Friday, September 11, 2009

Apabila Dr M campur urusan MIC, mengapa tidak?

Menurut laporan The Star Online Samy Vellu, Presiden MIC naik berang apabila bekas PM Tun Dr Mahathir dikatakan telah menyatakan sokongan kepada Dato S. Subramaniam untuk jawatan Timbalan Presiden MIC. (Samy sokong calon lain)

Kata Samy, Tun Dr M tidak berhak mencampuri urusan parti beliau. Malah katanya semasa Tun berkuasa dahulu beliau (Tun) pernah mengingatkan agar parti-parti komponan tidak mencampuri urusan parti komponan yang lain.


MIC akan berhadapan dengan pemilihan pucuk pimpinan partinya dan Samy telah pun menang tanpa bertanding sebagai Presiden parti untuk kesekian kalinya.

Melihatkan polemik dalam MIC ini saya teringat buku The Tunku Tapes karangan mendiang K. Das. Di dalamnya Tunku pernah menyatakan pada Das berkenaan asal-usul dan salasilah Tun dengan panjang lebar. Kalau anda berpeluang membacanya anda akan menyedari mengapa Tun berminat dalam politik MIC dan mengapa Samy sepatutunya tidak marah-marah pada Tun.

Sunday, September 06, 2009

Tiada siapa yang disaman

Kebelakangan ini agenda untuk jatuh menjatuh ini semakin ganas dan menunjukkan belangnya. Mana sahaja ada ruang untuk melompat dan mencederakan musuh, akan diperguna tak kiralah ianya berasas atau bersandarkan igauan dan cerita-cerita karut. Itulah dunia hari ini.

Saya sendiri terkejut semalam apabila dihubungi oleh seorang wartawan akhbar harian Cina, benarkah EXCO Agama Selangor, Dato Dr Hasan Mohamed Ali disaman (dititahkan mengadap) Tuanku Sultan Selangor? Saya lalu bertanya dari mana saudara dapat maklumat ini, katanya berdasarkan laporan beberapa portal berita diinternet. Begitulah kalau kita ada agenda tertentu.








Saya jelaskan Dr Hasan ini memegang portfolio Agama dan Adat Istiadat Melayu (selain infrastruktur dan kemudahan awam), oleh kerana bidang ini berkait rapat dengan Tuanku Sultan maka bila sahaja perlu Dr Hasan boleh dipanggil mengadap. Malah beliau pun sendiri apabila sahaja merasakan perlu untuk menyembah maklum kepada Tuanku, boleh mohon untuk mengadap.

Pertemuan ini bukan luar biasa, malah sebahagin dari rutin seorang EXCO yang memegang portfolio berkenaan.

Sementara itu pelbagai spekulasi dijaja dan dijual oleh laman-laman web dan portal berita tertentu.

Yang sahihnya Dr Hasan tidak disaman tetapi beliau sendiri yang mohon mengadap. Pemberita mengadu Dr Hasan tidak berhenti dipagar istana, tempat dimana pemberita menunggu beliau untuk mendapatkan maklumat.Jawapnya ini pertemuan rutin dan ini melibatkan Tuanku Sultan, tiada apa yang mahu dilaporkan malah kalau pun ada itu prerogatif dan hak Tuanku bukannya ahli EXCO.

Kepada sepkulator murahan, minta maaf, Dr Hasan masih EXCO Selangor, masih Pesuruhjaya PAS Selangor masih AJK PAS Pusat. Esok kalau senang bolehlah berjumpa beliau di tempat letak kereta Komplek PKNS Shah Alam bermula jam 5 petang dimana PAS Selangor akan mengedar-edarkan bubur lambok kepada rakyat.
Hanya kewarasan mampu selesaikan konflik

Siapa yang mungkin terlepas pandang dari aksi penduduk seksyen 23 ketika berdailog dengan MB Selangor dan pihak MBSA di Shah Alam baru-baru ini mengenai pemindahan kuil Hindu dari seksyen 19 ke kawasan mereka. Beberapa akhbar arus perdana sengaja meletakkan gambar-gambar pencetus huru-hara ini di muka depan akhbar mereka hari ini.

Kononnya mereka mahu ditabal sebagai wira dan juara.







Majlis ini adalah majlis dialog. Penduduk dibenar berjumpa dengan MB dan pihak MBSA. Kalau dialog bermakna semua pihak dibenar memberikan pandangan dan menyuarakan cadangan. Kita tidak perlu menjerit-jerit apalagi bersikap biadap dan kurang ajar untuk mengemukakan hujah kita. Ini pertemuan rasmi, biarlah semua memelihara akhlak dan tutur kata. Tetapi tidak. Bagi sesetengah kalangan menjerti-jerit, melompat-lompat dan bertindak kurang ajar itulah yang paling cerdik dan tepat bagi mereka.

Sehingga mereka lupa apakah matlamat utama mereka ke sana. Jika matlamatnya untuk membuktikan kepada MB bahawa penduduk seksyen 23 yang majoriti Melayu tidak dapat menerima sebuah kuil Hindu di kawasan mereka, saya kira cukup dengan mengemukakan petisyen tandatangan kepada MB.

Tetapi jika punya agenda tertentu, mahu mengambi lkesempatan memalukan kerajaan, merendah-rendahkan kerajaan, ternyata mereka sekadar membawa aib kepada diri mereka dan kumpulan mereka. Tambah antara yang bankti berucapitu termasuklah pemimpin Umno peringkat cawangan.

Majlis ini kini sudah berlalu dan menurut MB pihak kerajaan negeri tidak akan berdailog lagi dan akan mengkaji keputusan yang telah dibuat.

Iktibar dari majlis ini, sikap kurang ajar dan kasar dalam berbincang, dalam berbahas dan dalam mengemukakan hujah secara sivil memang tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kadang-kadang kita sangka kita boleh jadi popular, boleh jadi juara kerana menguasai situasi dengan hujah yang hangat dan membakar semangat, tetapi rupa-rupanya kita tidak sedar yang ramai melihat dan menilai gelagat kita. Ramai yang jadi mual dan benci, sedang kita berangan kitalah yang paling baik dan popular.

Bagi juak-juak yang meriuh-rendahkan suasana itu, mereka sudah pasti akan dicap sebagai gerombolan yang tidak berakhlak dan kuarng ajar.Tambah jika mereka dikaitkan dengan parti yang mereka wakili maka selamanyalah rakyat akan membenci parti mereka itu.

Sementara bagi kita semua yang lain belajarlah dari peristiwa ini. Jika kita tidak suka diperlakukan demikian jangan perlakukan orang lain begitu. Saya percaya pandangan yang terbaik adalah berdasarkan hujah lawan hujah secara teratur dan penuh hormat menghormati. Dalam hal ini saya terpaksa akui bahawa antara pemimpin yang paling tenang dan percaya kepada kaedah ini danmengamalkannya adalah MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri. Dalam beberapa pengalaman saya bersama beliau saya dapati beliau antara tokoh yang tidak mudah melatah dan emosional. Boleh berhujah dan menerima hujah. Inilah bukti pemimpin yang baik. Kita tidak akan jadi begitu kalau kita harapkan orang lain begitu sedangkan kita sendiri tidak.

Semoga selesailah masalah ini dengan kebijaksanaan Tan Sri Khalid.

Saturday, September 05, 2009

Isu arak kini Umno bagaimana?

Dalam kesungguhan PAS Selangor mengenengahkan dengan berani dan tanpa kompromi keperluan arak diharamkan dikalangan masyrakat Islam khasnya di kawasan majority Islam, tiba-tiba Umno yang berkuasa diperingkat pusat menelanjangkan kejahilan mereka. Kalau sebelum ini kita lihat saki baki Umno di Selangor berdemonstrasi kononnya mahu menjuarai pengharaman arak di Selangor ini (walaupun dizaman mereka tidak pula mereka pedulikan) kini kita lihat bapa dan abang-abang mereka diperingkat pusat lebih ghairah menggalakkannya.







Bermula dengan konsert kumpulan hip hop Amerika, Black Eyed Peas yang dijadual diadakan di Sunway Pyramid (kawasan yang kerajaan pusat isytihar sebagai bengkung pelancongan dan boleh beroperasi sehingga jam 3 pagi) pada 25 September nanti. Istimewanya konsert ini bahawa ia diadakan bersempena ulangtahun ke 250 jenama arak Guiness Stout (di Malaysia sahaja jualan syarikat arak ini mencecah RM1.2 bilion ringgit pada tahun 2008).

Berbagai pihak menuntut agar kerajaan pusat yang didominasi Umno (yang mendakwa merupakan pembela Islam) agar membatalkan konsert ini kerana tujuan dan impaknya terhadap masyarakat khasnya umat Islam. Asalnya Kementerian Penerangan menyatakan bahawa konsert ini akan diteruskan tetapi terbuka hanya untuk masyarakat “bukan Islam”. Tanpa diduga tak sampai beberapa hari larangan itu ditarik balik.

Kononnya menurut Menteri berkenaan Rais Yatim, kerajaan tidak punya kuasa untuk melarang sesiapa dari menghadiri mana-mana pihak majli hiburan. Tiba-tiba kerajaan yang boleh menahan orang tanpa bicara ini, menyeret wakil rakyat macam penjenayah, melepaskan peluru hidup ke atas rakyat yang berdemonstrasi secara aman, menjadi dayus dan lemah tak bermaya.

Terpulanglah kepada umat Islam menurut Rais untuk mempertimbangkan sendiri samada mereka boleh atau tidak menghadiri konsert seumpama ini.







Bagi saya perubahan sikap ini menunjukkan yang Umno sebenarnya tidak pedulikan kerja-kerja mencegah kemungkaran. Bagi saya perubahan sikap ini membuktikan yang Umno kini sudah dipengaruhi dengan trend bahawa amar makruf nahi mungkar kini bukan lagi tanggungjawab kerajaan tetapi masing-masing individu.

Saya mendapat maklum yang konsert ini rupanya terpaksa diteruskan kerana ianya akan ditayangkan secara ke seluruh dunia, ia bakal membawa keuntungan lumayan kepada penganjur dan hasilkepada kerajaan. Kerajaan bersedia menerima hasil walaupun ianya bakal merosakkan rakyatnya!

Saya berharap umat Islam akan keluar beramai-ramai untuk membantah konsert arak ini. Pemuda PAS mungkin boleh bertanya kepada rakan mereka Pemuda Umno, adakah kali ini mereka bersedia berdemonstrasi sekali membantan keputusan kerajaan Pusat yang didominasi oleh bapa dan abang-abang mereka itu.







Ini sesungguhnya bukan isu PAS atau Umno atau sesiapa pun, ini isu maruah, nasib dan masa depan umat Islam. Kita berikan kuasa kepada mereka mengharapkan yang mereka akan berusaha mempertahan dan memelihara aqidah dan keimanan kita. Jika mereka gagal atau tiada “political will” tak kiralah dia PAS atau Umno atau PKR maka kita selaku umat Islam berhak menuntut atau membuat perubahan.

Al Quran yang diturunkan kepada umat manusia dalam bulan Ramadhan ini bertujuan memandu kita sebagai petunjuk dan memberikan keterangan kepada kita antara yang hak dan yang batil. Jangan kekal bersama yang batil, doakan semoga Ramadhan memberikan keinsafan pada kita agar bersama yang hak dan yang benar, Islam insyallah memimpin perubahan.

Thursday, September 03, 2009

Lepas 31 Ogos kini 16 September

Kawan saya Lim Hong Siang menyiarkan artikel bertajuk “Rampasan kuasa di Selangor: Perancangan 16 Sept berulang” tulisan Wong Shu Qi dan disunting oleh beliau dalam laman web Merdekareview yang mana beliau adalah editornya. (Sebelum ini ada pihak dalam BN menyebut 31 Ogos).

Artikel ini yang boleh dibaca di http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=10309
memperkenalkan kononnya formula lompat parti 3-2-3 yang dijadualkan berlaku dalam tempoh terdekat yang bakal merebahkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebagimana rebahnya kerajaan Perak iaitu melalui “politik pintu belakang”. 3-2-3 yang dimaksudkan adalah bakalnyal berlaku lompatan ADUN-ADUN dari Pakatan Rakyat iaitu 3 dari PKR 2 dari DAP dan 3 dari PAS.

Malangnya analisa Wong itu tidak pula menghuraikan bagaimana perancangan ini bakal berlaku dan dilaksanakan dan apakah faktor pendorongnya. Ia sekadar menembak curi dan lebih bermain dengan lagu-lagu nyanyian Umno dan BN di Selangor tiada asas dan hujah serta bukti yang kukuh.

Antara nama-nama yang disebut bakal melompat termasuklah kononnya Dato Dr Hasan Ali (PAS), Amiruddin Shaari (PKR) dan Badrul Hisham (PKR). Siapa dua lagi dari PAS? Siapa satu lagi dari PKR dan siapa dua dari DAP itu?

Analisa beliau menggunakan pula hujah dari dua pimpinan DAP Selangor iaitu Teresa Kok dan Teng Chang Khim yang kononnya menyebut bilangan yang bakal lompat dan kemungkinan siapa yang bakal lompat. Kenapa Teresa dan Teng dikecualikan? Kenapa mereka pun tidak disenaraikan sebagai punya potensi melompat dari 13 ADUN DAP?

Bagi saya analisa ini sangat meleset dan murahan dan malah tidak layak duduk di Merdekareview yang biasanya terbit memaparkan tulisan yang kritikal dan bekualiti.

Saya sendiri semalam ditanya oleh seorang pemberita akhbar Cina tentang khabar angin ini. Bagaimana dengan ADUN-ADUN PAS tanya beliau? Saya nyatakan kesemua lapan ADUN PAS Selangor sedang sibuk bekerja di bulan Ramadhan ini, padat dengan program yang disusun parti selain aturcara masing-masing sebagai EXCO dan ADUN. Mereka tidak lari dan tidak menyembunyikan diri (satutindakan biasa bagi ADUN yang mahu lompat). Saya nyatakan bahawa saya sungguh yakin insyallah tidak ada seorang pun ADUN PAS yang tergamak untuk melompat apalagi menyumbang kea rah kejatuhan kerajaan ini.

PAS mungkin ada berbeza pandangan dalam hal-hal tertentu dalam mentadbir Selangor, tetapi semuanya ditangani melalui musyawarah. Pimpinan PAS Selangor sentiasa rapat dengan pimpinan PAS disemua peringkat, tidak terasing atau berjalan sendiri-sendiri. Diperingkat Selangor forum politik tertinggi iaitu Majlis Pakatan Rakyat berjalan lancar, menemukan 6 pimpinan tertinggi masing-masing parti setiap dua minggu sekali secara konsisten dan insyallah esok adalah mesyuarat seterusnya.

Ringkasnya bagi PAS, perjuangan lebih 50 tahun di bumi politik Selangor yang sungguh gersang ini kini membuahkan hasil dengan menjadi sebahagian dari kerajaan yang memerintah bumi bertuah ini. Doa, pengorbanan dan airmata yang ditumpahkan oleh para pejuang yang awal insyallah tidak akan dipersia-siakan apalagi mandat yang diberikan rakyat pada PRU12 lalu.

Hubungan PAS dengan PKR dan DAP berjalan baik. Tidak dapat dinafikan terdapat perbezaan disana-sini tetapi ia semakin mesra dan masing-masing mula faham-memahami dan hormat-menghormati. Yang pentingnya negeri ini perlu ditadbir secara yang terbaik, biar lebih baik dari mereka yang sebelumnya.

Kesimpulannya saya percaya kerajaan negeri ini akan mampu bertahan sehingga tamat penggalnya. Jika ada pun yang mahu melompat, ia tindakan orang yang kecewa dan menggadaikan amanah rakyat. PAS insyallah akan kekal 8 walau apa berlaku. Sejarah daya tahan dan kekuatan dalaman wakil-wakilrakyat PAS telah lama terbukti. Kali terakhir wakil rakyat PAS meninggalkan parti adalah lebih 30 tahun lalu apabila berlaku krisis politik Kelantan sehingga lahirnya Berjasa dan Hamim.

Tuduhan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor oleh Wong sangat jahat, lebih-lebih lagi tiada ruang diberikan untuk Dato Hasan membela diri atau sekurang-kurangnya pimpinan kanan PAS Selangor diminta pandangan. Biarlah Umno dan BN Selangor bersedap-sedap menunggu 16 September bersama Wong, kami dari PAS Selangor dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ada banyak tugas dan kerja yang perlu dilaku dan dibereskan.

Saya menunggu reaksi Wong 17 September nanti.
Apabila gadis Amerika yang memelihara aurat berjaya

Saya tertarik dengan laporan akhbar The Star pagi ini berkenaan Majlis Iftar yang dianjurkan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Washington DC. Memang Obama bukannya Presiden Amerika yang pertama menganjurkan majlis berkenaan kerana ia pernah dianjurkan oleh beberapa Presiden sebelumnya. Tetapi apa yang saya mahu kongsikan di sini adalah peristiwa yang berlaku dalam majlis berkenaan.





Dalam ucapannya Obama turut memperkenalkan kepada mereka yang hadir salah seorang jemputan khasnya iaitu seorang gadis Amerika kulit hitam bernama Bilqis Abdul Qaadir. Beliau menganggap pencapaian Bilqis boleh memberikan inspirasi bukan hanya kepada gadis Muslim yang lain malah seluruh rakyatnya.






Bilqis merupakan pelajar cemerlang yang kini menuntut di Universiti Memphis, dan kecermerlangannya bukan hanya pada bidang akademik malah termasuklah sukan bolajaring sejak dari bangku sekolah lagi. Dan yang hebatnya bagi saya pencapaian ini diperolehi Balqis dalam keadaan beliau memelihara auratnya sebagai seorang Muslimah.

Semoga kejayaan beliau ini akan mengangkat martabat wanita Muslim dan mematahkan tohmahan golongan yang menganggap kewajiban menutup aurat bagi wanita Islam adalah suatu penghalang dan menyekat kemajuan.

Kalau gadis Amerika Syarikat, sebuah negara maju yang dipandang tinggi oleh dunia boleh menempa kejayaan seumpama ini, yang di Malaysia bagaimana? Mudah-mudahan semangat Ramadhan mengetukdan membuka pintu hati kita bagi menerima bahawa yang hak itu hak dan yang batilitu batil, insyallah.

Berikut adalah laporan dari Jamaah at Taqwa berhubung gadis ini yang boleh dibaca di:

http://www.shawuniversitymosque.org/JTaqwa/modules.php?name=News&file=print&sid=2217

Bilqis Abdul-Qaadir walks quietly through the halls of the New Leadership Charter School. She is soft-spoken and polite. The youngest child of a devout Muslim family, the 5-foot-3-inch senior believes in modesty, and is determined not to call attention to herself.
Bilqis cannot help standing out. For one thing, she is the top-ranked student in her class. She wants to study pre-med in college with an eye toward being a cardiac surgeon. "The heart," she says, "is most interesting to me."
Then there is her presence on the basketball court, where she is a magnet for the eyes of all fans, and not just because she competes with her legs and arms completely covered beneath her uniform, and with a hijab (or head scarf) over the top of her head. The point guard dazzles every night with a game that is a nonstop whir of creative fury. She darts into the lane against much bigger players, flicking in layups and reverses and hitting teammates with no-look passes. She drains pull-up jumpers and step-back 3-pointers. Despite a steady diet of double-teams and box-and-one defenses designed to stop her, she is averaging, this season, an astonishing 41.3 points per game.
A fifth-year varsity player, Bilqis (pronounced BILL-KEACE) will attend the University of Memphis this fall on a full scholarship and will become the first player at a top tier Division 1 school to compete in full Muslim dress.

Tuesday, September 01, 2009

Selamat ulangtahun kemerdekaan ke 52

Dalam akhbar Sinar Harian hari ini Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dipetik sebagai berkata bahawa perjuangan kemerdekaan yang sebenar di negara ini masih belum selesai. Menurut Tuan Guru perjuangan kemerdekaan yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah pembebasan manusia dari pengabdian diri pada sesama manusia kepada pengabdian diri kepada Allah swt.

Tuan Guru membuat kenyataan tersebut sempena ulangtahun ke 52 kemerdekaan negara semalam.

Kenyataan beliau itu sudah pastilah merujuk kepada kenyataan Rabie bin Amir kepada Panglima Maharja Parsi bernama Rustam di medan perang al Qadasiyah dizaman Sayidina Omar al Khattab. Apabila ditanya berkenaan tujuan atau matlamat tentera Islam ketika itu, Rabie berkata:

“Allah membangkitkan kami (orang-orang Islam), untuk kami mengeluarkan (memerdekakan) manusia dari mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada ALLAH SWT, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”

Lantaran itu perjuangan menuntut kemerdekaan yang hakiki ini perlu diteruskan. Perjuangan untuk memerdekakan manusia dari pergantungan kepada sesama manusia, ke arah menyedari dan menginsafi bahawa pergantungan hidup hanyalah pada Allah swt perlu terus dipacu. Ianya bukan mudah, ianya tidak senang malah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tribulasi.

Bagaimana kita mahu mendakwa telah merdeka sedangkan ketentuan Allah swt dicabar dan diragui? Bagaimana kita mahu mendakwa telah merdeka sedangkan usaha ke arah yang makruf dipandang rendah dan dihina tetapi kerja-kerja maksiat disanjung dan dipuja.

Oleh itu teruskanlah perjuangan kita sehingga tercapai kemerdekaan yang sebenar itu.