Wednesday, October 30, 2013

Tantawi dan Nik Abduh berundur? (30/10/13)


Berita pengunduran Ketua dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu YB Ustaz Nasaruddin Hassan dan YB Ustaz Nik Adbuh Nik Abd Aziz mendapat perhatian ramai. Seorang sahabat lama yang saya kira seorang penulis veteran membuat spekulasi kononnya kedua-dua mereka telah gagal membawa perubahan dalam Dewan Pemuda lalu memberi laluan kepada yang lebih layak.
Bagi saya keputusan kedua-dua tokoh muda yang mempunyai masa depan yang cerah dalam kepimpinan PAS, adalah satu keputusan bijak yang sangat strategik dan penuh bermakna.

Bagi saya juga analisa rakan saya penulis veteran di atas sebagaimana selalu, sangat tersasar kerana lazimnya orang yang berjayalah melepaskan jawatan seumpama itu untuk melonjak naik lebih tinggi lagi untuk peranan yang lebih mencabar.
Dewan Pemuda di bawah kedua-dua tokoh ini ternyata telah berjaya disuntik dan diperkasakan dengan roh dan semangat Islam . Tenaga Pemuda berjaya dibentuk untuk muncul teguh mengejar cita-cita Islam tanpa kendur dan goyang demi mempertahankan matlamat dan dasar perjuangan PAS.

Pemuda dikira longgar dan alpa apabila mudah longlai dengan fahaman liberalisma, mudah berkompromi dalam perkara dasar apalagi hanyut dengan budaya dan idea Barat yang ada diantaranya membahayakan perjuangan.
Kedua-dua anak muda ini bersama rakan-rakan mereka kepimpinan Pemuda dipelbagai peringkat telah berjaya memandu anak-anak muda PAS ke arah satu matlamat yang murni dengan satu idea dan satu cita-cita.

Saya melihat pengunduran mereka ini sebagai memberi laluan kepada galang ganti mereka yang nanti akan meneruskan kesinambungan perjuangan yang telah disemai baik. Mereka telah melatih pelapis yang baik-baik yang saya kira akan terus memacu perjuangan Dewan Pemuda ke arah mempertahan dan memperkasakan parti.
Terbukti di Selangor sendiri contohnya barisan saf Dewan Pemuda yang baru sungguh mantap untuk meneruskan perjuangan ini.

Dan saya juga melihat pengunduran mereka itu bukan pengunduran terus tetapi sebaliknya nanti akan menawarkan diri pula untuk memain peranan di gelanggang yang lebih tinggi. Dewan Pemuda telah menjadi pusat latihan mereka, dan kini dengan usia yang muda ini mereka sewajarnya diberi peranan diperingkat Pusat pula agar idea-idea baru dapat diterjemahkan dalam perjuangan.
Setakat ini jawatan Presiden telah diumumkan menang tanpa bertanding. Manakala jawatan-jwatan lain bakal menyaksikan pertandingan termasuklah diperingkat AJK Pusat.

Umno yang telah melalui proses pemilihan dalam parti mereka baru-baru ini walaupun gah bunyinya tetapi ternyata masih mengekalkan ramai jaguh-jaguh lama, tiada kelihatan transformasi sebagaimana yang diwar-warkan. (jangan kita jadi seperti mereka)
PAS perlu suntikan baru khususnya dikalangan mereka yang punya kualiti kepimpinan Islam yang menyerlah dengan ilmu dan disiplin perjuangan, akhlak yang baik, adab yang mulia. Sekiranya kedua-dua tokoh ini menawarkan diri bertanding diperingkat AJK Pusat, pandangan saya, para perwakilan perlulah memilih dengan bijak.

Jika kita mahu PAS terus relevan kekal teguh dengan dasar dan cita-cita perjuagannya maka inilah masanya untuk kita melaksanakan perubahan. PAS perlu kekal berjuang atas cita-cita dan matlamat Islam sebagaimana yang tekandung dalam Perlembagaannya. Biarlah doa, titik peluh, pengorbanan dan nyawa yang disumbangkan oleh mereka yang terdahulu tidak sia-sia sampai bila-bila.

 

No comments: