Penolakan Hukum Hudud terus dilaungkan secara terbuka oleh parti-parti
tertentu demi menggagalkan usaha PAS khasnya Kerajaan Negeri Kelantan untuk
melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 yang telah pun diluluskan
oleh Dewan Undangan Negeri sekian lama.
Dalam akhbar The Star hari ini dilaporkan bahawa MCA
mendakwa perlaksanaan hukum ini kelak bakal menyaksikan ramai, bukan Islam dan
Islam, berhijrah keluar dari negeri berkenaan.Menurut Ng Chok Sin Timbalan
Pengerusi Biro Agama MCA, Kelantan akan menyaksikan rakyatnya berhijrah keluar
berami-ramai sebagaimana di Timur Tengah dimana penduduk di sana lari
meninggalkan Negara mereka apabila berhadapan dengan keganasan kumpulan militant
IS, Islamic State.
Ng turut mendakwa perlaksanaan hukum ini kelak juga akan
menakutkan para pelabur dan pelancong dari datang ke Negara kita.
Sekali lagi kritikkan terbuka dilaungkan oleh mereka yang
tidak senang dengan perlaksanaan hukum ini. DAP juga pernah mengkritik, begitu
juga Gerakan dan beberapa pimpinan dari BN dan PR sendiri sedikit pun tidak sedar bahawa mereka secara terang-terangan menyinggung hati dan perasaan penganut Islam.
Sesungguhnya hukum ini telah melalui proses undang-undang
sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara dan Negeri. Rakyat
telah mengundi PAS dan memberi kuasa kepada mereka untuk mentadbir Kelantan
sejak 1990. PAS adalah sebuah parti Islam, rakyat Kelantan memilih PAS kerana
mereka mahukan Islam yang diperjuangkan oleh PAS itu menjadi reality sekurang-kurangnya
di negeri mereka.
Melalui mandat berkenaan kerajaan Kelantan telah membawa
rang undang-undang ini ke Dewan, ianya telah dibahaskan dan akhirnya
diluluskan. Ianya kemudiannya telah memperolehi perkenanan Tuanku Sultan dan
jadilah ia sebagai sebuah undang-undang yang sah.
Menolak dan mengkritiknya samalah seperti menyekat hak
rakyat negeri Kelantan.
Malah sekiranya tidak berhati-hati tidak keterlaluan jika
kita mengatakan kritik yang tidak munasabah dan kadangkala tidak mengambil kira
sensitiviti umat Islam ini hampir sama seperti merendah dan menghina Islam dan
penganut Islam.
Kelantan bukan Syria, rakyat Kelantan bukan militant Islamic
State!
Langkah seterusnya sebagaimana ditegaskan oleh MB Kelantan
dan terbaru ahli Parlimen Kota Bharu, adalah membentangkan Private Bill di
Dewan Rakyat bagi membenarkan Kelantan melaksana dan menguatkuasakan hukum ini.
Parti-parti lain seharusnya menggunakan proses undang-undang
untuk menolak hasrat rakyat Kelantan. Di Parlimen nanti apabila Private Bill
nanti dibawa, gunakanlah forum berkenaan untuk berbahas dan jika mahu undi
menolaknya.
Mengkritik secara terbuka diperingkat ini sangat tidak
bertanggungjawab dan jika tidak berhati-hati akan dilihat sebagai anti Islam.
1 comment:
Dah lama dengar dakwaan hokum Islam menakutkan pelabur etc etc ke Kelantan.
Sejak 1990 saya tengok walaupun perlahan, Kelantan makin membangun. Pelabur dan pelancong makin ramai ke Kelantan.
Post a Comment