Monday, October 06, 2014

Oktoberfest dan kepentingan Islam (6/10/14)


Pesta Arak “Oktoberfest” yang berasal dari Wilayah Bavaria di Munich, Jerman memang telah diraikan di Malaysia khasnya di Lembah Kelang sejak zaman berzaman. Syarikat-syarikat arak, khasnya bir, samada dari jenama antarabangsa termasuklah yang punya kilang di sini sering ke hadapan menjadi penaja pesta berkenaan.
Ia diraikan di kelab-kelab dan pusat-pusat hiburan (pub) yang menyajikan arak termasuklah di restoran dan hotel tertentu. Malah pusat-pusat mebeli-belah juga ada yang terlibat menganjurkannya.

Ia tidaklah kedengaran di Pantai Timur, samada di Kelantan atau Terengganu, barangkali kerana negeri-negeri ini majoriti penduduknya orang Melayu beragama Islam, akan tetapi di Lembah Kelang, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bharu, Sabah dan Sarawak ianya popular dan sering mendapat sambutan para peminum arak.
Jika dahulu pesta ini berlalu begitu sahaja, tetapi hari ini dengan perubahan lanskap politik dalam Negara, suka atau tidak ia telah diangkat sebagai isu politik sehingga mencetuskan satu kontroversi hangat.

PAS, satu-satunya parti Islam dalam Negara sesungguhnya bukan baru tetapi telah sejak dari zaman penubuhannya ke hadapan dalam isu-isu melibatkan pencegahan perkara-perkara mungkar yang melibatkan masyarakat. Jika dahulu mungkin suara PAS sayu-sayu sahaja terdengar, tambahan dengan liputan media yang kurang, tetapi hari ini dengan media yang terbuka suaranya semakin menonjol, tambahan memerintah Kelantan dan bersama memerintah Selangor selain punya 21 wakil di Dewan Rakyat dan 85 kerusi DUN di 10 negeri
Sebagai sebuah parti Islam sudah pastilah kerja-kerja amar makruf nahi mungkar menjadi agenda perjuangan PAS.

Kerana itu tidak mustahil jika PAS menentang sebarang rancangan atau promosi berunsur maksiat dan bertentangan dengan Islam.
Walaubagaimanapun, oleh kerana Malaysia merupakan sebuah Negara berbilang agama dan kaum, maka perkara-perkara yang melibatkan hak orang-orang bukan Islam, khasnya dalam amalan dan tabiat yang dibenarkan oleh agama, kepercayaan dan budaya mereka, perlulah dihormati PAS.

Di Kelantan contohnya, arak lantaran merupakan minuman yang tidak diharamkan oleh agama dan kepercayaan bukan Islam, maka ia dibenarkan tetapi dengan beberapa syarat dan peraturan yang memelihara kepentingan masyarakat majoriti yang beragama Islam.
Judi pula diharamkan, oleh kerana ia membawa mudarat sosial bukan hanya ke atas umat Islam tetapi juga yang bukan Islam.

Berbalik kepada isu Pesta Octoberfest, di Selangor beberapa kenyataan politik terbit dari pelbagai parti khasnya dari PAS dan juga Umno. Seorang ahli Parlimen PAS yang seringkali laju dan ringan mulut mengeluarkan kenyataan antara lain menyebut bahawa pesta berkenaan tidak boleh dihalang kerana Malaysia sebuah Negara majmuk dan ia dianjurkan oleh orang bukan Islam. Beliau dipetik menyebut:
“Islam mengiktiraf yang arak bukan sesuatu yang haram mengiktu ajaran agama mereka (bukan Islam). Tambahan pula pesta kemuncak yang akan diadakan di Petaling Jaya itu di kawasan majoriti bukan Islam”

Dari segi permukaannya mungkin ada kebenaran kenyataan ahli Parlimen PAS dari Selangor ini, memang Malaysia Negara majmuk dan memang arak ini tidak haram buat yang bukan Islam. Walaubagaimanapun wajarkah kita ambil secara borong begitu? Adakah kerana Malaysia Negara majmuk maka Kelantan contohnya yang duduk dalam Malaysia walaupun majoriti rakyatnya lebih 90 peratus Melayu Islam juga perlu berikan kebenaran? Terengganu bagaimana? Perlis? Kedah?
Bagaimana pula dengan Sabak Bernam, Gombak dan Shah Alam sendiri contohnya yang pengundi Islamnya jauh lebih besar dari yang bukan Islam? Adakah bermakna Petaling Jaya boleh tapi Gombak Shah Alam haram atau bagaimana?

Oleh kerana PAS ini parti Islam, disitulah pentingnya isu-isu berkenaan hukum dan pentafsirannya khasnya yang melibatkan Islam dan kepentingan bukan Islam ini dirujuk dan mendapat pandangan para ulamak. Bukan bermakna mentang-mentang kita ini ahli Parlimen atau EXCO atau MB PAS kita punya lesen besar dan boleh ikut sedap hati dan mulut kita untuk keluarkan kenyataan khasnya yang melibatkan Islam dan kepentingannya.
Benar orang bukan Islam punya hak minum arak dan anjur pesta seumpamanya, tetapi syaratkanlah pada mereka agar menghormati juga orang Islam. Jangan libatkan orang Islam. Ahli Parlimen PAS Selangor itu benar dalam menghalakan orang bukan Islam ber “Octoberfest” tetapi sudahkah ia ambil prihatin tentang masyarakat Islam? Sudahkah ia guna kuasa politik dan pengaruhnya memastikan yang tiada orang Islam terlibat, bukan hanya sebagai perserta, tetapi sebagai pekerja, penghidang, penganjur.

Kilang arak terletak dalam kawssan Parlimen Shah Alam yang diwakili PAS, memang kerana suasana politik semasa, tiada pengaruh politik yang berkuasa menutup kilang tersebut, samada semasa BN memerintah dulu termasulah kini zaman PR, sekurang-kurangnya pada waktu ini. Tetapi sudahkah ahli Parlimen berkenaan mengambil berat dan inisiatif menyelamatkan pekerja-pekerja Islam di kilang berkenaan? Itu belum lagi sebuah kilang lain di Parlimen PJ Selatan di Selangor.
Memang susah tanggungjawab dan kerja ini tetapi itulah tugas pemimpin Islam yang diberi kuasa dan amanah, bukan sekadar keluar kenyataan demi menyedapkan hati pihak-pihak tertentu sahaja.

Dari kita ringan sangat mulut menyedapkan hati bukan Islam demi kerana “Octoberfest”, ringan-ringankanlah juga mulut dan tangan memelihara dan menjaga kepentingan Islam.
Bagaimana pula dengan anak-anak Melayu yang bekerja di pusat-pusat hiburan yang menghidangkan arak di seluruh Selangor? Sudahkah beliau ambil inisiatif dan prihatin akan nasib mereka?

Memang “Octoberfest” itu hak yang bukan Islam, tetapi jangan sampai lupa akan hak dan kepentingan Islam pula. Biarkanlah mereka berpesta sampai “pecah perut” sekalipun, meminjam kata-kata Tok Guru Nik Abdul Aziz (semasa beliau MB Kelantan) ketika satu pesta yang hampir sama mahu dianjurkan oleh masyarakat bukan Islam di Kelantan satu ketika dahulu, tetapi pastikan tiada orang Islam yang terlibat.
Hak orang bukan Islam kita pelihara dan pada waktu yang sama orang-orang Islam dijaga hak mereka dengan melarang mereka terlibat samasekali samada sebagai promoter, penganjur, penghidang, pelayan, penghibur atau apa sahaja kerana pesta itu “haram” dari segi Islam.

Kalau kita gagal, apa beza kita dengan Umno? Umno dulupun sekadar beri “lip service” terhadap Islam dan kepentingannya. Bab-bab pencegahan kemungkaran ini tidak masuk dalam agenda dan keutamaan mereka. Noh Omar mungkin berkokok bising dalam hal “Octoberfest” di Selangor, tetapi di zaman ia memerintah bagaimana?
Kerana itu PAS biarlah dilihat berbeza dan sepatutnya pun wajib berbeza.

Biarlah nampak di Selangor ini melalui usaha PAS, setelah ada kuasa ini, anak-anak Islam dapat diselematkan dari industri maksiat, suatu tugas yang berat dan besar, tetapi wajar digerak dan dimulakan. Itu lebih baik pada pengamatan saya dari kita sibuk berbahas bab “Octoberfest” yang memang “halal” pun buat mereka yang menolak Islam, asalkan jangan menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakatnya dan tidak melibatkan walau seorang warga Islam

 

 

1 comment:

Along said...

"Kalau kita gagal, apa beza kita dengan Umno? Umno dulupun sekadar beri “lip service” terhadap Islam dan kepentingannya. Bab-bab pencegahan kemungkaran ini tidak masuk dalam agenda dan keutamaan mereka. Noh Omar mungkin berkokok bising dalam hal “Octoberfest” di Selangor, tetapi di zaman ia memerintah bagaimana?"

Adakah ini bermakna PAS mahu buat seperti yang UMNO buat ?? Kerana UMNO pernah buat, maka UMNO dijadikan contoh ??

Jika dulu konsert yang dalam stadium pon akan ditentang PAS, sekarang ???

Kalau lihat dalam akhbar kosmo hari ini, 07/10/2014, papan tanda pon dah naik untuk beritahu rakyat Selangor tentang Oktoberfest. Macamana lesen iklan boleh dikeluarkan ?? Pasal UMNO pernah keluarkan lesen yang sama ??