Friday, July 19, 2013

Alvin dan Vivien: Berani buat berani tanggung (19/7/13)


Pasangan Alvin Tan dan Vivien Lee semalam telah di dakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 3 pertuduhan di bawah 3 undang-undang berbeza iaitu Akta Penapisan Filem, Kanun Kesiksaan dan Akta Hasutan yang sabit kesalahan boleh mengakibatkan pasangan berkenaan dipenjara dan didenda.
Pasangan ini menjadi popular apabila memuatkan gambar mereka memakan “bakut teh” (sup tulang rusuk khnizir) sambil mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam dan mengajak umat Islam menikmati hidangan berkenaan untuk berbuka puasa.

Apa pun mahkamah lah yang akan memutuskan samada pasangan ini sabit atau tidak kesalahannya.
Diperingkat ini biarlah pendakwaan ini menjadi iktibar buat kita semua khasnya yang memiliki facebook, blog atau apa sahaja laman web sendiri. Ternyata tindakan kedua pasangan di atas telah mendapat reaksi negatif dari semua pihak termasuklah pimpinan parti-parti politik. Setakat ini tiada ada pula kedengaran mana-mana pihak yang membela atau mempertahankan tindakan kedua pasangan itu.

Bermakna rakyat Malaysia mahu memelihara keharmonian yang sedia ada yang terbina sekian lama memaut hubungan dan kesefahaman antara seluruh penduduk berbilang kaum dan agama dalam Negara ini.
Dari sejak sebelum Merdeka sehinggalah ke hari ini masing-masing kita akur dan faham akan sensitiviti masing-masing kaum dan agama. Kita tidak mahu siapa pun yang lantaran keceluparan mulut, kedangkalan perhitungan, kecelaruan nafsu, melewati batas dan pantang-larang mana-mana kaum dan agama sehingga akhirnya membawa kepada ketegangan dan porak-peranda.

Umat Islam yang membentuk majoriti penganut dalam Negara kita tidak mahu agama dan kepercayaan mereka dipermain dan dihina oleh mana-mana pihak sebagaimana kita percaya begitu juga bagi yang minoriti bukan Islam.
Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pandangan bukanlah lesen besar bagi kita untuk menyatakan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran kita. Pendakwaan ini membuktikan siapa sahaja yang merasakan bebas sebenar-benarnya untuk berkata apa sahaja, perlu sedar, bahawa mereka perlu bertanggungjawab atas kebebasan mereka itu.

Tulislah, sebutlah, ulaslah, naikkanlah apa sahaja gambar atau poster sesuka saudara, tetapi, berani buat berani tanggung.
Jangan apabila telah terlalu berani lantaran kebebasan tadi, tetapi apabila didakwa memberi seribu satu alasan menyelamatkan diri.

Sementara itu dalam akhbar tempatan hari ini kita turut terbaca berkenaan tuntutan agar mendakwa beberapa indidvidu dan personaliti tertentu yang sebelum ini telah turut mengeluarkan kenyataan yang dikira sensitif terhadap kaum atau agama lain dalam Negara.
Benar, tuntutan demikian itu ada asas dan perlukan perhatian pihak berwajin agar jangan dilihat ada pendakwaan berpilih atau "selective prosecution".

Walaubagaimanapun, jangan digerhanakan kes pasangan ini dengan tuntutan yang lain. Kita mahukan pembelaan dan kita mahu lihat bagaimana berani nya pasangan ini apabila mereka berfhadapan dengan pengadilan nanti.
Dalam pada itu tindakan Hakim Mahkamah Sesyen, semalam menafikan jaminan terhadap kedua pasangan di atas turut mendapat kritikan sesetengah pihak. Ada yang menganggap penafian jaminan itu (yang mengakibatkan kedua pasangan itu masuk ke penjara sementara menantikan pengadilan) sebagai satu hukuman sedangkan pasangan berkenaan belum membela diri.

Ini pun satu masalah.
Bukankah kita meletakkan keyakinan kepada sistem perundangan kita. Yang tidak berpuas hati boleh merayu, janganlah kita melompat sebelum selesai segalanya.

Saya perhatikan dalam akhbat The Star umpamanya kesemua pengkritik (yang kebanyakkannya pengamal undang-undang) menyatakan tidak puas hati dengan menyebut bahawa mahkamah boleh memberi jaminan mengikut budibicara (walaupun kesemua pertuduhan yang dibuat menafikan jaminan). Dalam kes ini semalam saya kira Hakim telah menggunakan budibicaranya itu dan keputusannya, mereka dinafikan jaminan. Oleh itu kita hormatilah keputusan itu melainkan tertuduh mahu merayu.
Semoga keadilan dicapai dalam kes yang sangat memalukan masyarakat kita ini.

1 comment:

Anonymous said...

ada orang Islam hina Islam dengan ucapan dan tulisan macam mana ?

keadilan hendaklah dilihat dilaksanakan bukan ucapan sahaja