Thursday, June 19, 2008

PAS akan terus relevan dan kekal

Saya masih ingat semasa satu demi satu senarai kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat diumumkan semasa Muktamar pemilihan yang lalu, ramai teman-teman dari media menyatakan “Wah...Pemuda PAS didominasi oleh Ulamak!”. Saya nyatakan Ulamak bagi PAS penting hadir dimana-mana sahaja, kerana PAS parti Islam maka sandaran kepada Ulamak adalah penting dalam tiap detik dan gerak tindakan kami.

Alhamdulillah hari ini saya sendiri melihat betapa signifikannya kehadiran ulamak-ulamak muda ini dan betapa besarnya peranan mereka di masa hadapan nanti.

Kita tidak dapat menyembunyikan lagi apa yang telah berlaku di Selangor kerana ia realiti. Dewan Pemuda PAS Selangor diketuai ketuanya yang kebetulan seorang ulamak juga, telah menghantar memorandum ke Pejabat MB Selangor (bukan Sultan) menuntut agar tidak diundang dua orang artis “top” wanita tempatan dari hadir membuat persembahan dalam satu acara bolasepak persahabatan tahunan yang dijadualkan pada 6 Julai depan. Ianya mungkar dan kerana PAS menjadi sebahagian dari parti yang membentuk kerajaan di Selangor maka Pemuda memohon agar aspek mungkar ini ditiadakan.

Ekoran dari itu kita semua telah tahu, Tuanku Sultan telah murka dan kini Ketua Pemuda PAS Selangor diaturkan mengadap Tuanku bagi berbincang soal ini. Banyaklah sokongan yang diterima berhubung tindakan Pemuda Selangor itu namun banyak juga yang mengecam, menganggapnya tidak bijak, tidak hikmah, tidak matang dan berbagai lagi.

Sesungguhnya sebak hati saya membaca apa yang ingin saya kongsi di sini, iaitusokongan yang diberikan kepada Pemuda PAS Selangor oleh rakan-rakan pimpinan mereka diperingkat Pusat yang bertaraf ulamak itu. Berikut saya siarkan apa yang saya petik dari blog adinda Nik Abduh Nik Abd Aziz (yang sangat menyentuh hati saya):


Saya diminta mengulas perihal apa yang teman - teman dalam Dewan Pemuda PAS Selangor telah lakukan sehingga berkocak juga ‘ketenangan’ yang tengah dinikmati dan diimpikan selalu dalam Pakatan Rakyat.

Soalan mereka kepada saya bukan banyak pun. Soalan biasa kepada seorang yang bergelar ustaz macam saya. Berhikmahkah cara itu? Ya, ada satu lagi soalan lain yang mungkin sekadar membayangkan keresahan bahawa ketenangan dalam Pakatan Rakyat itu mungkin tak akan bertahan lama. Bunyi soalan, bagaimana nak layan dan memahamkan mereka ( regu dalam PR )?

Saya jawab begini, hikmah itu cara melaksanakan hukum. Bincang dan fahami hukum dulu. Tuhan berkata, ” Serulah ( berdakwahlah ) kepada jalan tuhanMu dengan hikmah dan peringatan yang baik.”

Allah menyuruh kita berdakwah. Wajib berdakwah. Dakwah itu adalah seruan kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar.
Tuhan berkata, ” Dan hendaklah ada ( wajib ) daripada kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar.”

Kemudian Dia menyuruh lagi. Laksanakan hukum tersebut dengan cara berhikmah dan peringatan yang baik. Oleh kerana ia juga suruhan, maka cara itu pun jadi wajib. Wajib berdakwah secara berhikmah. Justeru tak berdakwah adalah salah dan berdakwah secara tidak berhikmah adalah salah juga.

Bila Dia menyuruh, maka suruhanNya adalah dengan al haq dan berhikmat. Bila Dia melarang, maka laranganNya adalah dengan al haq dan berhikmah juga. Dua - dua itu adalah demi maslahat hambaNya.

Apa itu kebaikan, makruf dan mungkar yang wajib didakwah kepada dan daripadanya itu? Mudah sahaja. Ada tersebut di dalam al Quran dan al Hadis. Jika tidak dinyata secara khusus dan jelas, cukuplah fitrah yang suci ( dengan iman ) mengenalinya.

Makruf ertinya dikenali kebaikannya oleh fitrah yang suci. Mungkar ertinya tidak dikenali dan diingkari kebaikannya oleh fitrah yang suci.

Justeru kewajiban setiap muslim adalah memilih, menyeru dan menyuruh manusia kepada yang baik serta menolak dan melarang daripada yang yang tidak baik.
Kemudian, apa itu secara hikmah dan peringatan yang baik?
Ia soal kebijaksanaan. Ia soal menggunakan akal dan petunjuk akal.

Sebijak - bijak akal ialah akal Nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Sebab utamanya adalah kerana ia adalah akal yang ditunjuki wahyu dan dimaksumi daripada kesalahan.

Maka hikmah yang pertama adalah dengan meniru dakwah cara Baginda. Susahkah diperolehi? Mudah sahaja. Tiada perihal yang dihikayatkan di dunia ini melebihi hikayat Baginda dan sirah kehidupannya.

Justeru jangan anda memahami hikmah itu bermaksud otak aku atau otak engkau! Cara aku dan cara engkau! Jikalah begitu, hancur luluhlah dakwah di jalan Allah.

Hikmah bermaksud cara dakwah seperti dakwah nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam. Cedok daripada sirah dan petunjuknya menggunakan akal anda yang diberi petunjuk.
Jikalah cara berdakwah itu diserahkan kepada akal semata - mata, pasti akan saling bercakaranlah sesama kita, akan saling tuduh - menuduhlah sesama kita, akan saling lebih - melebihlah antara kita dan akan saling label - melabellah sesama kita tanpa petunjuk yang menunjuki. Kita sudah ada nabi, keluarganya, para sahabatnya dan para ulama yang penuh bijaksana.

Sekarang, saya bertanya anda, adakah jenis hiburan yang ditentang oleh Dewan Pemuda PAS Selangor itu samar - samar hukumnya? Saya yakin hukumnya jelas di sisi setiap muslim yang berpetunjuk dengan al Quran dan al Hadis dan yang fitrahnya suci juga. Ia adalah perkara mungkar. Hukumnya wajib ditegah. Kemudian bagaimanakah cara menegahnya? Adakah cara menghantar memorandum bantahan itu berhikmah atau tidak? Kenakah ia dalam suasana semasa yang memerlukan pertimbangan paling baik?

Saya tinggalkan anda di sini. Bukan kerana tak berjawaban atau tak mahu memberikan anda jawaban. Saya hanya mahu tegaskan bahawa hikmah itu kesucian dalam petunjuk nabawy dan akal yang rasyid. Allah memberkati akal yang beriman kepadaNya.

Tetapi saya tidak mungkin meninggalkan mereka yang menolak, membangkang, meremehkan dan ‘menghukum’ tindakan DPP Selangor itu sebagai tidak berhikmah. Bagaimana mungkin saya membiarkan mereka begitu sahaja sehinggalah saya memperolehi jawaban yang saya perlukan demi cara dakwah yang yang ‘lebih betul’ daripada mereka.

Saya ingin bertanya mereka, dimanakah dalil yang digali daripada petunjuk ar Rasul bahawa cara DPP Selangor itu tidak berhikmah? Atau jika tiada, bagaimanakah hujahan akal yang rasyid yang begitu diberkati untuk menafikan dan menolak lilitan hikmah pada menghantar memorandum bantahan itu?

Anda hanya ada tiga, iaitu tangan, lidah dan hati dalam menentang kemungkaran. Pancarkan hikmah di tangan atau lidah anda melebihi hikmah di tangan dan lidah DPP Selangor.

Jika anda berhikmah sekadar dengan hati, nyahlah anda daripada persada perjuangan. Perjuangan cukup memeritkan jika bersandar pada iman yang lemah. Ia bukan sekadar melemahkan, bahkan menyesatkan.

Sekadar berkongsi pengalaman, saya pernah menyertai demontrasi membantah majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu anjuran pegawai PTN Kelantan yang diseliti majlis nyanyian oleh seorang artis wanita popular kurang 10 tahun yang lepas. Ia dihadiri ratusan orang yang kebanyakannya adalah pemuda - pemuda Islam yang penuh semangat anti kemungkaran. Berlaku penangkapan dan saya sempat menyelit dicelah keramaian melarikan diri ( takut le ) selepas memberikan selibas ucapan ‘ganas’. Kejadian disiarkan sebagai tajuk utama sebuah akhbar perdana keesokannya.

Ayahanda adalah MB. Kami berdemontrasi menentang tindakan pegawai kerajaan yang ayahanda adalah ketuanya. Selepas pulang daripada ‘persembunyian’ beberapa hari kemudian, ayahanda menyapa, “Inilah kerja anak muda yang ayah suka.” Wow, aku dapat markah!

AlhamduliLlah, Pegawai PTN belajar banyak daripada tindakan berani kami dan kami belajar pula erti berhikmah dalam dakwah.

Hikmah bukan bererti lembut. Hikmah itu lembut dan keras.
PAS adalah sebuah gerakan Islam. Kerjanya bergerak dan menggerakkan ke arah keagungan Islam. Ia bergerak menyatukan umat Islam di dalam Islam. Keagungan adalah dengan bersatu di dalam Islam. Kerja PAS adalah dakwah dan geraknya adalah gerak dakwah. Hikmah terbesar di dalam PAS adalah istiqamah. Ia tidak layu ketika rakan - rakannya layu. Ia bertahan ketika diasak dan ia bergerak ketika ruang diberi.

Yakini, selagi istiqamah pakaian PAS, hikmah adalah jahitannya.

Berikut pula saya ambil dari blog adinda Nasrudin Tantawi:


Dewan Pemuda PAS Pusat , malah seluruh pemuda Islam sangat konsisten dalam menentang dan membantah apa jua aktiviti dan penganjuran yang bersifat maksiat dan mengundang murka ALlah swt.

Sewaktu Kerajaan UMNO dan BN menganjurkan pelbagai konsert hiburan yang keterlaluan seperti Konsert Dangdut Goyang Gerudi Inul Daratista , Scorpion dan lain - lain , Dewan Pemuda PAS Pusat turun menggerakkan setiap insan yang perihatin terhadap kesan langsung dari konsert seperti ini kepada indeks keruntuhan akhlak dan moral masyarakat untuk keluar membantah.

Bantahan tersebut bukan kerana ia ia diluluskan oleh kerajaan UMNO dan BN tetapi kerana aktiviti itu adalah nyata tidak menepati kehendak syara' dan kami tidak boleh berkompromi dalam perkara yang boleh mengundang murka Allah swt.

Menjadi tanggungjawab kami mencegah mungkar dan mendidik masyarakat agar tidak terjebak dalam perangkap mungkar dan maksiat.

Andainya aktiviti serupa mahu dianjurkan atau diluluskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat , maka Dewan Pemuda PAS Pusat juga mempunyai sikap yang sama justeru ianya adalah aktiviti yang boleh melebarkan ruang maksiat dan mungkar untuk terus bertapak kukuh dalam negara kita.

Meskipun PAS adalah parti anggota kepada Kerajaan Pakatan Rakyat , ini tidak bermakna kita boleh membenarkan aktiviti yang tidak bermoral dilakukan melainkan Pemuda PAS tetap akan melaksanakan tanggungjawab asasnya untuk mencegah mungkar dan menegakkan yang makruf.

Syabas saya ucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Selangor terhadap memorundum mereka membantah konsert Ella dan Mas Idayu yang bakal berlangsung di Selangor kelak .

Nasihat saya agar semua pihak khasnya pemegang amanah rakyat selaku pemimpin , bahawa kalian adalah turut bertanggungjawab kepada Allah untuk menjawab dan membentangkan apa jua aktiviti yang dilakukan , maka pastikan kita tidak mengundang murka Allah swt kerana kelak padah dan binasa .

Saya yakin jika PAS nanti diterajui oleh pimpinan-pimpinan muda ini insyallah ia akan terus kekal relevan sebagai sebuah Gerakan Islam dan Parti Islam, takbir!

15 comments:

Unknown said...

terima kasih kepada semua kepimpinan pemuda PAS di atas keprihatinan dan keberanian kalian. kami sentiasa bersama anda! Takbir!

Anonymous said...

kadang-kadang anak kena jugak pulas telinga bila tidak dengar kata...jangan main pasir nanti cacing masuk dalam perut...cegah hjangan bagi masuk dalam perut dulu dan bila dah masuk perut baru nak pergi jumpa doktor agak susah nak ubati...DPP ada niat baik dan siapa yang mastermind anjur majlis tu lain kali kena hati-hati juga...

Anonymous said...

Orang sangka,hikamh itu hanya lembut..tapi bukan..

Orang sangka,buat demo against kerajaan atau kumpulan sendiri..salah.. padahal,itula budaya demokrasi yang subur..
Jika kita tak setuju dengan sesuatu,kita hantar memo dan buat demo..

Jika group lain tak setuju demo kita, maka mereka boleh buat demo balas..penat berdemo,kita berdialog..
inilah cara orang bertamadun.. tak perlu dalil quran dan hadis.. perkara simple..boleh fikir.. cuma kita selalu serabutkan pemikiran..

Anonymous said...

Assalamu'alaikum Tuan Roslan,

PAS juga memerlukan ramai pemimpin Unit Amal yang bertaraf ulamak yang berani.

Unit Amal perlu diperkasakan pada kadar segera untuk:

(1) Menjalankan keputusan pimpinan parti;
(2) Menjadi kumpulan sokongan atau petugas(support group) dalam melaksanakan keputusan kerajaan negeri yang dipimpin PakatanRakyat;
(3) Membantu rakyat yang memerlukan bantuan;
(4) Menjadi benteng semasa kecemasan (unexpected contingencies).

-Ahli PAS Puchong-

Unknown said...

Saya dedikasikan tulisan ustaz Nik Abduh diatas kepada Sdr Faisal Tehrani (sebagai respon kpd tulisan di dalam blog beliau).
Semoga beliau reti (lebih reti dari Roslan Aziz)
Reti?

slyderrose said...

PAS akan tetap relevan. Demo bolih dilakukan setelah semua cara telah dicuba tetapi gagal. Ia adalah pilihan terakhir bukan yg pertama. Berfikirlah secara matang. Bahkan Islam pun tidak terus memerangi musuh mereka tanpa perbincangan. buat yg hak dulu.

Anonymous said...

Walaupun ramai ulama' dalam PAS yang setuju dengan pendekatan Pemuda PAS Selangor, tidak semestinya pendekatan itu satu-satunya jalan yang paling baik.

Sifat sekadar menuggu dan bertindak secara aggresif kepada maksiat bukan penyelesaian jangka panjang. Masalah hiburan yang bercampur maksiat memang masalah yang telah sebati dalam masyarakat dan perlu diubati.

Ubat telah ada, tapi bagaimana hendak diberikan kepada sipesakit. Kita boleh memilih memegang tengkok pesakit dan memaksa pesakit memakan ubat. Ini pendekatan jangka pendek. Selepas itu pesakit akan lari dan tidak lagi mahu mengambil ubat.

Atau kita mendidik pesakit agar pesakit menyedari tentang kepentingan ubat tersebut. Dengan kesedaran, pesakit sendiri akan mengambil insiatif sendiri.

Ulama agama memang mahir dalam selok-belok hukum. Tetapi untuk melaksanakan hukum tersebut perlu mendegar nasihat kepada yang pakar selok-belok masyarakat.

Persoalannya , bersediakah Ulama PAS mendengar pandangan pakar-pakar ini?

Anonymous said...

alhamdulillah..lega bila baca ulasan dari anak tuan guru nik aziz & pihak pemuda PAS pusat berkenaan isu nie.

tanggungjawab menjadi seorg pemimpin sememangnya berat...kelak di akhirat akan dipersoal oleh Allah SWT....harap MB selangor tahu benda basic nie.

Anonymous said...

Alhamdulillah, golongan ulamak yang tegas seperti inilah yang dapat menyelamatkan ummat ini dari kebinasaan. Jangan gusar apa kata DAP pada setiap tindakan PAS. Teruskan selagi ianya bertautkan alquran dan alhadis. Insyaallah lembut le hati mereka. Tak mustahil Lim kit siang n the gang akan jadi pembela islam yang kuat...

Anonymous said...

Tulisan Ustaz Nik Abduh sudah begitu terang lagi bersuluh bagi yg membacanya samada ia mu'min, fasiq, munafiq atau kafir. Bagi mu'min ia tida pilihan kerana al Haq itu drpd Tuhanmu dan janganlah termasuk golongan yg ragu. Untuk masa akan datang kerajaan Pakatan patut buat arahan am pada semua agensi dan anak syarikatnya supaya perkara sebegini dibentang dan dilulus diperingkat exco. Jadi exco muslim bolehlah beri input dari perspektif Islam.Ini tiba tiba meletup dimedia. Setelah 50 tahun bermindset sekular memang payah utk diubah, tapi dgn tarbiyyah dan hikmah(ikut definasi Islamlah) tak mustahil diubah.Kalau Dewan Pemuda telah buat yg termampu( suara Pas negeri takda ke atau saya tak terbaca lagi) Pas Pusat dicadangkan mendesak konsert Ella dan masidayu ini tidak dikait langsung dengan sambutan 100 hari Pakatan seperti yg diwar warkan.

Cik Lee said...

Saya menyokong penuh apa yang dilakukan oleh pemuda PAS Selangor. Sesungguhnya hati manusia itu sentiasa cenderung kepada maksiat. Lagilah kalau hati kita dah banyak ternoda oleh titik hitam.

Berdakwah itu tidak mudah. Tidak ramai yang mampu melakukannya termasuk saya. Namun, saya akan menyokonga yang mana terdaya. Isu ini juga saya ulas di blog saya yang tidak seberapa. Hanya itu yang dapat sedikit ana sumbangkan bagi menyatakan sokongan.

nina najwan said...

Tuan,

Kalau kerana menentang maksiat mengakibatkan PAS hilang kuasa di Selangor, itu lebih baik dari terus berkuasa dan bersetuju dengan maksiat. Penting untuk tunjuk pada masyarakat pendirian Pemuda PAS ini, kerana suatu hari nanti, inilah pewaris kepimpinan, negeri dan negara.

Masalah konsert ini dipersetujui oleh Sultan (yang juga ketua Agama Islam Negeri Selangor) bukan masalah besar. Peluang jumpa Sultan gunakanlah untuk berdakwah. Bukankah peluang ini ditentukan oleh Allah? Bukan juga salah Sultan sepenuhnya dlm menyetujuia konsert ini, kerana selama ini Sultan telah dinasihati oleh golongan yg menyetujui maksiat. Cuma sekarang ini golongan penentang maksiat ada direct access keIstana.

Kalau sekadar tidak bersetuju dalam hati, kalau sekadar nak senyap-senyap tulis surat pada MB dan pejabat Sultan, tak perlulah jadi pemimpin.

Pemimpin perlu memimpin dan terserlah kepimpinannya.

Anonymous said...

ye betul tapi pas adalah gerakan islam yg memilih politik sebagai wadah betul kan?

so ilmu politik kalau kita tak ikut kenapa kita pilih politik?

kalau di negeri yg majoriti islam ok tapi contoh di selangor rata rata pas menang di tempat kurang melayu(except gombak) so camne nak buat?

perception tak penting kah?

prinsip dan operation strategi tak penting ke?

kalau hantar memo kepada kawan kita(pkr/dap) no prob itu tanggungjawap PAS sbg gerakan islam tapi ugut nak demo, dr segi politik ok ke?

entah ana keliru

Anonymous said...

Alhamdulillah

Teruskan mengetengahkan pemimpin muda yang berani dan memahami hukum Islam ini. Saya juga menyokong dan amat bersetuju dengan hampir kesemua komen-komen bernas di atas:

" Kalau kerana menentang maksiat mengakibatkan PAS hilang kuasa di Selangor, itu lebih baik dari terus berkuasa dan bersetuju dengan maksiat. Penting untuk tunjuk pada masyarakat pendirian Pemuda PAS ini, kerana suatu hari nanti, inilah pewaris kepimpinan, negeri dan negara"

"Alhamdulillah, golongan ulamak yang tegas seperti inilah yang dapat menyelamatkan ummat ini dari kebinasaan. Jangan gusar apa kata DAP pada setiap tindakan PAS. Teruskan selagi ianya bertautkan alquran dan alhadis. Insyaallah lembut le hati mereka. Tak mustahil Lim kit siang n the gang akan jadi pembela islam yang kuat..."

"Ulama agama memang mahir dalam selok-belok hukum. Tetapi untuk melaksanakan hukum tersebut perlu mendegar nasihat kepada yang pakar selok-belok masyarakat.
Persoalannya , bersediakah Ulama PAS mendengar pandangan pakar-pakar ini?"

" Demo bolih dilakukan setelah semua cara telah dicuba tetapi gagal. Ia adalah pilihan terakhir bukan yg pertama. Berfikirlah secara matang. Bahkan Islam pun tidak terus memerangi musuh mereka tanpa perbincangan. buat yg hak dulu"

"Berdakwah itu tidak mudah. Tidak ramai yang mampu melakukannya termasuk saya. Namun, saya akan menyokonga yang mana terdaya. Isu ini juga saya ulas di blog saya yang tidak seberapa. Hanya itu yang dapat sedikit ana sumbangkan bagi menyatakan sokongan"

Anonymous said...

salam wbt

hampir menitis air mata sy membaca entry ini. walau sy berada jauh dari tahah air, bahang yang timbul kerana isu ini terasa juga.

Alhamdulillah dan syabas kepada Pemuda PAS. doa sy bersama kalian. semoga ALlah memberkati usaha kalian.

may He Accepts all of you as His Righteous Servants..

TAKBIR!!