Bila orang PAS tuduh PAS (5/3/15)

Thursday, March 05, 2015


Pasti tiada siapa dalam PAS yang merestui tindakan kekerasan yang dilakukan ke atas AJK PAS Pusat Dr Dzulkifly Ahmad. Tindakan sedemikian diselar semua pihak, dan sebagaimana kenyataan PAS Selangor, kita mahukan siasatan dilakukan pihak polis dan yang berkenaan didakwa segera.
Walaupun PAS sedang menghadapi musim pemilihan, peringkat cawangan-cawangan diikuti kawasan-kawasan dan kemuncaknya diperingkat pimpinan tertinggi pertengahan tahun ini, kita yakin apa yang berlaku ke atas Dr Dzul dan sebelumnya ke atas kenderaan Dr Hatta Ramli tiada yang berkaitan samada antara satu dengan lain mahupun dengan bahang pemilihan.

Mungkin pihak musuh mahu ia dilihat begitu.

Mungkin anasir-anasir tertentu mahu ia dikaitkan begitu. Biar PAS ini dilihat ganas, biar PAS ini dilihat kecoh sedangkan komponan BN lebih parah lagi suasana pemilihan, bukankah insiden Allahyarham Datuk Taha di Gemencheh dulu dan Allahyarham Datuk Mazlan di Batu Talam semuanya berkaitan pemilihan Umno.

Begitu juga halnya dengan MIC sekarang sehingga berlaku ugutan bunuh ke atas seorang Timbalan Menteri.
Malah bukan hanya BN, dalam rakan PR pun lebih tegang. Siapa boleh lupa insiden pemilihan PKR yang siap ditayangkan stesyen TV perdana. Ugut-mengugut, melontar kerusi meja, menerajang peti undi, dan dakwaan politik wang semuanya telah disaksikan.

Lantas mengapa dibiarkan PAS lepas bebas.
Apa yang menyedihkan dalam menghadapi serangan terhadap PAS ini, adalah kenyataan beberapa pimpinan PAS yang menyokong pula bahawa memang PAS ini sudah menganuti budaya ganas.

Bermula dengan bekas Ketua Pengarang Harakah, Zul Sulong dalam laporannya di portal berita TMI di bawah tajuk:
Violence, dirty tactics making PAS as bad as MIC in its heyday

Tajuk bahasa Melayunya:

PAS kini setaraf MIC, sah lebih teruk berbanding zaman Asri
(berbeza sungguh tajuk bahasa Inggeris dan Melayu, yang bahasa Inggerisnya lebih membimbangkan seolah mahu gambarkan pada pembaca bukan Melayu bahawa sah PAS ini kotor dan ganas)

Seorang ahli PAS dan bekas orang kanan Harakah boleh mengaitkan insiden-insiden ini tanpa bukti dan usul periksa dengan budaya baru orang PAS!
Kemudian dalam laporannya beliau menyebut:

Bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar dalam ulasan spontan selepas apa yang berlaku kepada Dzulkefly yang dipukul dalam keretanya berkata: "Sebagaimana saya katakan, PAS sekarang sudah lebih teruk dari zaman Asri lagi."
Kamarudin Jaffar terangan-terangan mengaitkan terus kedua insiden ini dengan budaya orang PAS sekarang yang dakwanya lebih teruk dari zaman Asri lagi.

Adakah Datuk punya bukti bahawa orang PAS yang mencetuskan kedua-dua insiden berkenaan? Adakah Datuk cuba menyatakan bahawa tindakan entah siapa itu sebenarnya mencerminkan budaya orang PAS hari ini?
Beginikah sepatutnya sikap seorang AJK PAS Pusat dan bekas Setiausaha Agung?

Atau Datuk memang mahu menggunakan kedua-dua insiden ini sebagai alasan untuk melonjakkan agenda tertentu dalam PAS, meraih simpati dan sokongan untuk orang-orang tertentu?
Saya secara peribadi yakin dan percaya jika ada blok yang pro Presiden yang pro ulamak, mahu bertanding dan menang dalam pemilihan parti nanti, mereka tidak perlu mencetuskan insiden bodoh membakar kereta dan membelasah Dr Dzul untuk meraih sokongan perwakilan.

Begitu juga yang mahu menggantikan Presiden, yang mahu melancarkan “counter offensive”, yang mahu merobah pendekatan politik PAS, takkanlah mahu menang melalui insiden bodoh bakar kereta dan belasah Dr Dzul.

Kedua-dua insiden ini dikesali, tetapi tanpa sekelumit bukti, apalagi mendahului siasatan polis, janganlah menuduh secara umum sehingga mencemarkan rekod dan nama baik PAS. Kerja-kerja begitu yakni menuduh dan mencemuh serta memfitnah tanpa bukti biasanya kerja Umno dan BN bukan orang PAS.

Atau sudah ada orang PAS mahu mengambil-alih kerja-kerja Umno dan BN (maklumlah pernah menjadi Umno sebelum ini)?

0 comments: