Monday, November 17, 2008

Pagi Sabtu yang mencemaskan

Pagi Sabtu saya dikejutkan dengan panggilan dan SMS bertalu-talu dari adik-beradik saya. Ayahanda tercinta terpaksa dikejarkan ke hospital kerana muntah-muntah dan pening-pening kepala. Beliau pernah menjalani prosedur “angioplasty” di IJN bagi melancarkan perjalanan darahnya. Sudah pastilah kebimbangan kami sekeluarga begitu tinggi sekali, takut-takut jika apa yang dialaminya merupakan tanda-tanda awal serangan jantung. Beliau yang walaupun mencecah usia 78 tahun namun masih sihat tubuh-badan.

Kakak saya mengejarkan beliau ke IJN dan kami adik-beradik dari rumah masing-masing bekejar ke sana. Ibu saya pagi ini berada di Sunway Medical Centre bagi menjalani rutin dialisisnya.

Saya dan isteri bekejar dari Subang Jaya dan sepanjang perjalanan ke sana tidak berkata apa-apa. Syukurlah kerana hari ini hujung minggu maka tidaklah banyak kenderaan di jalanraya. Sepanjang perjalanan berbagai-bagai bayangan tergambar di kepala saya, kenangan bersama ayah tercinta yang memang sangat memanjakan saya, maklumlah anak bongsu. Saya cuma terdaya berdoa agar beliau selamat dan mohon dari Allah swt jika beliau dalam kesakitan biarlah saya yang menanggungnya.

Memang tiada anak yang akan mengatakan ayahnya tidak baik. Tetapi ayah saya memang seorang insan yang baik disamping bapa yang baik dan berjaya membesarkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna menurut caranya yang tersendiri. Beliau sentiasa disenangi orang dan sepanjang kariernya dalam pasukan polis, memang beliau disenangi ramai. Beliau cemerlang saya yakin hasil dari minat dan tumpuan sepenuh hati terhadap kariernya itu. Dan malah setelah bersara pun sehingga hari ini bekas-bekas pegawai polis dan mereka yang berkhidmat yang pernah sewaktu dengan beliau masih menghormati beliau.

Saya teringat semasa kecil-kecil dahulu, ketika beliau berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan (OCCI) di Kota Bharu, pernah satu ketika kami sekeluarga bersiap-siap mahu berkelah di tepi pantai. Masing-masing telah masuk ke kereta menunggu beliau, tiba-tiba telefon di rumah berdering. Panggilan dari Ibupejabat Polis, beliau terpaksa bergegas ke balai kerana ada kes jenayah. Kami adik-beradik dipaksa mak keluar kereta kerana beliau terpaksa ke balai. Saya yang tidak faham apa-apa sekadar meraung menangis. (Di Kota Bharulah beliau menjadi Ketua Pegawai Penyiasat kes bunuh ahli parlimen PAS Allahyarham Samad Gul)

Pernah juga semasa beliau berkhidmat di Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Tatatertib dan Kenaikan Pangkat, saya terjaga ditengah malam. Saya sangkakan sudah awal pagi dan memang perangai saya mahu menjadi yang pertama bangun dan bersiap ke sekolah, nak lawan adik-beradik yang lain. Saya lihat lampu diruang tamu rumah menyala, saya sangkakan pembantu rumah bersiap-siap, lalu saya tuju ke sana. Rupa-rupanya waktu itu bukannya telah pagi tetapi tengah malam dan ayah saya yang berada di sana sedang tekun dengan fail-fail yang dibawa pulang dari pejabat, bekerja tengah malam di rumah!

Begitulah juga ketika beliau Pesuruhjaya Polis Sabah (Ketua Polis Negeri Sabah) beliau bukan sekadar tekun bekerja malah terlibat dalam menghidupkan masjid polis di sana. Program-program agama dipertingkatkan. Disitulah saya berpeluang mengenali Ustaz Ahmad Awang dan Dato Dr Harun Din, yang sering ke Kota Kinabalu atas jemputan ayah saya. Malah di Kota Kinabalu jugalah rumah kami dikunjungi oleh Almarhum Pak Hamka yang ketika itu dalam lawatan ke Sabah.

Begitulah juga beliau ketika menyandang jawatan ketiga paling kanan dalam Pasukan Polis iaitu sebagai Pengarah Pengurusan di Bukit Aman berpangkat Komisioner Polis sehingga bersara pada tahun 1985.

Sampai sahaja di IJN pagi tadi saya dapati abang dan kakak saya sudah berada di sana. Setelah menjalani pemeriksaan alhmadulillah doktor mendapati tiada yang serius dan tiada yang melibatkan jantung beliau. Kira-kira jam 12 tengahari beliau dibenarkan pulang. Betapa gembiranya hati kami sekeluarga, Allah swt telah mengkabulkan doa kami sekeluarga.

Sesungguhnya pada saat-saat cemas beginilah kita sebagai anak, mula mengenang dan menghargai jasa ayah. Betapa besarnya pengorbanan mereka pada kita. Segala kasih sayang dan belai manja yang dicurahkan pasti tidak tertebus di dunia ini. Allah selamatkanlah ayah saya dan ayah sahabat-sahabat dan seluruh kenalan saya yang lain, kiranya mereka telah pulang ke rahmat Mu, maka cucurilah nikamt Mu ke atas mereka, insan yang paling banyak berjasa kepada kami selain ibu.

(artikel ini sepatutnya terbit Sabtu lepas tetapi kerana celcom 3G saya meragam baru pagi ni berkesempatan buat update)

3 comments:

Toklong said...

Shukur Alhamdullilah lan ....ayah mu sihat kembali....

Ayah tok pun dah tua ...tak boleh silap sikit ashik muntah aje.... dia yg terbaik buat tok....seorang guru pencen yg tak banyak kerenah sejak dari kecil lagi hinggalah kesaat ini...itulah ayah tok..semoga dia sihat seterusnya.....

Anonymous said...

Doa saya sentiasa untuk abang Lan sekeluarga.

Kirim salam kat Hussain.

-You know who.

al-brangi said...

Saya mendoakan ayanhanda saudara cepat sembuh, dan dapat beramal ibadat seperti biasa. Amin