Diketika PAS mahu berusaha melalui lunas dan peruntukkan
demokrasi dan undang-undang untuk membawa dan memperkenalkan perlaksanaan
syariat Islam ke atas umat Islam, diketika itulah ia menerima serangan,
kritikkan dan cemuhan pelbagai pihak, kawan dan musuh , luar dan dalam.
Di Negeri Kelantan, bumi bertuah pertama di Malaysia yang
akan menyaksikan perlaksaan sistem keadilan Islam itu segala proses demokrasi
dan undang-undang telah pun lengkap diambil.
Malah Tuanku Sultan turut bertitah bersetuju untuk
menjadikan Negeri Serambi Mekah itu negeri pertama yang mendaulatkan hukum Allah
swt di Malaysia.
Ternyata PAS istiqamah dalam mahu melihat cita-cita
perjuangannya dapat dilaksanakan.
Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz, yang mengambil inisiatif
pertama membawa usul ini ke Dewan Negeri lebih 20 tahun dahulu telah
melaksanakan tanggungjawabnya dan kini tiada lagi bersama kita.
Beban amanah ini terus digalas dengan cekal dan berani oleh
Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
Disaat memikul amanah inilah Tuan Guru berhadapan pelbagai
ujian dan cabaran. Sehingga kini semuanya beliau lalui dengan penuh tabah dan
gagah. Tidak goyang tidak goyah beliau lantaran tuntutan perjuangan dan janji
Allah swt yang mahu dikejar oleh seluruh umat Islam dimana sahaja.
Menerima tentangan dari seteru politik bukanlah sesuatu yang
asing. Umno yang sekian lama berseteru digelanggang politik dengan PAS, di
Kelantan telah dapat menerima hakikat, dan memberikan persetujuaan terbuka,
kerana ini peraturan Allah, bukannya bikinan tangan PAS atau pimpinannya.
Ahli-ahli Parlimen Umno, masih belum diduga, dan diharapkan
atas nama Islam mereka akan menurut rakan-rakan mereka di Kelantan. Tetapi
rakan-rakan komponan mereka khasnya yang bukan Islam secara terbuka telah menyatakan
penentangan.
Bagi Tuan Guru dan PAS, apa pun ianya perlu diperkenalkan
dan dibawa juga ke Dewan Rakyat untuk membuka laluan perlaksanaannya di
Kelantan.
Menerima tentangan dari kawan, itu yang agak mengecewakan,
tetapi atas nama kebebasan bersuara dan berpandangan, Tuan Guru selaku Presiden
Parti Islam Se Malaysia teruskan juga.
Alangkah baik jika kawan-kawan faham. Berbahaslah di Dewan
secara berhemah. Arahkan kawan-kawan ahli Parlimen yang beragama Islam agar
menyokong kerana ini bukan ciptaan PAS tetapi tuntutan agama Islam, tuntutan ke atas mereka semua yang Muslim. Tetapi
kelihatan kawan-kawan juga menolak.
Bagi Tuan Guru, selaku Presiden PAS ianya wajar diteruskan
dan malah beliau sendiri akan membawa Private Bill bagi tujuan ini, jauh di
sudut hati bukan hanya beliau tetapi semua ahli-ahli PAS dan saya percaya majoriti
umat Islam Malaysia meletak harapana tinggi agar syariat Allah akan mendapat tempat, semoga semua yang beragama Islam, Umno, PBB, DAP, PKR atau
mana sahaja akan menyokong.
Teringat ucapan beliau semasa Muktamar lalu:
“Jangan ingat majoriti yang besar selama-lamanya tanpa
keredhaan Allah. Yang penting mencari keredhaan Allah…….”
Paling terguris hati sekali adalah apabila ada yang dalam jemaah
sendiri yang seakan menghalang-halang. Beri keutamaan pada pemulihan banjir
lah, apa perlu disegerakanlah, perlu dapat persetujuan dan sokongan PR dululah……
Bukan hanya Tuan Guru, semua kita yang cinta dan bersungguh
menyumbangkan harta dan nyawa untuk perjuangan ini pasti terguris hati apabila
berhadapan dengan anggota jemaah sendiri yang sedemikian. Tak pernah terfikir
di benak kepala kita akan ada orang PAS lebih malang yang bertaraf pimpinan
yang tergamak bersikap sedemikian diwaktu pancaroba ini.
Sekali lagi teringat pesanan Tuan Guru dalam Muktamar lalu:
“Ahli-ahli wajib beristiqamah. Wajib beramal, berdakwah,
berjihad dengan ilmu, dengan fekah. Bukan ilmu sahaja, fekah, faham ilmu itu
dan ikhlas. Menjaga adab berjemaah, bersatu dalam perkara dasar dan matlamat.
Kita tidak berpecah walaupun berbeza pendapat.”
Hari ini seluruh kekuatan PAS berdiri dan memberi keyakinan
kepada Tuan Guru Presiden untuk meneruskan kerja besar ini. Nakhoda yang
mengemudi bahtera besar perjuangan kita ini perlu diberikan semangat, perlu
diiringi, disokong dan diberikan kekuatan, kerana apa yang mahu beliau bawa
adalah Islam. Ini bukan perjuangan peribadi beliau ini perjuangan kita semua.
Hari ini melalui FB nya Tuan Guru memberikan penjelasan
sejelas-jelasnya “Isu Hudud” yang dikeliru dan dipesongkan oleh mereka yang
tidak bertanggungjawab.
https://www.facebook.com/abdulhadiawang/posts/788939631191157:0
Sehingga ada yang takut ada yang cemas angkara kerja-kerja
jahat mereka yang tidak bertanggunmgjawab itu, begitulah apabila kita tidak
patuh pada adab berjemaah.
Ayat penutup kepada penjelasan panjang-lebar Tuan Guru
Presiden PAS itu perlu difahami
“Dalam masa yang
sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members
Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta
Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek
syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah
makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang
ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita
memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.”
Saya secara
peribadi bangga yang gerakan Islam PAS di Malaysia ini punya ketua atau
Presiden seumpama Tuan Guru yang terserlah menzahirkan akhlak dan keperibadian
pemimpin Islam diketika Islam dicaci dan dicemuh.
Semoga Allah swt
merestui dan memberkati perjuangan ikhlas kita semua.
2 comments:
Yakinlah bahawa Tn Guru Presiden kian mendapat sokongan apabila dicaci dan dicemuh DAP. Kami umat Islam bangga dgn pemimpin sebegini yg jujur dan tabah walaupun sedang diserang dari segenap penjuru.
Inshaa Allah. Majoriti umat Islam di Msia sokong TGHA dgn sepenuh hati. Takbir x3
Post a Comment