Thursday, March 19, 2015

Hukum Hudud: Jangan sampai dilihat anti Islam (19/3/15)


Sedang saya menulis posting ini EXCO Agama Negeri Kelantan, iaitu ADUN Meranti YB Ustaz Nassuruddin Daud sedang menggulung perbahasan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) (pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Enakmen ini dijangka diluluskan sebulat suara dalam Dewan.

Susulan dari kelulusan yang dijangka itu, satu Private Bill atau Rang Undang-undang Persendirian akan dibawa oleh wakil PAS dalam Parlimen untuk meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan meminda Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Satu aspek penting pindaan ini adalah ia mengecualikan sama-sekali mereka yang bukan beragama Islam dari dikenakan tindakan. Ini bermakan rakyat Kelantan yang bukan beragama Islam tidak lagi diberikan pilihan sebaliknya dikecualikan sama-sekali dari didakwa atau dikenakan tindakan di bawah Enakmen ini.
Dengan pindaan ini bermakna sebarang kebimbangan masyarakat bukan Islam selama ini, sepatutnya tersingkap oleh kerana mereka tidak lagi terbabit atau dibabitkan dengan perundangan ini.

Tajuk muka depan akhbar The Star hari ini memaparkan:
“The enemy within”

Dimana dilaporkan parti-parti politik bukan Islam seakan bimbang dan berazam mahu menggagalkan kelulusan enakmen ini.

DAP iaitu rakan komponan PAS dalam Pakatan Rakyat menuduh PAS menikamnya dari belakang. Gerakan pula iaitu komponan Umno dalam BN telah mengemukakan saman di Mahkamah Kota Bharu untuk mengisytiharkan Enakmen Kelantan ini batal kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

MCA juga dilaporkan akan mengambil tindakan malah seorang pemimpinnya dipetik dalam akhbar berkenaan sebagai berkata kiranya ahli-ahli Parlimen Umno nanti menyokong pindaan ini, mereka tidak akan reragak-agak akan keluar dari BN.
Mengapa begitu kalut sekali sedangkan ianya tidak terkena ke atas masyarakat bukan Islam?

Malah EXCO Agama Kelantan semasa menggulung perbahasan tadi memetikPerkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana Bahagian Persekutuan.
Sebagaimana Perkara ini menjamin kebebasan agama-agama lain mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman dan damai, maka enakmen ini juga bagi umat Islam merupakan sebahagian dari amalan kepercayaan mereka, maka demi meluhuri Perlembagaan Persekutuan berkenaan, wajar sangatlah masyrakat Islam diberikan kebebasan buat mereka mengamalkan agama mereka.

Bagi saya masyarakat bukan Islam perlu terima kerana kepentingan mereka langsung tidak terjejas.
Manakala bagi parti-parti politik pula, keghairahan mereka menentang dan menolak enakmen ini samada mereka sedar atau tidak sesungguhnya akan memberi persepsi, atas semangat Perlembagaan Persekutuan yang disebut, bahawa mereka sebenarnya menentang Islam dan anti Islam.

Jangan jadikan persepsi demikian menyala, akhirnya ia akan membakar peluang dan masa depan politik anda masing-masing.
Tahniah Kelantan, semoga jalan melaksanakan hukum-hukum Allah ini akan terus terang dan lancar.

No comments: