Kod pakaian untuk wanita dikritik (12/7/13)

Friday, July 12, 2013


Saya sempat mendengar ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Siti Zailah Yusoff di Parlimen baru-baru ini. Ternyata sebagai ahli parlimen yang mewakili parti yang memperjuangkan Islam, tambahan pula beliau seorang Muslimat, YB Zailah telah menjalankan tanggungjawabnya.
Di Parlimen YB Zailah mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan kod pakaian untuk wanita agar dapat membenteras gangguan seksual ke atas mereka. Bagi yang Islam beliau menyarankan pakaian menurut kehendak syarak manakala bukan Islam pakaian yang sopan.

Saranan ini memang wajar kerana demikianlah perjuangan Islam yang dibawa oleh YB Zailah dan parti yang beliau wakili. Ianya tidak memeranjatkan kecualilah beliau menyatakan sebaliknya.
Untuk menyatakan sesuatu yang benar bukan mudah terutama dizaman serba mencabar pada hari ini. Kebenaran mudah diterima oleh mereka yang beriman namun bagi lain ia dilihat sebagai sesuatu yang janggal dan leceh.

Saya perhatikan ketika beliau berucap antara yang awal melenting adalah Ahli Parlimen Pengerang YB Azalina Othman Said.
Dan pada hari ini akhbar The Star contohnya menyediakan hampir separuh muka ruangan untuk menyerang dan memperlekeh cadangan YB Zailah itu. Kalau boleh disenaraikan antara yang kurang senang dan memandang rendah termasuklah:

IVY JOSIAH – Pengarah Eksekutif WAO yang menganggap YB Zailah tidak ada kefahaman berkenaan jenyah seksual
DATUK YU CHOK TOW – Ketua Wanita MCA yang menyatakan bahawa cadangan YB Zailah itu mencerminkan pemikiran konservatif PAS terhadap wanita. Beliau malah mencadangkan agar semua ahli parlimen wanita termasuk dari pembangkang agar mengutuk saranan YB Zailah itu.

NORHAYATI KAPRAWI – Penerbit Dokumentari yang menyatakan bahawa kiranya YB Zailah mewakili sikap PAS maka rakyat Malaysia khasnya wanita perlu bimbang pada PAS.
YB TEO NIE CHING – Ahli Parlimen DAP Kulai menganggap bahawa cadangan memperkenalkan kod berpakaian itu bukan hanya menghina wanita tetapi turut menghina kaum lelaki

DR HARTINI ZAINUDDIN – Aktivis Kebajikan Kanak-kanak secara sinis menyatakan : Kod berpakain untuk menghindar kejadian rogol? Kita dari planet mana?
Demikianlah reaksi yang kita terima apabila mahu mengemukakan penyelesaian cara Islam.

Apa pun saranan YB Zailah itu perlu terus diajukan dan yang penting disokong oleh mereka yang mendukung perjuangan Islam. Mungkin ada perhalusan dan penelitian yang perlu dilakukan, namun jangan sekali-kali berputus –asa dengan reaksi seumpama ini. Rakan-rakan ahli parlimen PAS yang lain perlu terus menghidupkan isu ini kerana ianya bukannnya pandangan peribadi YB Zailah tetapi kehendak syarak.
Yang kita lihat adalah reaksi mereka yang sehaluan dengan Azalina, tetapi yakinlah ramai lagi di luar sana insyallah bersetuju dan akan memberikan sokongan.

Sesungguhnya mereka yang mendukung dan bersama perjuangan Islam akan berbangga dengan apa yang telah disuarakan oleh YB Zailah. Teruskan menyatakan yang hak ketika Allah berikan kita peluang untuk berdakwah.



1 comments:

Anonymous said...

duduk pun dalam planet yang dicipta oleh Allah nak belagak lagi itulah manusia yang tak sedar diri.dah lama pun peraturan manusia buat nak tadbir dunia konon tapi makin banyak jenayah terbukti peraturan manusia hanya makin bercelaru.manusia Islam pun tak suka menutup aurat. tutup aurat bagi wanita Islam dan pakaian sopan untuk wanita bukan Islam salah ke