Monday, March 09, 2015

Salah pilih Ketua Pasukan atau ahli-ahli pasukan (9/3/15)


Sekarang ini adalah tempoh kawasan-kawasan PAS mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing. Oleh kerana tahun ini adalah tahun pemilihan maka masing-masing kawasan akan menyaksikan proses pemilihan diperingkat masing-masing untuk pucuk pimpinan parti.
Demikian juga menurut peruntukkan perlembagaan PAS, tiap-tiap kawasan tadi akan membuat pula pencalonan untuk jawatan-jawatan tertinggi parti diperingkat Pusat, untuk pertandingan pucuk pimpinan tertinggi dalam Muktamar PAS ke 61 nanti.

Sudah pastilah para pemerhati politik dan pihak media akan memberi tumpuan pada PAS bagi menyaksikan proses pemilihan pucuk pimpinannya yang tertinggi.
Penyandang jawatan Presiden kini adalah Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, menyandang jawatan ini sejak 2002 berikutan kematian Presiden terdahulu Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor.

Hari ini PAS kelihatan sedikit kalut berhubung jawatan ini. Beberapa kalangan pimpinan mahukan penyandang yang ada kekal memimpin PAS manakala ada satu pihak pula menjaja agar diadakan pertandinga.
Bertanding atau tidak jawatan Presiden ini,sesungguhnya bukanlah satu masalah besar pun buat PAS. Tokoh PAS yang silam sehebat Almarhum Dr Burhanuddin Al Helmy pun pernah berentap dengan Almarhum Prof Zulkiflee Mohamad. Hakikatnya jawatan tertinggi ini memang sedia untuk dipertandingkan.

Seorang AJK PAS Pusat, Mujahid Yusof Rawa, yang jawatannya pun sedia menyaksikan pertandingan dilaporkan sebagai berkata:
“Tetapi masa berlalu, ahli (PAS) lebih matang. Apabila ada satu pencalonan untuk kerusi presiden, walaupun dianggap tidak pernah dibuat, tetapi secara perlembagaan ia bukan satu kesalahan kerana PAS mengamalkan demoraksi.”

Seluruh ahli PAS tahu bahawa pemilihan pucuk pimpinan tertingginya adalah melalui proses demokrasi. Siapa nak bertanding jawatan mana pun tiada masalah hatta jawatan Presiden sekalipun. Kalau cukup pencalonan, dan terima penawaran, Mujahid pun boleh bertanding bagi jawatan tertinggi ini.
Kalau nak kira matang, semasa zaman Almarhum Dr Burhanuddin dahulu pun sudah ada pertandingan. Sesungguhnya ahli-ahli PAS dahulu dan kini semua sama belaka. Beri pencalonan untuk jawatan Presiden selain Hadi atau mengekalkan Hadi, semuanya keputusan matang belaka.

Hakikatnya ahli-ahli PAS mahu meneruskan perjuangan dengan Hadi kekal sebagai Presiden.
Mengapa?

Sebab Hadi punya latarbelakang akademik dan ilmu khasnya berkenaan Islam, yang tinggi dan disegani. Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam perjalanan parti disamping hubungan dengan rangkaian gerakan Islam global.
Akhlak beliau akhlak Tok Guru.

Pada para ahli Hadi merupakan benteng mengekal dan mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Beliau terbukti teguh dan unggul dalam mempertahnakan dasar PAS dan tidak sekali-kali akan beralah atau memberi laluan apabila prinsip perjuangan PAS dipertaruhkan.
Mungkin ada yang lain yang merasakan mereka setanding jika tidak lebih dari Hadi dari kemahiran dan keupayaan memimpin PAS. Jika benar ada, maka silalah Mujahid atau rakan-rakannya mencalonkan satu atau dua nama. Mungkin PAS Kota Bharu mahu menjadi kawasan pertama mencalonkan pencabar.

Memandangkan nak sangat melihat Hadi dicabar kali ini, maka pastikan cukup pencalonan dan calon tadi tidak pula “angkat kaki” sebelum pertandingan.
Saya yakin Tuan Guru tidak keberatan malah bersedia menghadapi sesiapa sahaja untuk bertanding jawatan ini, sebab akhirnya yang akan membuat keputusan muktamad adalah para perwakilan PAS, yang rata-ratanya semuanya matang dan lebih penting lagi isitiqamah dalam meenjunjung perjuangan Islam ini.

Mujahid punya pandangan bahawa Tuan Guru Presiden PAS kini tidak “mesra” Pakatan. Beliau dilaporkan berkata:
Faktor Pakatan Rakyat (PR) juga mempengaruhi trend pencalonan seolah-olah ada dalam PAS yang melihat PR perlu dikekalkan dan untuk mengekalkannya, ia memerlukan pemimpin yang dinamik, terbuka dan boleh bekerjasama dengan rakan sekutu.

Mujahid lupa bahawa Muktamar PAS memang sedia telah memutuskan bahawa PAS perlu memain peranan mengukuhkan PR. Tidak pula Tuan Guru menjadi alat mahu membawa PAS keluar dari PR. Tak perlulah dikelirukan di situ.

Masalahnya menegaskan bahawa dasar dan prinsip PAS perlu dihormati sebagaimana PAS menghormati dasar dan prinsip PKR dan DAP, itu tidaklah bermakna mahu keluar PR. Dengan Tuan Guru sebagai terajulah PAS menyertai PR dan kini terus kekal dalamnya.
Seorang pemimpin yang dinamik, tidak akan menggadaikan dasar dan prisnip partinya, ringkasnya menjual partinya, semata-mata kerana mahu dilihat terbuka. Sebaliknya ia perlu faham perbezaan yang sedia ada diantara rakan-rakan komponan, dan mengenal-pasti serta memandu parti dan PR ke arah melakarkan jejak persamaan dan bergerak dari situ tanpa membahaskan perbezaan sehingga boleh membawa rebah.

PAS laksana satu pasukan bolasepak dengan Presidennya sebagai Ketua Pasukan. Yang sebenar-benarnya apa yag berlaku bukanlah masalah pada Ketua Pasukannya, apa yang merupakan masalah besar hari ini adalah apabila para perwakilan telah tersilap perhitungan memilih anggota pasukan di bawah Presidennya yang tidak boleh bekerjasama dalam satu pasukan. Disangkanya mereka ini professional yang akur pada ketua, rupanya masing-masing bernafsu besar belaka mencari peluang dan ruang untuk menerkam dan membaham ketua.
Masing-masing mahu jadi Ketua, masing-masing ego mahu menujukkan ia lebih hebat.

Penyelesaiannya dalam suasana mengamal demokrasi dalam PAS ini, para perwakilanlah kena bangkit, bukan tukar Presiden tetapi tukar ahli-ahli pasukan Presiden yang tidak boleh menyesuaikan diri bergerak dalam satu pasukan ini. Itulah puncanya.
Oleh itu bijaklah menggunakan demokrasi untuk Islam bukannya mendemokrasikan Islam.

 

 

 

 

No comments: