Berseronok meraikan kemenangan pra matang (16/3/15)

Monday, March 16, 2015


Mari jatuhkan Tuan Guru Presiden PAS. Mari pastikan beliau bukan lagi Presiden dalam Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor nanti. Mari kita ubah teraju dalam PAS, agar haluan bahtera PAS ini pun dapat diubah.
Berita 17 orang AJK PAS Kawasan Batu, Wilayah Persekutuan, diketuai Yang Dipertuanya, Ishak Surin, meletak jawatan secara “en bloc” atau berkelompok kerana protes terhadap kononnya kelemahan kepimpinan Presiden PAS bukanlah sesuatu yang mengejutkan pun.

Demikian juga pencalonan beberapa tokoh oleh PAS Kawasan untuk mencabar Tuan Guru Presiden PAS dalam muktamar akan datang, juga bukan sesuatu yang tidak dijangka.
Bermula dengan Kota Bharu, yang mencalonkan Ustaz Dato Tuan Ibrahim (yang kemudiannya menolak pencalonan berkenaan kerana ingin kekal ber”Presiden”kan Tuan Guru) diikuti Kota Tinggi yang mencalonkan Datuk Husam. Dan di Shah Alam , berlaku pengundian kerana perwakilan terikat dengan dua calon iaitu antara Tuan Guru dan Ustaz Ahmad Awang (akhirnya pencalonan Tuan Guru menang dengan kelebihan 6 undi).

Saya menyatakan demikian kerana gelagat beberapa kerat pimpinan PAS sebelum ini memang menandakan seakan ada usaha ada komplot secara senyap atau terbuka yang memang mahu melihat perubahan pucuk pimpinan PAS, khasnya Tuan Guru Presiden dan beberapa kalangan ulamak yang dikatakan menjadi batu penghalang besar terhadap agenda peribadi mereka.
PAS di bawah Tuan Guru Presiden dikatakan kononnya terlalu “exclusive” terlalu ketinggalan dari sudut pendekatan, ringkasnya tidak “open” tidak anjal sebagaimana mereka inginkan. PAS di bawah Tuan Guru bagi mereka membawa imej Islam yang “unfriendly”, mereka mahu Islam PAS biarlah bersifat lebih “friendly” lebih moderat, mudah di bawa berbicang, ditolak ke sini dan ke sana.

Dan dimanakah musim yang lebih baik untuk menzahirkan kempen mereka untuk menolak Tuan Guru Presiden selain semasa musim pemilihan PAS sekarang ini.
Kita sudah dengar seawal beberapa bulan lalu, asakkan indoktrinasi bahawa Presiden PAS ini tidak semestinya ulamak walaupun PAS ini parti Islam yang menjunjung konsep kepimpinan ulamak.

Ianya menjadi lebih gegak-gempita apabila ada yang memainkan-mainkan rekod lama, lagu-lagu lama diputar kembali, demi mahu menyogok agenda mereka, kononnya Tuan Guru cenderung pada Umno lebih dari rakan-rakan dalam Pakatan. Kononnya Tuan Guru bersungguh mahu membelakangkan Pakatan dan membentuk kerajaan campuran Umno-PAS satu ketika dahulu. Malah dalam meniti krisis MB Selangor pun, puak-puak inilah yang menuduh Tuan Guru berkemungkinan mahu membentuk kerajaan campuran PAS-Umno di Selangor, apabila mengarahkan keempat-empat EXCO PAS kekal dalam kerajaan Tan Sri Khalid dulu.
Lagu-lagu lama yang sudah sumbang ini dijaja kemerata pelusok Negara.

Apabila terdedah rakaman audio yang dikatakan perjumpaan Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu,  dengan beberapa pengikutnya, yang transkripnya berbunyi:
Dalam dua tiga hari ni saya cuba buat ‘counter attack’ (serang balas) dalam bentuk bertemu individu. Semalam saya ke Tanjong Karang bertemu dengan YDPnya, bertemu dengan Sungai Besar, bertemu dengan YDP dan jawatankuasanya dua tiga orang. Secara umumnya Presiden dianggap ulama hebat dan maksum perlu ‘denied’ (dinafikan). Bila kita memberi penjelasan secara agak detail apa yang berlaku dalam mesyuarat keputusan- keputusan yang dibuat tentang hal Selangor, bagi mereka, mereka dengan dalam bentuk ‘hearsay’ (khabar angin), tak dapat maklumat yang betul, sampai ke bawah. Bagi saya ‘counter offensive’ (serang balas) ini perlu digerakkan dalam masa sebulan dua ini. Bukan dalam bentuk ceramah, bukan dalam bentuk blog, dalam bentuk menemui yang dipanggil pimpinan yang berkemungkinan menjadi perwakilan. Secara ringkasnya kita tengok, mereka mendahului……

Semakin zahir cita-cita puak-puak ini.
Apabila ada pemimpin lain pula secara terbuka melekehkan kepimpinan Presiden sendiri. Seperti Hanipa Maidin yang kebelakangan ini menolak apa sahaja yang dating dari Presiden, termasuk soal puasa sunat dan solat pun disentuh.

Ada pula yang merendahkan contohnya keutamaan kerajaan Kelantan mahu melaksanakan Hukum Hudud, yang disokong kuat oleh Tuan Guru dan Almarhum bekas Mursyidul Am. Dr Zulkifli Ahmad dan Dr Mujahid umpamanya secara terbuka menyatakan asakkan terhadap ini sesungguhnya bukan keutamaan diwaktu ini.
Selain itu dakwaan skandal “Hawaii Five O” turut menyumbang dalam mencetuskan tanda-tanya.

Memang segala pendedahan, kelantangan, dan penerjahan pihak-pihak di atas yang rata-rata mahu mencuit dan merebahkan kepimpinan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, sebenarnya sedang asyik diperhatikan.
Yang vokal penuh bernafsu menunjukkan ketaksuban terhadap gagasan baru ini, menunggang NGO PasMa, mengadakan forum dan terbaru meletak jawatan “en bloc, semuanya mahu memaksa pandangan bahawa memang PAS perlukan Presiden baru yang lebih “open” dan moderat.

Akan tetapi mereka ini menafikan suara “silent majority’ dalam PAS yang sesungguhnya kecewa, malu dan mual dengan tindak-tanduk ini.
“Silent majority” ini masih mahu meniti adab dan akhlak menjadi ahli gerakan Islam. Mereka sedih apabila melihat seorang ulamak tersohor umpama Tuan Guru diperlakukan demikian rupa oleh anak-anak didik, anak-anak buahnya sendiri, lantaran keghairahan mereka masing-masing tergesa-gesa mahu memetik buah yang belum ranum.

“Silent majority” ini menyertai PAS kerana mahu berjuang Islam.

Kepimpinan Ulamak yang menerajui PAS lebih 3 dekadlah yang telah menarik minat dan pesona “silent majority” dalam PAS untuk berjuang dan bersama-sama menyumbang keringat, tenaga, darah dan airmata untuk memenangkan Islam.
Biarlah yang vokal dan bernafsu ini mencetuskan momentum untuk menghakis keyakinan para perwakilan kononnya terhadap Tuan Guru, orang-orang PAS yang sejati lebih tahu dan faham.

Saya yakin dan percaya “silent majority” yang merupakan sebahagian besar akar umbi dan kekuatan PAS dari utara ke Selatan termasuk Sabah dan Sarawak, yang sejati, yang mahu Islam terus menjadi agenda perjuangan PAS dibimbing oleh ulamak yang ikhlas dan bertaqwa, akhirnya pada Mukatamr ke 61 nanti akan bersuara dengan lantang menegakkan yang hak dan merebahkan yang batil.
Biarlah satu-dua yang berbeza pandangan, berbeza pendekatan dan terkadang berbeza agenda ini merayakan “kemenangan” pramatang mereka, umumnya yang “silent majority” insyallah senang dan setia dengan apa yang telah dibina sekian lama, dan akan terus istiqamah mempertahankan Tuan Guru, kepimpinan ulamak, dan perjuangan PAS yang asal dan sejati.

 

2 comments:

Anonymous said...

Masalahnya skrg silent majoriti tu bukan perwakilan dan mereka tidak dapat mengundi pun.

Nampaknya sebahagian besar perwakilan yang akan mengundi dalam muktamar Jun nanti adalah dr puak liberal . Mungkin 50% sokong liberal , 40% pula benar2 ingin daulatkan Islam , manakala 10% lg golongan tunngu dan lihat dan mungkin akan sokong siapa yg kelihatan kuat.

Jgn lupa , PASMA semasa rombongannya berjumpa DAP dulu , khabarnya dapat bantuan dalam bentuk RM , walaupun dikatakan sbg bantuan banjir , tp macam2 boleh jadi . Kalau bab masyuk ni ....kopiah pun boleh tercabut .

Saadun Sulaiman said...

Perkara seumpama ini tidak kelihatan semasa PAS belum begitu berkuasa lagi, ia nya berlaku setelah beberapa individu mula mengecap nekmat dunia yang tak seberapa ini. Ada yang menunggang Motor berkuasa tingga semasa di luar Negara dan ada yang menunjuk kan belang setelah terpilih sebagai Y.B. Mungkin takut kesenangan yang sedang di kecepi hilang maka berlaku lah sebagaimana yang berlaku sekarang.

Memang benar bahawa dalam PAS ada silent majoriti. Benar kata anon 11:38 AM bahawa kebanyakan mereka tidak punyai hak untuk mengundi. Dengan perkara yang sebegini boleh kah PAS berubah?