Tuntutan Hudud bergema di Parlimen (30/10/13)

Wednesday, October 30, 2013


Tuntutan Hudud terus bergema di Dewan Rakyat apabila Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Awang menyentuh berkenaannya ketika membahaskan Bajet 2014 semalam.
Tuan Guru telah mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Negara Brunei Darusalam kerana bakal melaksanakan Hukum Hudud dan Qisas walaupun ditentang oleh pelbagai pihak luar yang tidak faham matlamat perundangan berkenaan. Malah kata Tuan Guru perundangan Barat yang diamalkan termasuk oleh Malaysia ternyata gagal membendung dan menghapuskan jenayah kerana undang-undang itu sendiri sunyi dari elemen yang boleh “menggerunkan” bakal penjenayah sebagaimana yang terdapat dalam Hudud.

Lantaran itu kegiatan jenayah semakin berleluasa.
Undang-undang Islam tegas Tuan Guru bukannya bermatlamat untuk menghukum tetapi diturunkan oleh Allah swt untuk lebih menggerunkan bakal penjenayah sekaligus mencegahnya.

Dalam aspek ini beliau menyeru agar Jadual ke 9 Perlembagaan Persekutuan (berkenaan tanggungjawab dan hak kerajaan Persekutuan dan Negeri)  disemak semula agar negeri-negeri diberikan kelonggaran untuk melaksanakan undang-undang Islam. Ternyata kehadiran Jadual berkenaan sesungguhnya mengekang dan menyekat dari perlaksanaan Hudud diperingkat negeri-negeri (ini kerana mana-mana undan-undang Negeri yang dibuat yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan walaupun dalam bab Islam akan dikira tidak sah dan batal)
Semoga seruan Tuan Guru ini terus disambut dan dimantapkan lagi oleh baki ahli-ahli Parlimen PAS yang turut serta akan membahaskan Bajet berkenaaan. Biar ia dicatit oleh para pegawai kerajaan dan biar ia diulas oleh Perdana Menteri dalam penggulungannya nanti.

Siapa pun yang akan berbangkit berbahas dikalangan wakil rakyat PAS kita harapkan penegasan Tuan Guru ini terus diperkasakan. Jangan ada seorang pun yang meninggalkannya atas apa alasan sekalipun.

 

0 comments: