Saturday, November 08, 2008

Haramkan arak tanggungjawab kita semua

Saya ada terdengar cadangan setengah-setengah pihak di Selangor mahu melaksanakan perkara ini. Jika tidak silap saya salah sebuah PBT (yang majoriti penduduknya Islam) di Selangor telah pun meluluskan cadangan ini namun ianya belum diberi publisiti lagi. Dalam pada itu saya mendapat khabar Sarawak telah mengumumkan perkara yang sama. Alhamdulillah.

Menurut berita terkini The Star Online kerajaan negeri Sarawak mengisytiharkan melalui Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal ehwal Islam) Datuk Daud Abd Rahman, bahawa kerajaan negeri telah mengarahkan semua PBT di kawasan majoriti Melayu (Islam) untuk tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen jualan arak. Ini menurut beliau sebagai langkah membendung gejala penyalahgunaan arak dikalangan remaja Melayu di negeri itu.

Saya merasakan semua pemimpin Islam, tanpa mengira fahaman parti perlu berikhtiar agar minuman yang diharamkan oleh Islam ini tidak lagi diniagakan dikalangan penganut Islam. Bukan hanya itu malah kita semua bertanggungjawab bagi memastikan tidak ada lagi orang Islam yang terlibat dalam industri ini samada secara langsung atau tidak. Selain membenteras penjualan dan penggunaannya, jangan lagi ada orang Islam yang bekerja, mengambil upah, menjadi pemegang saham, menjadi pengarah dalam industri ini samada di peringkat pengilangan atau penjualan atau promosi. Begitu juga di bilik-bilik hotel yang dihuni oleh orang-orang Islam, pesawat milik orang Islam dan lain-lain.

Biarlah arak ini hanya digunakan oleh masyarakat bukan Islam dalam negara kita kerana agama mereka tidak melarang sebagaimana yang dikuatkuasa di Kelantan. Ini tugas dan tanggungjawab kita bersama. Dalam pada itu kita perlu bertindak keras terhadap orang Islam yang masih tidak segan-silu meminum minuman haram ini tanpa mengira siapa mereka samada penghuni istana atau rumah setinggan!

1 comment:

Anonymous said...

Saudara Roslan, syabas untuk pemimpin islam kita yang begitu berani melaksanakan sesuatu tindakan untuk kebaikan ummah. Semoga rahmat Allah bersama mereka dan jugak kita. Tetapi jangan terlalu selesa, kerna kebiasaannya semua itu adalah statement di media saja. Tindakan yang diambil adalah pada hari pertama atau minggu pertama perlancaran. Selepas itu back to normal le. Cadangan peribadi saya, what to do? semua parti/NGO islam di malaysia menjadikan jemaah dakwah tabligh jemaah islam yang lain sebagai skuad follow up. SEBAB hanya sahabat2 kita ini sajalah yang sanggup bermesra dengan golongan bermasalah dengan arak dan memberi belaian kasih sayang untuk meletakkan kebesaran ilahi dalam hati mereka.
zam