Isu agama dan kaum menjadi semakin tegang dan mudah mencetus
kontroversi kebelakangan ini. Jika dahulu isu-isu seumpama ini cuba dan berjaya
dielak-elak dan dikompromikan tetapi sejak akhir-akhir ini ia muncul dan terus
membara.
Perkembangan ini sudah pastinya sesuatu yang tidak sihat
buat Negara kerana inilah api yang sama yang akhirnya membakar dan meletuskan
peristiwa hitam 13 Mei lebih 40 tahun dahulu.
Kita punya tiga kaum yang terbesar dalam Negara selain pelbagai
agama dengan Islam yang dominan diikuti agama Kristian, Hindu, Budha dan
lain-lain agama dan kepercayaan. Lantaran kepelbagaian ini sudah pasti ia tidak
sunyi dari berlanggar sesama sendiri apabila satu-satu isu berputar diluar
kawalan.
Apa pun toleransi dan kebijaksanaan lah yang kiranya
menyerlah akan menjadi kunci dan penawar penyelesaian.
Sukar memahami bagaimana datuk nenek kita dahulu boleh duduk
berbincang dan bertolak ansur sehingga mewarna Negara ini dari Negeri-negeri
Melayu, Semenanjung Tanah Melayu,
Persekutuan Tanah Melayu terus Merdeka menjadi Malaya dan kemudiannya Malaysia.
Dari bumi satu kewarganegaraan dan satu agama ia ditransformasi menjadi Negara kepelbagaian
bangsa dan agama duduk sebagai satu warganegara.
Datuk nenek kita berkompromi melahirkan satu Malaya dan
kemudiannya Malaysia yang mengiktiraf kewujudan kaum-kaum lain yang mendatang
dan kemudiannya lahir di sini sebagai rakyat yang sama. Asasnya semua menerima
kepelbagaian ini bertunjangkan pengiktirafan beberapa hak antaranya Islam
sebagai agama rasmi (dengan agama-agama lain bebas dianuti), jaminan hak-hak
istimewa Melayu dan Bumiputera, kedudukan institusi Raja-raja Melayu dan
lain-lain.
Dalam suasana aman, semua ini dapat diterima dan Negara serta
masyarakat berfungsi normal dengan peranan masing-masing. Malangnya apabila
tercetus pertembungan, semua akan bingkas bangun, sehingga membelakangkan
asas-asas pembinaan Negara di atas, semua menjadi tegang, dan masing-masing
bermayian menegak benang yang basah.
Kalimah “Allah” yang berdekad-dekad sebelum ini tidak pernah
langsung mencetuskan kontroversi dan konflik sesame agama, hari ini naik turun
mahkamah, dan keputusan mahkamah pun sudah tiada lagi dihormati.
Ibadah korban yang dilakukan di premis sekolah, atas alasan
apa sekalipun, dahulunya berjalan tanpa banyak prasangka, hari ini menjadi
suatu ritual yang dipandang hina dan menghina!
Konflik seumpama ini akan terus bernanah, satu demi satu,
satu demi satu. Selagi pimpinan Negara dari pelbagai fahaman tidak boleh duduk
semeja, berunding dan bertolak ansur sebagaimana kita di awal-awal dahulu maka
selagi itulah nanah ini akan terus parah.
Jika masing-masing terus berkeras, menuntut hak asasi,
menuntut kebebasan, masing-masing mahu untung dan melihat kompromi sebagai
sesuatu yang rugi dan merugikan maka kita akan terus terjerumus ke era
kegelapan.
Secara peribadi berbezalah bagaimana pun fahaman dan
pegangan politik kita, namun dalam isu seumpama ini, ketepikanlah kepentingan
itu dan utamakanlah masa depan Negara. Bilakah itu akan berlaku, wallahualam.
No comments:
Post a Comment