PAS jangan goyang (18/10/13)

Friday, October 18, 2013


PAS perlu berhati-hati dalam isu kalimah Allah.

Sesungguhnya PAS tidak pernah lari dari prinsip dan dasar perjuangannya, pemimpin datang dan pergi. Namun dalam isu ini jika tidak berhati-hati, PAS akan memberi persepsi seolah ia tidak lagi ke hadapan dalam perjuangan mendaulat dan memartabatkan Islam.
Musuh sentiasa mahu memberi persepsi demikian terhadap PAS, kebijaksanaan dan dalam hal tertentu keberanian pemimpin PAS lah yang akan menyelamatkan parti ini.

Hari ini kedua-dua portal berita alternatif iaitu Malaysiakini dan Malaysian Insider memparkan betapa Timbalan Mursyidul Am PAS Prof Dato Dr Harun Din menurut Utusan Malaysia mengeluarkan kenyataan dari Mekah bahawa berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan jelas kalimah Allah adalah eksklusif untuk penggunaan umat Islam sahaja dan ia perlu dipertahankan.
Kedua-dua portal berkenaan dengan senang hati meletakkan kenyataan Dr Harun sebagai bertentangan dengan pendirian Pakatan Rakyat (spin doctors setaraf Utusan Malaysia kedua-dua mereka, khasnya dalam bab Islam dan PAS). Kata Malaysian Insider kenyataan Dr Harun itu berbeza pandangan dengan PR. Manakala Malaysiakini pula memaparkan:

Kenyataan Haron itu berbeza dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengekalkan pendirian mereka bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah, seperti kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam.
Bermulalah proses melagakan ulamak dalam PAS, kononnya ulamak sudah berbeza pendirian dengan PR.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa bagi saya pendrian dalam PR yang disuarakan oleh Presiden PAS (saya tak tahu pula apa kenyataan Setiausaha Agung PAS dalam hal ini) adalah jelas dan kalau difahami sedalam-dalamnya ia konsisten dengan pandangan Dr Harun pun.
Penegasan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang bahawa:

Tiada salahnya masyarakat bukan Islam menggunakan istilah ini (Allah) dengan syarat ia tidak disalahgunakan atau disalah tafsir
adalah jelas bermaksud bahawa kiranya ia yakni kalimah “Allah” digunakan untuk disamakan dengan Tuhan agama lain lalu dimaksudkan itulah “Allah” yang sama menurut pentafsiran Islam, maka ia  jelas salah, kerana disalah guna dan disalah tafsir.

Dr Harun Din, Ustaz Dato Harun Taib (Ketua Dewan Ulamak PAS), Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, kesemua mereka adalah ulamak Islam yang datang dari asas pengajian yang sama dan sealiran. Mustahil mereka boleh berbeza pandangan. “Authority” atau rujukan tertinggi dalam PAS adalah al Quran dan Hadis, dan para ulamak khasnya Majlis Syura Pas lah yang bertugas memberikan pentafsiran dalam satu-satu berhubung hukum.
Dalam hal ini pendirian mereka telah jelas iaitu:

 Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulamak
Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

1)    Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2)    Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3)    Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Dari kenyataan di ataslah boleh diceduk kenyataan Presiden PAS apabila mengulas pendirian PR ternyata Presiden PAS merujuk kepada kenyataan:
“……menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.”

Pemimpin dan ahli-ahli PAS wala’ pada pendirian ini (khasnya dalam pendrian yang melibatkan aqidah dan pegangan) kerana itulah pendrian PAS dalam hal ini.
Semoga PAS terus kuat walau berhadapan isu sesensitif ini insyallah.

 

1 comments:

Anonymous said...

112:1. Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa,

112:2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

112:3. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan,

112:4. dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan Dia".

Allahukabar.Allah yang Esa bukan lain dari yang Esa.