Saturday, July 06, 2013

Isu-isu Islam di Selangor (6/7/13)


Ucapan ADUN Sri Andalas dari PKR Dr Xavier Jayakumar di Dewan Negeri Selangor baru-baru ini telah mencuri minat banyak pihak. Sebenarnya apa yang ditonjolkan oleh beliau yang mendapat perhatian ramai adalah berkenaan dua perkara:
PERTAMA: agar satu undang-udang diperkenalkan bagi melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam.

Berkenaan itu beliau dipetik sebagai berkata:
"Pejabat saya telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang kumpulan yang minum minuman keras di lokasi berkenaan sehingga larut malam dan kemudian meninggalkan botol kosong dan juga pecah yang berselerak di tempat tersebut. Keadaan ini menyebabkan kacau dan ganggu kepada keharmonian dan ketenteraman penduduk setempat di kawasan berhampiran,"

KEDUA: menuntut agar kerajaan mengharamkan penjualan ARAK MURAH bagi membendung gejala sosial yang menurutnya semakin serius.
Sehubungan itu beliau dipetik sebagai berkata:

"Saya juga mohon kerajaan negeri melarang dan mengharamkan jualan arak murah yang boleh diperolehi dengan mudah dan berleluasa di kedai runcit, kedai perubatan Cina dan pasaraya di seluruh negeri. Yang begitu membimbangkan, pengambilan minuman ini dilakukan oleh ramai dari masyarakat India berpendapatan rendah.Ini menimbulkan masalah gejala sosial dan menyebabkan banyak berlakunya kes jenayah dan penderaan rumah tangga di kalangan masyarakat India yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.
Ternyata apa yang dibawa oleh Dr Xavier berpunca dari aduan yang beliau terima dari masyarakat di kawasan yang diwakilinya. Dalam perkara kedua beliau sangat prihatin terhadap nasib masyarakat India berpendapatan rendah yang terjebak dengan arak murah sehingga membawa kepada penyakit dalam masyarakat.

Atas semangat cadangan yang dibawa Dr Xavier itu saya kagum apabila Ketua Dewan Pemuda PAS Gombak Ustaz Syarhan terus mengeluarkan kenyataan menyokong cadangan Dr Xavier itu dan malah beliau dipetik sebagai berkata:
Cadangan ini juga selaras dengan dasar PAS supaya arak tidak dijual sewenang-wenangnya ditempat awam dan di kawasan majoriti Muslim. Jadi, Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) berharap cadangan ini bukan sahaja diguna pakai di Negeri Selangor, tetapi kerajaan pusat juga turut menyambut baik cadangan ini dan diperluas ke seluruh negeri memandangkan Malaysia adalah negara majoriti Islam.

Malah amat baik sekali jika kilang arak terbesar di Malaysia dan di Asia Tenggara iaitu Carlsberg di Shah Alam dikaji semula dan seboleh-bolehnya ditutup bagi meraikan umat Islam di Malaysia.
Kita akui bahawa arak ini diharamkan oleh Islam ke atas penganutnya. Cuma dalam kes masyarakat bukan Islam sebagaimana di Kelantan, mereka dibenarkan meminumnya dengan syarat dan peraturan tertentu.

Dalam hal ini ARAK MURAH jika sudah diakui mendatangkan mudarat sebagaimana dinyatakan oleh Dr Xavier maka sewajarnyalah kerajaan sekurang-kurangnya kerajaan Selangor mengambil langkah mengharamkan penjualannya.
Berkaitan kilang-kilang arak di Selangor ianya satu isu yang berlainan.

Haram tetap haram dari sudut syarak, tetapi bagaimana PAS yang diwakili dalam kerajaan Selangor dapat mengambil peranan menerapkan “keadilan” Islam dalam mendekati isu kilang yang telah sekian lama sedia ada tersergam gagah!
PAS tidak boleh menyepikan perkara ini kerana ia hakikat. Isunya apa yang boleh PAS lakukan memandangkan ia kini duduk dalam kerajaan. Di sinilah semua pihak khasnya dalam PAS Selangor perlu mengambil serisu sebagaimana saranan Ustaz Syarhan itu.

Dalam realiti hari ini kita mungkin tiada berkepuyaaan menutup kilang-kilang tersebut, tetapi pasti di sana ada beberapa pendekatan dan langkah yang boleh kita ambil sekurang-kurangnya bagi menyelamatkan masyarakat Islam di negeri yang kita turut perintah ini.
Dahulu saya pernah bangkitkan perkara ini, tetapi dalam PRU lalu kekuatan politik PAS tidaklah sebagaimana hari ini. Lantas sesuai sangatlah perkara ini dihidupkan semula agar PAS nampak sungguh-sungguh boleh berperanan apabila diberi kuasa.

Saya pernah mengesyorkan agar kerajaan negeri sekurang-kurangnya menyelamatkan kakitangan Islam yang ramai bekerja makan gaji di Guiness Anchor Berhad, GAB dan Carlsberg. Memang mungkin sukar kerana mereka telah ada yang lama bekerja di sana . Tetapi menjadi tanggungjawab kita menyedarkan mereka dan mengambil langkah menyelamatkan mereka.
Satu majlis dialog dengan mereka perlu diusahakan. EXCO Agama dan JAIS perlu mendapatkan kerajasama kilang-kilang ini bagi menyenaraikan kakitangan Islam mereka dari buruh, drebar lori, juruteknik sehinggalah eksekutif dan pegawai kanan.

Panggil mereka dan berikan kesedaran.
Kemudian dana perlu diwujudkan bagi mengusahakan mereka keluar dari industri haram ini. Satu tabung diwujudkan mungin dari dana Baitulmal jika diizinkan, bagi menampung dan memberi pampasan kepada mereka. Kemudian satu badan diwujudkan bagi mendapatkan pekerjaan baru buat mereka samada dalam GLC milik kerajaan negeri sendiri atau lain-lain syarikat demi menyelamatkan mereka.

Kalau kita tidak berupaya menutup kilang ini sekurang-kurangnya kita dapat menjawab di hadapan Kadhi Rabbul Jalil bahawa kilang ini hanya menggajikan pekerja bukan Islam dan mengilangkan arak buat bukan Islam.
Begitu juga bagi industri hiburan, pub dan kelab-kelab yang menghidangkan arak. Atas semangat sarana Ustaz Syarhan ini, jika kita tidak berupaya menutupnya maka selamatkanlah anak-anak Islam yang bekerja makan gaji di premis-premis seumpama ini.

Saya yakin tiada pihak lain yang wajar dan wajib memikul tanggungjawab ini di Selangor selain PAS.
Diharapkan saranan ini mendapat perhatian serius PAS Selangor. Kalau Dr Xavier boleh bangun atas keprihatinan keluhan masyarakat yang diwakilinya serta kebimbangan gejala social yang melanda masyarakat India berpendapatan rendah, mengapa kita tidak boleh bangkit atas keprihatinan masyarakat Islam, agama Islam yang kita anuti dan perjuangkan.

Dimana ada kemahuan di situ ada jalan insyallah.

2 comments:

Anonymous said...

sepatutnya perkara ini telah lama dulu lagi diperketatkan peraturan minum arak ditempat tertentu saja ini macam ada kelonggaran yang dibiarkan sehinggalah jadi seperti apa yang ada disekitar kita

Anonymous said...

insyaAllah isu berkenaan telah diusulakn dlm mesy cawangan baru2 ini. wujudkan enakmen bagi menghalang org islam kerja di pusat hiburan dan arak, dlm masa sama bagi peluang kerja kpd mrk. mudah2an usul ini diterima