DAP Sarawak tidak mahu berkawan (20/10/14)

Monday, October 20, 2014


Budaya berkawan menuntut tolak-ansur dan saling faham-memahami. Kawan pun terkadang berbeza pandangan namun kerana menghormati kawan kita tidak menjadikan perbezaan itu sebagai satu punca pertelingkahan dan perbalahan malah sebaliknya menghormati perbezaan itu sebagai hak dan anutan kawan kita. Ia tidak dijadikan isu.
Dengan berkawan kita belajar untuk memahami dan menghormati budaya kawan, perbezaan budaya antara kita diterima lantaran ikatan persahabatan. Budaya yang berbeza tidak dijadikan penghalang.

Kawan juga melindungi dan mempertahankan sesama kawan. Kawan tidak menikam kawan. Kawan tidak memperlekeh dan merendahkan sesama kawan.
Begitu juga kawan tidak memijak kepala kawan. Kawan tidak memaksa kawan menerima pandangannya atau mengancama memutuskan persahabatan.

Dalam akhbar The Star hari ini dilaporkan bahawa DAP Negeri Sarawak telah membuat keputusan memutuskan semua hubungan dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS dan PKR Sarawak. Sebab utamanya kerana PAS berterusan dengan agenda Hududnya dan PKR pula tidak menjelaskan pendiriannya berhubung agenda Hudud PAS (menerima atau menolak).
Anehnya Pengerusi DAP yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chien Jeng dalam pendiriannya turut menyatakan bahawa DAP Sarawak akan terus keluar meninggalkan PR sekiranya golongan ulamak di dalam PAS menang dalam pemilihan parti berkenaan Jun tahun hadapan. Sebaliknya jika yang menang adalah kumpulan “liberal progresif” DAP Sarawak akan kekal dalam PR.

Dua perkara dalam isu benar-benar mencerminkan kawan pada perspektif pimpinan DAP.
PAS sejak lebih 60 tahun penubuhannya memang menjuarai agenda Islam dan hampir keseluruhan rakyat Malaysia mengetahui perkara ini. Sudah pastilah dalam agenda Islam itu samada sedar atau tidak termasuklah perlaksanaan hukum-hakam Islam setakat mana yang dibenarkan oleh Perlembagaan negara.

Pertama, Pengerusi DAP Sarawak sepatutnya telah akur bahawa keputusan partinya berkawan dengan PAS dengan menubuhkan kerjasama politik Pakatan Rakyat, bermakna partinya tahu dan faham matlamat dan dasar perjuangan PAS namun demi menumbangkan BN sanggup berkawan dengan PAS. Takkan hari ini, tiba-tiba Chong baru sedar yang Hudud itu sebahagian agenda PAS?
Dalam ikatan persahabatan isu dalaman parti masing-masing tidak sehararusnya dicampuri pihak lain tambah-tambah isu berkenaan pemilihan parti dan kempen-kempen dalaman. Dalam DAP contohnya ada gerakan KOKS (Knock Out Kit Siang) yang mana antara pemimpin kempen ini yang masih kekal dalam pimpinan DAP adalah sekarang Teng Chang Khim  (EXCO Selangor). KOKS antara lain menyatakan bahawa DAP didominasi oleh anak-beranak Lim, satu dinasti.

Sebagai kawan PAS dan PKR tidak sewajarnya campur dalam kempen ini atau apa-apa isu dalaman melibatkan DAP. Itulah adat berkawan.
Kedua, tiba-tiba Pengerusi DAP Sarawak boleh memeras ugut menyatakan jika golongan ulamak menang dalam PAS ia akan keluar PR sebaliknya jika menang “liberal progresif” mereka akan kekal. Tidakkah satu kenyataan biadap bagi seorang bertaraf Pengerusi DAP Negeri. Sebelum ini tidak pernah seorang pemimpin PAS pun menyentuh isu dalaman DAP tetapi Chong seakan berbesar kepala mahu memeras ugut menentukan siapa dan kumpulan mana yang sepatutnya memimpin PAS, parti kawannya.

Ada pemimpin DAP lain pula (Ong Kian Ming – ahli Parlimen Serdang) yang menyatakan bahawa DAP Sarawak punya otonomi. Keputusan mereka harus dihormati.
Bagaimana dengan keputusan 4 EXCO PAS yang kekal dalam kabinet Tan Sri Khalid tidak berapa lama dahulu? Ketika itu Pengerusi atau Pesuruhjaya PAS Selangor menyatakan bahawa mereka berpendirian demikian kerana mahu mempertahankan kerajaan PR Selangor. Apa kata DAP ketika itu? Bukannya menghormati dan akur bahawa PAS Selangor berhak, tetapi terus bangkit melalak menyatakan yang keempat-empat EXCO PAS itu pengkhianat!

Nilai kawan dimata kawan berbeza nampaknya kebelakangan ini.
Satu ketika dahulu tenaga dan kekuatan keahlian yang ada pada PAS diguna dan digembeling untuk memenangkan semua pihak. Berapa kali BERSIH, tenaga dan kekuatan PAS lah yang dikerah dan diarah. Berapa puluh demo kecil dan besar, orang PAS lah yang taat naik turun, dibelasah, keluar masuk lokap. Berapa kali pilihanraya orang-orang PAS lah yang bekerja, meramaikan perhimpunan dan ceramah.

DAP sekadar menumpang majlis yang diramaikan orang PAS, PAS tidak pernah “komplen” atau mengungkit kerana faham dan menghargai nilai persahabatan.
PAS cuma mahu berkawan. Tetapi dalam berkawan PAS juga tidak boleh sunyi dari mengenengahkan dasar dan prinsip perjuangannya. PAS hormat DAP, susah sangat ke DAP mahu hormati PAS?

Benarlah posting saya sebelum ini bahawa demi mahu mkononnya menang besar dalam Pilihnaraya Negeri Sarawak yang akan dating DAP akan lakukan apa sahaja termasuk membuang kawan.
PAS tidak pernah paksa DAP atau PKR terima dasar dan prinsip perjuangannya. Tetapi sebagai kawan raikanlah perbezaan itu. Kalau tidak boleh, kalau perbezaan sudah dikira penghalang, eloklah jangan berkawan lagi.

 

 

0 comments: