Monday, December 28, 2015

Isu boikot Israel menunjukkan DAP perlu banyak belajar

Kenyataan Chong Zhemin, Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, yang membantah tindakan kerajaan menafikan visa kepada dua peserta sukan luncur angin dari Israel terus mendapat kritikkan banyak pihak.  Chong juga merupakan Setiausaha Politik kepada ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming selain juga merupakan Setiausaha Organisasi DAPSY Perak

 Walaubagaimanapun Chong kemudiannya telah mengubahsuai kenyataannya dengan mendakwa kenyataan asalnya telah diputarbelit pihak media. Beliau mendakwa beliau juga menentang kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin. Kenyataan asalnya kata beliau tidak bermaksud menyokong keganasan pihak Israel ke atas rakyat Palestin.

 Kenyataan asal Chong berbunyi:

 It is highly unacceptable that Khairy allowed politics and personal sentiment to meddle into an international sports event. Sports should be above politics and should remain politically neutral.

 To deny visas for any athletics based on their nationality, religion or personal belief is an unsporting conduct. Moreover both athletics are the defending champion and to deny visa for their entry is to deny their right to defend their championship. This is unacceptable in any sporting event.

 When political differences were so fundamental and dividing, sports should be a ‘unifying factor’ and Khairy could set a good example and demonstrate to the whole world that Malaysians is mature enough to put away politics differences in sports.

 Memang pada dasarnya sukan dan politik sewajarnya dipisahkan namun  dalam hal khusus ini kita merujuk kepada Negara Israel iaitu satu regim haram yang merampas bumi Palestin dan menindas serta menzalimi mereka. Isu Palestin ini sangat dekat dihati sanubari rakyat Malaysia samada yang Muslim mahupun tidak. Tiba-tiba pemimpin DAP ini mendesak agar isu yang sesensitif ini dilupakan semata-mata atas nama sukan.

Sebenarnya dipenghujung kenyataan asalnya Chong turut menyebut:

 There is one question remain to be answered, if Israel were to be chosen as the host country of Olympic Games, will Malaysia boycott the Olympic Games due to its “diplomatic policy”?

 Beliau mempertikai rasional tindakan kerajaan itu dengan bertanya secara sinis sekiranya Israel diputuskan menjadi tuan rumah sukan Olimpik adakah Malaysia akan turut memulaukan sukan itu?

 Ternyata ahli politik muda ini tidak terdedah dengan sejarah lampau. Saudara Chong, jangankan Israel mana-mana regim seumpama mereka kiranya mengamalkan keganasan, hilang pertimbangan kemanusiaan dalam tindaknnya, maka mereka akan dipulaukan bukan hanya oleh Malaysia malah mana-mana negara maju sekalipun.

 Saudara Chong mungkin anda belum lahir ketika itu tetapi pada tahun 1979 kominis Rusia telah menakluk Afghanistan, akibat penaklukan dan kekejaman berkenaan pada tahun 1980 ketika Moscow menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Malaysia berserta 64 negara lain termasuk Amerika Syarikat dan malah Israel sendiri  memulaukannya.

 Ya sudah pasti kiranya Israel menjadi tuan rumah Olimpik saya yakin Malaysia akan memulaukannya walau kita punya harapan merangkul 100 pingat emas sekalipun!

 Apa pun kini Chong dan partinya telah menarik balik pendirian mereka dalam isu ini dan saya berharap agar semua pihak berhati-hati dan memelihara perkara sensitif ini.

 DAP perlu banyak belajar sensitiviti rakyat Malaysia dan jangan sering mengambil ringan apatah lagi mencetuskan kemarahan rakyat, susah kalau duduk di Putrajaya nanti.

 

PAS konsisten jadikan Islam panduan pemerintahan

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2109 Edisi Isnin muka F16

Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi Persekutuan ataupun “supreme law of the Federation”. Menurut amalannya mana-mana undang-undang yang dibuat samada di peringkat Parlimen mahupun Dewan-dewan Negeri hendaklah selaras dengan peruntukkan-peruntukkan di dalam perlembagaan ini dan mana-mana yang bertentangan dengannya adalah dikira terbatal.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan atau “religion of the Federation” , tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Di dalam Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini dengan tema “Perpaduan ummah merentasi idelogi”, Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam ucaputamanya telah menyentuh peruntukkan ini.

Menurut beliau: “Mari kita merdekakan diri dengan benar-benar Merdeka. Tafsirkan Islam di dalam Perlembagaan mengikut “Ad deen” bukan mengikut “religion”.
Ternyata Tuan Guru Presiden PAS membuat penegasan ini berikutan tawaran Presiden Umno di dalam ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung Umno 2015 yang mahukan kerjasama dengan PAS dalam membentuk sebuah Malaysia yang berdiri di atas syariat Allah swt.

Di dalam ucapnnya itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyebut di hadapan para perwakilan Umno dan dif-dif kehormat: “Dengan hati yang terbuka dan nubari yang Merdeka, kita hulurkan tali silaturrahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat Nya.”
Bagi merintis jalan dan membuka pintu ke arah usaha memartabatkan hukum dan peraturan Allah swt sebagaimana yang disentuh oleh Najib itu, Tuan Guru Presiden PAS menyarankan agar Islam di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan itu tidak lagi ditafsirkan oleh kerajaan sebagai semata-mata “religion” atau agama, tetapi perlulah dilihat sebagai “Ad deen” iaiaitu suatu sistem kehidupan yang sempurna dan lengkap atau “a complete way of life”.

Semasa saya bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Tuan Guru Presiden PAS pada tahun 2008 dahulu, saya masih ingat betapa Tuan Guru begitu iltizam ataupun komited dan yakin bahawa pentafsiran Islam dalam perlembagaan Persekutuan itu sesungguhnya adalah tugas dan tanggungjawab kerajaan yang memerintah.
Malah segala peruntukkan di dalam perlembagaan Persekutuan itu menjadi hidup atas pentafsiran kerajaan Persekutuan. Ianya tercatat sebagai suatu peraturan dan kerajaan yang memerintahlah yang memberi nafas kepadanya untuk hidup dalam kerangka amalan pentadbiran dan pengurusan negara.

Sebarang  cabaran atau pertikaian terhadap tafsiran kerajaan perlulah di bawah ke Mahkamah Persekutuan, institusi tertinggi yang mentafsirnya apabila berlaku konflik.
Kerana itu menurut Tuan Guru berdasarkan input yang beliau perolehi dari pakar-pakar dan penganmal undang-undang termasuklah bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas, pentafsiran Perkara 3 ini adalah anjal, dan keanjalannya terletak pada kerajaan yang memerintah. Jika sebuah kerajaan itu mahu menghadkan Islam hanya sekadar agama amalan dan adat-istiadat dan tidak lebih dari itu, maka ia kekalkanlah Islam yang dimaksudkan semata-mata sebagai “religion” menurut pemahaman dan pentafsiran Barat.

Walaubagaimanapun bagi kerajaan yang prihatin, mengerti bahawa Islam itu duduknya dalam Perlembagaan dengan tujuan dilaksana dan dimartabatkan maka kerajaan tadi akan mentafsirkan “Islam” dengan tafsiran sebenarnya iaitu “Ad deen”. Perkara inilah yang telah dilontarkan secara ikhlas dan terbuka oleh Presiden PAS dalam ucaputamanya di hadapan Presiden Umno.
Islam yang mahu diletakkan sebagai sebuah peraturan dan cara hidup bermasyarakat dan bernegara hanya mampu mejadi nyata apabila asasnya dijelaskan bermula dengan memberi tafsiran sebenar terhadap peruntukkan perlembagaan Persekutuan itu.

Inilah apa yang cuba dibawa dan difahamkan oleh PAS kepada rakyat sepanjang lebih 60 tahun perjuangannya dalam politik tanahair. Malah menurut rekod semasa menghalusi Penyata Suruhanjaya Reid, badan yang dipertanggungjawabkan oleh penjajah Biritish untuk menggubal Perlembagaan Malaya Merdeka, PAS telah mengadakan Muktamar Khas di Kuala Lumpur seawal 2 Mei 1957.
PAS meluluskan ketetapan 5 perkara dan salah satunya berbunyi: “Hendaklah ditegaskan bahawa agama Islam mestilah dijadikan agama rasmi tetapi bukanlah agama Hari Raya, agama Puasa atau agama Pejabat Agama tetapi agama yang menjadi panduan kepada hidup negeri ini dan kepada pemerintahan.”

Sepatutnya perhatian seluruh masyarakat Islam yang cintakan perpaduan diberikan terhadap saranan yang sarat terkandung di dalam ucaptama Presiden PAS itu, namun rupanya yang menjadi tumpuan adalah pakaian sedondon Najib dan Tuan Guru, bukannya apa yang dibincang dan dibahaskan.
PAS sememangnya istiqamah dalam tuntutannya untuk menegakkan syariat Allah swt, kerana itu siapa sahaja yang berkongsi aspirasi yang sama, tidak kira parti atau kelompok mana, pasti dialu-alukannya . Namun demikian mana-mana pihak yang bersamanya itu perlulah membuktikan keikhlasan selain mengambil langkah proaktif ke arah merealisasikan tuntutan itu.

Saranan agar Islam sebagai Ad deen menjadi pegangan dan tafsiran kerajaan Persekutuan, sebagaimana dibuat Tuan Guru Presiden PAS itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi masyarakat hari ini semakin faham dan terdedah pada disiplin dan ajarabn Islam sebenar.
Semoga cetusan nasihat Tuan Guru Presiden PAS itu diberi perhatian dan diambil tindakan dengan harapan program Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia itu menjadi pemangkin ke arah sesuatu yang positif buat ummah dan negara. Jika tidak sia-sialah usaha murni yang telah dirintis dan diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan.
 
 
 
 

Tuesday, December 22, 2015

Perlaksanaan syariat: langkah seterusnya buat Umno

Sejak Umno menegaskan ia mahu berkerjasama dengan PAS dalam perlaksanaan syariat Allah swt dalam negara kita, berbagai cerita terbit, ada yang berasas dan ada yang merupakan mainan dan jolokkan jahat pihak-pihak yang punya kepentingan.

Apa pun mesej PAS sesungguhnya adalah jelas.
Umno menghulurkan tangan untuk berkerja ke arah perlaksanaan syariat Islam, itu yang ditegaskan oleh Presidennya dalam ucapan dasar PAU 2015 dan diulangi dalam Multaqa Alumni al Azhar baru-baru ini. Bagi PAS ianya bukan bermaksud kerjasama politik seumpama pakatan politik, tetapi lebih dalam entuk usahasama ke arah menyatupadukan umat Islam agar tunduk dan patuh pada perintah Allah swt.

Presiden PAS dalam kenyataan 6 perkaranya sejurus ucapan dasar Naib dalam PAU 2015 antara lain menyebut:
“Pastinya apabila ada suara positif yang selari dengan kepentingan Islam, negara dan masyarakat majmuk keseluruhannya, PAS selamanya berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap hasrat perpaduan dalam masyarakat yang berteraskan syariat Allah swt dengan sesiapa pun.”

Bagi pihak yang punya agenda jahat terhadap PAS, ia akan “spin” dan cipta pelbagai fitnah untuk melemah dan menghancurkan PAS. Apa lagi senjata paling baik selain menjaja dan mengulang-ulang fitnah bahawa PAS mahu menyelamatkan Umno dan mahu jalin pakatan politik bersama Umno.
Terbaru Timbalan Presiden PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengemukakan 6 cadangan khusus buat Umno selaku kerajaan yang memerintah diperingkat Persekutuan untuk dilaksanakan sebagai langkah pertama untuk memperbaiki nama Malaysia dan Islam. Ianya bukan syarat buat Umno, tetapi ia cadangan demi merintis jalan ke arah perlaksanaan hasrtanya yang lebih besar iatu memartabatkan syariat Allah swt dalam negara.

Syarat ini mungkin kelihatan berat, tetapi perlu dilihat sebagai suatu yang positif demi memperbaiki nama negara dan Islam yang telah tercalar kebelakangan ini. Jika Umno bersungguh dengan hasratnya,c adangan ini sangat praktikal dan pastinya akan disokong sepenuhnya oleh PAS.
Adapun 6 cadanangan berkenaan adalah:

1. Meminta Presiden Umno bercuti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Ketua Audit Negara melengkapkan siasatan dan laporan terhadap 1MDB. Ini penting untuk memulihkan nama baik Presiden Umno, Malaysia dan juga Islam kerana siasatan perlu akan kelihatan adil sebelum keadilan dapat dilakukan.

2. Menghapuskan GST. Cukai ini bertentangan dengan Islam kerana orang fakir miskin turut dipaksa bayar cukai.

3. Mengurangkan pembaziran dan salahguna dana kerajaan dengan mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan audit terbaru.

4. Mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan hidup berjimat kementerian seperti yang terpaksa dilakukan rakyat dalam menghadapi kemelut kejatuhan harga minyak dan juga kenaikan kos hidup yang semakin meruncing.

5. Menyiasat Yapiem dengan telus dan terbuka dan memastikan mereka yang didapati menyeleweng dana Yapiem dibawa ke muka keadilan.

6. Berhenti menganiaya Kelantan dan memulangkan royalti minyak dengan kadar segera.
Kesemua cadangan beliau ini kata Dato Tuan Ibrahim, dapat dengan mudah dilaksanakan oleh Umno tanpa perlu duduk berkerjasama dengan PAS pun dan ianya nanti dilihat sebagai bukti pada rakyat akan kesungguhan Umno mahu mendaulatkan Islam.

PAS bukan minta Najib berhenti, tetapi bercuti agar semua krisis dan isu khasnya berkenaan 1MDB selesai disiasat.  Jika tiada bukiti pembabitannya maka kembalilah ke jawatannya itu.
GST pula, walaupun kini menampung kelompongan hasil minyak mentah negara yang menurun kerana fakotr harga pasaran dunia, sesungguhnya adalah satu beban direct ke atas rakyat.  Diwaktu susah ini keutamaan kerajaan seharusnya melindungi dan membela rakyat bukannya memaksa cukai ke atas mereka.

Dan yang sebaiknya, segala bentuk pembaziran dan isu salahguna dana perlu ditangani dengan bertindak berdasarkan laporan ketua Audit Negara.
Dalam ketiadaan GST, segala bentuk perbelanjaan kerajaan wajarlah dipotong dan dijimatkan. Tiada lagi majlis atau kursus atau seminar di hotel-hotel lima bintang atau yang mewah-mewah. Sebaiknya elauan keraian menteri-menteri kabinet dan timbalannya dikurangkan, begitu juga keistimewaan tertentu dalam keadaan rakyat menderita dengan kos hidup yang mencengkam ini.

Isu YAPEIM perlu dibongkar dan disiasat seadil-adilnya.
Dan yang terakhir segala bentuk penganiayaan ke atas kerajaan Kelantan yang majority penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam mestilah dihentikan. Pulangkan hak royalti petroleum pada kerajaan negeri agar nasib penduduk Kelantan dapat dibela.

Cadangan-cadangan Dato Tuan Ibrahim ini sewajarnya difikir semasak-masaknya oleh pimpinan Umno.
PAS bersedia memainkan peranan sebagai penasihat bagi memandu Umno untuk mencapai matlamat perlaksaan syariat Islam sebagaimana yang diumumkan itu.

Sekurang-kuranyan apabila langkah memperbetulkan imej negara sudah mula dilaksanakan, rakyat akan mula melihat keikhlasan Umno dan ketiak itulah lankah seterusnya dapat dilaksanakan berperingkat-peringkat  sehingga sempurnalah tertegaknya negara ini berlandaskan hukum dan peraturan Allah swt.

 

 

 

Friday, December 18, 2015

Berani tak YB Mahfuz buat keputusan?



PAS adalah sebuah gerakan Islam, ia bukan sekadar sebuah parti politik semata-mata sebagaimana yang lain. Lantaran itu setiap gerak langkah dan tindak-tanduknya dan ahli-ahlinya perlulah menepati dan selaras dengan disiplin dan amalan sebuah gerakan Islam.

Ahli-ahli dan pemimpin PAS terikat dengan konsep amal jamaie yang disemai dalam dada setiap mereka melalui proses pentarbiyahan dalam parti dipelbagai peringkat. Parti mengamalkan konsep musyawarah dan syura dimana teguran dan kritikkan dalaman perlulah mengikut saluran yang telah ditetapkan.

Gagallah seorang ahli apalagi pemimpin jika ia bertindak dan bergerak tidak selaras dengan konsep ini apatah lagi membelakangkan jemaah dengan sikap dan pendirian peribadi yang bertentangan dengan kepentingan parti.

PAS pasca Muktamar ke 61 telah menyaksikan betapa segelintir mereka yang seumpama ini yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti telah memilih untuk mengkhianati dan meninggalkan parti ini. Pemergian mereka dikesali tetapi sedikti pun tidak menjejaskan parti kerana yang penting dalam perjuangan ini adalah dasar dan prinsipnya bukannya mana-mana individu atau kumpulan. Pemimpin datang dan pergi, namun perjuangan keramat ini diteruskan.

Walaubagaimanapun masih ada segelintir kecil yang tinggal dalam PAS yang kecenderungan mereka mirip pada gerombolan pengkhianat tadi tetapi memilih untuk terus berada dalam parti atas sebab-sebab yang hanya mereka ketahui. Duduk dalam parti dengan menghormati dan mematuhi adab dan disiplin bolehlah diterima tetapi apabila memilih untuk membikin onar dari dalam, maka mereka ini wajar didisiplinkan atau ditunjuk jalan keluar.

Saya perhatikan kebelakangan ini tindak-tanduk ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Hj Mahfuz Omar, dalam hal ini sangat menimbulkan kesangsian.

Dalam kesungguhan PAS mendepani politik baru yang lebih matang dan terbuka khususnya berhubung permasalahan Islam dan ummah, Mahfuz memilih untuk mencetuskan kecurigaan dan malah cuba memupuk persepsi negatif berkemungkinan untuk mencetuskan keraguan dikalangan ahli dan penyokong.

Kajian terbaru Merdeka Centre berhubung trend pengundi Melayu dan Cina cuba dimanipulasi oleh beliau untuk mengukuhkan hujahnya bahawa kononnya PAS berada dalam trend yang membimbangkan sedangkan bagi para penganalisa angka-angka itu dalam perspektif politik semasa lebih menguntungkan PAS dan menunjukkan indikator yang positif.

Beliau memetik angka 42% yang diberikan oleh Merdeka Centre iatu tahap kepuasan hati pengundi Melayu terhadap PAS. Bagi beliau angka ini menurun berbanding 45% iaitu tahap sokongan pengundi Melayu pada PAS dalam PRU ke 13 lalu. Penurunan 3% katanya.

Mahfuz mungkin tidak sedar bahawa epal sewajarnya dibandingkan dengan epal tidak sesuai dengan oren walaupun beliau kelihatan cenderung dengan oren.

Mahfuz tidak pula menyatakan dalam kenyataannya itu bagi Umno pula tahap kepuasan orang Melayu terhadapnya hanyalah 35%. Kenapa tidak dibuat perbandingan pencapaian PAS dan Umno itu? Tidakkah dalam hal yang sama ini menunjukkan bahawa dalam situasi politik semasa PAS mengatasi Umno sebanyak 7%.

Mengapa Mahfuz mengambil tahap sokongan pada PRU ke 13?

Tidakkah semasa itu trendnya berbeza atau Mahfuz sengaja mahu sembunyikan? Tidakkah semasa PRU 13 lalu Pakatan Rakyat masih wujud dan PAS masih berkerjasama dengan DAP. Hari ini tiada lagi Pakatan Rakyat yang ada cuma kerjasama politik PAS dan PKR, sudah pastilah senario PRU 13 tidak boleh diambil kira sebagai asas perbandingan.

Sesungguhnya 42% itu menunjukkan orang Melayu sudah mula beralih arah dari Umno ke PAS dalam keadaan PAS tiada lagi hubungan dengan DAP. Jika begitu trendnya, kematangan dan kebijaksanaan politik PAS seterusnya boleh mempertingkatkan pencapaian ini dan tidak mustahil PAS boleh muncul sebagai parti pilihan orang Melayu menjelang PRU ke 14 ini, atau Mahfuz tak setuju?

Dalam pada itu Mahfuz juga memetik 54% iaitu angka tahap ketidakpuasan hati orang Melayu terhadap Umno yang dikeluarkan oleh kajian yang sama. Menurut Mahfuz:
“Apakah ini menunjukkan berlaku kemerosotan sokongan Melayu kepada Pas dan orang Melayu yang tidak puas hati dan marah kepada Umno tidak pun beralih kepada Pas?”
Saya meragui kesimpulan yang dibuat Mahfuz itu kerana beliau tidak dedahkan pula peratusan terhadap PAS yang turut dikeluarkan oleh Merdeka Centre. Menurut Merdeka Centre cuma 32% sahaja pengundi Melayu yang tidak berpuashati pada PAS, mengapa angka itu disembunyikan?
Tidakkah ini juga menunjukkan dalam situasi semasa kalau 32% pengundi Melayu tidak berpuas hati dengan PAS ini bermakna bakinya 68% tiada bermasalah dengan PAS, tidakkah besar angka itu?
Mahfuz berhak membuat apa sahaja interpretasi ikut kemampuan dan agenda beliau, tetapi pada prinsipnya siapa sahaja boleh perakui bahawa kajian terbaru itu secara keseluruhan merupakan sesuatu yang positif buat PAS. Lihat sahaja ulasan The Malay Mail (yang barangkali Mahfuz terlepas pandang atau memang tidak baca)

“But The Malay Mail Online managed to see part of the survey which showed that more Malays were happy with PAS than with Umno, while the Chinese were more dissatisfied with the Malay ruling party than with PAS” (Boo Su-Lyn : Dec. 11, 2015)

(Akan tetapi The Malay Mailonline telah dapat melihat kajian berkenaan yang jelas menunjukkan lebih ramai orang Melayu berpuashati dengan PAS berbanding Umno, manakala lebih ramai masyarakat Cina tidak berpuashati pada parti pemerintah Umno berbanding PAS.)

Dan lebih mendukacitakan apabila Mahfuz berdasarkan hujah-hujahnya itu mempertikaikan pula kemampuan PAS dalam mengahadpi PRU ke 14 nanti. Menurut beliau kononnya orang-orang Melayu menolak politik bersendirian kiranya PAS memilih untuk bersendiri.

Bagi beliau untuk “survive” PAS perlu memilih satu antara dua iaitu samada menyertai Pakatan Harapan (yang di dalamnya ada PAN yang sarat dengan kawan-kawan baiknya) untuk membina momentum sokongan pengundi Melayu dan Cina untuk menuju ke Putrajaya atau menerima pelawaan Najib untuk berkerjasama dengan Umno dan menggembeling sokongan pengundi Melayu atas retorik survival kuasa politik Melayu.

Di  situ sahaja Mahfuz jelas menunjukkan betapa kontranya pendirian beliau berbanding dengan partinya sendiri.

Tidakkah PAS telah memutuskan tidak akan bersama PH kerana  di dalamnya ada DAP dan PAN yang tiada hubungan politik dengan PAS.

Tidakkah telah ditegaskan bahawa kerjasama dengan Umno bukannya atas dasar kerjasama politik tetapi kerjasama untuk membela dan menobatkan Islam. PAS tidak pernah memutuskan berkerjasama politik dengan Umno sebaliknya yang ditegaskan oleh Presiden PAS adalah kekal berkerjasama politik dengan PKR.

Dan kemuncak penyerlahan sikap dan pendirian Mahfuz adalah apabila beliau mengesyorkan agar PAS berani membuat keputusan iaitu memilih satu antara dua tadi.
Beliau tidak sedar bahawa sesungguhnya bagi ahli-ahli dan penyokong PAS kami juga sebenarnya mahu melihat Mahfuz kalau boleh beranilah buat keputusan kerana kami sudah bosan dan mual dengan budaya separuh ular separuh belud beliau itu.

Beranilah pilih samada mahu bersama kawan-kawannya di dalam PAN atau mahu kekal sebagai anggota jamaah di dalam PAS. Kalau mahu ke PAN silakan dengan syarat jangan seret kerusi Pokok Sena sekali sebagaimana kawan-kawan kamu itu dan kalau memilih kekal bersama PAS, taat dan patuhlah pada disiplin parti sebagaimana kami yang lain.

Berani tak YB Mahfuz buat keputusan?



Tuesday, December 15, 2015

Sayangnya Kit Siang pada PAN

Kepercayaan dan keyakinan Lim Kit Siang terhadap PAN tidak pernah pudar. Walaupun parti yang diilham dan dilahirkannya itu kebelakangan ini sudah semakin “suam-suam sejuk” namun beliau tetap tidak pernah putus asa dan masih terus bersungguh mempromosinya.

Barangkali usia semakin memamah kemampuan dan kebijaksanaan politiknya, tetapi oleh kerana telah terlanjur suka tak suka Kt Siang terpaksa melalui apa cara sekalipun “menjual” PAN kepada rakyat Malaysia.

Menurut The Star Online Kit Siang berkata bahawa kiranya Pakatan Rakyat, yang mereka dari DAP telah matikan itu, dapat dihidupkan kembali sekalipun, ia tidak akan punya keupayaan untuk menundukkan Barisan Nasional. Ini walaupun BN dalam keadaan yang paling lemah hari ini.

Puncanya menurut beliau kerana PR yang memperolehi 53% sokongan rakyat dalam PRU lalu telah tidak berpegang pada perjanjian bersamanya yang telah diikrarkan pada rakyat.
Seperti biasa beliau cuba meletakkan kegagalan PR itu pada PAS.

Oleh itu katanya kini masanya buat negara menerima satu kenderaan baru bagi memandu mereka ke arah satu perubahan politik dalam negara. Untuk itu tambahnya PAN dan Pakatan Harapan mampu mengisi kelompongan yang ditinggalkan oleh BN itu.

PH katanya perlu memiliki impian yang besar dan pentingnya merampas Putrajaya dan memenangi sekurang-kurangnya 6 buah negeri termasuk Perak dalam PRU akan datang.

Bersungguh Kit Siang mempertahankan anak emasnya selain menerjang jauh PAS.

Mampukah PAN memain peranan sebagaimana PAS seperti mana harapan Kit Siang itu. PAN, satu gabungan orang-orang yang kecewa, yang di dalam PAS dahulu sering mencetuskan ketegangan dan masalah sesama pimpinan, hari ini berhimpun dalam satu parti dengan nafsu kononnya mahu menundukkan PAS, mahu merampas Kelantan dari PAS!

Teruskanlah mimpi anda Kit Siang.

PAS bukannya perlu angkuh dan membangga diri, tetapi hakikatnya dengan keahlian yang lebih 1juta orang  yang berdiri di setiap ceruk dan rantau negara, parti yang isitqamah dengan dasar pejuangan Islamnya itu sudah bertapak di hati rakyat sekurang-kurangnya orang Melayu Islam. Ia dihormati, disegani dan malah diyakini oleh segmen Melayu Islam dan padanya mereka melihat sebagai satu-satu harapan yang mampu menggantikan Umno yang telah letih dan pincang itu.

Gara-gara terlanjur dan terlalu percaya dengan PAN, apakah pilihan yang tinggal pada Kit Siang setelah PAS diceraikannya.

Dijajanyalah jua separuh ular separuh belut tadi untuk merealisasikan mimpinya yang semakin mengarut itu.

Katakanlah apa sahaja, hakikatnya PAS sebagai sebuah parti Islam yang lebih 60 tahun usianya tidak mungkin diluputkan dengan begitu mudah. Ia telah sedia meniti di bibir dan hati masyarakat Melayu Islam, dan hanya mereka yang meracau sahaja yang boleh mempercayai bahwa ia boleh digantikan apalagi oleh sebuah parti baru yang sarat dengan mereka yang kecewa dan oportunis yang penuh dengan khayalan.

Kit Siang telah salah perhitungan namun enggan mengakuinya. Bacaan politik beliau sudah semakin tumpul dan sarat dengan angan-angan. Perahu sudah terlajak, maka suka tak suka dijunjung dan diusungnyalah biawak hidup yang ada, entahkan ada nyawa entahkan tidak sementara menunggu sampainya PRU nanti.

Begitulah kesudahan lebai malang yang tamak dan rakus.