Sunday, May 31, 2009

Usaha memomokkan Pemuda PAS

"Suatu aliran tren yang konservatif dijangka bermula dalam sayap Pemuda PAS kerana Ketua Pemudanya yang baru adalah seorang ulama yang berimej jubah dan janggut manakala Timbalannya juga seorang ulamak dan seorang penternak kambing yang agak berjaya.".

Demikianlah pembukaan artikel kolmnis Joceline Tan dalam akhbar The Sunday Star hari ini di bawah tajuk:

PAS Youth set to go conservative

Bagi saya yang membaca saya melihat artikel ini cuba menggambarkan yang Dewan Pemuda PAS telah kononnya jatuh ketangan mereka yang kolot yang tidak mampu meneruskan usaha engagement yang kononnya hanya dipelopori oleh kelompok-kelompok yang tertentu dalam PAS.

Jubah, serban dan janggut serta kelayakan sebagai ulamak menggambarkan kekolotan dan satu langkah kebelakang, sesuatu yang bakal merugikan dan menggagalkan PAS dalam usaha politiknya. Benarkah begitu?

Agaknya penulis lupa bahawa PAS selama ini dipimpin oleh orang yang berjubah, berserban dan berjanggut sehingga membawa PAS keperingkat pencapaian yang ia ada pada hari ini dan melahirkan ramai barisan profesional yang tunduk dan komited pada perjuangan parti. Bukankah Presiden PAS dan Mursyidul Amnya memiliki imej demikian, gagalkah PAS?
Mungkin penulis tidak kenal PAS sebenar-benarnya atau hanya mengenali orang-orang tertentu dalam PAS.

PAS adalah sebuah parti Islam yang berjuang untuk memartabatkan dasar dan prinsip Islam walau ia dipimpin oleh sesiapa sekalipun. Sesiapa jua yang berpegang kepada prinsip dan dasar perjuangan Islam wajib bangkit mempertahankannya dan bekerja sehingga ia berjaya. Politik Islam tidak bertenggek pada dasar matlamat menghalalkan cara. Jalan dan laluannya telah terang terbentang di hadapan, dan para pemimpinnya wajib mengikuti jalan dan laluan itu bukan sebaliknya.

PAS bukan lagi PAS kalau agenda Islam digadaikan semata-mata kerana mahu popular atau mahu berpaut pada kuasa. Sikap yang teguh dan tidak berubah-ubah pada pendirian inilah menyebabkan PAS kekal berada pada landasan ini sehingga hari ini.

PAS tidak akan menutup mata, sebelah atau dua belah apabila berhadapan dengan isu yang membabitkan prinsip. Kerana itu walau ia sebahagian dari kerajaan di Selangor Pemuda PAS bangkit menentang konsert maksiat, walau PAS terlibat dalam penganjurannya Pemuda PAS bangkit menentang Curberator Dung apabila berlaku aksi lucah dan melampau.

Apatah lagi dalam isu-isu yang membabitkan aqidah dan perundangan Islam.

Tidak kiralah siapa yang menerajui Pemuda PAS atau PAS Pusat sekalipun, samada mereka berjubah,berserban, berjanggut atau tidak, syaratnya mereka mesti taat dan berpegang teguh kepada prinsip dan dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS yang diwarisi turun temurun dari Baginda Rasulullah saw.

Pemuda PAS saya yakin alan melangkah ke hadapan tanpa teragak-agak, gagah dan taat memikul dan menjunjung amanah perjuangan Islam. Kata Joceline: "The direction he (Nasruddin) takes may take the wing forward or backwards". Disaat Islam ditinggal, dipinggir atau diubah-ubah termasuklah diliberal atau dimoderatkan menurut kesesuaian ketika itulah Pemuda dan PAS akan terlontar ke belakang dan mengundang murka Allah. Tetapi berpedomankan Kepimpinan Ulamak insyallah Pemuda dan PAs akan selamat dan terus mengorak langkah maju ke hadapan, biar syahid ataupun kemenangan!

Saturday, May 30, 2009

Biarlah Chin Peng terus di sana

Polemik tentang perlu atau tidak bekas Setiausaha Agung PKM (Parti Kominis Malaya) Chin Peng 85 dibenar pulang terus bermain di media. Ini ekoran keputusan mahkamah yang tidak membenarkan anak kelahiran Setiawan, Perak ini pulang ke tanahair kerana gagal mengemukakan sijil bukti kelahiran beliau. Ekoran itu kerajaan Pusat pun mengumumkan bahawa Chin Peng tidak akan dibernarkan pulang ke tanahair.


Chin Peng atau nama asalnya Ong Boon Hua memang telah melakar sejarah yang tersendiri. Yang umum tahu bahawa beliaulah Setiausaha Agung PKM sehingga ia dibubarkan berikutan perjanjian Haadyai pada tahun 1989, beliau mengetuai PKM dalam Perundingan Baling bersama delegasi Almarhum Tunku pada tahun 1955 dan bahawa semasa Darurat 1948-60 beliaulah mengetuai kekuatan PKM betempur dengan Biritsh dan kemudiannya anak-anak Malaya yang Merdeka.

Tetapi beliau juga sebenarnya pernah bertempur bersama British menentang penjajahan Jepun. Beliau terlibat dalam MPAJA iaitu Tentera Malaya Anti Jepun dan membantu pasukan gerila komando Biritish “Force 136” dalam menghapuskan pusat kekuatan tentera Jepun.

Itu semua sejarah. Dan malah kini segala hasil tulisan, catatan dan memoir para pejuang tanahair yang menggunakan sepanduk PKM ini termasuklah Regimen ke 10 tidak lagi diharamkan dan boleh didapati dipasaran. Ramai yang hadir pada hari ini khasnya yang lahir tahun 80an mungkin tidak pernah terdedah secara langsung dengan peristiwa yang membabitkan PKM ini samada ketika Darurat 1948-60, serangan gerila mereka selepas itu, termasuklah dalam bandar sekitar 70an sehingga meletupkan sebahagian Tugu Negara, melontarkan grenade kepada Pasukan Polis Hutan yang sedang berkawat di kem mereka di Flet Pekeliling (ketika itu – Briged Tengah kalau tidak silap saya), membunuh KetuaPolis Negara dan Ketua Polis Perak dan lain-lain.

Mungkin ramai boleh melupakan tindak-tanduk PKM ini, melupakan kerana tidak pernah ingat pun atau kerana perkara itu tidak melibatkan mereka dan keluarga mereka secara langsung. Saya perhatikan memang ramai boleh melupakan tetapi tidak ramai boleh memaafkan. “Many can forget but not many can forgive”.

Saya memang minat untuk menyelami prinsip dan perjuangan mereka. Kebetulan ayah saya terlibat dalam operasi memutihkan Kajang pada tahun 50an yang ketika itu merupakan kawasan hitam, lalu banyaklah cerita yang saya kaut dari beliau. Saya terpesona bagaimana mereka ini sanggup lari ke hutan, lari dari tekanan British dan mengangkat senjata menentang British walaupun dengan kekuatan yang amat minima.

Mereka memang hebat, azam mereka kuat, disiplin mereka tinggi tetapi malangnya mereka menganut fahaman kominis. Hampir setiap buku dan karangan mereka ini termasuklah dari para pengulas dan penganalisa serta pengkaji saya beli dan baca. Buku Chin Peng, buku Rashid Maidin, Abdullah CD, Suriani Abdullah, dan lain-lain termasuklah Memoir Shamsiah Fakeh (yang kebetulan sempat saya jumpa dan temuramah untuk WTV8 sebelum beliau meninggal dunia) dan buku karangan CC Chin dan KarlHack: Dialogues with Chin Peng . Terbaru saya sedang membaca buku “Fong Chong Pik: The Memoirs of a Malaysan Communist Revolutionary.

Apa yang saya dapati mereka ini semua yakin dan percaya bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan tanahair dan apa yang berlaku sehinggalah PKM dibubarkan itu adalah sah (legitimate). Tidak saya baca sesiapa pun yang menyesal atau kecewa kerana terlibat berperang sesama kitakhasnya setelah British berambus dan kita merdeka pada tahun 1957.

Kita boleh melupakan tetapi siapakah yang akan memaafkan darah dan airmata mereka di sebelah sini. Tentera, polis, orang awam, petani, nelayan, rakyat biasa yang terkorban, menderita akibat kepercayaan mereka(PKM) bahawa perjuangan bersenjata sahaja yang dapat memerdekakan Malaysia buat kali kedua dan bernaung di bawah panji-panji kominis.

Saya simpati dengan Chin Peng kerana pada usia lewat 80an pasti beliau rindu akan kampong halaman dan sanak-saudaranya. Tetapi saya tidak tergamak untuk menyokong beliau kembali ke tanahair sebagaimana rakyat biasa, kerana apa yang telah beliau dan rakan-rakannya lakukan terlalu pahit dan tidak dapat dimaafkan.

Biarlah mereka ini kekal sebagai satu pengajaran buat semua kita. Baca dan fahamilah perjuangan mereka tetapi selamilah juga hati dan perasaan kaum-keluarga dan mereka yang terlibat secara langsung memastikan Malaysia tidak sekali-kali menjadi Vietnam, Korea Utara atau Kominis Cina.

Wednesday, May 27, 2009

Pengamatan Ustaz Hashim Jasin

Setiapkali saya berpeluang mengikuti kuliah atau ceramah Ustaz Hashim Jasin (ADUN Sanglang/ ahli majlis syura ulamak), saya akan beri sepenuh perhatian kerana saya dapati isi penyampaian beliau yang acapkali disampaikan dengan gaya bersahaja selalunya padat dan penuh pengajaran.






Baru-baru ini semasa mengulas kertas kerja Ustaz Dato’ Harun Taib dalam himpunan memperingati Jubli Perak Kepimpinan Ulamak di Taman Melewar, sekali lagi penyampaian Ustaz hashim yang walaupun sekadar 10 minit sungguh memberi kesan sekurang-kurangnya pada saya dan saya percaya begitu juga pada mereka yang hadir.

Pada hari itu beliau mahu menggambarkan kesan langsung kepimpinan ulamak terhadap PAS. Beliau ambilcontoh dua peristiwa yang berlaku dizaman Saidina Omar al Khatab r.a yang saya yakin kita semua telah tahu akan kisahnya.

Pertama tentang kisah anak gadis yang menegur ibunya dalam kes mahu menokok air ke dalam hasil susu. Ringkas cerita si ibu mengatakan Omar tidak nampak, lalu kata ana gadisnya Tuhan Omar nampak. Kedua tentang kisah gembala kambing ditengah padang pasir yang mahu diuji Omar. Omar pinta agar sigembala menjual seekor kambing kepadanya sedang sigembala tidak mahu kerana tidak diketahui tuannya. Kata Omar jika ditanya tuannya katakana sahaja kambing itu dimakan serigala. Sigembala memberitahu yang beliau takut Tuhan akan tahu.

Apa hubungannya dengan kepimpinan ulamak? Inilah generasi yang dibentuk secara langsung oleh Rasulullah saw dan diikuti oleh Abu Bakar dan Omar yang masing-masing ulamak tersohor belaka.

Kata Ustaz Hashim beliau melihat dua peristiwa besar turut berlaku sejak PAS mendakapi konsep kepimpinan ulamak. Apabila ulamak menjadi teraju dan usaha tarbiyah dipertingkat serta diperluaskan.

Petama sejak 1983 sehingga kini, lebih 25 tahun, tidak lagi berlaku dalam sejarah PAS mana-mana ADUN atau ahli parlimen melompat, berpaling tadah, meninggalkan perjuangan dan menyertai musuh. Baik semasa PAS menang besar atau sekadar bertahan dengan beberapa kerat kerusi. Sebelum 1983 khasnya di tahun 60an memang ada, tetapi pasca kepimpinan ulamak, memang tiada.

Kedua selepas PRK Pengkalan Pasir, apabila kerajaan PAS Kelantan sekadar bertahan dengan majoriti 1 kerusi, berbagai cabaran dan dugaan dilalui oleh PAS ketika itu, namun PAS berjaya kekal bertahan memerintah Kelantan sehingga tamat penggal, setiap ADUN yang ada istiqomah bersama PAS!

Sebagaimana kisah Saidina Omar tadi bagi Ustaz Hashim peristiwa ketahanan dalaman PAS ini adalah hasil suntikan dan gerka-kerja ulamak yang dicerana dari konsep Kepimpinan Ulamak yang dilahirkan. Ia tiada didapati dalam mana-mana parti lain dalam negara. Mungkin akan ada yang mempertikaikan pandangan Ustaz Hashim tetapi bagi saya, ia sesuatu yang benar dan cuma dapat dirasai oleh mereka yang tulus dan ikhlas dalam melayari perjuangan ini.

Teringat saya Tuan Guru Presiden pernah memberitahu bahawa seorang ulamak besar di Iran (yang walaupun bermazhab Syiah) menyatakan kekagumannya terhadap PAS, sebab apa, sebab dapat terus mengekalkan kepimpinan ulamak dalam keadaan kebanyakkan gerakan Islam dunia tiada lagi dipimpin oleh ulamak.

Semoga kepimpinan ulamak terus menjadi teraju dan tonggak PAS sampai bila-bila.
Dewan Pemuda PAS Pusat cermin kekuatan jemaah

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat pucuk pimpinan baru Dewan Pemuda PAS Pusat. Walaupun pada asalnya dikhabarkan bakal terjadi pertarungan sengit bagi tiga jawatan tertinggi dewan tersebut, akhirnya jalan penyelesaian secara Islam diambil, mekanisma syura diutamakan lalu terbentuklah satu saf kepimpinan yang kemas dan diterima semua.

Dewan Pemuda yang walaupun berdarah muda namun telah berjaya mempamirkan kedewasaan dan kematangan dalam berpolitik.Individu tidak penting yang penting adalah nasib dan masa depan perjuangan dan jemaah. Apa guna kita bertelagah untuk mengejar jawatan akhirnya perjuangan tersadai dan jemaah berpecah-belah.

Saya yakin mantan Ketua Dewan Pemuda, Sdr. Salahuddin Ayub, telah berjaya membentuk kematangan ini dikalangan pimpinan pemuda yang beliau tinggalkan. Demikianlah ukuran seorang pemimpin yang baik.

Syabas kepada adinda-adinda saya Ustaz Nasrudin bin Hassan at Tantawi, Ketua Pemuda baru, Ustaz Azman Shapawi, Timbalan Ketua Pemuda baru dan Ahmad Sabki Yusof, naib Ketua Pemuda baru yang kesemuanya menang tanpa bertanding. Semoga anda semua akan dapat bermuafakat secara baik dan membantu meneguhkan PAS serta menjayakan cita-cita perjuangan kita bersama.

Monday, May 25, 2009

Roslan SMS Corner kini berusia 5 tahun

Saya sendiri sebenarnya tidak perasan sehinggalah dimaklumkan oleh seorang sahabat, bahawa pada tanggal 20 Mei 2009 lalu, blog saya Roslan SMS Corner telah berusia 5 tahun! Alhamdulillah saya terus dikurniakan kekuatan untuk berkongsi pandangan dan isi hati diruangan ini.

Saya masih ingat 5 tahun lalu, ketika itu baru sahaja PAS menerima kekalahan teruk dalam PRU ke 11. Ia kalah di Terengganu setelah memerintah cuma 1 penggal dan hampir kalah di Kelantan, sekadar bertahan dengan majoriti dua kerusi (kemudiannya dikurangkaan dengan 1 kerusi). Kekuatan yang baru dibina di Selangor, Perak dan Pahang pada PRU 1999 lenyap sama-sekali.

Disaat Allah swt menguji kita, kita mampu bertahan. Walaupun sedih dengan kekalahan itu, kita terus istiqomah meneruskan perjuangan. Islam yang merupakan prinsip perjuangan kita terus kita pertahankan. Walaupun berhadapan dengan pelbagai fitnah dan tekanan kita sabar dan mampu membina balik kekuatan dari debu-debu kekalahan. Ketika itu tidak ramai penulis, tidak ramai blogger, maklumlah siapa yang mahu terkenal ketika kalah…….tetapi yang ada terus menulis dan menyumbang sebagai bakti kepada perjuangan yang besar dan suci ini.

Alhmadulillah kini sudah lima tahun berlalu. Sedih-pilu yang lalu digantikan dengan kemenangan besar yang Allah pinjamkan pada PRU ke 12 baru-baru ini. Suasana 2009 ini sama-sekali jauh berbeza dari kemarau 2004 yang lalu. Kalau dahulu kita diuji dengan kekalahan lalu kita bertaut rapat dan menongkah arus perjuangan yang bergelora itu dengan tabah dan taqwa, kini kita diuji lagi. Tetapi ujian kini adalah dengan kemenangan. Jinjinglah kita kemenangan ini yang entahkan kekal entahkan tidak.

Apa pun komitmen dan kegigihan kita dalam meniti liku-liku perjuangan ini perlu diteruskan. Kalau dalam kalah kita boleh berpadu dan teguh dalam jemaah inikan pula dalam kemenangan. Sama-samalah kita hadapinya.

Sementara itu saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para sahabat dan kenalan yang tidak jemu-jemu mengunjungi blog ini. Tidak lupa juga kepada para pengkritik dan mereka yang sungguh pun tidak senang dengan tulisan saya namun singgah juga untuk membaca. Mudah-mudahan Allah swt merahmati kita semua. Semoga saya terus diberi kekuatan untuk berkata yang hak dan istiqomah dalam perjuangan.

Terima kasih buat semua. (Tak lupa kepada Bro Mamat yang membantu membina blog ini dahulu)

Sunday, May 24, 2009

Benarkah ada musuh dalam selimut dalam parti?

Portal berita Malaysiakini melaporkan kononnya Timbalan Mursyidul Am PAS Dato’ Dr Haron Din mengingatkan peserta dalam perhimpunan mengingati Jubli Perak Kepimpinan Ulamak semalam akan musuh dalam selimut PAS yang ditaja oleh umno dan negara asing. Apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS itu sepatutnya hanya diketahui oleh para peserta kerana himpunan semalam diadakan secara tertututp kecuali sidang media (yang tidak dianjurkan oleh pihak penganjur) Mursyidul Am yang diadakan secara tergesa-gesa sebelah paginya.

Sebelum kita menuding jari dan melemparkan tuduhan sana-sini (yang asing dalam adab PAS tetapi kebelakangan ini sungguh masyhur) cuba kita baca artikel dalam akhbar The Sunday Star hari ini (kalau Utusan Malaysia itu pro Umno saya yakin The Star bukan pro PAS):

Our current leaders are highly respected by us but we need leaders that can be accepted by all races, not just by PAS followers. This is the challenge for PAS how to survive and grow into a party trusted and accepted by all Malaysians.

We have to be LESS ISLAMIC AND MORE UNIVERSAL to win support from non-Muslims. But if we drop our Islamic label the Muslim conservatives would rebel
.

(Pimpinan kami sekarang sangat dihormati oleh kami semua akan tetapi kami memerlukan pimpinan yang boleh diterima oleh semua kaum bukan hanya pengikut PAS. Inilah cabaran PAS iaitu bagaimana untuk wujud dan berkembang sebagai partiyang dipercayai dan diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Kita perlu menjadi KURANG ISLAMIK DAN LEBIH UNIVERSAL untuk memenangi sokongan bukan Islam. Akan tetapi jika kita menggugurkan label Islam ini maka puak konservatif (ulamak?) akan memberontak.

Artikel ini dimuatkan dalam ruangan “Comments” karangan Baradan Kuppusamy. Dan siapakah sumber Baradan? Beliau menyebut:

A senior moderate PAS leader who requested anonymity

Seorang pemimpin kanan PAS yang moderat yang tidak mahu dikenali

Kemudian dalam akhbar yang sama dalam ruangan “Insight” karangan Joceline Tan dimuatkan satu persatu kononnya gelagat dan aksi Ketua Dewan Ulamak PAS, Ustaz Dato Mohd Daud al Iraqi dalam Mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat baru-baru ini seolah-olah Joceline berada di Bilik Mesyuarat Tingkat 5 pada hari itu sedangkan yang hadir cuma pimpinan tertinggi PAS yang menganggotai Dewan Harian PAS Pusat.

At one point Mat Iraq held up both hands as though in surrender and his bushy beard quivered as he told the council repeatedly: “Saya minta maaf”.

Pada satu peringkat Mat Iraq mengangkat kedua-duabelah tangannya seolah menyerah diri dan janggut tebalnya seakan menggeletar lalu beliau memberitahu majlis berulang-ulang: “Saya minta maaf”.

Siapakah “senior moderate PAS leader” yang bersembang dengan Baradan itu sehingga mahu mengubah status quo parti dan bagaimanakah Joceline (jika benar catatannya) boleh merakamkan insiden yang berlaku dalam mesyuarat tertutup yang penuh rahsia itu yang malah tidak diketahui pun oleh orang PAS yang lain?

Mungkinkah benar ada musuh dalam selimut dalam parti?
Gantung wakil BN Selangor tetapi tidak elaun mereka

Akhbar The Sunday Star hari in menyiarkan bantahan penasihat DAP Lim Kit Siang terhadap cadangan untuk menggatung elaun Khir Toyo (ADUN Sg Panjang) dan empat orang ADUN BN Selangor yang lain kerana beberapa kesalahan melibatkan gagal menghadiri sidang SELCAT dan menghina DUN Selangor. Sebelum itu ahli parlimen Puchong Geobind Sing Deo turut menyuarakan bantahan yang sama.

Dari segi prinsipnya saya bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor yang akan mencadangkan kepada DUN Selangor agar menggantung keahlian ADUN Sg. Panjang, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo selama 12 bulan kerana gagal menghadirkan diri pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Mac lalu. Begitu juga cadangan hukuman terhadap empat orang ADUN BN yang lain kerana mengeluarkan kenyataan menyentuh integiriti SELCAT yang ditubuhkan oleh DUN Selangor.

Keempat-empat ADUN Sabak Bernam, Hulu Bernam, Dengkil dan Batang Kali itu digantung selama 6 bulan.

Walaubagaimanapun bagi saya cadangan menggantung elaun ADUN mereka selamatempoh penggantungan itu adalah terlalu ekstrim dan sebaik mungkin dielakkan sahaja. Saya masih ingat semasa ADUN Sg Pinang Teng Chang Khim (kini Speaker DUN Selangor) digantung oleh DUN Selangor yang dikuasai BN dahulu iaitu selama 30 bulan (penggantungan yang paling ekstrim dalam sejarah badan legislative dalam negara-negara Komanwel!) termasuklah elaunnya yang digantung selama 18 bulan, PAS antara yang vokal membantah.

Saya masih ingat PAS Selangor menganjurkan ceramah “Solidariti Bersama YB Teng” di Markas PAS Kg Wak Libon, di Sg Pinang, Kapar yang turut dihadiri Dr Halimah (kini EXCO Selangor) dan Teng sendiri. Kita menganggap menggatung elaun seorang wakil rakyat itu seolah merampas hak rakyat kerana rakyat yang memilih mereka sebagai ADUN.

Mungkin menggatung keahlian mereka di dewan itu hak DUN kerana kesalahan yang dilakukan oleh ADUN berkenaan, akan tetapi elaun mereka adalah hak mereka kerana menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. Meskipun berbeza fahaman politik, saya merasakan yang rakyat berhak diwakili oleh ADUN pilihan mereka jika pun tidak sampai ke peringkat menyertai sidang dewan sekurang-kurangnya mereka masih ada ADUN yang berperanan diperingkat kawasan masing-masing.

Dalam hal ini, kerajaan Pakatan Rakyat perlu dilihat lebih adil dan tidak zalim dan tiada berperi kemanusiaan sebagaimana kerajaan BN dahulu. Jika Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN mendapati kelima-lima mereka bersalah, mereka wajar dihukum akan tetapi tidaklah sehingga mereka dinafikan dari elaun mereka. Saya kira DUN Selangor perlu menyemak semula cadangan ini dan seboleh mungkin elakkan dari mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh BN dahulu sehingga menjadikan mereka kerajaan yang zalim dan tidak popular. Kita menang atas tiket adil dan bersih dan kita mesti dilihat begitu setiap waktu.

Sila lihat posting saya di blog ini bertarikh 1 Ogos 2005 dahulu berkenaan penggatungan Teng:

http://n32.blogspot.com/2005/08/teng-menjadi-mangsa-dun-selangor.html