Thursday, September 10, 2015

PAS ambil alih peranan kepimpinan Umno

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2079 Edisi Jumaat muka F8

Hari ini orang-ramai sibuk berkata berkenaan kepincangan kepimpinan Umno secara terbuka, tiada sembunyi lagi. Ketidakpuasan hati kepada kepimpinan negara yang diterajui Umno diluah dan dizahirkan dengan vocal dan berani oleh hampir semua pihak termasuk dari kalangan ahli-ahli dan pimpinan Umno sendiri.
 
Media sosial khususnya menjadi gelanggang menyerang dan mengkritik kepimpinan negara saban hari tanpa henti.

Lebih parah Timbalan dan Naib Presiden Umno masing-masing juga mengkritik Presidennya sendiri. Bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri juga begitu. Ahli-ahli Umno apatah lagi, dalam persidangan-persidangan tahunan bahagian, pemuda dan wanita Umno yang baru sahaja selesai, ada-ada sahaja yang menyerang Najib selaku Presiden parti tanpa selindung-selindung lagi. Malah ada yang mengusulkan agar Najib letak jawatan atau berihat dan terus berundur.

Rata-rata krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden Umno ini terus meletakkan Umno dalam posisi yang sangat lemah dan rendah pada pandangan mata rakyat.

Umno dilihat gagal memimpin negara dengan baik walaupun telah berada dipuncak kuasa sejak Merdeka lagi. Kegagalan menguruskan kewangan negara dengan baik, kegagalan membendung rasuah, kronisma dan nepotisma, kesemuanya telah menghodohkan lagi pandangan rakyat terhadap Umno.

Satu demi satu malapetaka jatuh terhempap atas kepala Umno yang dipimpin Najib dan keadaan ini telah mencampakkan negara ke dalam jurang berbahaya sehingga seolah kelihatan sukar untuk kembali pulih seperti dahulu. Disaat inilah pula terdapat maklumat mengatakan ada kalangan Umno sendiri yang akan mengusulkan undi tak percaya terhadap Presiden mereka sendiri.
 
Ringkasnya keadaan Umno hari ini sungguh-sungguh gawat dan goncang.

Lantaran itu persoalan yang popular yang meniti di bibir rakyat jelata hari ini, mampukah mana-mana pihak mengganti atau mengisi ruang yang bakal dikosongkan Umno itu, jika benar rakyat jelata sudah hilang keyakinan pada mereka?

Dari Perlis ke Kedah, Pulau Pinang ke Perak dan seterusnya Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, hakikatnya dalam situasi hari ini, cengkaman Umno di negeri-negeri berkenaan semakin longgar  

Mana-mana sahaja parti atau kumpulan yang punya pengaruh dan kemampuan, yang disenangi oleh orang-orang Melayu Islam boleh sahaja bersedia melangkah masuk mengisi kekosongan Umno yang sangat kritikal keadaannya itu.

Mampukah PAS? Bolehkah PAS memikul tanggungjawab besar yang ditinggalkan Umno yang kelihatan sudah tiada daya ketahanan itu? Ada yang memperoalkan bukankah PAS juga sedang dilanda krisis? Bukankah PAS juga sedang goyang, bagaimana mungkin ia mahu menggantikan Umno?

Benar PAS kelihatan sedang berhadapan dengan cabaran yang besar di hadapannya, namun demikian pada PAS sendiri ia sekadar satu kocakkan kecil dalam cawan kopi, kerana PAS yang lebih 60 tahun usianya itu sudah terlalu kukuh dan padu untuk dihancurkan begitu sahaja apatah lagi oleh mereka yang kecewa yang telah pun ditolak oleh para perwakilan PAS dalam Muktamarnya yang lalu.

PAS dilihat mampu mengatasi krisis yang melibatkan beberapa kerat bekas pemimpin dan ahlinya yang telah keluar parti dan mahu menubuhkan parti baru itu. Pengalaman yang lampau mengajar PAS, parti-parti baru seumpama ini apatah lagi diterajui pula oleh golongan yang kecewa, tidak mampu bertahan lama malah akan patah begitu sahaja ditelan zaman.

Isunya kini adalah Umno yang dalam keadaan tenat. Pemimpinnya yang dicurigai bukan hanya oleh rakyat jelata malah oleh kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya.

Menurut sejarah setiap kali Umno berkrisis, PAS lah yang akan mengaut laba. Di Kelantan contohnya menjelang Pilihanraya Umum 1990, Umno teruk bercakaran sesama sendiri, akibatnya mereka hilang Kelantan pada tahun itu PAS sehinggalah ke hari ini.

Orang Melayu Islam seakan mengamalkan sistem dua parti, tertakluk kepada magnitud ketenatan mana-mana satu parti lain. Jika Umno lah yang tenat magnitud sederhana menyaksikan satu negeri jatuh. Terengganu dan Kedah, dua lagi buah negeri bengkung Melayu, juga mampu jatuh apabila kena magnitudnya.

Pilihanraya Umum 1999 adalah satu contoh apabila tahap kemarahan orang-orang Melayu terhadap Umno begitu tinggi magnitudnya sehingga jatuh dua negeri serentak iaitu Kelantan dan Terengganu. Umno kecundang dan PAS melonjak ke hadapan dengan berupaya mengutip 27 kerusi Parlimen.

Hari ini PAS dilihat sebagai satu-satunya parti Islam yang konsisten dalam memperjuangkan dasar dan matlamatnya, tidak seperti Umno yang sudah kabur apa yang sebenarnya matlamat yang diperjuangkannya. PAS dihormati kerana ia tidak pernah bertolak ansur dalam bab prinsip, tidak dengan Umno dan malah tidak juga dengan kawan-kawannya.

Sikap matlamat tidak menghalalkan cara sebegini dikagumi orang-orang Melayu dan dengan kemampuan PAS melahirkan kepimpinan yang istiqamah dan berkualiti berbanding Umno, lebih-lebih lagi telah menambat hati para pengundi Melayu.

Kuat tidak kuat magnitud sokongan orang-orang Melayu terhadap PAS dalam keadaan Umno terlantar begini dapat dipastikan dalam Pilihanraya Umum nanti. Tidak mustahil jika berlaku “Malay swing” atau lonjakkan sokongan orang Melayu, kali ini, orang-orang Melayu yang sudah mula hilang kepercayaan pada Umno setelah lama bersandar pada mereka dijangka akan bangkit dan mengalih sokongan pada PAS, parti yang mereka kenal sekian lama sebagaimana Umno juga.

Kejutan 1999 yang menyaksikan pencapaian PAS yang terbaik sejak Merdeka, diyakini dapat berulang tetapi dengan skala yang lebih besar kali ini.

Bonus PAS adalah ia selama ini telah berjaya meletakkan dirinya bukan sekadar parti untuk kaum Melayu sahaja, tetapi sepanjang bertarung dengan Umno ini, PAS telah berjaya menembusi tembok halangan antara ia dengan masyarakat bukan Melayu, melalui slogan “PAS fo all” dan kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) PAS dijangka selain mencatatkan pertambahan sokongan pengundi Melayu, juga akan memperolehi undi bukan Melayu untuk meneguhkan lagi kedudukan politiknya.

Kali ini Umno yang semakin rasis dalam pendekatannya dijangka ditolak sama-sekali oleh masyarakat bukan Melayu.

Kesimpulannya PAS kali ini sudah berupaya menawarkan dirinya secara efektif sebagai alternatif buat Umno dalam menjadi teraju Negara tercinta ini. Umno akan terus berkecamuk dengan isu dalamannya, manakala PAS akan melangkah ke hadapan dengan matlamat menyelamatkan rakyat dan negara dengan keindahan dan keadilan Islam.               


Tuesday, September 08, 2015

Kewibawaan Azmin Ali sedang diuji

Kemelut politik pakatan pembangkang menjadi tegang apabila masing-masing PAS dan Dap bertelagah secara terbuka malah sehingga melahirkan parti baru di bawah dukungan Dap. Awal-awal lagi Dap menyebut Pakatan Rakyat telah berkubur dan tiada lagi. Ini apabila mereka memilih untuk memutuskan hubungan dengan PAS.

PAS pula selepas Muktamar lalu memutuskan untuk turut berbuat demikian.

Pertelagahan ini mungkin dilihat tegang dan panas, akan tetapi anehnya diperingkat negeri Selangor, PAS dan Dap masih lagi bersama membentuk kerajaan negeri bersama PKR.

Sudah pastilah keadaan ini meletakkan MB Selangor Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR dalam keadaan serba-salah. Di luar PAS dan Dap seakan musuh setaraf BN malah kadangkala permusuhan itu kelihatan mengatasi permusuhan politik dengan BN, akan tetapi di dalam kerajaan EXCO PAS, Dap dan PKR boleh menjalankan tugas mentadbir negeri yang dipengerusikan oleh Azmin selaku MB.

Di sinilah kewibawaan dan kredibiliti Azmin selaku seorang pemimpin diuji dan teruji.

Azmin sebagaimana partinya PKR dan malah PAS dan Dap tidak mahu melihat negeri Selangor yang bertuah ini jatuh ke tangan BN. Sebarang keputusan yang silap dan tidak matang boleh mengakibat atau mencetuskan keadaan demikian dan setakat ini Azmin berjaya mengelaknya.

Kelahiran parti baru yang terdiri dari mereka yang kecewa dan mengkhianti PAS pula tidak membantu meringankan beban Azmin.

Kini cakap-cakap berkenaan pembentukkan Pakatan Rakyat baru atau PR 2.0 sedang hangat mendominasi media terutama media alternatif dan sosial.

Kalau ikutkan Dap mahu sahaja mereka menyekat PAS dari menganggotai PR 2.0 ini tambah-tambah mereka telah berjaya melahirkan kononnya klon PAS yang mampu menggantikan PAS.

Bagi DAP biarlah PR 2.0 ini bergerak dengan PKR dan parti baru tadi sebagai anggota tanpa penglibatan atau campurtangan PAS. DAP tidak mahu berbaik dengan PAS lagi demikianlah kenyataan terakhir Guan Eng.

Kenyataan terbaru Azmin yang mengatakan bahawa PKR tetap mahukan PAS berada dalam PR 2.0 dilihat sesuatu yang menggugat cita-cita DAP. Menurut Azmin keputusan itu bukan keputusan peribadinya tetapi keputusan PKR sendiri. Sewajarnyalah ia dihormati.

Saya yakin Azmin dan PKR melihat isu ini dengan perspektif yang menyeluruh yang mengambil kira peranan dan sumbangan PAS yang sebenar yang tidak boleh dipandang kecil.

Dap mungkin marah-marah pada PAS. Tetapi parti baru yang ia taja ternyata tidak mampu meletakkan dirinya setanding PAS, 10 peratus pun barangkali sukar.

Atas dasar itu Azmin memilih jalan yang lebih praktikal dan positif, iaitu PAS perlu dilibatkan dalam pakatan pembangkang kiranya ia benar mahu menggugat dan merebahkan BN.

Saya terbaca satu analisa yang dibuat oleh POLITWEET. ORG yang mengambil kesimpulan:

PKR and Dap have not had as much success winning rural seatss compared to PAS and BN. Without PAS continuing to represent PR in those seats, a new coalition will have difficulities winning GE14.

PKR dan Dap tidak berapa berjaya dalam memenangi kerusi-kerusi luar bandar berbanding PAS dan BN. Tanpa PAS di dalam PR untuk mewakili kerusi-kerusi berkenaan, suatu pakatan baru akan menghadapi kesukaran untuk menang dalam PRU14 nanti

Azmin telah terbit sebagai seorang pemimpin yang cuba untuk menyelamatkan pakatan pembangkang dengan politik yang sangat mulia dan cocok. Politik meraikan kawan-kawan, politik menghormati dan mengiktiraf kawan-kawan penting dalam menjayakan pakatan pembangkang khasnya di Malaysia.

Semoga usaha Azmin ini akan menghidupkan kembali cita-cita dan impian rakyat Malaysia untuk mahu menyaksikan negara ini ditadbir oleh pakatan yang baru selain BN. Azmin diyakini mempunyai karisma untuk menyatukan semua pihak demi kepentingan negara yang lebih besar.

Mudah-mudahan beliau berjaya.




Monday, September 07, 2015

Kongres rakyat salur tuntutan dengan lebih bermakna

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2078 Edisi Isnin muka F15



Perhimpunan BERSIH 4.0 telah pun pergi dan berlalu. Dalam ramai sibuk menyatakan berkenaan perjalanan himpunan berkenaan termasuklah kritikkan-kritikkan mengenai pengisiannya, tidak ramai menonjolkan tuntutannya.

Kehadiran yang ramai khasnya dari kalangan masyarakat bukan Melayu, kehadiran bekas PM Tun Dr Mahathir, insiden-insiden liar selain yang melibatkan tindakkan biadap memijak potret Presiden PAS ternyata telah mengerhanai isu yang lebih besar iaitu tuntutan BERSIH 4.0 itu sendiri.

BERSIH 4.0 sesungguhnya menuntut lima perkara sebahagian besarnya merupakan tuntutan yang sama sejak BERSIH 1.0 tahun 2007 dulu. Kelima-lima tuntutannya adalah, pertama pilihan raya bebas dan adil, kedua sebuah kerajaan yang telus, ketiga hak untuk berdemonstrasi, keempat mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan kelima menyelamatkan ekonomi negara.

Isu-isu ini yang pada asalanya mendominasi BERSIH tetapi akhirnya semakin terkebelakang, khasnya apabila orang-orang politik mencuri kesempatan mempromosi diri dan gerakan masing-masing sehingga ke tahap keterlaluan.

Malah ada sebuah parti yang dikatakan sedang melalui proses pendaftaran, mencuri kesempatan memungut dana semasa perhimpunan berkenaan.

PAS kali ini memilih untuk tidak turut serta. Bukannya ia memboikot BERSIH 4.0. Sebagaimana kenyataan Setiausaha Agung PAS beberapa hari sebelum himpunan BERSIH bahawa PAS setuju menghantar dua wakil mewakilinya antaranya Naib Presiden parti Ustaz Idris Ahmad. Ini sebagai tanda bahawa PAS bersetuju dengan tuntutan BERSIH 4.0, malah sebelum ini pun PAS lah yang merupakan penggerak terbesarnya sejak 2007.

Cuma kali ini PAS mahu mencuba pendekatan yang baru yang difikirkannya lebih praktikal dan mampu memberi kesan ke atas tuntutan masyarakat sivil. Setelah melihat kejayaan BERSIH sebelum ini, PAS merasakan suatu anjakan paradigma perlu dilakukan supaya tuntutan yang penting dan melibatkan rakyat secara langsung itu tidak terpadam dan terkulai apabila selesai BERSIH tetapi terus diangkat sebagaiu agenda rakyat dan diusahakan jalan penyelesaiannya.

Himpunan BERSIH berjaya membawa mesej bahawa rakyat mahukan perubahan. Tetapi perincian tuntutan perubahan itu seringkali tercicir apabila sahaja tamat himpunan. Lebih-lebih lagi apabila kehangatan himpunan ditakluki oleh agenda peribadi pihak-pihak tertentu.

Ratusan ribu rakyat yang keluar sejak BERSIH 2007 dahulu termasuklah yang terbaru ini pastinya mahu tuntutan mereka itu didengari, diberi perhatian dan dilaksanakan. Bukannya sekadar bersepah dijalanan begitu sahaja.

Kerana itu sebagaimana dinyatakan sebelum ini PAS lebih yakin dan senang untuk menggerakkan satu perubahan. Iaitu menyalurkan tuntutan ini melalui kaedah yang lebih bermakna.

Lantaran itu PAS bersetuju melibatkan diri secara aktif dalam satu perhimpunan baru, bukannya himpunan di jalanan sebagaimana BERSIH sebelum ini, yang PAS turut setuju, tetapi kali ini PAS memilih  mahu menyalurkan tuntutan untuk didengar, dibincang secara intelektual, dirakamkan dan kemudiannya diangkat sebagai satu agenda tuntutan rakyat untuk dilaksanakan.

Hasil daripada itulah maka PAS memberi lebih tumpuan kepada penganjuran Kongres Rakyat.

Kongres ini yang bakal diadakan pada 12 September nanti di Shah Alam bakal menghimpunkan lebih 200 wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik yang akan berhimpun sehari suntuk membincangkan masalah rakyat yang lebih komprehensif selain lima tuntutan BERSIH 4.0 di atas. Isu tuntutan pilihanraya yang bebas dan adil perlulah dihimpunkan sekali dengan isu-isu “periuk nasi” rakyat yang turut mendesak dan perlukan perhatian negara.

Isu kenaikkan kos hidup yang mencanak, isu rasuah dan salah-guna kuasa, isu yang melibatkan petani, nelayan, peneroka, peniaga-peniaga kecil malah sehinggalah pengusaha teksi dan penghuni setinggan semuanya perlukan pembelaan.

Bagaimana kita boleh mengangkat nasib masyarakat di luar bandar yang teruk menerima kesan dari harga barangan yang mencacak naik? Bagaimana nasib masyakat peneroka bandar yang berhadapan dengan pelbagai cukai dan kenaikkan kos perkhidmatan dapat dibela? 

Ianya tidak boleh selesai dengan himpunan di jalanan semata-mata, ianya mesti diteruskan dengan kaedah susulan yang lebih efektif. Sudah tibalah masanya pejuang-pejuang keadilan samada parti-parti politik mahupun NGO duduk membahaskan usul-usul rakyat ini secara lebih terperinci. Pandangan akar umbi perlu diberi peluang didengari dan dibahaskan. Dan daripadnya satu resolusi dilakarkan untuk diangkat sebagai agenda rakyat yang menutut untuk diselesaikan.

Rakyat sudah cukup terkesan dan terbeban dengan kegagalan kerajaan memberikan perhatian sewajarnya ke atas permasalahan mereka. Sudahlah masalah mereka terabai, mereka pula dilantakkan dengan pelbagai kos dan tekanan hidup yang terus menghimpit dan mencabar kehidupan mereka.

Siapakah yang akan membela dan menjuarai isu-isu ini setelah ia ternyata gagal ditangan BN dan Umno?

Usaha yang diterajui oleh NGO dan didokong PAS ini perlulah diberikan perhatian dan sokongan sewajarnya oleh rakyat jelata. Inilah peluang bagi mereka menyalurkan rintihan mereka ikut proses yang betul supaya ianya bukan sekadar menjadi mainan politik tetapi satu agenda yang tersusun yang menun tut untuk diselesaikan.

Semoga kaedah baru perbincangan terbuka dalam bentuk kongres seumpama ini menjadi titik tolak kemajuan berfikir dan kematangan berpolitik masyarakat Malaysia umumnya.
Kita mahu masalah rakyat dan negara diberi perhatian dan diselesaikan sebaik mungkin dan dalam waktu yang sama keamanan dan kemerdekaan negara tercinta ini terus terpelihara.

Syabas ke atas peserta-peserta BERSIH 4.0 tempoh hari. Kini Kongres Rakyat pula berperanan dengan harapan tindakan susulan dapat diambil demi membela nasib dan masa depan rakyat tercinta