Inilah Presiden PAS...inilah ketua kami (26/3/15)

Thursday, March 26, 2015


Diketika PAS mahu berusaha melalui lunas dan peruntukkan demokrasi dan undang-undang untuk membawa dan memperkenalkan perlaksanaan syariat Islam ke atas umat Islam, diketika itulah ia menerima serangan, kritikkan dan cemuhan pelbagai pihak, kawan dan musuh , luar dan dalam.
Di Negeri Kelantan, bumi bertuah pertama di Malaysia yang akan menyaksikan perlaksaan sistem keadilan Islam itu segala proses demokrasi dan undang-undang telah pun lengkap diambil.

Malah Tuanku Sultan turut bertitah bersetuju untuk menjadikan Negeri Serambi Mekah itu negeri pertama yang mendaulatkan hukum Allah swt di Malaysia.
Ternyata PAS istiqamah dalam mahu melihat cita-cita perjuangannya dapat dilaksanakan.

Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz, yang mengambil inisiatif pertama membawa usul ini ke Dewan Negeri lebih 20 tahun dahulu telah melaksanakan tanggungjawabnya dan kini tiada lagi bersama kita.
Beban amanah ini terus digalas dengan cekal dan berani oleh Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Disaat memikul amanah inilah Tuan Guru berhadapan pelbagai ujian dan cabaran. Sehingga kini semuanya beliau lalui dengan penuh tabah dan gagah. Tidak goyang tidak goyah beliau lantaran tuntutan perjuangan dan janji Allah swt yang mahu dikejar oleh seluruh umat Islam dimana sahaja.
Menerima tentangan dari seteru politik bukanlah sesuatu yang asing. Umno yang sekian lama berseteru digelanggang politik dengan PAS, di Kelantan telah dapat menerima hakikat, dan memberikan persetujuaan terbuka, kerana ini peraturan Allah, bukannya bikinan tangan PAS atau pimpinannya.

Ahli-ahli Parlimen Umno, masih belum diduga, dan diharapkan atas nama Islam mereka akan menurut rakan-rakan mereka di Kelantan. Tetapi rakan-rakan komponan mereka khasnya yang bukan Islam secara terbuka telah menyatakan penentangan.
Bagi Tuan Guru dan PAS, apa pun ianya perlu diperkenalkan dan dibawa juga ke Dewan Rakyat untuk membuka laluan perlaksanaannya di Kelantan.

Menerima tentangan dari kawan, itu yang agak mengecewakan, tetapi atas nama kebebasan bersuara dan berpandangan, Tuan Guru selaku Presiden Parti Islam Se Malaysia teruskan juga.
Alangkah baik jika kawan-kawan faham. Berbahaslah di Dewan secara berhemah. Arahkan kawan-kawan ahli Parlimen yang beragama Islam agar menyokong kerana ini bukan ciptaan PAS tetapi tuntutan agama Islam, tuntutan ke atas mereka semua yang Muslim. Tetapi kelihatan kawan-kawan juga menolak.

Bagi Tuan Guru, selaku Presiden PAS ianya wajar diteruskan dan malah beliau sendiri akan membawa Private Bill bagi tujuan ini, jauh di sudut hati bukan hanya beliau tetapi semua ahli-ahli PAS dan saya percaya majoriti umat Islam Malaysia meletak harapana tinggi agar syariat Allah akan mendapat tempat, semoga semua yang beragama Islam, Umno, PBB, DAP, PKR atau mana sahaja akan menyokong.
Teringat ucapan beliau semasa Muktamar lalu:

“Jangan ingat majoriti yang besar selama-lamanya tanpa keredhaan Allah. Yang penting mencari keredhaan Allah…….”
Paling terguris hati sekali adalah apabila ada yang dalam jemaah sendiri yang seakan menghalang-halang. Beri keutamaan pada pemulihan banjir lah, apa perlu disegerakanlah, perlu dapat persetujuan dan sokongan PR dululah……

Bukan hanya Tuan Guru, semua kita yang cinta dan bersungguh menyumbangkan harta dan nyawa untuk perjuangan ini pasti terguris hati apabila berhadapan dengan anggota jemaah sendiri yang sedemikian. Tak pernah terfikir di benak kepala kita akan ada orang PAS lebih malang yang bertaraf pimpinan yang tergamak bersikap sedemikian diwaktu pancaroba ini.
Sekali lagi teringat pesanan Tuan Guru dalam Muktamar lalu:

“Ahli-ahli wajib beristiqamah. Wajib beramal, berdakwah, berjihad dengan ilmu, dengan fekah. Bukan ilmu sahaja, fekah, faham ilmu itu dan ikhlas. Menjaga adab berjemaah, bersatu dalam perkara dasar dan matlamat. Kita tidak berpecah walaupun berbeza pendapat.”
Hari ini seluruh kekuatan PAS berdiri dan memberi keyakinan kepada Tuan Guru Presiden untuk meneruskan kerja besar ini. Nakhoda yang mengemudi bahtera besar perjuangan kita ini perlu diberikan semangat, perlu diiringi, disokong dan diberikan kekuatan, kerana apa yang mahu beliau bawa adalah Islam. Ini bukan perjuangan peribadi beliau ini perjuangan kita semua.

Hari ini melalui FB nya Tuan Guru memberikan penjelasan sejelas-jelasnya “Isu Hudud” yang dikeliru dan dipesongkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
https://www.facebook.com/abdulhadiawang/posts/788939631191157:0

Sehingga ada yang takut ada yang cemas angkara kerja-kerja jahat mereka yang tidak bertanggunmgjawab itu, begitulah apabila kita tidak patuh pada adab berjemaah.
Ayat penutup kepada penjelasan panjang-lebar Tuan Guru Presiden PAS itu perlu difahami

“Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.”

Saya secara peribadi bangga yang gerakan Islam PAS di Malaysia ini punya ketua atau Presiden seumpama Tuan Guru yang terserlah menzahirkan akhlak dan keperibadian pemimpin Islam diketika Islam dicaci dan dicemuh.
Semoga Allah swt merestui dan memberkati perjuangan ikhlas kita semua.

2 comments:

Anonymous said...

Yakinlah bahawa Tn Guru Presiden kian mendapat sokongan apabila dicaci dan dicemuh DAP. Kami umat Islam bangga dgn pemimpin sebegini yg jujur dan tabah walaupun sedang diserang dari segenap penjuru.

ZALMAL said...

Inshaa Allah. Majoriti umat Islam di Msia sokong TGHA dgn sepenuh hati. Takbir x3