Apabila akar umbi PAS bersuara (13/4/15)

Monday, April 13, 2015

Seluruh Negara sedang beri perhatian terhadap PAS hari ini. Tidak pernah tumpuan sebegini diberikan terhadap Parti Islam ini sebagaimana hari ini.

Kenapa?

Kerana PAS sedang melalui proses pemilihan pimpinan bermula dari peringkat cawangan-cawangan seterusnya Kawasan-kawasan dan kemuncaknya nanti Muktamar PAS Pusat pertengahan tahun ini.
Bukan pertama kali PAS melalui proses pemilihan parti, kenapa kali ini perhatiannya terlebih istimewa?

Kerana kali ini pimpinan PAS peringkat tertinggi mahu dicabar.
Sebelum ini pun PAS pernah melihat pertandingan diperingkat tertinggi, Almarhum Dr Burhanuddin pernah melawan Prof Zulkifli Mohamad untuk jawatan nombor satu, Almarhum Ustaz Hasan Shukri pernah bertanding melawan Dato Mustapha Ali untuk jawatan nombor dua dan banyak lagi, lalu kenapa kali ini terlebih istimewa?

Bagi saya kali ini ia istimewa kerana beberapa kalangan pimpinan Pusat kelihatan vokal dan terbuka mahu menuntut perubahan pucuk pimpinan khasnya bagi jawatan Presiden. Mereka ini bilangan yang kecil tetapi nyaring bersuara sehingga memkasa semua mendengar.
Desakkan yang luar biasa ini tercetus barangkali kerana ada pihak yang duduk di keliling Presiden Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang berasa tidak selesa, mereka menganggap Tuan Guru seakan “stumbling block” atau batu penghalang terhadap perlaksanaan apa sahaja agenda mereka.

Beberapa keputusan Presiden yang direstui oleh Majlis Syura Ulamak bagi mereka dirasakan ganjil, tidak menepati selera dan kemahuan mereka. Lalu apa lagi, datang musim pemilihan ini bangkitlah mereka berkempen menuntut agar Tuan Guru dan mereka yang sealiran dengan pemikiran Tuan Guru sewajarnya disingkir.

Sejauh manakah keputusan Presiden dan Majlis Syura kebelakangan ini yang tidak boleh diterima ahli-ahli akar umbi PAS?
Beberapa kerat pimpinan ini berkeras merasakan ia tidak sesuai buat PAS namun adakah ahli-ahli PAS peringkat akar umbi sebenar dan sesungguhnya berkongi pendirian mereka?

Mereka mahu bangkit membuat perubahan membongkah Tuan Guru dengan harapan satu PAS yang “baru” dapat dibentuk dan dilahirkan selepas Muktamar nanti.
Lalu inilah suasana yang paling baik untuk menjual agenda dan gagasan mereka, mana tahu kiranya diterima oleh ahli-ahli PAS, muktamar nanti Tuan Guru Presiden dan mereka yang sealiran dengan Tuan Guru dapat dinyah terus dari kepimpinan PAS. Biar mereka sahaja yang menerajui dan menguasai kepimpinan PAS. Ketika itu Majlis Syura pun dapat dirubah, wajah PAS yang kononnya konservatif boleh berubah menjadi moderat lagi liberal.

Berkempenlah mereka sebagaimana kumpulan yang mahu mempertahankan Tuan Guru dan kepimpinan ulamak juga turut berkempen. Perlembagaan PAS tidak melarang ahli-ahlinya berkempen asalkan mematuhi segala adab yang telah ditetapkan khasnya yang terkandung dalam Peraturan-peraturan Pemilihan PAS (2013) (Pindaan 2014).
Namun demikian ahli-ahli PAS khasnya kekuatan akar umbi di lebih 175 kawasan seluruh negara jangan di pandang sebelah mata. Mereka mungkin terkadang kelihatan lekeh, “simple” , rendah diri dan tidak se vokal beberapa kerat pimpinan tertinggi yang ada, namun bacaan politik mereka tinggi. Mereka menyertai PAS kerana cintakan perjuangan Islam, dasar dan matlamat perjuangan PAS mereka peluk dan pertahankan sebagai sebahagian dari darah daging kehidupan mereka. Mereka inilah kekuatan PAS yang sejati yang tidak boleh digoyang, digoncang apalagi dikikis buang sesuka hati.

Mereka menghormati dan taat pada pimpinan. Lantaran keikhlasan perjuangan yang dibentuk dalam jiwa mereka, mereka akan terus berada bersama pimpinan selagi mana pimpinan itu tidak (meminjam kata-kata Tuan Guru Presiden dalam Mukatamar yang lalu) membawa mereka terjerumus ke Neraka!
Kerana itu ada kalangan pemerhati hairan, mengapa dalam keadaan Tuan Guru Presiden contohnya diserang, difitnah, direndah-rendahkan kepimpinannya, namun beliau terus mendahului pencalonan untuk jawatan Presiden setakat ini .

Mungkin terlalu awal untuk membuat andaian kerana baru sekitar 20 peratus dari kawasan-kawasan PAS telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing.
Akan tetapi beberapa keputusan seakan memberi petunjuk ke satu arah yang mula mempengaruhi beberapa pemerhati dan penganalisa.

Terbaru, yang terpampang di dada akhbar sebahagian besar akhbar-akhbar media perdana adalah kekalahan bekas MB Perak yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak dan AJK PAS Pusat, Nizar Jamaluddin di Kawasan Kampar Perak. Beliau tewas mempertahankan jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan yang beliau pegang selama 14 tahun.
Bagaimana Nizar boleh tewas?

Nizar lah antara tokoh vokal yang menuntut perubahan dalam pucuk pimpinan PAS. Ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kedah bulan lalu beliau menggesa para perwakilan memain peranan untuk merobah pimpinan dalam Muktamar depan. Beliau antara lain berkata:
“Pemimpin yang ada wajib dan wajar diubah”

Dalam ucapan berkenaan yang boleh diikuti di youtube, beliau menyerang secara terbuka “style” kepimpinan Tuan Guru Presiden. (Saya tidak pasti pula adakah apa yang disebut Nizar dalam ucapannya itu menyalahi atau tidak Peraturan-peraturan Pemilihan PAS yang disebut di atas)

(Ditakdirkan para perwakilan Kuala Kedah kemudiannya membuat keputusan mengekalkan Tuan Guu Hj Abd Hadi Awang sebagai calon Presiden)
Sesungguhnya banyak lagi tindak-tanduk dan kenyataan Nizar sebelum itu yang telah mengusik hati, jiwa dan perasaan orang-orang PAS khasnya apabila beliau menolak rasional Tuan Guru Presiden tentang Pilihanraya PBT dan usaha perlaksanaan Hudud di Kelantan.

Di sinilah kita perlu sedar jangan sekali-kali “under estimate” atau merendah-rendahkan keupayaan orang-orang PAS.

Adakah apa yang berlaku ke atas Nizar itu akan menular dan menjangkiti rakan-rakannya yang lain yang turut berkongsi agenda dengan beliau?
Yang pastinya satu lagi contoh, nasib yang menimpa Timbalan Presiden Muhammad Sabu pula sebagaimana dilaporkan Malaysiakini:

“Lebih mengejutkan PAS Batu Kawan tidak mencalonkan Mohamad selaku pesuruhjaya Pulau Pinang bertanding dalam jawatan tertinggi itu”
Adakah trend ini akan berterusan?

Ada 80 peratus kawasan-kawasan PAS yang belum selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing dan masih terlalu awal mengandaikan bahawa trend ini akan kekal dan senjata yang Nizar gunakan bakal memakan diri akhirnya.
Akan tetapi kesimpulannya kita melihat ahli-ahli PAS diperingkat akar umbi sesungguhnya hari ini lebih memberi tumpuan dan keutamaan kepada usaha PAS untuk melaksanakan Hudud di Kelantan. Tuntutan perjuangan zaman-berzaman itu kini jika tiada aral melintang bakal melihat terlaksana diketika hidup mereka masing-masing.

Tuan Guru Presiden yang bakal membentangkan Rang Undang-undang persendirian di Dewan Rakyat sesi yang akan datang dilihat sebagai ikon yang sedang memegang dan membawa obor Islam itu. Mustahil orang PAS mahu menganggu tugas beliau, mustahil orang PAS mahu merebahkan seorang pejuang yang istiqamah meneruskan tuntutan perlaksanaan Islam walau dihalang dan diganggu sepanjang jalan perjuangan.
Saya secara peribadi yakin, kekuatan PAS diakar umbi sedikit pun tidak akan terganggu malah akan bersatu bersama Tuan Guru Presiden kerana tiada yang lebih penting selain melihat cita-cita perjuangan Islam terlaksana. Tuan Guru kental, tegas dan berani ke hadapan dan ahli-ahli PAS malah sebahagian besar umat Islam yang merindui perlaksanaan Islam pasti akan teguh bersama-samanya.

 

5 comments:

Anonymous said...

peliharalah pas ya allah selagi mereka berjuang atas nama mu...selamatkan bumi msia dari anasir2 yg melemahkan dan melumpuhkan islam dr bersinar dan berkembang...jadikanlah msia antara bumi tertegaknya hukum allah...

Anonymous said...

selagi tukang bilang undi diberi pd asmuwi...selagi u malaun2 ni tidak akan berputus asa...tukar asmuwi!

Anonymous said...

Saya yakin disebalik segala tohmahan & cacian yang dilempar kpd TG Presiden, beliau tetap tabah dan tenang. Malah jauh sekali untuk menyerang balas. Kerana beliau yakin, hanya Allah sebaik2 pembela & tempat bergantung.

Miz3 said...

Alhamdulillah. Posting yg baik.
Wallahualam

Nasaruddin Baharuddin said...

Kawasan Seremban, Telok Kemang ( PD ) dan Jelebu menyaksikan mereka sebulat suara menolak kepimpinan TG Haji Hadi. Sifirnya senang utk melihat kecenderungan mrk.. siapa yg dtg merasmikan AGM Kawasan. Contohnya di Jelebu, Dr Hatta dipanggil tetapi beliau seakan cuba melunakkan suaranya kpd presiden tetapi pengerusi pemilihan calon iaitu anak kepada Almarhum Ust Fadhil Noor tanpa berselindung menggunakan kesempatan untuk memberi taklimat dan sesi tazkirah tentang ketidak-setujuan kelompok mrk terhadap pembentangan hudud di Parlimen.

Semasa proses mesyuarat belum tamat dan sebelum pengundiaan, phak kawasan telah meninta beliau memberi tazkirah di atas.. saya tak pnh belajar atau dgr agenda tazkirah menghina ini boleh dilakukan skrg. Semasa pengundian secara angkat tangan utk memilih presisen, timbalan dan naib presiden seolah-olah sudah kesepakatan mrk memilih calon yg dikatakan telah diwar-warkan oleh pihak tertentu di setiap mesyuarat agong cawangan..rata-rata perwakilan dari cawangan seperti dikawal oleh remote petang AGM itu...