Monday, September 07, 2015

Singapura berkempen berbaur perkauman



Rata-rata rasa saya orang-orang Melayu dewasa ini tidak berminat atau mendukung politik perkauman. PAS saya tahu lebih tertumpu kepada gerak-kerja dakwah Islam daripada isu perkauman sungguhpun keahliannya hampir kesemuanya terdiri dari orang-orang Melayu kecuali sebilangan kecil Cina dan India Muslim. Dan PAS juga mempunyai keahlian bersekutu dari kalangan bukan Islam.

Umno walau pun parti Melayu, tetapi kerana lama sudah menjalin ikatan dengan MCA dan MIC serta parti-parti bukan Melayu yang lain, sudah lunak tuntutan kebangsaan Melayunya. Mereka cuma menjadi chauvinis hanya apabila berbangkit satu-satu isu spesifik, jika tidak mereka akur dan diam sahaja.

Adalah beberapa kerat NGO dan tokoh politik yang memang keras tuntutan perkaumannya tetapi mereka ini tidak mencerminkan orang-orang Melayu hari ini.

Ringkasnya orang Melayu ini bangsa yang mudah menerima dan bertolak ansur. Lantaran sikap inilah maka pada detik sebelum kemerdekaan kerajaan Biritish telah membuka kerakyatan Malaya kepada masyarakat bukan Melayu, khasnya Cina dan India dengan beberapa syarat termasuk tempuh tinggal dan kemahiran berbahasa Melayu.

Orang-orang Melayu yang rindukan kemerdekaan ketika itu bersedia menerima rakan-rakan India dan Cina sebagai warganegara setaraf mereka, tanpa bantahan atau protes apalagi rusuhan atau pertumpuhan darah.

Demikianlah besarnya jiwa orang Melayu kira-kira 70 tahun yang lampau dan terus menerus sehinggalah hari ini.

Isu ini saya ketengahkan kerana mengulas kenyataan seorang Menteri Singapura, Lim Swee Say dari parti PAP baru-baru ini yang dilaporkan semasa berkempen Pilihanraya di Republik berkenaan telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau merasakan dirinya beruntung sebagai warga Singapura dan bukan warga Malaysia. Katanya Malaysia itu milik orang Melayu dan beliau tidak boleh tinggal (di Negara milik orang Melayu) di sana.

Kenyataan ini walaupun nampak ringkas dan bersahaja, tetapi ia memberi maksud yang sangat mendalam dan malah mempunyai unsur penghinaan.

Lim cuba membayangkan bahawa Malaysia ini sebuah negara yang tidak adil sebagaimana Singapura. Jika di Singapura beliau sebagai seorang Cina boleh hidup selesa dan sejahtera, di Malaysia kerana ia milik orang Melayu pastinya kehidupan beliau sebaliknya.

Adilkah begitu? Tidakkah kenyataan itu prejudis dan berbau perkauman, rasis?

Isu perkauman antara Malaysia dan Singapura sering dimainkan dan dijadikan bahan politik sejak Republik berkenaan berpisah dari Malaysia lebih 50 tahun dahulu.

Orang Singapura khasnya penduduk majoriti Cina nya sering memandang rendah kepada keupayaan Malaysia dan sering menganggap warga Malaysia yang bukan Melayu ditindas dan didiskriminasi secara drastik oleh majoriti penduduk Melayu dan Bumiputera.

Mungkin bagi calon PAP itu, memainkan isu perkauman seumpama ini boleh mendatangkan undi buatnya, maka lantaran itu beliau sanggup berkata demikian walaupun hakikatnya belum tentu betul.

Ringkasnya ulasan saya seperti berikut:

Menurut bancian 2010 penduduk Melayu mewakili 50.10% dari keseluruhan penduduk Malaysia. Bumiputera lain 11.7% ini bermakna 61.8% penduduk Malaysia adalah Bumiputera samada Melayu, Kadazan, Iban, Murut, Orang Asli dan lain-lain.
Selebihnya 22.6% Cina dan 6.7% India.

Benarkah anggapan buruk calon PAP itu sedangkan hakikatnya walaupun kaum Cina hanya sekitar 22.6% jumlah penduduk Malaysia tetapi daripada 10 warga Malaysia yang terkaya menurut majalah FORBES, 8 adalah Cina dan cuma 1 masing-masing India dan Melayu.

Bagaimana orang Cina tertindas sedangkan 8 dari 10 yang terkaya di Malaysia adalah dari kalangan mereka. Bukankah mereka sekadar 22.6% dari jumlah penduduk Malaysia. Namun mereka memiliki bank-bank perdagangan, gedung-gedung dan bangunan pencakar langit serta hotel-hotel terbesar di Malaysia. Mereka juga pemilik ladang dan pemaju-pemaju perumahan dan bangunan terbesar dalam negara.

Begitu juga calon PAP itu tidak pula menyebut bahawa dari 37 anggota kabinet Malaysia, 5 orang Cina dan 1 India. Ketua Menteri Pulau Pinang sejak Merdeka adalah orang Cina dan hampir keseluruhan EXCO-EXCO kerajaan negeri punya wakil Cina kecuali Terengganu.

Di Malaysia juga, tidak seperti Singapura, terdapat sekolah aliran Cina dan Tamil.

Malah banyak perkara yang boleh dilakukan oleh orang-orang Cina di sini, yang barangkali tidak boleh sama-sekali dilakukan oleh orang Melayu minoriti di Singapura. Terbaru kita lihat sendiri betapa dari puluhan ribu peserta Himpunan Jalanan BERSIH 4.0 baru-baru ini, semua media melaporkan lebih 80% kehadirannya terdiri dari orang Cina. Tak seorang pun ditahan atau dicederakan.

Bayangkan jika minoriti Melayu berhimpun dan protes di jalanan seperti itu di Singapura, entah berapa tahun mereka akan merengkok di bawah ISA yang masih diamalkan di sana.
Kesimpulannya tidak perulah bermain politik perkauman semata-mata untuk menang pilihanraya.

Rakyat Malaysia dari berbagai kaum, agama dan keturunan di sini hidup aman damai dan sejahtera. Dan kami tidak perlu orang Singapura untuk mengajar bagaimana kami harus hidup dan bernegara.





Friday, September 04, 2015

Istiqamah membuah kejayaan

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2077 Edisi Jumaat muka F8


Ramai melihat PAS sedang melalui tempoh tribulasi yang paling besar dalam sejarahnya. 


Hari ini PAS menyaksikan beberapa kerat bekas pemimpinnya yang tewas dalam pemilihan parti Jun lalu sedang mencetuskan krisis keyakinan terhadap PAS dan saf kepimpinan yang baru yang telah diangkat secara demokratik oleh para perwakilan PAS.


Mereka mempertikai dan meragui kemampuan kepimpinan yang ada dan mereka mengusahakan penubuhan sebuah parti baru yang dikatakan akan membawa idea PAS tetapi dalam bentuk yang lebih lunak dan kononnya lebih sesuai dan mesra dengan penerimaan masyarakat majmuk dalam negara kita.


Lalu gelombang demi gelombang cuba dicetuskan untuk menarik ahli-ahli PAS keluar mengikuti perjuangan “baru” mereka.


Lanjutan dari itu kita melihat terdapat pula usaha melumpuhkan PAS di peringkat kawasan-kawasan dan cawangan-cawangan dipelopori oleh pihak-pihak ini.


Namun bagaimanakah sambutan ahli-ahli PAS terhadap seruan puak-puak “kecewa” ini.

Baru- baru ini saya ditanya oleh seorang penganalisa politik apakah kesan dari asakkan yang dimaksudkan ini terhadap ahli-ahli PAS sendiri?


Saya menyatakan berkemungkinan sekiranya tribulasi yang sama melanda mana-mana parti lain, barangkali parti itu akan goyang dan tidak mampu bertahan lama. Tetapi PAS berbeza dengan parti-parti lain di Malaysia kerana PAS sebuah Gerakan Islam.


Orang-orang PAS yakin Islam yang mereka junjung dan jaja ini mampu memberikan penyelesaian kepada permasalahan ummah, inikan pula kocakkan kecil yang dicetuskan oleh mereka yang ghairah dan tidak sabar yang duduk dalam PAS sendiri.


Rata-rata ahli-ahli PAS tidak mudah untuk diajak meninggalkan perjuangan mereka dan duduk dalam wadah yang baru cantik bagaimana pun rupanya. Ini kerana keyakinan mereka terhadap PAS terlalu kental dan disiplin yang diterapkan ke dalam jiwa mereka sepanjang berada dalam PAS memberikan mereka alahan yang kuat terhadap apa sahaja virus dan serangan samada dari dalam apalagi yang diusahakan dari luar.


Tidak dinafikan golongan kecewa ini pasti ada pengikutnya, dan mereka mungkin punya upaya dan mampu untuk mengheret pengikut setia itu bersama mereka. Walaubagaimanapun berbanding majoriti yang istiqamah dan terus yakin dengan kepimpinan dan dasar perjuangan PAS saya berani menyatakan bahawa usaha puak-puak “kecewa” ini nanti akan berakhir dengan kekecewaan mereka pula. Kerana ia tidak mampu bertahan dan akan berkubur begitu sahaja sebagaimana usaha yang sama yang pernah dilakukan oleh puak-puak seumpama mereka sebelum ini.


Saya melihat ada dikalangan ahli-ahli PAS yang pada awalnya berjaya dipujuk dan dirayu oleh puak-puak “kecewa” ini hari ini secara perlahan-lahan mula dan telah menjauhkan diri dan tidak mustahil akan kembali bersama PAS. Mungkin pada awalnya kekecewaan benar-benar telah merasuk tubuh dan perasaan segelintir mereka, tambahan yang kecundang itu kawan-kawan dan kenalan rapat belaka, akan tetapi setelah berfikir panjang dan menyedari perjuangan Islam yang dipelopori PAS ini bukan mudah mahu digantikan semata-mata atas kekecewaan pihak-pihak tertentu, akhirnya mereka memilih untuk kembali bersama PAS.


Pokoknya kita perlu bersabar dalam menekuni jalan perjuangan yang penuh berliku ini. Kita berjuang untuk mendapat redha dan pertolongan Allah, kerana itu kita disarankan beristiqamah, barulah redha dan pertolongan itu dengan izin Nya akan tiba.


Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar PAS ke 61 lalu menyebut:


Tiga prinsip utama yang perlu kita pegang bagi mendapatkan pertolongan Allah swt iaitu, pertama berpegang dengan Islam, kedua tidak melampau dan ketiga tidak terpengaruh dengan mereka yang zalim.


Dalam hal ini saya pernah terlibat dalam memujuk seorang pemimpin kanan PAS agar isitiqamah bersama PAS dalam satu krisis lain lewat tahun 2011 dahulu. Saya dan Khairuddin Othman, sekarang YB dan ADUN PAS Paya Jaras, telah memujuk pemimpin berkenaan agar bersetuju untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan Tuan Guru Presiden PAS bagi berbincang. Mungkin nasihat Tuan Guru boleh meredakan hatinya yang kecewa dan berkecamuk ketika itu.


Apa yang saya mahu utarakan di sini adalah nasihat yang dibawa Tuan Guru ketika itu. Tuan Guru dengan panjang lebar mengisahkan pengalaman pejuang besar Islam satu ketika dahulu iaitu Salahauddin al Ayubi atau Saladin menurut catatan sejarah Barat.


Salahuddin ini rupanya bukan sekadar pemimpin dan pejuang Islam yang besar, tetapi lebih penting lagi beliau menjadi begitu kerana memiliki kualiti yang besar, iaitu besabar dan dalam waktu yang sama beristiqamah dalam menggalas tanggungjawab perjuangan.


Kata Tuan Guru ketika dilantik menjadi Jeneral mewakili kerajaan Abasiyyah ke Mesir yang ketika itu di bawah kerajaan yang dipengaruhi fahaman Syiah, Salahuddin keberatan untuk pergi kerana tidak redha dengan fahaman berkenaan. Pemerintah Mesir ketika itu kuat berpegang dengan fahaman dan amalan Syiah sedangkan Salahuddin berpegang pada ahli Sunnah wal jamaah.


Namun disitulah kualiti kepimpinannya yang penuh dengan kesabaran dan istiqamah akhirnya membuahkan kejayaan.


Dalam sabarnya, Salahuddin istiqamah menerapkan fahaman dan ajaran Islam sebenarnya secara berpeingkat-peringkat dan akhirnya apabila pemerintah Mesir itu meninggal dunia tanpa wairs, Salahuddin diangkat menjadi pemerintah dan dengan kuasa yang ada beliau terus memusnahkan segala amalan dan simbol Syiah di Mesir, satu kejayaan yang kekal hingga ke hari ini.


Kiranya Salahuddin yang berdarah muda itu tidak sabar dan bertindak melampau sebelum memperolehi kuasa penuh, pastinya masyarakat Mesir ketika itu akan menolaknya dan kuasa serta pemerintahan yang ada akan menentangnya.


Tetapi kerana Salhuddin bijak mengatur langkah dan yang paling penting sabar dan istiqamah, beliau berjaya dan malah kualiti itulah di bawanya hingga menawan Baitumuqaddis kemudiannya.


Saya sungguh kagum dengan kupasan Tuan Guru ketika itu, malangnya pemimpin kanan PAS yang kami bawa ketika itu, tidak dapat menghadamkan mutiara yang dihidangkan oleh Tuan Guru. Akhirnya beliau dipecat dan saya yakin hari ini pasti terlintas di hatinya, kiranya beliau dulu menerima nasihat Tuan Guru itu pastinya beliau hari ini akan menempa kejayaan sebagaimana Salahuddin!


Apa pun bagi kawan-kawan kita yang terpesona atau terbawa-bawa dengan pujuk rayu golongan kecewa ini, semoga mereka memikirkan masak-masak dan kembali ke pangkuan PAS.


Dalam menghuraikan tiga prinsip utama istiqamah tadi Tuan Guru Presiden menyebut:


“Ketiga-tiga prinsip ini adalah bagi mencapai kemenangan yang luas berkekalan sepanjang dunia hingga akhirat. Memberi kebahagian bagi diri, keluarga dan masyarakat. Kita mahu berjaya di dunia sehingga memerintah negara berkebajikan terhadap rakyat dan mengurus alam melalui pertolongan Allah.”


Dengan kesabaran dan istiqamah datanglah apa bentuk cabaran dan tribulasi sekalipun, insyallah PAS, pemimpin dan ahli-ahlinya akan kekal melangkah gagah sebab PAS bukan seperti parti-parti politik lain, PAS bukan berjuang untuk kepentingan individu atau kelompok, PAS adalah Gerakan Islam.


Sabar dan istiqamah kualiti kejayaan pimpinan Islam sejak dahulu, dan kualiti inilah juga yang jika kita miliki akan bakal melonjakkan PAS sehingga berjaya nanti.

Tuesday, September 01, 2015

Bahtera ini akan kekal selamat



Terpapar di dada akhbar muka depan Sinar Harian hari ini wajah Mat Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS mengucapkan “Selamat tinggal PAS”.

Beliau mengisytiharkan gerombolan kecewanya telah mengambil-alih “Workers Party” dan sedang menunggu kelulusan nama baru iaitu “Parti Amanah Negara” sebagai wadah baru menggantikan Gerakan Harapan Baru nya.

Parti baru yang kononnya juga mahu memperjuangkan Islam itu khabarnya akan dilancarkan secara rasmi pada 16 September nanti dengan jangkaan keahlian seramai 35,000 orang.
Beberapa wakil rakyat PAS samada ahli Parlimen mahupun DUN dijangka menurut langkah Mat Sabu antaranya yang tersenarai dalam Jawatankuasa protem parti baru ini dan yang selebihnya disebut-sebut menuruti mereka.

Antara yang tersenarai adalah ahli-ahli Parlimen Parit Buntar, Kota Raja, Kuala Krai, Shah Alam dan Sepang manakala ADUN yang turut serta adalah ADUN Pengkalan Kundor, Kedah (Phahrolrazi), Changkat Jering, Perak (Nizar Jamaluddin), Hulu Klang (Saari Sungib) dan Morib (Hasnul) Selangor dan Parit Yaani, Johor (Aminnolhuda).

Tumpat dan Kuala Terengganu juga dijangka menurut jejak rakan-rakan kecewa mereka.

Apa pun pertamanya PAS akan menyaksikan beberapa kerusinya di “culik” ganti kepada nama parti baru ini. Tindakan sebegini sebagaimana tindakan 3 ADUN Perak yang mengakibatkan runtuhnya kerajaan Pakatan Perak pasca PRU 2008 dahulu sudah tentulah tidak bermaruah dan tidak profesional sungguhpun mereka mendakwa mereka mewakili golongan profesional konon-kononnya.

Segala kudrat dan kekuatan ahli-ahli parti diperah disamping belanja dikorbankan untuk memenangkan mereka ini tetapi tanpa segan dan maruah mereka sanggup merampas kerusi-kerusi PAS itu dan mendakwa ia milik mereka.

Keduanya tindakan mereka melahirkan sebuah lagi parti Islam, sudah pastilah terang-terangan mengancam kedudukan PAS. Mereka pasti disasarkkan oleh “tuan-tuan politik” mereka untuk menentang dan melawan PAS di kerusi-kerusi tradisional PAS. Maka bersedialah mereka untuk menumbangkan PAS di Kelantan selain merampas kerusi-kerusi PAS di negeri-negeri lain termasuklah Selangor.

Umno menerima bonus besar dengan kelahiran mereka ini.

PAS kekal sebagai satu-satunya wadah umat Islam bergerak melalui politik di Malaysia sejak penubuhannya lagi. Adalah satu dua parti yang turut membawa jenama Islam, yang mahu menyaingi PAS sebagaimana kumpulan Mat Sabu ini, tetapi semuanya kecundang setakat ini.

Bermula dengan Berjasa, kemudiannya Hamim, AKIM, Islah dan lain-lain.
Sepatutnya seluruh tenaga dan kekuatan umat Islam tertumpu pada satu wadah lebih-lebih lagi dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia. Perpecahan begini jika dibiarkan hanya akan menguntungkan pihak musuh.

Almarhum Prof Zulkifli Mohamad pernah menukilkan dalam makalah Suara Islam antara tahun 1958-62 berkenaan perkara ini.

Beliau menulis:
(1958)

Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan bahawa kejatuhan sesuatu umat ialah kerana banyak perselisihannya. Inilah yang ada pada umat Islam hari ini. Kadang-kadang jika tidak ada apa yang akan diperselisihkan sengaja kita cari-cari supaya ia timbul.

(1962)
Islam menghendaki semua tenaga digembelingkan dan dipadukan bagi mewujudkan sesuatu kekuatan Islam di negeri ini.

Lebih 50 tahun dahulu tokoh besar Islam ini telah mengesan dan menjangkakan berlaku pertelagahan antara umat Islam ini. Namun Alhamdulillah di Malaysia setakat ini lahirnya parti Islam baru untuk menyaingi atau menandingi PAS semuanya gagal.

PAS sesungguhnya telah menjadi sebuah institusi dalam masyarakat Malaysia yang disegani dan dihormati. Ia diiktiraf sebagai sebuah parti Islam yang berprinsip dan konsisten dengan tuntutannya, ia melahirkan pemimpin yang bersih yang bekerja untuk masyarakat dengan kualiti yang disenangi dan boleh diterima.

Jangankan orang-orang Melayu, yang Cina, India dan lain-lain sudah menganggap PAS sebagai sebahagian dari masyarakat. PAS malah sudah sebati dalam masyarakat dan terlibat dalam gerak kerja dakwah, pendidikan dan kerja-kerja kemasyarakatan yang dialu-alukan oleh masyarakat disetiap peringkat.

Institusi ini dibina lebih 60 tahun, ia teguh, kukuh dan tidak mudah mahu dikesampingkan begitu sahaja apatah lagi oleh sebuah parti yang terdiri dari mereka yang kecewa dan ditolak oleh ahli-ahli PAS sendiri.

Tuan Guru Presiden PAS seakan telah menjangkakan perkara ini bakal berlaku apabila dalam Ucapan Penggulungannya dalam Muktamar PAS yang lalu beliau berkata:

Saya  minta ahli-ahli kita, penyokong-penyokong kita bersama bahtera ini. Bahtera PAS. Jangan bocorkan bahtera ini. Walaupun tak puas hati dengan makanannya, tak puas hati dengan masanya, pelayarannya lama sangat, nak terjun cepat.

Ada yang terjun. Pelayarannya lama sangat  lari kepada bahtera lain . 

Mereka yang lari ke bahtera lain tak selamat.

Alhamdulillah walaupun kita mengalami gelombang yang sangat dahsyat, rebut taufan yang sangat kuat melanda kita sehingga hari ini Allah menjadikan bahtera kita selamat.

Pergilah Mat Sabu dan rakan-rakannya jika mereka yankin yang mereka boleh berdiri sendiri dan dalam waktu yang sama menggantikan peranan PAS.

PAS telah pernah lihat pimpinannya meninggalkan parti sebelum daripada ini, tetapi bahtera PAS terus berlayar menuju destinasi. Bagi mereka yang mengkhianati PAS dengan membawa lari kerusi milik PAS, pasti tindakan mereka yang zalim itu tidak akan membawa senang buat hidup mereka.

Mat Sabu memilih untuk menjadi musuh politik PAS. Saya yakin ahli-ahli dan penyokong PAS bersedia menghadapi beliau dan gerombolan kecewanya sebagaimana PAS menghadapi Umno, BN dan lain-lain.

Selamat jalan Mat Sabu.

Selamat jalan Abang Mat

(Dari facebook Roslan SMS)

Semasa bersama kami dulu Abang Mat kami hormati dan naikkan walaupun Abang Mat taklah punya kelayakkan hebat mana tetapi kerana kesungguhan dan semangat Abang Mat kami lonjakkan membelakangkan mereka yang lebih layak dan para ulamak.

Kami jaga kebajikan Abang Mat. Dan Abang Mat kini terima pencen ahli Parlimen 3 penggal hasil dari susah payah dan pengorbanan orang-orang kami di bawah.
...
Jawatan kedua tertinggi parti kami beri kepada Abang Mat mengalahkan para ulamak kerana kami percayakan Abang Mat.

Tiba-tiba apabila tewas jawatan Abang Mat terus merajuk dan memburukkan parti dan pimpinan. Abang Mat lupakan kami yang banyak berkorban untuk Abang Mat dulu.

Macam Nakhaei yang Abang Mat kutuk masa lompat masa Umno dulu Abang Mat pun rupanya lebih kurang sama.

Mungkin tawaran dan janji-janji DAP lebih hebat dan mengkagumkan Abang Mat dari cita-cita bersama yang kita kejar dulu.

Pergilah Abang Mat dulu kita sahabat tetapi apabila Abang Mat sendiri pilih untuk jadi pengkhianat hari ini kita bertarung. Cita-cita perjuangan Islam dan jemah PAS ini serta kepimpinan ulamaknya lebih mahal dan berharga buat kami dari Abang Mat hari ini.

Abang Mat yang pilih begini. Kami insyallah akan pertahankan PAS walau terpaksa berdepan dengan Abang Mat sekalipun.

Allahuakbar!!!