Ianya digantung pada 2 Mac 1965 berikutan Peristiwa Konfrantasi Malaysia – Indonesia. Konfrantasi ini adalah “peperangan” Malaysia-Indonesia, apabila Presiden Sukarno enggan mengiktiraf penubuhan Malaysia pada tahun 1963 yang beliau anggap sebagai suatu usaha British untuk menegmbalikan Imperialismanya di rantau ini.
Ketegangan berlaku di antara dua Negara, malah sehingga
berlaku pendaratan tentera Indonesia di Tanah Semenanjung, sesuatu yang sangat
dikesali ketika itu tetapi malangnya tidak banyak yang maklum atau
mengingatinya.
Ia menjadi tegang kerana Malaysia dan Indonesia sesungguhnya
satu rumpun, keluarga yang rapat, lalu apabila berlaku “peperangan” terdapatlah
pihak-pihak, kumpulan dan individu tertentu di Malaysia lantaran agenda atau
ikatan tertentu sehingga ada yang menyokong sikap Sukarno, bersimpati pada
Indonesia lantas khianat pada Malaysia.
Berbalik kepada pilihanraya PBT tadi. Ekoran kegawatan
hubungan dua Negara, dan suasana tempatan yang tegang maka pilihanraya PBT yang
digantung pada tahun 1964 itu akhirnya dimansuhkan sama-sekali dengan lulusnya
Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan Akta Pilihnaraya Kerajaan Tempatan
1960.
Banyak pihak yang terlibat dalam mengkaji dan menilai semula
pilihanraya PBT ini dalam skop amalan dan realiti sosial dan politik di
Malaysia terutama dengan penubuhan Suruhanajaya Di Raja Athi Nahappan 1965.
Antara penemuan terbesar adalah bahawa terdapat kelemahan pengurusan PBT-PBT
termasuklah salah-urus kewangan serta sistem dan amalan berbeza-beza antara
satu PBT dengan yang lain. Antaranya:
…..the power in financial system among the local authority
so weak and inefficient. The weaknesses in terms of financial and administration
had slow down the project that was planned (especially due to lack of
professional’s staff).
Lantaran penemuan-penemuan seumpama ini dan mengambil kira
suasana sosial dan politik semasa maka Akta Kerajaan Tempatan 1976
diperkenalkan yang memberi kuasa melantik ahli-ahli majlis PBT kepada PBN
(pihak berkuasa negeri) iaitu kerajaan negeri.
Ringkasnya demi membaik-pulih sistem pentadbiran dan
pengurusuan PBT seluruh Negara dan memastikan ianya selari dengan sistem yang
diamalkan di kerajaan negeri dan Persekutuan hasilnya 3 undang-undang baru
diwartakan yang mengubah secara langsung sistem kerajaan tempatan di negara
ini, iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Kerajaan
Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Hari ini setelah 39 tahun Akta Kerajaan Tempatan 1976
berkuatkuasa dan diamalkan dengan baik dan lancar, terdapat pihak-pihak yang mahu mengembalikan pilihanraya kerajaan
tempatan semata-mata atas tuntutan demokrasi. Berikan kuasa terus kepada
pembayar hasil atau rate payers agar mereka memutuskan siapa yang mahu mereka
letak sebagai wakil mereka dalam PBT masing-masing. Dan biarkan mereka mengurus kewangan dan pentadbiran mereka masing-masing.
Adakah kita telah mengambil kira pengalaman mereka yang
terdahulu dari kita sehingga mengakibatkan pilihanraya berkenaan digantung pada
2 Mac 1965 lalu melalui desakkan ini?
Benar kita mahu amalan demokrasi didaulatkan, namun demikian
ianya perlulah menurut acuan dan suasana setempat. Kerana itu ada amalan
demokrasi yang diamalakan di dunia maju tetapi tidak di Negara kita, kerana
apa, kerana kita mengiktiraf, menghormati dan tunduk kepada acuan dan amalan
serta suasana di Negara kita.
Kita letakkan “Kesetiaan kepada Raja dan Negara “ sebagai
salah satu prinsip Rukunegara yang kita junjung dan hormati. Negara lain tiada
sistem ini malah punya Presiden yang dipilih sendiri oleh rakyat. Bagi kita
sistem Raja berperlembagaan lebih cocok dan sesuai buat kita kerana itu kita
berbeza.
Begitu juga kita punya dwi sistem perundangan dalam Negara (malah
tiga sebenarnya jika mengambil kira Mahkamah Anak Negeri di Sabah dan Sarawak).
Mahkamah Sivil dan Syariah sedangkan ia tiada di Negara demokrasi lain,
mengapa? Sebab amalan dan tradisi kita berbeza, kita hormat dan sanjung amalan
kita lantas kita berbeza.
Demikian juga dalam pilihnaraya PBT ini sebenarnya.
Bukannya kita tidak mahu rakyat memilih wakil mereka
diperingkat kerajaan ketiga ini, tetapi sesungguhnya amalan yang sedia terpakai
setelah mengambil kira pengalaman yang lalu dan pengenalan Akta Kerajaan
Tempatan 1976, dilihat sudah memadai.
Suara rakyat jelas dan diwakili diperingkat Persekutuan dan
juga peringkat negeri-negeri. Mengambil kira pengalaman lalu adalah dikira,
memadai kerajaan negeri yang diberi mandatlah yang melantik ahli-ahli majlis
PBT, dan lantikkan ini atas budi-bicara negeri.
Kita harus sedari bahawa PBT ini berbeza dari satu kawasan
dengan yang lain. Ada PBT yang kedudukan kewangannya mantap dan tinggi manakala
ada pula PBT yang tidak mampu menanggung belanjanya sendiri dan ini berlaku
dalam satu negeri bukannya antara negeri-negeri.
Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam
satu kenyataannya baru-baru ini menyebut:
Lihat sahajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di
sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding dengan RM50 juta di Majlis
Daerah di kawasan desa di Selangor yang pula bermajoritikan satu kaum yang
lain.
Bermakna dalam satu negeri bukannya perbandingan antara
negeri-negeri tetapi dalam satu negeri contohnya di Selangor satu PBT
berpendapatan lebih RM250 juta setahun sedangkan satu lagi hanya RM50 juta.
Yang RM250 juta itu adalah dikawasan bandar yang majoriti bukan Melayu manakala
yang RM50 juta dalah kawasan luar bandar yang majoriti penduduknya orang
Melayu.
Kita bukan “rascist” apabila membangkitkan fakta ini tetapi
demi keadilan semua rakyat penduduk berbilang kaum, tidakkah ini kelak
menimbulkan jurang perbezaan antara kaum-kaum dalam Negara? Yang di bandar
lantaran pendapatan tinggi akan menikmati keselesaan dan pembangunan hebat,
manakala di luar bandar yang hanya diwakili satu kaum, belanja mengurus PBT pun
tidak mampu dibayar, lalu dimanakah manfaatnya pemilihan jika ia sekadar
mewujudkan jurang perbezaan seumpama ini?
Kerana itu benarlah Presiden PAS apabila beliau menyebut:
Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi
cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar,
dan yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi “api
dalam sekam” untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam
dalam sejarah negara.
Ada pengkritik yang kononnya tidak faham apa kena mengena
pilihanraya PBT dengan peristiwa 13 Mei sebagaimana dinyatakan oleh Presiden
PAS itu?
Terimalah kenyataan bahawa bukankah salah satu punca
Peristiwa 13 Mei yang malang itu adalah apabila wujud jurang perbezaan
sosio-ekonomi yang besar dan ketara antara kaum-kaum di Malaysia. Lantaran itu
Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan untuk merawat masalah berkenaan. Jadi tidakkah
membiarkan PBT-PBT bebas sebagai kerajaan ketiga yang dilantik dengan sumber
kekayaan yang berbeza-beza antara satu dengan lain nanti bakal mencetuskan
ketegangan apabila ada ketidakpuasan hati yang pasti berlaku kerana jurang
tadi?
Amalan yang ada sekarang dikira sudah cukup cantik apabila
mendepani suasana semasa yang ada. Kerajaan negeri yang sepatutnya memegang
otonomi peringkat PBTlah nanti memikul tanggungjawab melantik sesiapa yang
mereka fikirkan layak untuk duduk sebagai ahli majlis dan mereka ini selain
membawa isu-isu dan membela kepentingan penduduk tempatan juga akan akur dan
menurut dasar serta polisi yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Dan kerajaan negerilah yang akan memastikan keadilan dan
kesamarataan pembangunan dan kemajuan PBT-PBT di bawah kendaliannya agar tiada
jurang yang boleh mencetuskan ketidakpuasan hati diantara penduduk satu kawasan
dengan yang lain, semua menerima keadilan berdasarkan realiti dan kemampuan
masing-masing.
Dalam hal ini Presiden PAS menyebut:
Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang mesti dijalin
dengan baik. Kita perlu melihat semua kalangan dan arah, temasuk Melayu di
kampung, India di estet, orang asal dalam kawasan paling pendalaman dan
kaum yang paling kecil haram
dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar. Wajib disatukan dalam titik
persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaafan dalam perkara yang berbeza, berlaku adil terhadap
semua.
Mereka yang terdahulu dari kita tanpa mengira sentimen
politik dan kaum telah merasai kegagalan amalan yang dahulu. Kita tidak mahu
mengulanginya semata-mata memuaskan desakkan nafsu mereka yang mahu menjuarai
amalan demokrasi Barat secara melulu.
Hormatilah pengalaman yang lampau.
Hari ini suara pembayar hasil diperingkat tempatan
sebenarnya sudah pun diwakili oleh lantikkan kerajaan negeri dari parti yang
memerintah. Pakatan Rakyat menguasai negeri-negeri Kelantan, Pulau Pinang dan
Selangor dan merekalah yang melantik ahli-ahli majlis untuk PBT di kawasan
mereka begitu juga dengan negeri-negeri lain di bawah BN, BN lah yang melantik.
Jika rakyat khasnya pembayar hasil diperingkat tempatan
tidak berpuas-hati dengan khidmat ahli-ahli majlis atau PBT itu, maka dalam
Pilihanraya Umum kelak, rakyat berhak memberi mandat kepada parti lain, tidak
kiralah PR atau BN agar PBT baru dapat dibentuk dengan ahli-ahli majlis yang
baru. Begitulah sebaiknya dan bukannya pilihanraya berasingan buat PBT.
No comments:
Post a Comment