Hari ini bukan hanya hari paling bersejarah buat negeri
Kelantan tetapi sesungguhnya ia suatu hari yang bersejarah buat Malaysia dan
buat mereka yang menyokong dan mendukung perjuangan Islam.
Pagi tadi Ustaz Dato MB Kelantan telah membentangkan Pindaan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 di persidangan Dewan Undangan Negeri
(DUN) Kelantan.
Pindaan enakmen berkenaan kiranya diluluskan akan membuka
jalan bagi perlaksanaan Hukum Hudud di negeri “Serambi Mekah” itu. Proses
seterusnya selepas memperolehi kelulusan adalah membawa satu Private Bill ke
Parlimen untuk mendapat kelulusan dan akhirnya akan menyaksikan Kelantan
sebagai negeri pertama dalam Malaysia yang melaksanakan hukum jenayah Islam
berlandakan al Quran.
Persidangan dewan telah ditangguhkan tengahari tadi dan akan
disambung pagi esok.
Ustaz Dato Ahmad Yakob semasa pembentangannya pagi tadi
dilaporkan oleh media sebagai berkata:
“….. pihak yang masih mengkritik enakmen hudud yang
dibentangkan hari ini adalah “golongan yang tidak beriman”.
Jelas golongan yang dimaksudkan oleh MB itu adalah
dikalangan orang-orang Islam, kerana yang bukan Islam memang telah tidak
beriman.
Satu fakta ketara dalam pindaan ini adalah bahawa ianya menidakkan
sama sekali perlaksanannya ke atas rakyat Kelantan yang tidak beragama Islam.
Malah tiada opsyen atau pilihan pun buat mereka untuk memilih diadili di bawah
undang-undang ini.
(Oleh itu tidak ada sebab samada Gerakan, MCA, DAP atau
sesiapa sahaja yang kononnya menjuarai kepentingan bukan Islam mahu meneruskan
penentangan mereka, ini hal dan urusan orang Islam)
Maka layaklah apabila MB berkata, yang terus mengkritik
undang-undang ini sesungguhnya golongan yang tidak beriman.
PAS Kelantan memikul tanggungjawab meluluskan undang-undang
ini kerana itulah janjinya sejak memperoleh kuasa pada tahun 1990. Malahan
itulah janji PAS setiap kali menyertai pilihanraya umum, iaitu bergerak untuk
melaksanakan hukum dan peraturan yang diredhai Allah swt.
Ia diluluskan di Kelantan dan telah pun diluluskan di
Terengganu semasa penggal PAS memerintah negeri berkenaan selepas PRU 1999.
Oleh itu saya merasakan amat tidak adil apabila ada
pihak-pihak menggunakan bencana banjir sebagai alasan untuk Kelantan tidak
mengambil inisiatif ini.
Sesungguhnya Kelantan memang sedang pesat memulihkan negeri
berkenaan setelah menghadapi bencana banjir paling buruk akhir tahun lalu.
Namun usaha untuk meluluskan undang-undang dan peraturan yang merupakan
perintah Allah swt ini, tidak seharusnya dilontar ke belakang semata-mata atas
alasan pemulihan banjir.
Kerja-kerja pemulihan banjir perlu diteruskan dan dalam
waktu yang sama, kerja-kerja memungkinkan negeri berkenaan memperoleh redha
Allah swt juga perlu diteruskan.
Hari ini kita bukan mahu menguatkuasakan hukum berkenaan, ianya
perlu diluluskan dibanyak peringkat lagi.Hari ini kita sedang bertarung mahu
memungkinkan undang-undang ini mendapat kelulusan dan akhirnya nanti dapat
dikuatkuasa dan dilaksanakan. Prosesnya belum selesai, lantas pemulihan banjir
boleh sahaja berjalan beriringan, tidak perlulah menjadi juara mengajar orang
Kelantan mana satu keutamaan.
Diperingkat ini tidak ada orang Islam yang istiqamah dan
komited pada agama mereka yang tidak berbangga dan bersyukur dengan insiatif
saudara seagama kita di Kelantan.
Marilah kita berdoa agar usaha murni PAS Kelantan dan rakyat
Kelantan ini nantinya berjaya, dan Kelantan bakal menjadi “Serambi Mekah”
sebenar lengkap sebagai sebuah Negeri Madrasah Ilmu dan negeri yang mendukung
dan melaksanakan hukum dan peraturan Allah swt untuk dicontohi yang lain.
No comments:
Post a Comment