Mari jatuhkan Tuan Guru Presiden PAS. Mari pastikan beliau
bukan lagi Presiden dalam Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor nanti. Mari kita
ubah teraju dalam PAS, agar haluan bahtera PAS ini pun dapat diubah.
Berita 17 orang AJK PAS Kawasan Batu, Wilayah Persekutuan,
diketuai Yang Dipertuanya, Ishak Surin, meletak jawatan secara “en bloc” atau
berkelompok kerana protes terhadap kononnya kelemahan kepimpinan Presiden PAS bukanlah
sesuatu yang mengejutkan pun.
Demikian juga pencalonan beberapa tokoh oleh PAS Kawasan
untuk mencabar Tuan Guru Presiden PAS dalam muktamar akan datang, juga bukan sesuatu
yang tidak dijangka.
Bermula dengan Kota Bharu, yang mencalonkan Ustaz Dato Tuan
Ibrahim (yang kemudiannya menolak pencalonan berkenaan kerana ingin kekal ber”Presiden”kan
Tuan Guru) diikuti Kota Tinggi yang mencalonkan Datuk Husam. Dan di Shah Alam ,
berlaku pengundian kerana perwakilan terikat dengan dua calon iaitu antara Tuan
Guru dan Ustaz Ahmad Awang (akhirnya pencalonan Tuan Guru menang dengan
kelebihan 6 undi).
Saya menyatakan demikian kerana gelagat beberapa kerat
pimpinan PAS sebelum ini memang menandakan seakan ada usaha ada komplot secara
senyap atau terbuka yang memang mahu melihat perubahan pucuk pimpinan PAS,
khasnya Tuan Guru Presiden dan beberapa kalangan ulamak yang dikatakan menjadi
batu penghalang besar terhadap agenda peribadi mereka.
PAS di bawah Tuan Guru Presiden dikatakan kononnya terlalu “exclusive”
terlalu ketinggalan dari sudut pendekatan, ringkasnya tidak “open” tidak anjal
sebagaimana mereka inginkan. PAS di bawah Tuan Guru bagi mereka membawa imej
Islam yang “unfriendly”, mereka mahu Islam PAS biarlah bersifat lebih “friendly”
lebih moderat, mudah di bawa berbicang, ditolak ke sini dan ke sana.
Dan dimanakah musim yang lebih baik untuk menzahirkan kempen
mereka untuk menolak Tuan Guru Presiden selain semasa musim pemilihan PAS
sekarang ini.
Kita sudah dengar seawal beberapa bulan lalu, asakkan
indoktrinasi bahawa Presiden PAS ini tidak semestinya ulamak walaupun PAS ini
parti Islam yang menjunjung konsep kepimpinan ulamak.
Ianya menjadi lebih gegak-gempita apabila ada yang
memainkan-mainkan rekod lama, lagu-lagu lama diputar kembali, demi mahu
menyogok agenda mereka, kononnya Tuan Guru cenderung pada Umno lebih dari
rakan-rakan dalam Pakatan. Kononnya Tuan Guru bersungguh mahu membelakangkan
Pakatan dan membentuk kerajaan campuran Umno-PAS satu ketika dahulu. Malah
dalam meniti krisis MB Selangor pun, puak-puak inilah yang menuduh Tuan Guru
berkemungkinan mahu membentuk kerajaan campuran PAS-Umno di Selangor, apabila
mengarahkan keempat-empat EXCO PAS kekal dalam kerajaan Tan Sri Khalid dulu.
Lagu-lagu lama yang sudah sumbang ini dijaja kemerata
pelusok Negara.
Apabila terdedah rakaman audio yang dikatakan perjumpaan
Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu, dengan
beberapa pengikutnya, yang transkripnya berbunyi:
“Dalam
dua tiga hari ni saya cuba buat ‘counter attack’ (serang balas) dalam bentuk
bertemu individu. Semalam saya ke Tanjong Karang bertemu dengan YDPnya, bertemu
dengan Sungai Besar, bertemu dengan YDP dan jawatankuasanya dua tiga orang.
Secara umumnya Presiden dianggap ulama hebat dan maksum perlu ‘denied’
(dinafikan). Bila kita memberi penjelasan secara agak detail apa yang berlaku
dalam mesyuarat keputusan- keputusan yang dibuat tentang hal Selangor, bagi
mereka, mereka dengan dalam bentuk ‘hearsay’ (khabar angin), tak dapat maklumat
yang betul, sampai ke bawah. Bagi saya ‘counter offensive’ (serang balas) ini
perlu digerakkan dalam masa sebulan dua ini. Bukan dalam bentuk ceramah, bukan
dalam bentuk blog, dalam bentuk menemui yang dipanggil pimpinan yang
berkemungkinan menjadi perwakilan. Secara ringkasnya kita tengok, mereka
mendahului……“
Semakin
zahir cita-cita puak-puak ini.
Apabila ada
pemimpin lain pula secara terbuka melekehkan kepimpinan Presiden sendiri.
Seperti Hanipa Maidin yang kebelakangan ini menolak apa sahaja yang dating dari
Presiden, termasuk soal puasa sunat dan solat pun disentuh.
Ada pula
yang merendahkan contohnya keutamaan kerajaan Kelantan mahu melaksanakan Hukum
Hudud, yang disokong kuat oleh Tuan Guru dan Almarhum bekas Mursyidul Am. Dr
Zulkifli Ahmad dan Dr Mujahid umpamanya secara terbuka menyatakan asakkan
terhadap ini sesungguhnya bukan keutamaan diwaktu ini.
Selain itu
dakwaan skandal “Hawaii Five O” turut menyumbang dalam mencetuskan tanda-tanya.
Memang
segala pendedahan, kelantangan, dan penerjahan pihak-pihak di atas yang
rata-rata mahu mencuit dan merebahkan kepimpinan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang,
sebenarnya sedang asyik diperhatikan.
Yang vokal penuh
bernafsu menunjukkan ketaksuban terhadap gagasan baru ini, menunggang NGO PasMa,
mengadakan forum dan terbaru meletak jawatan “en bloc, semuanya mahu memaksa
pandangan bahawa memang PAS perlukan Presiden baru yang lebih “open” dan moderat.
Akan tetapi
mereka ini menafikan suara “silent majority’ dalam PAS yang sesungguhnya
kecewa, malu dan mual dengan tindak-tanduk ini.
“Silent
majority” ini masih mahu meniti adab dan akhlak menjadi ahli gerakan Islam.
Mereka sedih apabila melihat seorang ulamak tersohor umpama Tuan Guru
diperlakukan demikian rupa oleh anak-anak didik, anak-anak buahnya sendiri,
lantaran keghairahan mereka masing-masing tergesa-gesa mahu memetik buah yang
belum ranum.“Silent majority” ini menyertai PAS kerana mahu berjuang Islam.
Kepimpinan Ulamak yang menerajui PAS lebih 3 dekadlah yang
telah menarik minat dan pesona “silent majority” dalam PAS untuk berjuang dan bersama-sama
menyumbang keringat, tenaga, darah dan airmata untuk memenangkan Islam.
Biarlah yang vokal dan bernafsu ini mencetuskan momentum
untuk menghakis keyakinan para perwakilan kononnya terhadap Tuan Guru,
orang-orang PAS yang sejati lebih tahu dan faham.
Saya yakin dan percaya “silent majority” yang merupakan
sebahagian besar akar umbi dan kekuatan PAS dari utara ke Selatan termasuk
Sabah dan Sarawak, yang sejati, yang mahu Islam terus menjadi agenda perjuangan
PAS dibimbing oleh ulamak yang ikhlas dan bertaqwa, akhirnya pada Mukatamr ke
61 nanti akan bersuara dengan lantang menegakkan yang hak dan merebahkan yang
batil.
Biarlah satu-dua yang berbeza pandangan, berbeza pendekatan
dan terkadang berbeza agenda ini merayakan “kemenangan” pramatang mereka,
umumnya yang “silent majority” insyallah senang dan setia dengan apa yang telah
dibina sekian lama, dan akan terus istiqamah mempertahankan Tuan Guru,
kepimpinan ulamak, dan perjuangan PAS yang asal dan sejati.
2 comments:
Masalahnya skrg silent majoriti tu bukan perwakilan dan mereka tidak dapat mengundi pun.
Nampaknya sebahagian besar perwakilan yang akan mengundi dalam muktamar Jun nanti adalah dr puak liberal . Mungkin 50% sokong liberal , 40% pula benar2 ingin daulatkan Islam , manakala 10% lg golongan tunngu dan lihat dan mungkin akan sokong siapa yg kelihatan kuat.
Jgn lupa , PASMA semasa rombongannya berjumpa DAP dulu , khabarnya dapat bantuan dalam bentuk RM , walaupun dikatakan sbg bantuan banjir , tp macam2 boleh jadi . Kalau bab masyuk ni ....kopiah pun boleh tercabut .
Perkara seumpama ini tidak kelihatan semasa PAS belum begitu berkuasa lagi, ia nya berlaku setelah beberapa individu mula mengecap nekmat dunia yang tak seberapa ini. Ada yang menunggang Motor berkuasa tingga semasa di luar Negara dan ada yang menunjuk kan belang setelah terpilih sebagai Y.B. Mungkin takut kesenangan yang sedang di kecepi hilang maka berlaku lah sebagaimana yang berlaku sekarang.
Memang benar bahawa dalam PAS ada silent majoriti. Benar kata anon 11:38 AM bahawa kebanyakan mereka tidak punyai hak untuk mengundi. Dengan perkara yang sebegini boleh kah PAS berubah?
Post a Comment