Thursday, November 13, 2008

Tarbiyah dan peranannya dalam perjuangan
(Ini merupakan artikel terbaru saya dalam ruangan “Menongkah Arus” Harakahdaily)

PAS adalah satu-satunya parti dalam negara ini yang memperuntukkan aspek tarbiyah atau pendidikan sebagai satu disiplin penting dalam perjuangannya.

Hala tuju pentarbiyahan PAS berteraskan menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah SWT dengan menyokong dan mengangkat kalimat-kalimat perintah-Nya beragendakan "penyeruan ke arah yang makruf dan pencegahan kemungkaran". Prinsip pentarbiyahan PAS bersandarkan al-Quran dan Sunnah.

Lalu dalam PAS, aspek pentarbiyahan ini bukan hanya diwajibkan malah diuruskan secara berjemaah oleh para ulamak yang menjadi teraju qiyadah sehingga wajib dituruti dan dipatuhi oleh para jundiyyah selaku ahli-ahli yang berdisiplin, kerana itu kekuatan parti akan hanya terserlah kiranya aspek pentarbiyahan ini ditekan, dilaksana dan ilmunya dipraktikkan dalam perjuangan.

Hanya PAS sahaja selaku gerakan Islam, memperuntukkan di dalam perlembagaannya penekanan pada aspek pendidikan ini apabila fasal 14(2)(d) perlembagaan parti menyebut bahawa ahli-ahli PAS wajib:

"Memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum Islam".

Perkara tarbiyah ini akan diulang, disebut-sebut dan diperingatkan dalam setiap situasi dengan harapan agar ahli-ahli dan pimpinan PAS tidak akan lari atau tergelinciri daripada prinsip dan dasar perjuangan parti.

Almarhum Prof Zulkifli Muhammad semasa berucap di hadapan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan sejurus kemenangan PAS pada pilihan raya 1964, (dua hari kemudian beliau terkorban dalam kemalangan jalanraya) berkata:

"Jadikanlah satu kewajipan tuan-tuan mulai dari hari ini mengkaji pengajaran Islam supaya tuan-tuan memikul kewajipan tuan-tuan sebagai orang yang tahu apa yang diajarkan oleh Islam. Jangan ada seorang pun yang takbur, yang merasa dirinya sudah pandai, bahawa dirinya sudah tahu apa pengajaran Islam. Bahawa dirinya tidak perlu diajar oleh sesiapa kerana dia sudah menjadi wakil rakyat."

Demikianlah sepatutnya teguh dan kemasnya ikatan ahli-ahli PAS dalam perkara ini.
Kerana itu dalam muktamar PAS yang lalu apabila Dato' Seri Tuan Guru Presiden menyentuh dalam ucapan penggulungannya, bahawa ahli-ahli PAS perlu membina parti menjadi parti yang perkasa dan membina diri masing-masing agar menjadi ahli yang perkasa sebagaimana yang ditunjukkan oleh Islam, maka beliau sesungguhnya merujuk dan menekankan kepada aspek tarbiyah. Kerana wasilah utama bagi mencapai penyusunan tanzim yang kukuh hanyalah melalui tarbiyah harakiyah Islamiyah.

Menyedari akan pentingnya kerja menyemarakkan kembali asas kekuatan PAS ini, maka Dato' Seri Tuan Guru Presiden dan Timbalannya yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat, kini dalam rangka menjelajah seluruh negara bagi menjayakan Konvesnyen Tarbiyah peringkat negeri yang dimulakan di Pahang baru-baru ini.

Konvensyen ini adalah peluang yang terbaik buat ahli-ahli PAS untuk duduk berbincang bersama pimpinan tertinggi di samping memahamkan diri akan isu-isu semasa dan sikap serta pendirian pimpinan.

PAS kini melangkah melampaui usia setengah abad yang sudah pasti semakin mematangkan ahli-ahlinya dalam bertindak dan berfikir.

Kita bergerak dalam waqi' yang sungguh mencabar dan berubah-ubah dengan begitu pantas. Atas kesedaran itulah maka akan hanyut dan barangkali lemas sesiapa sahaja yang tidak cermat dan memilih untuk memutuskan dirinya dari jemaah walaupun sekejap atau atas apa alasan sekalipun.

PAS kini dalam zon selesa hasil pencapaian besarnya dalam PRU ke-12 baru-baru ini. Disaat sebeginilah aspek tarbiyah ini sangat penting dan perlu buat kita agar kita terus konsisten dalam perjuangan walaupun dalam keadaan mewah ini.

Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa semasa berucap di konvensyen tarbiyah peringkat negeri Pahang baru-baru ini berkata:

"Keadaan ini menuntut PAS untuk menyediakan asas tarbiyyah yang kukuh kepada ahli dan pimpinannya. Sesungguhnya tanpa berpandukan ilmu dan tarbiyah yang ampuh lagi mantap, anggota dan pimpinan PAS tidak dapat memacu dan menggerakkan PAS lebih jauh lagi untuk menghadapi mehnah (ujian) dan fitnah yang semakin mencabar.

Penglibatan serius kita di medan poltik terbuka tidak menjadi alasan untuk kita abaikan tarbiyah. Kesibukan berpolitik bukanlah sebab untuk kita tidak menghadiri usrah di Cawangan, Kawasan, Negeri dan Pusat.

Kesibukan memegang portfolio sebagai Ahli Parlimen (MP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bukanlah lesen bahawa tarbiyah sudah tidak perlu lagi. Malah sebagai MP dan Adunlah, jamaah perlu pertingkatkan tarbiyah mereka supaya memahami dan mematuhi arahan pimpinan parti!"

Atas semangat yang samalah maka sesuai sangat kita mengingatkan diri kita akan apa yang pernah diwasiatkan oleh Almarhum Prof Zulkifli Muhammad (dalam majlis yang dipetik di atas) ketika beliau menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dan ahli parlimen Bachok:

"Rapatkanlah diri saudara-saudara kepada Quran yang diturunkan oleh Tuhan dan rapatkanlah diri saudara-saudara kepada hadis yang diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Jangan ada orang yang sombong, aku sudah tahu, jangan ada orang yang mengata, aku sudah luput. Kalau kita sudah luput dari mempelajari Islam, berhentilah dia dari menjadi ketua orang-orang Islam. Duduklah dia di rumahnya supaya jangan dituduh orang memakai warna-warna Islam, tetapi tidak ada mempunyai isi Islam. Biarlah kita menghadapi Tuhan kita dengan hati yang suci. Dengan mengatakan aku sentiasa berjuang untuk Engkau, dan aku lengkapkan diriku untuk demikian".

Semoga sistem tarbiyah yang kita warisi zaman berzaman ini akan terus mengukuhkan dan mengentalkan perjuangan ini sehingga mampu kita melonjakkan ia demi menjulang cita-cita Islam yang suci. Selamat berkonvensyen.

5 comments:

Anonymous said...

Aktiviti usrah ni perlulah diperluaskan dan lebih sistematik. Saya cadangkan Ketua Cawangan bertanggugjawab menyelaraskan usrah di peringkat cawangan masing2dan mestilah gunakan modul yg standard.

Anonymous said...

salam...kewajipan yang perlu di fahami oleh seluruh ahli PAS...penyelarasan tarbiah perlu di kemaskini kdg2 tidak sampai ke sasaran yang sepatutnya...lajnah tarbiah negeri perlu pantau aktiviti usrah di kawasan & cawangan pastikan jangan masih ada yang buat usrah 'syok sendiri'..jadikan kemenangan yang sedikit ini sebagai pemangkin utk pngukuhan pentarbiahan semua peringkat ahli dengan pimpinan di atas tidak terkecuali..

Anonymous said...

saya cadangkan supaya MB Perak berkursus dengan Tuan Guru Datuk Seri Hj Abdul Hadi Hj Awang bagaimana untuk berdepan dengan media....

Anonymous said...

Siapa tarbiyyah umno terengganu? Ayah Pin?

Anonymous said...

Saya teringat Ustaz Fadzil kata dulu kalau setakat nak buat program atau kerja cuci longkang orang tak payah lah buang masa. Tarbiyyah pun setakat kem motivasi musim cuti sekolah saja tak payahlah, kalau buat sekolah Islam sendiri baru betui. Tarbiyyah qiyadi pun nak ajar kat benih-benih sekular macam bagi bunga kat monyet la.