PAS bawah Hadi terus kekal bersama PR (3/3/15)

Tuesday, March 03, 2015


Benarkah Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang mahu mengkhianati perjuangan Pakatan Rakyat? Benarkah Tuan Guru mahu berkerat rotan berpatah arang dengan DAP dan PKR? Benarkah Tuan Guru kini mahu bercumbuan dengan Umno dan BN?
Sekurang-kurangnya itulah yang cuba digambarkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga PAS dan Presidennya dilihat bagaikan “budak nakal” atau “budak jahat” dalam PR.

Sesungguhnya Tuan Guru bukanlah seorang yang amatur dalam berpolitik, bukan baru kenal politik sehari dua. Beliau seorang yang diiktiraf ilmu Islamnya, seorang intelek yang punya banyak pengalaman dalam perjuangan khasnya dalam lingkaran gerakan Islam, bukan sekadar peringkat nasional malah sudah tahap internasional.

Beliau telah melalui dan mengharungi susah payah dan pahit getir dalam perjuangan politik tanahair, khasnya melalui wadah PAS, jatuh dan bangun bersama, dan kini berada diteraju kepimpimnan perjuangan yang beliau anggotai sejak zaman muda.
Anehnya ramai yang melemparkan tuduhan-tuduhan terhadap beliau sebagaimana di atas kalau nak disenaraikan seorang demi seorang, ramai mereka yang belum pun panas duduk atas kerusi PAS. Kebetulan Allah swt takdirkan dizaman mereka, kebetulan jadi calon terus menang dan menjadi ahli yang berhormat. Tidak melalui dan merempuh jalan susah sebagaimana Tuan Guru dan ramai yang lain.

Ada yang belum PAS pun semasa Tuan Guru turun bertemu anak-anak muda di awal tahun 80an dari kampus ke kampus meledakkan seruan kebangkitan Islam. Bukan sekadar IPT tempatan malah sampai ke Amerika Syarikat, Eropah dan Australia. Ada yang tak kenal PAS pun semasa Tuan Guru menjelajah Negara, menghimpunkan ribuan setiap ceramah beliau, menjadi sumbu pelita membakar api kesedaran politik Islam.
Ada yang tidak pernah melihat betapa ceramah Maulidur Rasul beliau dikepung polis dan ditembak gas pemedih mata, bekalan letrik di sebuah masjid di Kelantan diputuskan ketika beliau sedang berceramah. Zaman-zaman susah itu beliau lalui dengan penuh tekad dan keberanian.

Kalau PAS padam di bumi Terengganu sekitar tahun 1961, beliaulah yang menebus maruahnya kembali apabila mengetuai kemenangan PAS dengan 5 kerusi di DUN Terengganu bermula PRU 1982 (bersama Almarhum Ustaz Harun Taib, Ustaz Bakar Chik, Mustaffa Ali dan Wan Mutalib) setelah 21 tahun tiada wakil di dewan (tak termasuk zaman PAS dalam BN). Tuan Guru kekal di kerusi DUN nya itu sehingga hari ini.
Dari Terengganu PAS merayap meneguhkan kedudukan di Kedah dan kembali menang di Perlis, Pulau Pinang  dan Perak, melebarkan sayap di Pahang dan Selangor seterusnya Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Mereka tidak sedar pencapaian ini semua ketika Tuan Guru samada sebagai Timbalan Presiden mahupun sebagai Presiden hari ini.

Hari ini sebahagian besar mereka ini yang usia keahlian PAS mereka masih terlalu muda, atau menumpang tuah beroleh kedudukan hasil dari titik peluh perjuangan Tuan Guru dan sahabat-sahabat terdahulu, mereka ini yang “meliar” bangkit mencetuskan pelbagai onar, termasuklah dakwaan-dakwaan berangkai di atas tadi.
Dimana mereka semasa Allahyarham Othman Talib mati “syahid” dipukul oleh orang-orang Umno di FELDA Lubuk Merbau, dalam Pilihanraya Kecil Padang Terap 18 Januari, 1985. Dimana mereka ketika para syuhada bergelimpangan di Memali, Baling 19 November 1985.

Tuan Guru Presiden PAS sudah berada dalam saf kepimpinan PAS ketika itu. Tekanan dan kezaliman tahap maksima tidak menggugat komitmen seluruh pimpinan dan ahli PAS ketika itu.
Pada 14 April 1986, jalan-jalan Kuala Lumpur dipenuhi dengan kenderaan yang tidak bergerak –sesak. Ketika itu Allahyarham Sudirman mengadakan konsert terbuka di Jalan Chow Kit. Orang mengaitkan “jam” di KL itu dengan konsert berkenaan semata-mata. Sebenarnya separuh warga KL tertumpu di Chow Kit sedang separuh membanjiri Taman Melewar ketika Tuan Guru berceramah bersama mangsa Memali termasuklah adik kepada Assyahid Ibrahim Libya ketika itu.

Di mana mereka ini?
Sesungguhnya:

Tuan Guru tidak khianati pun perjuangan PR malah sentiasa meniti di bibirnya untuk mengukuhkan PR, namun PAS punya hak bersuara sebagai parti komponan, dasar dan matlamat perjuangan PAS perlu dihormati rakan-rakan.

Tuan Guru tidak pernah menyerang pimpinan DAP dan PKR secara terbuka, menghormati mereka, tetapi Tuan Gurulah yang diserang secara terbuka sehingga ada yang menyuruh beliau meletak jawatan dan membantu pula anasir-anasir subversif dalam PAS.
Terakhir Tuan Guru tidak pernah pun duduk berunding dengan Umno, apalagi mahu berbaik dengan mereka sebagaimana ditohmah. Terakhir yang duduk berunding dengan Umno adalah kawan-kawan dari PKR sehingga ditawar jawatan TPM dan Menteri kabinet.

Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini sering menjaja kononnya keputusan Muktamar PAS adalah bahawa hubungan Pakatan Rakyat perlu dikukuhkan. Itu tidak dinafi, malah hakikat sebenarnya keputusan Muktamara PAS adalah memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan memperkukuhkan PAS sendiri dari sudut dalaman.

Memperkukuhkan hubungan dalam PAS adalah mutlak tanpa syarat. Setiap ahli PAS bertanggungjawab memperkukuhkan hubungannya dalam PAS dengan taat dan patuh pada segala adab dan peraturan berjemaah. Keputusan mesyuarat mesti dipatuhi, panduan dan pengarahan Majlis Sura mesti diterima dan akur padanya.
Memperkukuhkan hubungan antara PAS dan Pakatan pula adalah bersyarat iaitu sebagaimana dijelaskan dalam kaedah tahaluf siyasi yang kita pegang yang diperjelaskan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Ustaz Dato Ahmad Yakob baru-baru ini:

“Perlu diingatkan kepada seluruh ahli PAS, di kala kita bertahaluf jangan sampai ada berlaku wala’ (ketaatan) kepada rakan tahaluf (bermakna wala’ hanya pada pimpinan PAS dan PAS). Kita bekerjasama untuk mencapai tujuan yang disepakati tanpa mengetepikan dasar PAS,”
Hubungan PAS dan Pakatan tidak terjejas, akan diteruskan, tiada bermasalah selagi mana dasar dan prinsip perjuangan PAS tidak disentuh atau diubah dan pinda, jika tidak, tidak ada sebaba Tuan Guru Presiden dan ahli-ahli PAS mahu memutuskan hubungan mereka dengan Pakatan.

 

 

 

 

 

0 comments: