Tukar Presiden atau Nizar (13/5/15)

Wednesday, May 13, 2015

Sebelum PRU tahun 2008 dahulu tidak ramai di luar Perak yang mengenali Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Beliau ketika PRU 2008 itu merupakan Setiausaha PAS Perak dan apabila gabungan PAS, PKR dan DAP berjaya membentuk kerajaan Negeri Perak, beliau yang ketika itu ADUN Sg Panjang dilantik sebagai MB Perak yang ke 10 walaupun dalam gabungan itu PAS merupakan rakan yang paling kecil.

Dari situ nama Nizar yang sebelum ini tidak dikenali, menjadi sebutan ramai. Maklumlah MB Perak yang pertama yang bukan BN dari PAS pula tu.
Nizar yang menurut rekod menyertai PAS pada tahun 1995, dikira naik begitu pantas dalam PAS. Dalam tempuh 20 tahun duduk dalam PAS beliau telah menjadi ADUN, Menteri Besar, ahli Parlimen dan AJK PAS Pusat.

Sudah pasti kenaikkan mendadak ini adalah hasil dari kepercayaan dan sokongan serta dokongan ahli-ahli PAS dari pelbagai peringkat yang memberikan ruang dan laluan buatnya.
Apa pun dalam sebuah Gerakan Islam seperti PAS, setiap individu adalah merupakan soldadu, dan masing-masing memain peranan mengikut arahan dan halatuju yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan berlandaskan sumber hukum tertinggi di dalam PAS.

Individu tidak penting, yang penting adalah kelangsungan perjuangan PAS itu sendiri dan usaha kearah mencapai matlamat perjuangan PAS iaitu terbinanya sebuah masyarakat dan Negara yang tunduk pada hukum dan peraturan Allah swt.
PAS terus relevan dalam politik Malaysia lantaran perjuangan Islam yang ia dokong. Benar ia punya pasang surut dalam sejarah politik Negara tetapi ia konsisten dan kukuh dalam memperjuangkan prinsipnya lantaran itu ia terus dihormati dan disenangi masyarakat dan rakyat Malaysia sehinggalah kini.

Oleh itu mana-mana individu yang naik dan punya kedudukan dalam PAS jangan sekali-kali menyangka yang mereka ditempat mereka itu hari ini kerana kehebatan atau bakat mereka masing-masing.
Mereka sesungguhnya disitu kerana ahli-ahli PAS yang hari ini mencecah 1 juta bilangannya yang letakkan mereka di situ. Ahli-ahli PAS yang istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan, yang merupakan mata rantai dari mereka –mereka yang sama sejak dahulu ia ditubuhkan yang rela dan bersedia mengorbankan wang, harta, keringat, air mata dan darah kerana yakin pada perjuangan keramat ini.

PAS bukan ditubuhkan semalam atau 1995 tetapi ia wujud dan kekal sejak 1951 lagi.
Bila duduk di atas jangan pula angkuh, sombong, bongkak dengan menganggap hanya ia yang penting dalam bahtera perjuangan yang besar ini. Bila di atas jangan melihat mereka yang lain lekeh, lambat dan menjadi batu penghalang perjuangan.

Kita ini bergerak dalam satu jemaah satu gerakan Islam, jangan sekali-kali memandang kecil pengaruh dan iltizam ahli-ahli jemaah.
Kembali kepada Datuk Seri Nizar tadi, pastinya ramai tersentak apabila melihat tajuk akhbar Sinar Harian hari ini:

Presiden PAS perlu ditukar

Laporan akhbar berkenaan bersumberkan pandangan Nizar dalam satu majlis forum bertajuk “Legasi Perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz” yang dianjurkan di Teluk Intan baru-baru ini.
Nizar dipetik sebagai berkata bahawa PAS perlu melakukan perubahan besar-besaran termasuk memilih Presiden baru bagi memulihkan masalah dalaman parti dan mendapat kembali sokongan rakyat.

Selanjutnya beliau berkata perubahan perlu dilakukan dalam kepimpinan tertinggi pada Muktamar PAS Jun ini dalam usaha menarik kembali sokongan bukan Islam terhadap PAS.
Mengapakah Nizar lantang dan berani begitu? Mengapakah beliau mahu Presiden digantikan?

Bagi saya secara peribadi itu hak Nizar.
Dalam musim pemilihan ini ahli-ahli PAS bebas dan berhak berkempen bagaimana sahaja asalkan tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Hari ini pun kita boleh lihat terdapat usaha untuk mencabar Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, dan kepimpinan pro ulamak tertentu.

Masalahnya Nizar seakan membelakangkan hakikat bahawa perubahan yang beliau tuntut itu sebenarnya sudah pun mula berlaku diperingkat akar-umbi PAS dan mengikut trend yang ada, adalah diyakini kemuncaknya nanti akan berlaku dalam muktamar Jun ini.
Cumanya mungkin gelombang yang sedang berlaku itu tidaklah sebagaimana yang Nizar impikan.

Tidakkah Nizar lihat semasa beliau hadir dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kedah kali ke 41 pada 20 Mac lalu. Betapa beliau telah dengan begitu bersungguh-sungguh mendesak para perwakilan Kuala Kedah melakukan perakara yang sama, iaitu menolak Tuan Guru dan kumpulan pro Ulamak.
Apa kesudahannya?

Kesudahnnya PAS Kawasan Kuala Kedah sebulat suara kekal mencalonkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai calon Presiden mereka. Ini berlaku walaupun Nizar berkempen kuat semasa ucapan perasmiannya!
Begitu juga apa yang berlaku di kawasan beliau sendiri di Kampar, Perak pada 12 April lalu.

Sebagai pemimpin yang hebat yang boleh mahu menjatuhkan Presiden, sudah pastilah mimpinya itu turut akan dikongsi oleh kekuatan akar-umbinya iaitu kawasannya sendiri yang beliau ketuai selama 14 tahun.
Apa kesudahnnya?

Kesudahannya satu Malaysia telah tahu.
PAS Kampar terus mencalonkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden, dan lebih memeranjatkan lagi tidak cukup dengan itu, PAS Kampar turut tukar ketuanya dengan menggantikan Nizar dengan Ustaz Mohd Soffian Rejab. Nizar sekadar memperolehi 24 undi berbanding Ustaz Soffian 146 untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kampar.

Dan begitu juga setelah pencalonan kawasan-kawasan satu Negara berakhir baru-baru ini, kita difahamkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang terus mendapat sokongan pencalonan dari hampir 90 peratus kawasan-kawasan seluruh Negara.
Kesimpulannya keghairahan Nizar itu malangnya kelihatan tidak dikongi oleh ahli-ahli PAS.

Lawan dan bertandinglah menentang Tuan Guur Hj Abd Hadi Awang, tiada sekatan pun dalam Perlembagaan PAS tetapi hakikatnya dari trend semasa kelihatan orang-orang PAS terus mahu agenda perjuangan PAS berdasarkan apa yang digariskan dalam Perlembagaannya kekal, diterus dan dipertingkatkan bernkahodakan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
Sebagaimana keghairahan Nizar, memang kelihatan orang-orang PAS mahu perubahan besar-besaran kali ini berlaku dalam PAS.

Akan tetapi perubahan itu tidaklah sebagaimana mimpi Nizar. Perubahan yang bakal disaksikan adalah pembinaan saf kepimpinan yang lebih mantap,  yang ikhlas dan  istiqamah berpegang kepada prinsip perjuangan, bersendikan kepimpinan ulamak demi memartabatkan Islam atas muka bumi ini, insyallah.  

 

 

 

 

2 comments:

Wan Rosli said...

Terbaek tuan.. semoga kita dapat memperkuatkan jemaah kita mulai sekarang tika muktamar dan seterusnya selepas itu sehingga ke akhir hayat..

Anonymous said...

Langkah Hadi tidak salah. Setelah beberapa tahun memberi penerangan dan kesedaran tentang hokum Allah, adalah menjadi tanggungjawab ahli untuk sokong sebagaimana Rasulullah mengadakan perbincangan dengan puak-puak Yahudi, Nasrani dan Majusi di Madinah sebelum Piagam Madinah dilahirkan. Dan Rasulullah tidak menunggu begitu lama untuk mengadakan Piagam tersebut. Dalam Piagam Madinah ada juga disebut berkenaan hokum-hukum yang perlu dipatuhi.