Program “I want to touch a dog” yang kononnya bermaksud
membawa kempen “awareness” atau kesedaran terhadap haiwan anjing kepada
masyarakat Islam ternyata telah mengundang kontroversi. Ada yang mengatakan
bahawa memang ia sengaja mahu mengundang kontroversi. Ia terus didebatkan
sampai hari ini.
Menurut laporan 800 telah hadir dan hampir separuh Non
Muslim, hairan juga kempen yang bermaksud memberi kesedaran kepada masyarakat
Islam turut menarik minat yang bukan Islam? Atau apa sebenarnya agendanya?
Apa pun sesungguhnya rata-rata masyarakat Islam di Malaysia
bukannya asing pun dengan anjing ini. Lantaran Malaysia sebuah Negara berbilang
kaum, masyarakat Islam memang telah terdedah kepadanya, ada jiran bukan Islam
yang membelanya, anjing-anjing terbiar banyak berkeliaran di ceruk bandar dan
kampung, malah pihak keselamatan Polis dan Tentera selain Kastam juga punya
Unit anjingnya.
Dan rata-rata masyarakat Islam sedar dan tahu akan
hukum-hakam berkaitan dengan haiwan ini. Disekolah rendah lagi, dalam kelas
Pengajian Islam mereka sudah diajar, tambah lagi jika ke sekolah agama selain
didikan dari ibu-bapa kaum keluarga masing-masing. Lebih-lebih lagi dengan
dunia ICT hari ini tiada soalan tanpa jawapan cuma dihujung jari sahaja.
Anggapan seolah-olah program ini telah membuka mata
masyarakat Islam berkenaan hukum-hakam anjing ini seakan meletakkan taraf
pendidikan masyarakat Islam berkenaan agama mereka sendiri begitu rendah dan
jahil sekali.
Penganjuran program ini memberi gambaran seolah umat Islam
di Malaysia ini benci anjing dan tidak tahu bahawa Islam sebenarnya tidak
mengajar umat Islam berbuat demikian.
Jahil atau tidak seorang Islam, pada asasnya rata-rata
mereka tahu pantang-larang berkenaan anjing. Budak kecil di sekolah rendah pun
ada pengetahuan berkenaannya. Oleh kerana ianya melibatkan peraturan yang rumit
dan boleh mencetuskan kesusahan apabila mahu melaksanakan ibaat ritual harian
maka umat Islam yang umumnya bermazhab Syafiee dididik sejak kecil untuk
menjauhkan diri dari haiwan ini. Namun tidak seperti khinzir mereka tahu ada
kelonggaran yang membenar mereka menyentuhnya dan ada adab yang perlu dipatuhi
kiranya berada pada status najis.
Untuk memberi didikan darihal hukum dan peraturan berkenaan
menyentuh haiwan ini bolehlah diterima dan malah digalakkan tetapi pada waktu
yang sama membawa haiwan-haiwan ini untuk disentuh dan dibelai, seolah
menjadikan masyarakat Melayu Islam ini “orang buta” yang tidak mengenali sussuk
rupa sang gajah.
Lantaran itu saya faham mengapa ramai yang terpanggil
mengkritik penganjuran program ini. Malah difahamkan pihak MAIS dan Ustaz yang
diundang memberi penerangan pun rupanya tidak tahu bahawa majlis ini turut
melibatkan program menyentuh dan membelai haiwan ini secara terbuka.
Ternyata penganjur sebenarnya telah lebih mencetuskan kontroversi dan
meletakkan Islam sebagai bahan senda-gurau dan terbuka untuk diperlekehkan
khususnya oleh masyarakat lain hasil inisiatif dangkal beliau. Bijak sungguh penganjur.
No comments:
Post a Comment