Hari ini kita mendengar apa yang tidak pernah sebelum ini
kita jangkakan akan terbit dari lidah pemimpin veteran DAP yang juga ahli
Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
Demi marah dan tidak-puas hatinya terhadap usaha kerajaan
PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum Hudud di negeri berkenaan, Kit Siang hari
ini sanggup membakar kelambu.
Pimpinan PAS dan kerajaan Kelantan sebelum ini dengan
konsisten telah menjelaskan pendirian, dan sikap mereka dengan jelas dan nyata.
PAS sendiri sebuah parti yang memperjuangkan Islam, hakikat ini diketahui semua
rakyat Malaysia sejak parti ini ditubuhkan lebih 60 tahun dahulu.
PAS akan berusaha menggunakan kuasa politiknya yang diberi
rakyat untuk memperkenal dan melaksanakan hukum dan peraturan berlandaskan
Islam. Itupun ianya mahu dilaksanakan bukannya secara paksa, tetapi berdasarkan peraturan dan acuan demokrasi yang turut dijunjung dan disanjung DAP.
Itupun ianya mahu dilaksanakan hanya ke atas rakyat Kelantan yang beragama Islam. Masyarakat bukan Islam yang dijuarai Kit Siang, tidak terlibat apa sekalipun.
Tetapi usaha PAS ini ditentang sekeras-kerasnya oleh Kit
Siang dan rakan pimpinannya dalam DAP. Berbagai alasan direka.
Antaranya ia kononnya cuba memperkosa semangat Perlembagaan Negara
yang kononnya menetapkan Malaysia ini sebagai sebuah Negara sekular. Kononnya
peraturan ini jika diluluskan akan mengakibatkan terhakisnya hak asasi
individu. Kononnya ia akan menghasilkan dua sistem perundangan yang berbeza
yang hanya memisahkan sesama rakyat atas batas agama.Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang diserang secara terbuka dan bertubi-tubi sebagai pengkhianat dan penipu.
Kenapa Kit Siang jadi begini?
Bukankah beliau seorang “statesman”
seorang negarawan seorang ahli politik Negara yang veteran dan disegani.
Beginikah PAS diperlakukan, beginikah Presiden PAS diperlakukan hanya
semata-mata kerana mahu melaksanakan dasar perjuangan mereka menepati amalan
dan lunas demokrasi?
Tidak cukup dengan penentangan terbuka, Kit Siang turut
mendesak ahli-ahli Parlimen lain, bukan hanya dari parti beliau tetapi juga
dari Pakatan Rakyat dan malah termasuk dari BN untuk bangkit bersama beliau
menghalang perlaksanaan hukum Islam yang cuba diperkenalkan PAS.
Kit Siang membakar sentimen kebencian terhadap usaha PAS ini
tanpa menyedari bahawa persepsi terbuka di luar sana menunjukkan beliau bangkit
menyerang Islam samada di sedari ataupun tidak.
Dan hari ini dilaporkan dalam akhbar, setelah membakar
kelambu, Kit Siang sanggup pula naik katil lain dan beradu dengan musuh-musuh
politiknya sebelum ini, demi bersungguh mahu memanjangkan penentangannya
terhadap usaha memperkenalkan peraturan Islam dikalangan rakyat yang beragama
Islam.
Kata Kit Siang kiranya PM Najib Tun Razak mengumumkan
sokongan Umno terhadap usaha PAS ini di Parlimen nanti, maka tiba masanya untuk
suatu gagasan baru “Selamatkan Malaysia” ditubuhkan yang mengumpulkan ahli-ahli
Parlimen dari berbagai parti samada PR atau BN termasuk dari Sabah dan Sarawak
untuk bangkit mempertahankan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang dengan
melantik seorang Perdana Menteri baru yang memimpin sebuah kerajaan yang baru.
Bagi saya usaha kecil Kelantan ini, yang rata-rata disokong
oleh umat Islam melewati batas politik telah menzahirkan Kit Siang yang
sebenar.
Ini bukan tuduhan. Ini bukan sangkaan buruk. Tetapi inilah
yang boleh dibaca dari kenagkuhan dan tindak-tanduk beliau kebelakangan ini.
Hanya semata-mata kerana kita mahu melaksanakan tuntutan
Islam ke atas sesama penganut kita, berdasarkan peruntukkan Perlembagaan dan
peraturan undang-undang, Kit Siang berang dan seakan mengisytiharkan perang ke
atas usaha ini.
Biar pecah berderai Pakatan Rakyat, biar kita tubuh satu
Pakatan baru, BN dan DAP dan rakan sekutu yang mahu, asalkan kerajaan ini
terjamin tidak memberi ruang kepada usaha mendaulatkan Islam sebagai satu sistem
hidup bermasyarakat.
Seorang pemimpin PAS sebelum ini telah mengeluarkan
kenyataan alangkah baik jika Kit Siang dan DAP menasihatkan sahaja masyarakat
bukan Islam bahawa Hudud di Kelantan itu hanya terkena ke atas orang Islam,
oleh itu masyarakat Islam tidak perlu cemas dan gusar.
Kami mahu mengamalkan kepercyaan kami, suatu langkah yang
dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yakni akan kebebasannya, tetapi mengapa
Kit Siang menentang?
Bakar kelambu, naik atas katil lain untuk beradu hanya
semata-mata kerana masyarakat Islam Kelantan mahu mengamalkan agama mereka, apa
ni Kit Siang?
Seorang “statesman” seorang negarawan, perlu mewakili
kepentingan semua rakyat Malaysia, dan bukan mudah baran dan membuka ruang
untuk berbalah dan bertelagah.
Saya berharap agar angin toleransi dan kasih sayang akan segera
bertiup ke arah wajah DAP dan Kit Siang. Biar semua kembali rasional dan
berpijak atas realiti semasa.
Jika tidak dan sebaliknya angin amarah terus menggenggam
jiwa, maka sebagaimana marahnya Kit Siang dan DAP, maka beliau dan DAP juga
perlu bersedia menanggung risiko, kesan sikap mereka dan tindak-balas yang
bakal diterima akibatnya.
No comments:
Post a Comment