahtera besar PAS dizaman
yang penuh mencabar ini perlukan Naib-naib Presiden yang punya kualiti di atas.
Dalam hal ini para perwakilan PAS perlu berani membawa
perubahan. Sudah sampai masanya kita menyumbang ke arah melakarkan kepimpinan
yang benar-benar efektif dalam mendukung perjuangan PAS melalui konsep
kepimpinan ulamak. Yang perlu dirihat atas sebab-sebab tertentu perlulah
dirihatkan.
Bagi saya PAS memerlukan tokoh-tokoh seperti Ustaz Idris
Ahmad, Ustaz Dato Nik Amar dan Dato Iskandar Abd Samad, kombinasi ulamak dan
profesional yang ampuh sebagai Naib-naib Presiden yang baru.
Semoga PAS terus berjaya melakar kemenagan mencapai matlamat
perjuangan yang sama-sama kita dukung dan impikan.
No comments:
Post a Comment