Sunday, August 23, 2015

Islam dan cita-cita kemerdekaan PAS

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2074 Edisi Isnin muka F15

Tanggal 31 Ogos ini negara sekali lagi akan meraikan ulangtahun kemerdekaannya kali ini yang ke 58. PAS sendiri tidak ketinggalan mengajurkan program dan acara untuk memperingati hari keramat dimana negara tercinta memperolehi kemerdekaannya dari tangan penjajah British.
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia umpamanya menganjurkan program “Selamatkan Malaysia” antara 15 Ogos sehingga 20 September, iaitu program wacana kemerdekaan negara yang akan dianjurkan di satu ratus lokasi seluruh negara yang melibatkan 1,000 orang panelis dengan sasaran menarik sekurang-kurangnya 10,000 orang anak muda.

Sesungguhnya PAS tidak boleh diasingkan dari perjuangan menuntut kemerdekaan negara sungguhpun rekod rasmi sekadar mencatat dan membesarkan sumbangan Umno semata-mata.

PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 iaitu diketika anak-anak tempatan sedang hangat membicara dan memperkatakan darihal tuntutan kemerdekaan. Tuntutan kemerdekaan mula menjadi hangat apabila India diberikan kemerdekaannya oleh British pada tahun 1947.

Ketika Umno khayal dengan laungan dan slogan “Hidup Melayunya” , PAS sudah membawa slogan Merdeka seala tahun 1953. Melalui Mesyuarat Agunya tahun itu PAS telah memasukkan “Merdeka” sebagai cogan kata PAS. Dan pada tahun 1954 pindaan dibuat terhadap Perlembagaan PAS dengan meletakkan matlamat PAS sebagai:

“…..menjalankan ikhtiar dan langkah dengan tujuan menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam” di samping “memperjuangkan cita-cita Islam di dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara”.

Ringkasnya selain Umno, PAS juga aktif terlibat dalam tuntutan dan perjuangan menuntut kemerdekaan negara, kerana Malaya ketika itu memperolehi kemerdekaannya melalui rundingan dan bukannya kekerasan sebagaimana negara-negara lain. Tiada yang mengangkat senjata menuntut kemerdekaan ketika itu selain Parti Kominis Malaya atau PKM yang diharamkan.

Rundingan disini termasuklah tuntutan dan tekanan politik dari parti-parti yang sah dan berdaftar. PAS lah satu-satunya parti selain Umno, MCA dan MIC yang wujud sebelum tanggal Merdeka, jauh sebelum lahirnya parti-parti lain apalagi DAP dan PKR.

Ketika Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid hakim mahkamah rayuan Britain ditubuhkan pada tahun 1956 dahulu, PAS sebagai sebuah parti Islam berdaftar telah mengemukakan tuntutan rayuannya dalam bentuk memorandum.

Suruhanjaya Reid ketika itu ditugaskan oleh kerajaan penjajah British untuk mengemukakan deraf Perlembagaan Persekutuan Malaya yang merdeka.

Tuntutan lantang untuk meletakkan Islam sebagai agama resmi Persekutuan ketika itu antaranya datang dan berasal dari PAS. Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi dalam hubungan ini pernah dirakamkan sebagai berkata:

“… belumlah dihitungkan telah merdeka dengan sepenuhnya, melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada seseorang, masyarakat dan negara barulah tercapai kemerdekaan yang dicita-citakan oleh PAS”.

Demikianlah kesungguhan PAS sejak dari sebelum Merdeka untuk membawa dan menjulang tuntutan memartabatkan Islam di tanah air. Malah sehingga ini kemerdekaan sebenar yang dimaksudkan oleh Almarhum Dr Burhanuddin itu masih belum dicapai.

Hari ini sungguhpun kekuasaan dan pemerintahan negara terletak ditangan anak-anak bangsa, namun tanggungjawab memastikan yang Islam itu diterap dan dilaksanaklan sebagai Ad Deen, suatu sistem kehidupan yang mengurus dan mentadbira masyarakat dan negara masih belum tercapai.

Setelah 58 tahun Merdeka PAS lah yang berterusan membawa obor perjuangan Islam ini. Hasil sumbangan PAS Kelantan dan Terengganu telah pun meluluskan sistem pentadbiran jenayah Islamnya masing-masing, walaupun penguatkuasaannya masih ditunggu-tunggu.

Diambang perayaan ulangtahun kemerdekaan ini juga, terngiang-ngiang di telinga kita pantuan keramat yang pernah diucapkan oleh Almarhum Dr Burhanuddin dahulu:

“Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka”

Kota Melaka yang didirkan penjajah Portugis dan diperkukuhkan oleh penjajah Belanda itu merupakan simbol kuasa penjajah. Robohnya kuasa ini dari pantun Almarhum itu bermaksud bangkitlah sebuah negara Merdeka dari kalangan anak-anak bangsa. Dan mereka yang Merdeka perlu berpadu, bersatu hati dan tenaga dengan sasaran membela dan mempertahankan keadilan pusaka.

Apakah keadilan pusaka itu? Sudah pastilah ia merujuk kepada hukum dan peraturan yang dimaksudkan oleh Almarhum di atas.

58 tahun kita Merdeka, disaat PAS diuji dengan pengkhianatan ahli-ahlinya, PAS perlu terus fokus dan teguh. Anak-anak bangsa sedang melalui tempuh pancaroba yang sangat menyiksa. Keadaan hidup yang menekan dan masa depan yang kelam menuntut PAS untuk bersungguh menawarkan diri sebagai alternatif kepimpinan.

Kepimpinan negara yang sepatutnya semakin dewasa dengan kematangan usia negara ini malangnya kelihatan terus dilanda penyakit berupa krisis keyakinan yang semakin parah. Umno yang mengepalai bahtera merdeka ini sejak 58 tahun dahulu kini semakin tenat keadaannya.

Pemimpin yang mengepalai bahtera selaku nakhoda kelihatan sudah tidak lagi dihormati anak-anak kapalnya. Dari hari ke hari serangan demi serangan dilancarkan bukannya oleh orang bawahan tetapi bermula dari timbalan nakhoda sendiri.

Lantaran itu Islam sebagai formula penyelesaian terhadap segala kekusutan dan kekalutan yang berlaku dalam masyarakat dan negara perlulah bijak dilontar dan di bawa kehadapan. PAS bertanggungjawab untuk memikul amanah ini.

Biarlah pada tahun ke 58 ini mata dan hati rakyat dibuka untuk mahu menerima Islam sepenuhnya. Inilah cabaran terbesar buat PAS dewasa ini. Kemerdekaan ini telah sama-sama PAS perjuangkan lebih 58 tahun dahulu dan ia rupa-rupanya belum berakhir. 

Dari segi fizikal memang negara telah merdeka dan penjajah telah lama pulang, tetapi dari segi mental dan rohani kemerdekaan ini masih belum sempurna selagi Islam tidak duduk ditempatnya yang tertinggi.

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 58. Semoga All;ah swt melindungi dan menyelamatkan Malaysia.

Thursday, August 20, 2015

Tuntut kuasa dengan mandat rakyat

 Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2073 Edisi Jumaat muka F8

Sengketa di dalam Umno kiranya kini sudah menjadi satu ancaman sehingga ada usaha mahu mengguling kerajaan mengikut pintu belakang. Itu yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan dua Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian di Lembah Kelang baru-baru ini.


Asalanya ia bermula dengan pemecatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Shafiee Apdal, Naib Presiden Umno sebagai Menteri. Mereka dikatakan tidak boleh bekerja sebagai satu pasukan di dalam kabinet Perdana Menteri.


Pemecatan berkenaan tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak khasnya dikalangan Umno yang menganggap tindakan berkenaan diambil semata-mata kerana Muhyiddin berani menegur beberapa salah-laku yang dilihatnya sedang berlaku dalam negara. 


Isu pengurusan dan pelaburan 1MDB yang kerugiannya mencecah RM50 bilion sebagaimana dinyatakan oleh Muhyiddin selain isu penyaluran dana ke akaun peribadi Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak, sebanyak RM2.6 bilion, isu kejatuhan matawang ringgit, dan kos hidup rakyat yang meningkat, kesemuanya mengelisah dan meresahkan rakyat, dan ianya menjadi kemarahan besar dalam Umno hari ini sehingga mencetuskan krisis keyakinan terhadap Presiden Umno yang juga Perdana Menteri.


Pimpinan dan ahli-ahli Umno panas merasakan bahawa rakyat sedang menuding jari kearah mereka angkara segala malapetaka yang melanda negara ini hasil kepimpinan Najib.


Pada hari yang sama Zahid merasmikan dua persidangan Umno di Lembah Kelang itu, Pemuda Umno bahagian Tampin pula meluluskan resolusi meminta Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Dua hari sebelum itu Pemuda Umno bahagian Semporna pula di dalam persidangan mereka meluluskan resolusi meminta agar Najib bercuti sebagai PM.


Dan dengan pendedahan terbaru Zahid ini bahawa terdapat satu komplot untuk menggulingkan kerajaan, sekaligus akan meletakkan sengketa atau krisis dalaman Umno ini sebagai satu ancaman buat negara.


Menurut Zahid seorang tokoh Umno dan juga pemimpin BN sedang menggerakkan usaha untuk mendapatkan ahli-ahli parlimen BN dan pembangkang menandatangani akuan bersumpah yang terdiri dari memorandum tujuh muka surat bagi membuktikan yang mereka punya majoriti dalam Dewan Rakyat dan oleh itu kerajaan boleh dijatuhkan “melalui pintu belakang”.


Disaat artikel ini ditulis Zahid memaklumkan di Tampin bahawa indidividu berkenaan khabarnya akan bertemu Perdana Menteri setelah menyedari kesilapannya, dan setelah tindak-tanduknya didedahkan dan mendapat liputan media perdana.


Raja Petra Kamaruddin di dalam lamannya Malaysia Today pula mendedahkan secara terperinci “modus operandi” gerakan ini yang menurutnya telah mencapat kerjasama seorang pemimpin muda Istana yang walaubagaimanapun telah ditolak oleh Istana Negara.

Saya tidak pasti kesahihan maklumat Zahid sebagaimana saya juga tidak pasti akan kebenaran pendedahan Raja Petra itu, apapun sekiranya Menteri Dalam Negeri yang mendedahkan komplot ini sudah pasti ianya punya asas.


Apa pun isunya sesungguhnya kemarahan dan kegelisahan rakyat khasnya terhadap PM dan Presiden Umno adalah berasas. Skandal 1MDB, terus menghantui hidup rakyat, sebagaimana bebanan kos hidup yang menekan, nilai matawang ringgit yang menjunam, kesemua ini adalah masalah dan realiti sebenar yang dihadapi dan ditanggung oleh rakyat kebanyakkan.


Lantaran itu krisis keyakinan  terhadap Najib khasnya dalam Umno sendiri, tidak boleh ditolak ketepi atau dipadamkan begitu sahaja.


Politik merampas kuasa ikut pintu belakang ini mengingkatkan kita kembali pada insiden 2009 di Perak. Merampas kuasa melalui pintu belakang ini memang tidak digemari tidak kiralah samada ia dilakukan oleh BN, PAS, DAP atau PKR atau sesiapa sahaja. Dan dalam hal ini saya bersetuju dengan Zahid bahawa semua pihak seharusnya menunggu dan melakukan perubahan semasa tempoh Pilihanraya Umum dan bukannya melalui pintu belakang.


Sebagaimana PAS dan rakan-rakannya tidak dapat menerima peralihan kuasa di Perak pada tahun 2009 yang kita anggap sebagai rampasan kuasa ikut pintu belakang, maka demikianlah Zahid tidak dapat menerima komplot yang didedahkannya itu.


Malah itulah semangat yang pernah diutarakan oleh Presiden PAS sebelum ini jauh sebelum komplot yang didedahkan oleh Zahid ini. 


Membawa undi tidak percaya di dalam Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri, oleh mana-mana pihak pun adalah merupakan satu amalan demokrasi dan ia tidak boleh dinafikan. Dalam kes BN hari ini mereka mempunyai 134 kerusi, pembangkang PAS, PKR dan DAP punya 87 kerusi dan Bebas 1.


Kiranya undi tidak percaya untuk Perdana Menteri mahu berjaya di Dewan Rakyat ia perlukan 112 undi sekurang-kurangnya dari 222 ahli yang mewakili Dewan Rakyat. Bermakna kiranya benar semua wakil pembangkang seramai 87 orang termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim yang Bebas bersetuju dengan gerakan ini, ia sudah ada 88 undi terkumpul. Ini bermakna sekurang-kurangnya 24 undi lagi diperlukan dari wakil-wakli BN bagi menggenapkan sekurang-kurangnya 112 undi.


Dan Najib akan dikira telah hilang kepercayaan di Dewan Rakyat lalu Yang Dipertuan Agong bolehlah dimaklumkan dan barangkali melalui surat-surat perakuan sumpah sebanyak 112 tadi, jika Tuanku yakin, bolehlah melantik dikalangan 112 tadi untuk menjadi Perdana Menteri yang baru.


Tetapi sudah pastilah realitinya tidak semudah itu.


PAS sendiri belum tentu mahu bersama jika benar komplot ini. Presiden PAS sebelum ini pun ada menegaskan bahawa biarkan Najib terus berkhidmat sehingga ke akhir penggalnya, sebarang perubahan diwaktu ini melalui pintu belakang tidak akan menguntungkan parti malah hanya akan mencetuskan suasana yang tidak senang dikalangan rakyat. Kita pernah ada pengalaman di Perak.


Biarlah perubahan kuasa berlaku melalui proses pilihanraya ketika mandat diserahkan ke tangan rakyat.


Dan seterusnya berapa keratkah dikalangan 24 undi yang diharapkan dari BN itu yang akan benar-benar berani tampil kehadapan bersama komplot ini?


Projek 16 September 2008 yang diusahakan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim masih segar dalam ingatan kita. Wakil-wakil BN yang asalnya telah berjanji akan menyeberang dewan untuk bersama kita membentuk kerajaan baru di Putrajaya melalui operasi yang sama, turut kecut perut dan berpatah balik disaat akhir.


Kerana itu biarlah Zahid dan Umno bertindak terhadap pembelot dari kalangan mereka yang didakwa itu. Biarlah Umno terus bercakaran.


Bagi kita, krisis keyakinan yang dicetuskan oleh Najib yang melahirkan pelbagai skandal tadi biarlah terus panas dan kita bertanggungjawab untuk memastikan ia nanti marak dan menjulang apabila tiba Pilihanraya ke 14 nanti. Kita mahu perubahan kuasa dari yang pincang kepada yang lebih baik dan menyakinkan serta menjanjikan masa depan yang baik buat rakyat dari dunia hinggalah ke akhirat. Kerana itu kita akan terus berkerja dan tidak sekali-kali akan menutut kuasa dengan cara memintas jalan melalui pintu belakang.

Wednesday, August 19, 2015

Antara nasib panda dan Umno

Disaat negara menyaksikan buat pertama kalinya lahir beruang panda di bumi bertuah ini, Umno dan BN yang gagah dan perkasa goyang dan semakin celaru.

Panda bukannya sebahagian dari mergastua di tanahair kita. Ia berasal dari Selatan Negara Cina dengan habitat asalnya di kawasan pergunungan di sana. Sungguh ajaib apabila makhluk yang dari negara asing dan dengan persekitaran asing buatnya, boleh dengan izin Allah melahirkan anak.

Kelahiran panda ini dari pasangan yang dipinjamkan ke Malaysia oleh Cina sudah pasti akan menjadi tumpuan dan perhatian dunia selepas ini. Kecekapan pengurusan pihak Zoo Negara dan para penjaga yang bertanggungjawab kena sedang diuji kerana bukan mudah bagi seekor bayi panda untuk berjaya hidup di enviromen yang asing.

Umno dan BN pula parti yang telah lama bertapak. Umno sekurang-kurangnya telah lahir sejak sebelum negara Merdeka lagi dan sejak Pilihanraya Umum pertama 1959 sehinggalah kini Umno kekal berkuasa di peringkat Persekutuan dengan memegang tampuk jawatan tertinggi dalam negara iaitu Perdana Menteri.

Tapi hari ini juga sebagaimana panda tadi kita melihat Umno dan BN yang gagah perkasa itu buat pertama kali goyang dan gegar di bumi bertuah ini. Ia bukannya angkara pihak lawan tetapi hari ini mereka goyang dan gegar angkara kerja tangan dan percaturan mereka sendiri.

Krisis keyakinan terhadap PM Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno dan pengerusi BN semakin memuncak. Bukan rakyat jelata sahaja yang kesal, sesal dan mula hilang keperayaan terhadap Najib, rupa-rupanya sesama pimpinan dan anggota Umno juga hari ini kelihatan bercakaran dan menyerang sesama mereka.

Tak pernah kita bayang untuk melihat Umno dan BN dalam keadaan sebegini kacau sehingga TPM yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan baru-baru ini bahawa terdapat komplot yang turut didalangi pimpinan Umno untuk menggulingkan kerajaan.

Hari ini dalam akhbar tempatan sebagaimana diraikan kelahiran panda tadi, turut dimuatkan gambar pihak “backbenchers” atau penyokong kerajaan di Dewan Rakyat yang masing-masing cemas mahu membersihkan diri dengan mengisytiharkan sokongan kepada PM dan tidak terlibat dengan komplot guling berkenaan.

Bagaimana episod komplot ini akan berakhir tidaklah dapat dibayangkan lagi cumanya “survival” Umno dan BN sebagaimana anak panda tadi yang baru lahir tadi kini benar-benar terletak d tangan pemimpinnya. Presiden dan Timbalan Presiden Umno sudah dingin dan bercakaran sesama sendiri, bolehkah Umno BN terus kekal bernyawa sebagaimana anak panda tadi?

Bayi panda ini sekurang-kurangnya dirawat dan diselia oleh pakar-pakar dengan bantuan Negeri Cina, tetapi bagi Umno yang merawatnya itulah juga kepala yang sedang bertelagah.

Mungkin bayi panda tadi punya harapan untuk hidup di bumi asing buat ibu-bapanya itu, tetapi Umno mungkin nasibnya tidak sebaik bayi panda tadi. Komplot guling kuasa belum selesai, krisi keyakinan terhadap Najib tidak kelihatan mahu pulih, rakyat semakin panas dan gelisah.

Jadi bagaimana ya Umno?