Wednesday, October 29, 2014

Berhati-hati mengkritik Hudud (29/10/14)


Penolakan Hukum Hudud terus dilaungkan secara terbuka oleh parti-parti tertentu demi menggagalkan usaha PAS khasnya Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 yang telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri sekian lama.
Dalam akhbar The Star hari ini dilaporkan bahawa MCA mendakwa perlaksanaan hukum ini kelak bakal menyaksikan ramai, bukan Islam dan Islam, berhijrah keluar dari negeri berkenaan.Menurut Ng Chok Sin Timbalan Pengerusi Biro Agama MCA, Kelantan akan menyaksikan rakyatnya berhijrah keluar berami-ramai sebagaimana di Timur Tengah dimana penduduk di sana lari meninggalkan Negara mereka apabila berhadapan dengan keganasan kumpulan militant IS, Islamic State.

Ng turut mendakwa perlaksanaan hukum ini kelak juga akan menakutkan para pelabur dan pelancong dari datang ke Negara kita.
Sekali lagi kritikkan terbuka dilaungkan oleh mereka yang tidak senang dengan perlaksanaan hukum ini. DAP juga pernah mengkritik, begitu juga Gerakan dan beberapa pimpinan dari BN dan PR sendiri sedikit pun tidak sedar bahawa mereka secara terang-terangan menyinggung hati dan perasaan penganut Islam.

Sesungguhnya hukum ini telah melalui proses undang-undang sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara dan Negeri. Rakyat telah mengundi PAS dan memberi kuasa kepada mereka untuk mentadbir Kelantan sejak 1990. PAS adalah sebuah parti Islam, rakyat Kelantan memilih PAS kerana mereka mahukan Islam yang diperjuangkan oleh PAS itu menjadi reality sekurang-kurangnya di negeri mereka.
Melalui mandat berkenaan kerajaan Kelantan telah membawa rang undang-undang ini ke Dewan, ianya telah dibahaskan dan akhirnya diluluskan. Ianya kemudiannya telah memperolehi perkenanan Tuanku Sultan dan jadilah ia sebagai sebuah undang-undang yang sah.

Menolak dan mengkritiknya samalah seperti menyekat hak rakyat negeri Kelantan.
Malah sekiranya tidak berhati-hati tidak keterlaluan jika kita mengatakan kritik yang tidak munasabah dan kadangkala tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam ini hampir sama seperti merendah dan menghina Islam dan penganut Islam.

Kelantan bukan Syria, rakyat Kelantan bukan militant Islamic State!
Langkah seterusnya sebagaimana ditegaskan oleh MB Kelantan dan terbaru ahli Parlimen Kota Bharu, adalah membentangkan Private Bill di Dewan Rakyat bagi membenarkan Kelantan melaksana dan menguatkuasakan hukum ini.

Parti-parti lain seharusnya menggunakan proses undang-undang untuk menolak hasrat rakyat Kelantan. Di Parlimen nanti apabila Private Bill nanti dibawa, gunakanlah forum berkenaan untuk berbahas dan jika mahu undi menolaknya.
Mengkritik secara terbuka diperingkat ini sangat tidak bertanggungjawab dan jika tidak berhati-hati akan dilihat sebagai anti Islam.

 

1 comment:

Anonymous said...

Dah lama dengar dakwaan hokum Islam menakutkan pelabur etc etc ke Kelantan.
Sejak 1990 saya tengok walaupun perlahan, Kelantan makin membangun. Pelabur dan pelancong makin ramai ke Kelantan.