Tuesday, April 21, 2015

Maaf Khalid saya berbeda pandangan (21/4/15)

Hala tuju bahtera besar perjuangan PAS ini diyakini tidak akan berubah.

Ke mana hala tuju atau tujuan bahtera besar ini?

Mengikut Fasal 7 Perlembagaan PAS, tujuan PAS adalah:
(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.


Ke situlah tujuan bahtera ini iaitu belayar bagi mendakapi dan memperolehi redha Allah swt. Menutut sesuatu melangkaui tuntutan politik mana-mana parti lain kerana matlamatnya merentasi sempadan dunia iaitu sehinggalah ke destinasi muktamad iaitu di akhirat kelak.
Nakhoda yang ada hari ini sebagaimana nakhoda-nakhoda yang sebelumnya, ribut atau petir, tenang atau suram, ke sanalah dipandunya bahtera ini, cepat atau lambat namun ke sanalah tujuannya dengan penuh sabar dan istiqamah.

Bahtera ini tidak akan lari atau terpesong dari hala tuju yang telah ditetapkan kerana itulah PAS ditubuhkan. Namun kiranya bertukar tanganlah nakhoda ini dari yang ada ke seseorang yang punya agenda peribadi atau seseorang yang sanggup menggadaikan cara demi mengejar matlamat yang ada, sudah tentu tatkala itu bahtera ini akan berubah haluan.
Berbelok ke kiri atau ke kanan ia, mengambil jalan pintas dan mudah, membelakangkan kaedah dan panduan yang diterima pakai, diketika itulah bahtera ini akan tersasar dari tujuan asalnya. Segala khazanah ilmu dan tunjuk ajar akan dikesampingkan.

Bahtera ini biar belayar ikut naluri dan nafsu nakhoda baru, kalau perlu di tarik ke darat di tariklah ke darat, kalau perlu dijunamkan ke dasar lautan, dijunamkanlah kerana segala disiplin dan panduan yang diguna selama ini kononnya merupakan batu penghalang kejayaan.
Saya mengambil mukadimmah sedemikian dalam posting kali ini kerana seorang pemimpin PAS Pusat telah mengeluarkan kenyataan berikut dalam sebuah portal berita:

“Sikap yang ditunjukkan Pemuda PAS Pulau Pinang dan kawasan Permatang Pauh dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh adalah wajah baharu parti Islam itu sekiranya kumpulan tertentu dipilih dalam muktamar Jun nanti .”
Beliau menambah:

“Sikap mereka keras dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana. Ia tanpa sifat keterbukaan dan menggunakan pendekatan paksa dan ugut,"
Dan katanya lagi:

"Hala tuju PAS, masa depan PAS. Permatang Pauh sebagai saksinya,"
Rintihan berbunyi serangan Khalid Samad ini bagi saya serampang yang banyak mata.

Satu dibayangkan bahawa sikap Pemuda PAS Pulau Pinang dan PAS Permatang Pauh adalah keterlaluan dan ektrim khasnya dalam hubungan bersama PR 
Dua dibayangkan bahawa sikap sebegini iaitu keras dan tidak berhemah, mengguna pendekatan paksa ugut, adalah sikap yang dianuti oleh mereka yang berlainan dengan kumpulan beliau dalam PAS yang kononnya lebih terbuka dan moderat

Tiga dibayangkan jika kumpulan ini yang berlainan dari kumpulan beliau berupaya menang dalam muktamar Jun ini maka akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana.
Saya tidak tahu samada kenyataan Khalid itu melanggar Peraturan-peratutan pemilihan PAS namun demikian ianya sesuatu yang serius yang perlu diperjelaskan agar tidak meroskakkan fikiran orang ramai terhadap PAS.

Yang pertama apa yang dilakukan oleh Pemuda PAS Pulau Pinang dan PAS Permatang Pauh, iaitu kenyataan berhubung sokongan mereka kepada calon PKR dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh memanglah kelihatan keterlaluan dan ekstrim, tetapi adakah ianya salah dan melampaui kebebasan bersuara kerana ia kelihatan mengancam dan tidak menghargai nilai persahabatan dalam PR?
Jika begitu pada perkiraan Khalid, kenapa Khalid tidak tegur DAP apabila mengeluarkan kenyataan memutuskan hubungan dengan ketua parti sendiri, dengan Presiden PAS tempuh hari? Tidakkah itu juga keterlaluan dan ekstrim?

Tidakkah kenyataan mereka itu mungkin bermaksud memulangkan paku buah keras kepada DAP kawan kita yang tidak “respect” pemimpin nombor satu kita.
Juga sikap DAP dan PKR yang keras menolak perlaksanaan Hudud di Kelantan juga satu sikap yang ekstrim dan keterlaluan yang tidak pula menganggu fikiran Khalid.

Bagi saya mereka punya hak bersuara kerana merekalah akar umbi kekuatan kita. Masalah bila parti tidak mahu dengar suara akar umbi.
Penyelesaiannya, biarlah pemimpin tertinggi turun dan berjumpa mereka. Bukankah itu sikap yang “civil” berbanding kenyataan ancaman Khalid ini? Saya pasti jika Presiden PAS bertemu secara tertutup dengan mereka, mereka akan berjaya diyakinkan, begitulah sepatutunya pendekatan pemimpin, bukannya menyerang dan mencantas sebagaimana Khalid.

Seterusnya untuk Khalid melonggokkan sikap dalam hal spesifik ini dan dikaitkan dengan kumpulan yang berlainan darinya dalam pemilihan Muktamar nanti adalah bagi saya satu kempen memburuk-burukkan yang dilakukan secara terang-terangan.
Seolah-olah mereka yang tidak sehaluan dengan beliau, jika menang, akan menjadikan PAS nanti punya sikap yang ekstrim, terkebelakang dan lalu terpinggir dari arus perdana politik.

Kerana itulah saya memberikan mukadimmah di atas.
Kita berjuang dalam PAS ini dengan satu tujuan yang jelas. Untuk itu kita perlukan satu saf kepimpinan yang juga jelas dalam memahami tujuan itu dan memacu bahtera perjuangan ini teguh sehingga sampai destinasinya.

Kenyataan Khalid itu mengancam bahawa wajah PAS akan berubah selepas muktamar jika kumpulan yang selain kumpulan beliau dan nama-nama yang disebutnya iaitu Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Mujahid Yusof Rawa kalah dan ditewaskan.
Itu pandangan Khalid.

Bagi saya yang lebih penting PAS perlukan pemimpin yang sekali-kali tidak akan bertolak-ansur dalam bab prinsip dan akidah perjuangan. Bahtera perjuangan ini perlu dinakhodai oleh mereka yang sedemikian. Berpegang teguh pada prinsip dan asas sebenar “tahalu siyasi” dan tidak goyang atau meminda-minda hukum dan adab perjuangan demi kepetnigan perinadi atau agenda tertentu.
Maaf Khalid tetapi mungkinkah wajah PAS akan berubah cerah sekiranya bebas dari anda dan kumpulan anda itu, atau bagaimana?

 

3 comments:

Unknown said...

Alhamdulillah ..pencerahan yang bail
ALLAHUAKBAR

IrWrWs said...

Saya setuju 100% dgn tuan roslan.

Unknown said...

👍