Sebenarnya posting berkenaan lebih kepada mahu mematahkan persepsi yang terbentuk hasil dari kenyataan seorang ahli Parlimen PAS Selangor berhubung “Oktoberfest” itu.
Mesej saya dari beliau sibuk “menghalalkan” pesta arak itu
kerana kononnya memenuhi hak dan kehendak bukan Islam di Selangor, lebih baik
beliau tumpu masa pada membela dan menjaga nasib anak-anak Islam yang bekerja
cari makan dala industri haram, arak, berkenaan.
Sebagai seorang Islam, sudah pasti kita tidak akan senang
dengan penganjuran apa sahaja majlis yang berbentuk maksiat dan ditegah oleh
Allah swt. Jika dahulu di Selangor, PAS tidak punya kuasa politik, lantas
pertanggungjawaban moral berkenaannya cukup sekadar teguran dan protes. Hari
ini PAS sebahagian dari kerajaan, dengan panji-panji Islam di tangan, sudah pasti
PAS akan dipertanggungjawabkan atas apa sahaja yang berkenaan hal pengurusan
negeri yang turut diberi amanah kepadanya.
Kita punya ahli Parlimen, maka ahli-ahli Parlimen PAS wajib
bawa mesej Islam dan dalam hal ini wajib menunjukkan ketidak –senangannya atas
penganjuran pesta ini. Kita punya EXCO yang duduk dalam majlis mesyuarat
kerajaan negeri, maka EXCO tadi perlu bersuara menyatakan sensitiviti dan
ketidak senangan terhadap pesta itu. Kita punya ADUN-ADUN, maka mereka juga
perlu bersuara, kita punya ahli-ahli majlis PBT termasuk dalam kawasan PBT
pesta berkenaan akan dianjurkan, mereka wajib bersuara, diam bermakna redha.
Benar pesta ini hanya diraikan oleh bukan Islam tetapi
sejauh manakah penganjurannya tidak sama-sekali menganggu kepentingan
masyarakat Islam dan tidak sama-sekali melibatkan masyarakat atau individu dan
kumpulan Islam?Pada 26 September lalu ia diadakan RP Saujana Hotel (kalau tak silap dalam Parlimen Subang), siapa dapat mengesahkan tidak ada seorang pun Muslim yang terlibat? Pekerja, pelayan, petugas semua bukan Islam kah? Tarikh sama ia juga dianjurkan di Setia Walk dalam Parlimen Puchong, benarkah tiada kepentingan Islam yang terlibat? Tidak terganggukah orang Islam yang hadir lalu-lalang?
3 Oktober lalu di Sunway Giza, Petaling Jaya, bagaimana?
Dan 10 hingga 12 ini, Grand Finale nya di One Utama Petaling
Jaya, bolehkah ahli Parlimen PASyang berkenaan turun memastikan tidak ada
seorang pun orang Islam terlibat?
Memamg meminum arak dibenarkan oleh agama dan kepercayaan
selain Islam, tetapi apabila ia dipestakan sedemikian rupa, tambah di negeri
Selangor ini suka atau tidak pasti akan melibatkan kepentingan masyarakat
Islam, sekurang-kurangnya akan ada juga orang Islam yang nanti terlibat .
Melainkan penganjur menganjurkannya di pusat komuniti bukan
Islam, di tokong, di gereja, kuil atau seumpamanya. Namun saya pasti gereja dan
kuil pun tidak akan sanggup menjadi tuan rumah.
Kerana itulah apabila ada suara mengizinkan penganjuran ini,
tambah ianya datang dari parti yang memerintah, apa lagi mewakili PAS pula,
sudah pasti ramai khususnya masyarakat Islam akan beri reaksi negatif dan
mengkritik. Adalah mungkin sekerat dua yang memuji, itu pasti datangnya dari yang
bukan Islam yang akan memuji apa sahaja yang terpacul dari mulut wakil rakyat
parti Islam yang menguntungkan mereka.
PAS perlu menerapkan Islam, lantaran ia sebahagian kerajaan
pada tahap kemampuannya. Di Selangor dimana PAS merupakan anggota kerajaan
campuran, maka sekurang-kurangnya wakil-wakil PAS disetiap peringkat perlu
bersuara dan menyatakan perubahan yang mahu PAS bawa khasnya dalam aspek
melibatkan masyarakat Islam di sini.
Jika dahulu masyarakat boleh terima jika PAS sekadar
melaungkan teguran dalam bentuk protes dan kenyataan media, tetapi hari ini ia
sebahagian kerajaan. Sudah pasti masyarakat yang mendukung PAS khasnya
masyarakat Islam mengharapkan sesuatu yang lebih efektif dan bermakna dari PAS
dalam aspek Islam ini berbanding dengan Umno.
Lantas apabila tercetus kontroversi “Oktoberfest” ini, maka
kuasa politik kecil manapun yang ada pada PAS perlu digembelingkan bagi
mendidik dan memahamkan masyarakat akan kedudukan Islam dalam bab pesta arak
ini. Masyarakat Islam tidak boleh didedahkan apalagi terlibat dengan aktiviti
ini secara langsung atau tidak langsung.
PAS perlu melindungi kakitangan kerajaan, penduduk Islam dan
rakyat Selangor beragama Islam dari sebarang aktiviti dan kerja-kerja maksiat
serta kesan daripadanya. Jika masyarakat bukan Islam memikirkan mahu dan perlu
menganjurkan apa juga majlis atau pesta seumpama ini, demi menghormati
masyarakat Islam, maka pastikan ia dianjurkan atas sepenuh pertanggungjawaban
mereka tanpa menjejaskan sedikit pun masyarakat dan komuniti Islam.
Semua peringkat dan proses aktiviti berkenaan perlulah hanya
melibatkan yang bukan Islam.
PAS perlu pertegaskan perkara ini kerana kegagalan bertahan
dan mendesak sedemikian akan mengakibatkan PAS dipandang serong dan malah lari
dari prinsip dan dasar perjuangannya.
Ringkasnya PAS perlu tegas menolak sebarang penganjuran
majlis maksiat di atas bumi yang ia diberi amanah untuk perintah, tetapi jika
mahu dianjurkan juga oleh masyarakat bukan Islam maka PAS perlu tegas
mengenakan syarat dan peraturan.
Hak orang bukan Islam dihormati dan pada waktu yang sama hak
serta kepentingan Islam terpelihara.
No comments:
Post a Comment