Sunday, May 31, 2009

Usaha memomokkan Pemuda PAS

"Suatu aliran tren yang konservatif dijangka bermula dalam sayap Pemuda PAS kerana Ketua Pemudanya yang baru adalah seorang ulama yang berimej jubah dan janggut manakala Timbalannya juga seorang ulamak dan seorang penternak kambing yang agak berjaya.".

Demikianlah pembukaan artikel kolmnis Joceline Tan dalam akhbar The Sunday Star hari ini di bawah tajuk:

PAS Youth set to go conservative

Bagi saya yang membaca saya melihat artikel ini cuba menggambarkan yang Dewan Pemuda PAS telah kononnya jatuh ketangan mereka yang kolot yang tidak mampu meneruskan usaha engagement yang kononnya hanya dipelopori oleh kelompok-kelompok yang tertentu dalam PAS.

Jubah, serban dan janggut serta kelayakan sebagai ulamak menggambarkan kekolotan dan satu langkah kebelakang, sesuatu yang bakal merugikan dan menggagalkan PAS dalam usaha politiknya. Benarkah begitu?

Agaknya penulis lupa bahawa PAS selama ini dipimpin oleh orang yang berjubah, berserban dan berjanggut sehingga membawa PAS keperingkat pencapaian yang ia ada pada hari ini dan melahirkan ramai barisan profesional yang tunduk dan komited pada perjuangan parti. Bukankah Presiden PAS dan Mursyidul Amnya memiliki imej demikian, gagalkah PAS?
Mungkin penulis tidak kenal PAS sebenar-benarnya atau hanya mengenali orang-orang tertentu dalam PAS.

PAS adalah sebuah parti Islam yang berjuang untuk memartabatkan dasar dan prinsip Islam walau ia dipimpin oleh sesiapa sekalipun. Sesiapa jua yang berpegang kepada prinsip dan dasar perjuangan Islam wajib bangkit mempertahankannya dan bekerja sehingga ia berjaya. Politik Islam tidak bertenggek pada dasar matlamat menghalalkan cara. Jalan dan laluannya telah terang terbentang di hadapan, dan para pemimpinnya wajib mengikuti jalan dan laluan itu bukan sebaliknya.

PAS bukan lagi PAS kalau agenda Islam digadaikan semata-mata kerana mahu popular atau mahu berpaut pada kuasa. Sikap yang teguh dan tidak berubah-ubah pada pendirian inilah menyebabkan PAS kekal berada pada landasan ini sehingga hari ini.

PAS tidak akan menutup mata, sebelah atau dua belah apabila berhadapan dengan isu yang membabitkan prinsip. Kerana itu walau ia sebahagian dari kerajaan di Selangor Pemuda PAS bangkit menentang konsert maksiat, walau PAS terlibat dalam penganjurannya Pemuda PAS bangkit menentang Curberator Dung apabila berlaku aksi lucah dan melampau.

Apatah lagi dalam isu-isu yang membabitkan aqidah dan perundangan Islam.

Tidak kiralah siapa yang menerajui Pemuda PAS atau PAS Pusat sekalipun, samada mereka berjubah,berserban, berjanggut atau tidak, syaratnya mereka mesti taat dan berpegang teguh kepada prinsip dan dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS yang diwarisi turun temurun dari Baginda Rasulullah saw.

Pemuda PAS saya yakin alan melangkah ke hadapan tanpa teragak-agak, gagah dan taat memikul dan menjunjung amanah perjuangan Islam. Kata Joceline: "The direction he (Nasruddin) takes may take the wing forward or backwards". Disaat Islam ditinggal, dipinggir atau diubah-ubah termasuklah diliberal atau dimoderatkan menurut kesesuaian ketika itulah Pemuda dan PAS akan terlontar ke belakang dan mengundang murka Allah. Tetapi berpedomankan Kepimpinan Ulamak insyallah Pemuda dan PAs akan selamat dan terus mengorak langkah maju ke hadapan, biar syahid ataupun kemenangan!

Saturday, May 30, 2009

Biarlah Chin Peng terus di sana


Polemik tentang perlu atau tidak bekas Setiausaha Agung PKM (Parti Kominis Malaya) Chin Peng 85 dibenar pulang terus bermain di media. Ini ekoran keputusan mahkamah yang tidak membenarkan anak kelahiran Setiawan, Perak ini pulang ke tanahair kerana gagal mengemukakan sijil bukti kelahiran beliau. Ekoran itu kerajaan Pusat pun mengumumkan bahawa Chin Peng tidak akan dibernarkan pulang ke tanahair.


Chin Peng atau nama asalnya Ong Boon Hua memang telah melakar sejarah yang tersendiri. Yang umum tahu bahawa beliaulah Setiausaha Agung PKM sehingga ia dibubarkan berikutan perjanjian Haadyai pada tahun 1989, beliau mengetuai PKM dalam Perundingan Baling bersama delegasi Almarhum Tunku pada tahun 1955 dan bahawa semasa Darurat 1948-60 beliaulah mengetuai kekuatan PKM betempur dengan Biritsh dan kemudiannya anak-anak Malaya yang Merdeka.

Tetapi beliau juga sebenarnya pernah bertempur bersama British menentang penjajahan Jepun. Beliau terlibat dalam MPAJA iaitu Tentera Malaya Anti Jepun dan membantu pasukan gerila komando Biritish “Force 136” dalam menghapuskan pusat kekuatan tentera Jepun.

Itu semua sejarah. Dan malah kini segala hasil tulisan, catatan dan memoir para pejuang tanahair yang menggunakan sepanduk PKM ini termasuklah Regimen ke 10 tidak lagi diharamkan dan boleh didapati dipasaran. Ramai yang hadir pada hari ini khasnya yang lahir tahun 80an mungkin tidak pernah terdedah secara langsung dengan peristiwa yang membabitkan PKM ini samada ketika Darurat 1948-60, serangan gerila mereka selepas itu, termasuklah dalam bandar sekitar 70an sehingga meletupkan sebahagian Tugu Negara, melontarkan grenade kepada Pasukan Polis Hutan yang sedang berkawat di kem mereka di Flet Pekeliling (ketika itu – Briged Tengah kalau tidak silap saya), membunuh KetuaPolis Negara dan Ketua Polis Perak dan lain-lain.

Mungkin ramai boleh melupakan tindak-tanduk PKM ini, melupakan kerana tidak pernah ingat pun atau kerana perkara itu tidak melibatkan mereka dan keluarga mereka secara langsung. Saya perhatikan memang ramai boleh melupakan tetapi tidak ramai boleh memaafkan. “Many can forget but not many can forgive”.

Saya memang minat untuk menyelami prinsip dan perjuangan mereka. Kebetulan ayah saya terlibat dalam operasi memutihkan Kajang pada tahun 50an yang ketika itu merupakan kawasan hitam, lalu banyaklah cerita yang saya kaut dari beliau. Saya terpesona bagaimana mereka ini sanggup lari ke hutan, lari dari tekanan British dan mengangkat senjata menentang British walaupun dengan kekuatan yang amat minima.

Mereka memang hebat, azam mereka kuat, disiplin mereka tinggi tetapi malangnya mereka menganut fahaman kominis. Hampir setiap buku dan karangan mereka ini termasuklah dari para pengulas dan penganalisa serta pengkaji saya beli dan baca. Buku Chin Peng, buku Rashid Maidin, Abdullah CD, Suriani Abdullah, dan lain-lain termasuklah Memoir Shamsiah Fakeh (yang kebetulan sempat saya jumpa dan temuramah untuk WTV8 sebelum beliau meninggal dunia) dan buku karangan CC Chin dan KarlHack: Dialogues with Chin Peng . Terbaru saya sedang membaca buku “Fong Chong Pik: The Memoirs of a Malaysan Communist Revolutionary.

Apa yang saya dapati mereka ini semua yakin dan percaya bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan tanahair dan apa yang berlaku sehinggalah PKM dibubarkan itu adalah sah (legitimate). Tidak saya baca sesiapa pun yang menyesal atau kecewa kerana terlibat berperang sesama kitakhasnya setelah British berambus dan kita merdeka pada tahun 1957.

Kita boleh melupakan tetapi siapakah yang akan memaafkan darah dan airmata mereka di sebelah sini. Tentera, polis, orang awam, petani, nelayan, rakyat biasa yang terkorban, menderita akibat kepercayaan mereka(PKM) bahawa perjuangan bersenjata sahaja yang dapat memerdekakan Malaysia buat kali kedua dan bernaung di bawah panji-panji kominis.

Saya simpati dengan Chin Peng kerana pada usia lewat 80an pasti beliau rindu akan kampong halaman dan sanak-saudaranya. Tetapi saya tidak tergamak untuk menyokong beliau kembali ke tanahair sebagaimana rakyat biasa, kerana apa yang telah beliau dan rakan-rakannya lakukan terlalu pahit dan tidak dapat dimaafkan.

Biarlah mereka ini kekal sebagai satu pengajaran buat semua kita. Baca dan fahamilah perjuangan mereka tetapi selamilah juga hati dan perasaan kaum-keluarga dan mereka yang terlibat secara langsung memastikan Malaysia tidak sekali-kali menjadi Vietnam, Korea Utara atau Kominis Cina.

Wednesday, May 27, 2009

Pengamatan Ustaz Hashim Jasin

Setiapkali saya berpeluang mengikuti kuliah atau ceramah Ustaz Hashim Jasin (ADUN Sanglang/ ahli majlis syura ulamak), saya akan beri sepenuh perhatian kerana saya dapati isi penyampaian beliau yang acapkali disampaikan dengan gaya bersahaja selalunya padat dan penuh pengajaran.






Baru-baru ini semasa mengulas kertas kerja Ustaz Dato’ Harun Taib dalam himpunan memperingati Jubli Perak Kepimpinan Ulamak di Taman Melewar, sekali lagi penyampaian Ustaz hashim yang walaupun sekadar 10 minit sungguh memberi kesan sekurang-kurangnya pada saya dan saya percaya begitu juga pada mereka yang hadir.

Pada hari itu beliau mahu menggambarkan kesan langsung kepimpinan ulamak terhadap PAS. Beliau ambilcontoh dua peristiwa yang berlaku dizaman Saidina Omar al Khatab r.a yang saya yakin kita semua telah tahu akan kisahnya.

Pertama tentang kisah anak gadis yang menegur ibunya dalam kes mahu menokok air ke dalam hasil susu. Ringkas cerita si ibu mengatakan Omar tidak nampak, lalu kata ana gadisnya Tuhan Omar nampak. Kedua tentang kisah gembala kambing ditengah padang pasir yang mahu diuji Omar. Omar pinta agar sigembala menjual seekor kambing kepadanya sedang sigembala tidak mahu kerana tidak diketahui tuannya. Kata Omar jika ditanya tuannya katakana sahaja kambing itu dimakan serigala. Sigembala memberitahu yang beliau takut Tuhan akan tahu.

Apa hubungannya dengan kepimpinan ulamak? Inilah generasi yang dibentuk secara langsung oleh Rasulullah saw dan diikuti oleh Abu Bakar dan Omar yang masing-masing ulamak tersohor belaka.

Kata Ustaz Hashim beliau melihat dua peristiwa besar turut berlaku sejak PAS mendakapi konsep kepimpinan ulamak. Apabila ulamak menjadi teraju dan usaha tarbiyah dipertingkat serta diperluaskan.

Petama sejak 1983 sehingga kini, lebih 25 tahun, tidak lagi berlaku dalam sejarah PAS mana-mana ADUN atau ahli parlimen melompat, berpaling tadah, meninggalkan perjuangan dan menyertai musuh. Baik semasa PAS menang besar atau sekadar bertahan dengan beberapa kerat kerusi. Sebelum 1983 khasnya di tahun 60an memang ada, tetapi pasca kepimpinan ulamak, memang tiada.

Kedua selepas PRK Pengkalan Pasir, apabila kerajaan PAS Kelantan sekadar bertahan dengan majoriti 1 kerusi, berbagai cabaran dan dugaan dilalui oleh PAS ketika itu, namun PAS berjaya kekal bertahan memerintah Kelantan sehingga tamat penggal, setiap ADUN yang ada istiqomah bersama PAS!

Sebagaimana kisah Saidina Omar tadi bagi Ustaz Hashim peristiwa ketahanan dalaman PAS ini adalah hasil suntikan dan gerka-kerja ulamak yang dicerana dari konsep Kepimpinan Ulamak yang dilahirkan. Ia tiada didapati dalam mana-mana parti lain dalam negara. Mungkin akan ada yang mempertikaikan pandangan Ustaz Hashim tetapi bagi saya, ia sesuatu yang benar dan cuma dapat dirasai oleh mereka yang tulus dan ikhlas dalam melayari perjuangan ini.

Teringat saya Tuan Guru Presiden pernah memberitahu bahawa seorang ulamak besar di Iran (yang walaupun bermazhab Syiah) menyatakan kekagumannya terhadap PAS, sebab apa, sebab dapat terus mengekalkan kepimpinan ulamak dalam keadaan kebanyakkan gerakan Islam dunia tiada lagi dipimpin oleh ulamak.

Semoga kepimpinan ulamak terus menjadi teraju dan tonggak PAS sampai bila-bila.

Dewan Pemuda PAS Pusat cermin kekuatan jemaah

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat pucuk pimpinan baru Dewan Pemuda PAS Pusat. Walaupun pada asalnya dikhabarkan bakal terjadi pertarungan sengit bagi tiga jawatan tertinggi dewan tersebut, akhirnya jalan penyelesaian secara Islam diambil, mekanisma syura diutamakan lalu terbentuklah satu saf kepimpinan yang kemas dan diterima semua.

Dewan Pemuda yang walaupun berdarah muda namun telah berjaya mempamirkan kedewasaan dan kematangan dalam berpolitik.Individu tidak penting yang penting adalah nasib dan masa depan perjuangan dan jemaah. Apa guna kita bertelagah untuk mengejar jawatan akhirnya perjuangan tersadai dan jemaah berpecah-belah.

Saya yakin mantan Ketua Dewan Pemuda, Sdr. Salahuddin Ayub, telah berjaya membentuk kematangan ini dikalangan pimpinan pemuda yang beliau tinggalkan. Demikianlah ukuran seorang pemimpin yang baik.

Syabas kepada adinda-adinda saya Ustaz Nasrudin bin Hassan at Tantawi, Ketua Pemuda baru, Ustaz Azman Shapawi, Timbalan Ketua Pemuda baru dan Ahmad Sabki Yusof, naib Ketua Pemuda baru yang kesemuanya menang tanpa bertanding. Semoga anda semua akan dapat bermuafakat secara baik dan membantu meneguhkan PAS serta menjayakan cita-cita perjuangan kita bersama.

Monday, May 25, 2009

Roslan SMS Corner kini berusia 5 tahun

Saya sendiri sebenarnya tidak perasan sehinggalah dimaklumkan oleh seorang sahabat, bahawa pada tanggal 20 Mei 2009 lalu, blog saya Roslan SMS Corner telah berusia 5 tahun! Alhamdulillah saya terus dikurniakan kekuatan untuk berkongsi pandangan dan isi hati diruangan ini.

Saya masih ingat 5 tahun lalu, ketika itu baru sahaja PAS menerima kekalahan teruk dalam PRU ke 11. Ia kalah di Terengganu setelah memerintah cuma 1 penggal dan hampir kalah di Kelantan, sekadar bertahan dengan majoriti dua kerusi (kemudiannya dikurangkaan dengan 1 kerusi). Kekuatan yang baru dibina di Selangor, Perak dan Pahang pada PRU 1999 lenyap sama-sekali.

Disaat Allah swt menguji kita, kita mampu bertahan. Walaupun sedih dengan kekalahan itu, kita terus istiqomah meneruskan perjuangan. Islam yang merupakan prinsip perjuangan kita terus kita pertahankan. Walaupun berhadapan dengan pelbagai fitnah dan tekanan kita sabar dan mampu membina balik kekuatan dari debu-debu kekalahan. Ketika itu tidak ramai penulis, tidak ramai blogger, maklumlah siapa yang mahu terkenal ketika kalah…….tetapi yang ada terus menulis dan menyumbang sebagai bakti kepada perjuangan yang besar dan suci ini.

Alhmadulillah kini sudah lima tahun berlalu. Sedih-pilu yang lalu digantikan dengan kemenangan besar yang Allah pinjamkan pada PRU ke 12 baru-baru ini. Suasana 2009 ini sama-sekali jauh berbeza dari kemarau 2004 yang lalu. Kalau dahulu kita diuji dengan kekalahan lalu kita bertaut rapat dan menongkah arus perjuangan yang bergelora itu dengan tabah dan taqwa, kini kita diuji lagi. Tetapi ujian kini adalah dengan kemenangan. Jinjinglah kita kemenangan ini yang entahkan kekal entahkan tidak.

Apa pun komitmen dan kegigihan kita dalam meniti liku-liku perjuangan ini perlu diteruskan. Kalau dalam kalah kita boleh berpadu dan teguh dalam jemaah inikan pula dalam kemenangan. Sama-samalah kita hadapinya.

Sementara itu saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para sahabat dan kenalan yang tidak jemu-jemu mengunjungi blog ini. Tidak lupa juga kepada para pengkritik dan mereka yang sungguh pun tidak senang dengan tulisan saya namun singgah juga untuk membaca. Mudah-mudahan Allah swt merahmati kita semua. Semoga saya terus diberi kekuatan untuk berkata yang hak dan istiqomah dalam perjuangan.

Terima kasih buat semua. (Tak lupa kepada Bro Mamat yang membantu membina blog ini dahulu)

Sunday, May 24, 2009

Benarkah ada musuh dalam selimut dalam parti?

Portal berita Malaysiakini melaporkan kononnya Timbalan Mursyidul Am PAS Dato’ Dr Haron Din mengingatkan peserta dalam perhimpunan mengingati Jubli Perak Kepimpinan Ulamak semalam akan musuh dalam selimut PAS yang ditaja oleh umno dan negara asing. Apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS itu sepatutnya hanya diketahui oleh para peserta kerana himpunan semalam diadakan secara tertututp kecuali sidang media (yang tidak dianjurkan oleh pihak penganjur) Mursyidul Am yang diadakan secara tergesa-gesa sebelah paginya.

Sebelum kita menuding jari dan melemparkan tuduhan sana-sini (yang asing dalam adab PAS tetapi kebelakangan ini sungguh masyhur) cuba kita baca artikel dalam akhbar The Sunday Star hari ini (kalau Utusan Malaysia itu pro Umno saya yakin The Star bukan pro PAS):

Our current leaders are highly respected by us but we need leaders that can be accepted by all races, not just by PAS followers. This is the challenge for PAS how to survive and grow into a party trusted and accepted by all Malaysians.

We have to be LESS ISLAMIC AND MORE UNIVERSAL to win support from non-Muslims. But if we drop our Islamic label the Muslim conservatives would rebel
.

(Pimpinan kami sekarang sangat dihormati oleh kami semua akan tetapi kami memerlukan pimpinan yang boleh diterima oleh semua kaum bukan hanya pengikut PAS. Inilah cabaran PAS iaitu bagaimana untuk wujud dan berkembang sebagai partiyang dipercayai dan diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Kita perlu menjadi KURANG ISLAMIK DAN LEBIH UNIVERSAL untuk memenangi sokongan bukan Islam. Akan tetapi jika kita menggugurkan label Islam ini maka puak konservatif (ulamak?) akan memberontak.

Artikel ini dimuatkan dalam ruangan “Comments” karangan Baradan Kuppusamy. Dan siapakah sumber Baradan? Beliau menyebut:

A senior moderate PAS leader who requested anonymity

Seorang pemimpin kanan PAS yang moderat yang tidak mahu dikenali

Kemudian dalam akhbar yang sama dalam ruangan “Insight” karangan Joceline Tan dimuatkan satu persatu kononnya gelagat dan aksi Ketua Dewan Ulamak PAS, Ustaz Dato Mohd Daud al Iraqi dalam Mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat baru-baru ini seolah-olah Joceline berada di Bilik Mesyuarat Tingkat 5 pada hari itu sedangkan yang hadir cuma pimpinan tertinggi PAS yang menganggotai Dewan Harian PAS Pusat.

At one point Mat Iraq held up both hands as though in surrender and his bushy beard quivered as he told the council repeatedly: “Saya minta maaf”.

Pada satu peringkat Mat Iraq mengangkat kedua-duabelah tangannya seolah menyerah diri dan janggut tebalnya seakan menggeletar lalu beliau memberitahu majlis berulang-ulang: “Saya minta maaf”.

Siapakah “senior moderate PAS leader” yang bersembang dengan Baradan itu sehingga mahu mengubah status quo parti dan bagaimanakah Joceline (jika benar catatannya) boleh merakamkan insiden yang berlaku dalam mesyuarat tertutup yang penuh rahsia itu yang malah tidak diketahui pun oleh orang PAS yang lain?

Mungkinkah benar ada musuh dalam selimut dalam parti?

Gantung wakil BN Selangor tetapi tidak elaun mereka

Akhbar The Sunday Star hari in menyiarkan bantahan penasihat DAP Lim Kit Siang terhadap cadangan untuk menggatung elaun Khir Toyo (ADUN Sg Panjang) dan empat orang ADUN BN Selangor yang lain kerana beberapa kesalahan melibatkan gagal menghadiri sidang SELCAT dan menghina DUN Selangor. Sebelum itu ahli parlimen Puchong Geobind Sing Deo turut menyuarakan bantahan yang sama.

Dari segi prinsipnya saya bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor yang akan mencadangkan kepada DUN Selangor agar menggantung keahlian ADUN Sg. Panjang, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo selama 12 bulan kerana gagal menghadirkan diri pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Mac lalu. Begitu juga cadangan hukuman terhadap empat orang ADUN BN yang lain kerana mengeluarkan kenyataan menyentuh integiriti SELCAT yang ditubuhkan oleh DUN Selangor.

Keempat-empat ADUN Sabak Bernam, Hulu Bernam, Dengkil dan Batang Kali itu digantung selama 6 bulan.

Walaubagaimanapun bagi saya cadangan menggantung elaun ADUN mereka selamatempoh penggantungan itu adalah terlalu ekstrim dan sebaik mungkin dielakkan sahaja. Saya masih ingat semasa ADUN Sg Pinang Teng Chang Khim (kini Speaker DUN Selangor) digantung oleh DUN Selangor yang dikuasai BN dahulu iaitu selama 30 bulan (penggantungan yang paling ekstrim dalam sejarah badan legislative dalam negara-negara Komanwel!) termasuklah elaunnya yang digantung selama 18 bulan, PAS antara yang vokal membantah.

Saya masih ingat PAS Selangor menganjurkan ceramah “Solidariti Bersama YB Teng” di Markas PAS Kg Wak Libon, di Sg Pinang, Kapar yang turut dihadiri Dr Halimah (kini EXCO Selangor) dan Teng sendiri. Kita menganggap menggatung elaun seorang wakil rakyat itu seolah merampas hak rakyat kerana rakyat yang memilih mereka sebagai ADUN.

Mungkin menggatung keahlian mereka di dewan itu hak DUN kerana kesalahan yang dilakukan oleh ADUN berkenaan, akan tetapi elaun mereka adalah hak mereka kerana menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. Meskipun berbeza fahaman politik, saya merasakan yang rakyat berhak diwakili oleh ADUN pilihan mereka jika pun tidak sampai ke peringkat menyertai sidang dewan sekurang-kurangnya mereka masih ada ADUN yang berperanan diperingkat kawasan masing-masing.

Dalam hal ini, kerajaan Pakatan Rakyat perlu dilihat lebih adil dan tidak zalim dan tiada berperi kemanusiaan sebagaimana kerajaan BN dahulu. Jika Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN mendapati kelima-lima mereka bersalah, mereka wajar dihukum akan tetapi tidaklah sehingga mereka dinafikan dari elaun mereka. Saya kira DUN Selangor perlu menyemak semula cadangan ini dan seboleh mungkin elakkan dari mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh BN dahulu sehingga menjadikan mereka kerajaan yang zalim dan tidak popular. Kita menang atas tiket adil dan bersih dan kita mesti dilihat begitu setiap waktu.

Sila lihat posting saya di blog ini bertarikh 1 Ogos 2005 dahulu berkenaan penggatungan Teng:

http://n32.blogspot.com/2005/08/teng-menjadi-mangsa-dun-selangor.html

Saturday, May 23, 2009

Tuntutan PAS bukan melampau

Di Selangor salah satu warisan peninggalan Umno-BN adalah secebis enakmen yang menyumbang ke arah kerja-kerja pencegahan kemungkaran yang sesungguhnya dapat membantu dalam membentuk sebuah masyarakat yang sihat dan bermoral. Malangnya ia walau dilulus sebagai suatu perundangan sejak 1995 namun tinggal sekadar secebis kertas dan tidak pernah ada kesungguhan untuk melaksana dan menguatkuasakannya.

Undang-undang yang dimaksudkan adalah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang mula berkuatkuasa sejak 22 November 1996. Antara yang disentuh oleh enakmen ini adalah kesalahan berhubung aqidah, kesalahan berhubung kesucian Islam dan institusinya dan termasuklah berhubung arak, pelacuran, khalwat dan lain-lain.

Mungkin ia tidak menepati tuntuan sebenar syariat dari sudut hukumannya, walaubagaimanapun ia suatu permulaan yang positif dalam kita cuba membina masyarakat yang sentiasa menjiwai amalan “menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari kemungkaran”. Tetapi nilai positifnya itu hanya akan terserlah jika ia terlaksana dan tidak sekadar duduk sebagai bahan rujukan atau hiasan perpustakaan.

Lantas apabila PAS bersama rakan-rakan lain melalui Pakatan rakyat berjaya membentuk kerajaan negeri Selangor selepas PRU ke 12 lalu, “political will” untuk melaksana dan menguatkuasakan enakmen ini terserlah. PAS sebagai sebuah parti Islam bertanggungjawab dalam memastikan ia berusaha menyerlahkan Islam dalam apa sahaja bentuk yang ia berupaya dalam kerangka realiti yang ada. Benar Selangor bukannnya Kelantan dimana PAS memiliki majoriti mutlak, walaubagaimanapun PAS juga bukan sekadar pemanas kerusi dan tukang hangguk.

Dalam isu ini apa yang mahu ia terokai adalah perlaksanaan dan penguatkuasaan terhadap perundangan yang telah sedia ada bukannya menggubal atau memperkenal sesuatu yang baru. Itupun yang mahu dituntut adalah penguatkuasaan terhadap masyarakat dan rakyat Selangor yang beragama Islam sahaja kerana seksyen 1(2) enakmen ini dengan jelas menyatakan bahawa enakmen ini terpakai hanya bagi orang-orang Islam sahaja.

Arak contohnya tidak kiralah liquor (yang keras) atau bir, adalah minuman yang memabukkan yang jelas haram disisi Islam, dan enakmen ini mengharamkan umat Islam membuat, meminum, menjual, mempamir, membeli atau menyimpan minuman jenis ini. Bukan hanya PAS tetapi saya percaya seluruh masyarakat Islam akan bersetuju memandangkan telah ada enakmen ini agar ia dikuatkuasakan agar umat Islam semuanya terpelihara dan terdidik dalam menjauhi atau meninggalkan amalan syaitan ini.

PAS Selangor bukan menuntut agar arak ini diharamkan secara “total” di Selangor sebagaimana digembar-gemburkan oleh bebrapa media yang punya agenda negatif terhadap Islam. Kelantan yang PAS kuasai secara mutlak itupun tidak mengharamkan secara “total” arak ini takkanlah PAS yang hanya ada 8 kerusi di Selangor mahu menuntut yang lebih dari itu. Apa yang kita mahu adalah agar ia terpakai pada masyarakat Islam, yang bukan Islam terkecuali.

Begitu juga lain-lain hal dalam peruntukkan ini. Melampaukah PAS jika membuat tuntutan seperti ini?

Saya yakin pimpinan Pakatan Rakyat akan memahami tuntutan PAS ini, ia suatu tuntutan yang akan melahirkan suatu kelompok masyarakat Islam yang baik di Selangor, apabila masyakarat Islam baik, negeri ini juga menjadi baik, melampaukah begitu?

Beberapa laporan dalam akhbar The Sun semalam mengenai isu ini sungguh menyedihkan, semoga ia tidak mencerminkan sikap kerajaan tetapi hanya segelintir yang tidak faham dan tidak jelas. Marilah kita berdoa agar Islam terpelihara dan selamat di negeri ini.

Friday, May 22, 2009

Hari tragis buat PAS

Rupanya berita kematian ADUN PAS Manek Urai, Kelantan, Allahyarham Ismail Yaacob atau Pak Su Weil pada jam 5.55 pagi tadi bukanlah satu-satunya berita sedih buat pendukung PAS pada hari ini. Sebentar tadi Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan yang ADUN Pangkor, Dr Zambry Abd Kadir merupakan MB Perak yang sah dan bukannya Dato’ Seri Nizar Jamaluddin.

Kita kehilangan seorang tokoh dan satu kerusi di Kelantan (Pak Su SWeil merupakan ADUN PAS selama 5 penggal dari PR 1986, berihat PR 2004, menang semula baru-baru ini), manakala di Perak kita kehilangan sebuah kerajaan negeri.

Pastinya kedua-dua kejadian ini memilukan hati kita, namun kita perlu tabah dan menerima ujian ini dengan berlapang dada. Insyallah di Manek Urai kita akan bertarung bagi mempertahankan kerusi berkenaan, manakala di Perak kita perlu mempertingkatkan lagi gerak-kerja dan usaha kita. Lautan perjuangan masih luas di hadapan, yang penting kita mengemudi bahtera perjuangan ini dengan tabah, tenang dan penuh yakin pada bantuan dan janji-janji Allah swt.

Segala-galanya belum berakhir malah baru sahaja bermula.

Ingatlah firman Allah swt:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.


(al Ankaabut: 2-3)

Monday, May 18, 2009

BN takut kalah di Penanti

BN mencipta sejarah lagi. Sekali lagi di bawah Pengerusinya yang baru Najib Tun Razak, ia mencipta sejarah apabila memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti di Pulaau Pinang atas alasan kononnya tidak mahu menurut rentak mainan politik parti pembangkang.

Apa pun alasannya tidak pernah sebelum ini sebuah parti kerajaan (mereka kerajaan di peringkat Pusat) memutuskan untuk tidak bertanding dalam satu pilihan raya kecil.

Keenganan BN ini tidak lain membuktikan yang ia telah lesu dan pasti tidak berupaya berhadapan dengan Pakatan Rakyat setekah tewas berturut-turut dalam beberapa pilihanraya kecil sebelum ini, terakhir di parlimen Bukit Gantang.

Usaha untuk memulihkan imej BN dan membangkitkan ia kembali bagi berhadapan dengan musuh-musuh politiknya, seakan tidak menampakkan harapan. BN semakin terpinggir dan rakyat semakin hilang keyakinan mereka terhadapnya.

Kini ia tidak mahu bertanding di Penanti. Ia tidak mampu menghadapi kekalahan lagi, kalau menang tak mengapa tapi kalau kalah lagi?!! BN tidak pernah mengaku kalah dalam mana-mana pilihanraya kecil. Tapi dalam kes ini ia kelihatan akur dan menerima hukuman rakyat.

Mara PR di Penanti!

Keperibadian ulamak contoh

Siang tadi seperti biasa jadual Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang padat. Demikianlah setiap kali apabila beliau berada di KL. Beliau mempengerusikan dua mesyuarat pagi tadi. Antara dua mesyuarat itu, beliau turut ditemuramah oleh wartawan Harakah dan TVPAS.

Melihat wawancara itu saya semakin kagum dengan Tuan Guru. Inilah pemimpin yang tidak mengejar jawatan tetapi merendah diri apabila jawatan diberi padanya. Ketika wawancara itu beliau ditanya apakah perasaannya setelah diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden PAS bagi sesi 2009-11.

Ketika itu saya melihat beliau seakan tiba-tiba ketawa tetapi dalam waktu yang sama kedua matanya bergenang dengan airmata dan menjadi merah. Ternyata ketawa itu disengajakan kerana beliau menahan sebak didada, beliau sedaya upaya cuba mengawal perasaan. Tuan Guru begitu apabila memikirkan yang amanah sekali lagi diberikan kepada beliau. Kalau orang lain mungkin gembira dan melonjak sakan tetapi Tuan Guru sedih dan sebak menerima amanah.

Beliau berterima kasih kepada ahli-ahli PAS kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada beliau dan berjanji akan berusaha mempertahankan perjuangan suci ini.

Pengalaman itu tadi mengajar saya peribadi dan akhlak Tuan Guru. PAS tidak sedikit pun akan rugi berketuakan pemimpin seperti ini. Mudah-mudahan Tuan Guru terus diberikan kekuatan untuk memimpin jemaah kita ini dan semoga beliau terus mendapatdukungan dan sokongan tidak berbelah bahagi dari semua pihak.

Sementara itu saya mendapat maklum yang Ustaz Dato Harun Taib kembali memegang kepimpinan tertinggi Dewan Ulamak PAS Pusat. Beliau turut diisytiharkan menang tanpa bertanding untuk jawatan tersebut. Saya yakin gandingan kedua ulamak tersohor ini akan mampu memastika PAS terus berada dan bergerak di atas paksi perjuangan Islam pada setiap masa dan ketika.

Saturday, May 16, 2009

Ayah Chik terus pegang teraju PAS

Sebagaimana yang dijangkakan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, ahli parlimen Marang dan ADUN Rhu Rendang, kekal sebagai Presiden PAS apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden parti bagi sesi 2009-2011.

Sejak mengambil-alih teraju parti dari Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor ternyata kepimpinan Tuan Guru terus menyerlah sehinggalah membawa PAS ke pencapaiannya yang terbaik pada PRU ke 12 lalu dengan berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan selain menawan Kedah, satu negeri yang lama diidamkan oleh parti. Begitu juga PAS berjaya membentuk kerajaan bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat di Perak (sehingga dipermainkan oleh politik pintu belakang), Selangor dan Pulau Pinang.







PAS di bawah kepimpinan beliau juga berupaya mencacakkan panji-panji kemenangan buat pertama kali bagi gerakan Islam ini di Johor dan Negeri Sembilan yang sebelum ini merupakan negeri sukar buat PAS. Malah kejayaan PAS di dua pilihan raya kecil parlimen berturut-turut iaitu di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang seakan membuktikan pengiktirafan rakyat terhadap PAS.

Pohon PAS yang ditanam dari benih dengan keringat, darah dan airmata serta pengorbanan dan doa yang tidak putus-putus sejak lebih 50 tahun lalu kini dituai oleh pendukungnya ketika parti di bawah teraju Tuan Guru, ulamak yang diiktiraf oleh kawan dan lawan bukan hanya diperingkat nasional malah diperingkat antarabangsa.

Marilah kita berdoa semoga terus istiqomah dalam perjuangan ini dan semoga Allah swt mengunriakan kekuatan kepada Tuan Guru untuk terus membawa bahtera perjuangan ini mengharungi samudera yang luas dan mencabar bagi menuju destinasi perjuangan, samada kita menang atau syahid kerananya.

Mudah-mudahan keikhlasan dan taqwa seorang ulamak sebagaimana Presiden kita akan membawa kita ke arah memperolehi redha Allah swt sepanjang meniti arus perjuangan ini. Kita yakin dan beriman dengan ayat Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanyalah yang paling takut pada ALLAH diantara hambanya adalah para ‘ulama’.”

(Faathir: 28)

Pimpinlah kami Tuan Guru berbekalkan panduan al quran dan Sunnah, wala’ dan kesetiaan kami pada anda, insyallah. Tahniah.

Politik wang berjangkit dalam PAS?

Hangat diperkatakan kini berkenaan amalan politik wang dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi PAS. Ianya berpunca dari kenyataan ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Dato Mohd Daud Iraqi (yang seingat saya semasa dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak menggantikan Ustaz Dato Harun Taib dahulu, disebut oleh salah seorang pimpinan tertinggi PAS sebagai hadiah dari rakyat Kelantan buat PAS).

Walaubagaimanapun kita tidak pasti samada Ustaz Daud sekadar mengingatkan ahli-ahli dan pimpinan PAS agar tidak membabitkan diri dengan amalan haram ini atau beliau mendakwa sudah ada amalan ini kini dalam PAS. Apa pun, PAS perlu berhati-hati terhadap penyakit jahanam ini. Inilah penyakit yang kini melumpuhkan Umno sehingga ia jadi bagaikan bangkai bernyawa, busuk dan menjijikkan tidak mampu lagi diubati apalagi dipulihkan.

Kalau PAS mahu jadi jahanam macam Umno, maka berilah laluan dan jalan untuk amalan ini, niscaya ia akan turut terjun ke dalam lurah kebinasaan sebagaimana Umno kini.

Kalau ia sekadar peringatan, kita wajar berterima kasih kepada Ustaz Daud kerana mengingatkan kita. Jangan kerana kita sudah berada dizon “selesa” kini,kita sudah tidak boleh ditegur dan dinasihati lagi. Dan kalau ia suatu dakwaan, maka wajarlah Ustaz Daud segera mengemukakan bukti, agar mereka yang bertanggungjawab mengimpot budaya Umno ini ke dalam PAS (jika ada) dapat ditangani dengan sewajarnya. Jika ahli parlimen PAS yang menari dalam satu majlis jamuan negara (puluhan tahu lalu) pun boleh dipecat, termasuk seorang ADUN yang berseluar pendek (dizaman Almarhum Ustaz Fadzil) kerana menyertai acara sukan air, inikan pula ahli atau pimpinan PAS yang menyogok wang untuk mendapat jawatan tertinggi dalam parti!

Mudah-mudahan kita sentiasa terpelihara dari segala bentuk amalan keji dan mungkar………

Tuesday, May 12, 2009

Perak terus dirundung malang

TERBARU: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas MB Dr Zambry Abd Kadir bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam (yang mengisytiharkan Nizar Jamaluddin sebagai MB perak yang sah). Dengan keputusan ini bermakna jawatan MB kembali kepada Dr Zambry sehinggalah keputusan rayuan kesnya bagi menetapkan siapakah MB yang sah di Perak didengari oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Nampaknya kemelut politik di Perak ini tidak akan berkesudahan.

Sebelum itu ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah diberitakan mencadangkan agar dewan Perak segera dibubarkan bagi mengatasi krisis ini. Kembalikanlah hak kepada rakyat untuk membuat keputusan, ini negeri mereka. Dan ternyata mahkamah bukannya isntitusi terbaik untuk menyelesaikan krisis ini.

Saya sendiri tidak dapat membayangkan apa yang bakal berlaku dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini. Yang peningnya kakitangan kerajaan dan seluruh rakyat Perak.

Kepada Allah kita berserah.

Perak terus dirundung malang

TERBARU: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas MB Dr Zambry Abd Kadir bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam (yang mengisytiharkan Nizar Jamaluddin sebagai MB perak yang sah). Dengan keputusan ini bermakna jawatan MB kembali kepada Dr Zambry sehinggalah keputusan rayuan kesnya bagi menetapkan siapakah MB yang sah di Perak didengari oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Nampaknya kemelut politik di Perak ini tidak akan berkesudahan.

Sebelum itu ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah diberitakan mencadangkan agar dewan Perak segera dibubarkan bagi mengatasi krisis ini. Kembalikanlah hak kepada rakyat untuk membuat keputusan, ini negeri mereka. Dan ternyata mahkamah bukannya isntitusi terbaik untuk menyelesaikan krisis ini.

Saya sendiri tidak dapat membayangkan apa yang bakal berlaku dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini. Yang peningnya kakitangan kerajaan dan seluruh rakyat Perak.

Kepada Allah kita berserah.

Monday, May 11, 2009

Nizar berjaya di Mahkamah Tinggi

Kita diajar bahawa manusia merancang, Allah swt juga merancang, sesungguhnya perancangan Allah lah sebaik-baik perancangan…….

Begitulah kita dalam menghadapi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi yang mengisytiharkan bahawa Dato Seri Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.. Hakim Abd Aziz Abd Rahim, dalam penghakimannya menyebut bahawa seseorang Menteri Besar hanya boleh dilucutkan jawatannya melalui proses undi tidak percaya di dalam dewan sebagaimana yang diputuskan dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan pada tahun 1966,

Keputusan ini bermakna Nizar lah Menteri Besar yang sah di Perak kini dan bukannya Dr Zambry Abd Kadir.

Di dalam kes Stepehen Kalong Ningkan lawan Tun Abang Haji Openg dan Tawi Sli, Ketua Menteri Sarawak itu dimaklumkan oleh Gabenur Sarawak ketika itu bahawa beliau telah hilang keyakinan separuh dari ADUN Sarawak dan mohon supaya beliau meletakkan jawatan. Kalong Ningkan enggan atas alasan pelucutuan beliau hanya boleh dibuat melalui undi tidak percaya di dalam dewan yang bersidang.

Begitulah juga kes Nizar dan kini mahkamah kita mendukung keputusan yang sama.

Syabas diucapkan kepada panel peguam Nizar dan seluruh rakyat yang memberikan simpati dan sokongan selama ini. Tetapi kejayaan ini belum muktamad kerana panel peguam Dr Zambry telah pun membuat rayuan terhadap keputusan ini. Persidangan mahkamah mungkin entah sampai bila kesudahannya.

Apa pun kita mengharapkan semua pihak mengiktiraf keputusan mahkamah ini. Yang sebaiknya kini adalah demi memelihara keamanan di Perak dan menjamin kestabilan negeri dan rakyat, MB yang sah sewajarnya mengadap ke bawah Duli Tuanku Sultan Perak, memohon agar dewans egera di bubarkan untuk diserahkan kembali mandat kepada rakyat negeri Perak. Biarlah rakyat memutuskan nasib dan masa depan mereka, bukannya mana-mana pihak lain demi menjunjung dan menghormati demokrasi yang sama-sama kita dukung.

Sunday, May 10, 2009

Happy Mothers Day - Mak

Petang tadi saya sempat dengan adik-beradik dan kaum keluarga yang lain menghadiri jamuan bagi meraikan ibu kesayangan kami sempena “Hari Ibu” hari ini. Apalah sangat majlisnya berbanding dengan pengorbanan dan jasa besar manusia yang paling kami kasihi dan sanjungi itu.

Saya terus membayangkan betapa sakit dan derita yang ditanggung oleh ibu untuk mengandung dan melahirkan kami anak-anaknya ini. Saya sendiri dilahirkan di rumah di kuaters OCPD Kuala Krai ketika itu (lebih 40 tahun lalu) kerana ibu tidak sempat dikejarkan ke hospital. Bayangkan sakit yang beliau tanggung, subhanallah.

Begitulah juga kita semua, sewajarnya menyanjung dan menghargai jasa dan pengorbanan ibu kita masing-masing. Dari saat ia mengandungkan kita, sehingga melahirkan kemudian membesarkan anak-anaknya sehingga menjadi manusia yang berguna, mampukah kita nilai dan bayar segala-galanya itu dengan wang ringgit dan kekayaan?

Sebagai anak yang bongsu, hubungan saya dengan ibu semasa kecil sungguh akrab sekali. Ibulah segala-galanya ketika itu, sakit, lapar mahukan itu dan ini, ibulah sasarannya. Sehingga naluri ibu itu saya lihat dapat tahu ketika saya sakit, dapat tahu bila saya lapar dan susah hati, istimewa sungguh ciptaan Allah ini.

Pastilah sepanjang hidup bersama ibu, ada perlakuan dan tabiat saya yang megguris hatinya, yang mengecewakannya, ibu maafkanlah anakmu. Tidak akan tercium bau syurga kiranya tidak dimaafkan segala dosaku terhadapmu walau sekecil mana sekalipun wahai ibu.

Kini saya sudah berkeluarga, giliran saya pula merasa dan menanggung beban membesarkan anak-anak, sebagaimana yang telah dilalui ibu. Sungguh besar pengorbanan mu ibu, memang tidak mampu dan terdaya untuk membalasnya.

Kehadrat Allah aku berdoa, moga ibu terus senang, sihat dan bahagia, diberikan Allah kekuatan dan kemudahan untuk beribadat pada Nya. Apa sahaja yang mampu kucurahkan akan kucurahkan buat menghiburkan hati mu ibu walau ku tahu memang tidak sesempurna mana pun. Ya Allah kau lindungilah ibu kami, kau berkatilah hidupnya, kau ampunkanlah dosanya, dan peliharalah ia sebaik-baiknya sehingga sampai ketika kau mengambilnya dari kami (atau mungkin kami yang pergi dahulu mendahuluinya).

Selamat Hari Ibu, mak ku yang tersayang………ampunkanlah dosa ku, redhakanlah hidup anak mu ini dan doakanlah semoga kami sekeluarga bahagia selalu.



Friday, May 08, 2009

Kekusutuan di Perak tidak akan terlerai kecuali…………….

Disaat BN Perak main politik pintu belakang dengan menculik kerajaan negeri yang sah di Perak dari tangan rakyat, kita sudah dapat menjangkakan apa yang akan berlaku ke atas negeri itu.

Peristiwa semalam memang sudah diduga. Walaupun Speaker dan ADUN Pakatan Rakyat berusaha membentengi hak rakyat namun apakan daya, ternyata politik pintu belakang yang tidak bermaruah itu mengatasi segala-galanya. Akhirnya berlakulah apa yang berlaku semalam.







Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia merdeka, Speaker Dewan diangkut dengan cara yang sangat tidak bertamaddun. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, bangunan Dewan Undangan Negeri, yang sepatutnya merupakan institusi perundangan tertinggi negeri dan simbol demokrasi serta mercu suara rakyat, dikepung dan dikawal seolah mahu berlaku rusuhan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, Dewan Undangan Negeri itu sendiri, yang merupakan dewan persidangan untuk wakil-wakli rakyat yang diberi mandate oleh rakyat dipenuhi oleh anggota keselamatan sehingga melebihi bilangan anggota dewan!

BN kata PR mencetuskan suasana yang memalukan negara, PR pula menuduh BN. Hakikatnya politik pintu belakang itulah puncanya.

Apabila berlaku kegawatan dan kekalutan darihal mentafsir mandate sebenar rakyat, maka tiada cara dan usaha lain yang boleh menyelesaikannya selain menyerahkan kembali kepada rakyat jua. Benar kita ada mahkamah namun operasi mahkamah untuk meleraikan kekusutan ini akan memakan masa yang sudah pasti merasah dan merugikan rakyat. Malah pihak Majlis Peguam sendiri pun mengusulkan bahawa forum terbaik untuk meredakan kekeruhan krisis Perak ini hanyalah melalui rakyat iaitu dengan membubarkan dewan dan menaggil pilihan raya baru.

Semua pihak perlu akur akan hakikat ini. Ini bukan soal menyokong dan memihak kepada BN atau PR, tetapi ini adalah untuk meletakkan suasana itu kembali kepada tempatnya. Saya percaya jika ini berlaku, kalau ditakdirkan BN yang punya majoriti maka rakyat akan terima begitu juga jika ditakdirkan PR yang punya majoriti, rakyat juga akan terima. Yang rakyat tolak adalah apabila hak mereka untuk memilih dan menentukan kerajaan dirampas dan dicabuli sebagaimana yang berlaku hari ini melalui politik pintu belakang.

Serahkanlah kepada rakyat untuk memutuskan apa yang baik buat mereka.

Jangan terperangkap dan jadi orang bodoh............

Sebelum ini ada orang kata adinda saya Nik Abduh kononnya kurang ajar. Mereka membaca tulisan dalam blog beliau lalu memberikan tafsiran kononnya beliau merendah-rendahkan ayahandanya sendiri. Posting beliau bertajuk “ “ kononnya menghina ayahandanya yang dipandang tinggi oleh masyarakat khasnya kalangan ahli-ahli PAS.

Benarkah Nik Abduh begitu? Sebagai anak dan darah daging Tok Guru, benarkah beliau menulis untuk memperlekehkan ayahandanya sendiri atau bagaimana?

Dalam hal ini saya lebih senang jika masalah yang ditonjolkan oleh Nik Abduh itu ditangani dan diselesaikan sendiri oleh kalangan mereka yang terlibat secara langsung. Biar Nik Abduh, ayahandanya serta mereka-mereka yang didedahkan itu yang memberi reaksi dan respon.

Kita yang “alif” disangka batang kayu ini lebih baik berlapang dada, hujung pangkal pun tak tahu, apa guna terjun dan masuk campur?!

Dengan takdir Allah swt, hari ini Tok Guru secara terbuka mengulas sekaligus memadamkan apa sahaja persepsi jahat yang cuba dilukiskan oleh mereka yang duduk di kaki-kaki lima. mStar Online melaporkan:

Sementara itu Nik Aziz berkata beliau memberi sepenuh kebebasan kepada anak lelakinya, Nik Abduh untuk terus memberi pandangan termasuk dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan parti.

Laporan itu menambah lagi:

Nik Aziz menegaskan bahawa anaknya itu seorang yang terpelajar dan tahu selok belok PAS kerana terlibat secara langsung dalam parti sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan.

Orang berilmu memang lain dari yang tak berilmu, orang yang terlibat secara langsung dengan parti memang lain dengan orang yang tiada sumbangnnya kepada parti selain meniupkan api pecah-belah dan fitnah-memfitnah.

Sebelum ini saya difahamkan tokoh ulamak veteran Kelantan yang juga ADUN Perupok, Ustaz Omar Mohammad turut memberikan kenyataan yang sama dan menyokong usaha Nik Abduh dalam menonjolkan usaha-usaha jahat untk memecahbelakang parti dari dalam.

Semoga segera kita selesai kemelut ini dan semoga Tok-tok Guru dalam PAS terus memimpin dan memperkukuhkan kedudukan parti dan ukhuwah sesame jamaah.

Wednesday, May 06, 2009

Munajat dan solat hajat satu kesalahan!

Sah Naib Presiden PAS Hj Mohd Sabu ditangkap polis petang tadi. Menurut laporan Th Star Online kesemua tiga aktivis politik ditahan hari ini termasuklah Cikgu Bad (PKR) dan seorang lagi. Kesemua mereka dipercayai ditahan kerana kononnya menganjurkan perhimpunan sempena sidang DUN Perak esok.

Yang saya tahu Mohd Sabu terlibat dalam menganjurkan munajat dan solat hajat di sebuah masjid di Manjoi, Ipoh esok awal pagi. Semalam saya sempat berbual dengan Mat berhubung program ini dan ternyata ia merupakan suatu usaha untuk meredakan suasana tegang yang dijangka tercetus di Ipoh esok akibat dari amalan politik pintu belakang BN. Menurut Mat, beliau sempat menghubungi Presiden Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, yang memberikan persetujuan beliau atas majlis ini.

Program munajat itu dijangka berakhir dengan solat subuh berjemaah, dimana ganas dan mengancam keselamatannya?

Mengapa beliau perlu ditangkap? Adakah menganjurkan program munajat dan solat hajat kini sudah menjadi satu ancaman dan jenayah?

Semoga semua pihak kembali rasional dan tidak mengurus suasana menurut hawa nafsu dan kezaliman. Semoga Allah swt memberikan ketenangan kepada semua pejuang khasnya Abang Mat yang kini berada di lokap di salah sebuah balai di Perak.

ADUN “subsidi” Sementa ditelanjangkan?

Dalam belasan kerusi DUN milik Umno di Selangor, hanya satu kerusi DUN sahaja yang dikira sebagai kerusi “subsidi”. Kerusi yang dimenangi secara percuma kerana calon PR ketika itu gagal mengemukakan borang pencalonan. Ia dikira “subsidi” kerana jika ditakdirkan ada pertandingan ketika itu, pasti kerusi itu akan terlucut dari tangan Umno-BN. Kerusi berkenaan adalah DUN Sementa dalam Parlimen Kapar, satu-satunya kerusi Parlimen di Selangor yang punya 4 kerusi DUN.

PR menang di Parlimen Kapar dengan majoriti 12,297 melalui calon PKR S.Manickavasagam, DUN N.42 Meru dengan majoriti 5,513 melalui calon PAS Dr Abd Rani Osman, N.44 Sg. Pinang dengan majoriti 7,361 melalui calon DAP Teng Chang Khim dan N. 45 Selat Klang dengan majoriti 1,459 melalui calon PAS Dr Halimah Ali.

Penyandang kerusi “subsidi” ini adalah bekas EXCO Agama dizaman Umno-BN, Abd Rahman Palil, yang kini Ketua Penerangan Umno Selangor.

Namun walaupun bertahan dengan kerusi “subsidi” Rahman masih mengaum seolah beliau singa yang ganas dan bertaring. Kadangkala beliau seakan lupa yang kerusinya kerusi “subsidi”, beliau bukan lagi EXCO tapi pembangkang dan PR bukannya Umno-BN yang sedang memerintah Selangor.

Dalam akhbar Sinar Harian hariini Rahman mendakwa yang PAS adalah “kuda tunggangan” individu tertentu. PAS kononnya berbalah antara istilah ulamak professional dan ulamak agama angkara anasir luar. Dengan maklumat yang separuh masak Rahman sanggup berkokok bagi membuktikan yang beliau masih punca peranan dan partinya Umno masih releavan di Selangor.

Hari ini juga, tetapi dalam kahbar The Sun, Rahman tak sedar rupanya dalam sibuk beliau berkokok ada pihak telah menelanjangkan beliau bulat-bulat untuk tontonan umum. Kerana terlalu ghairah dan bernafsu menyerang PAS, beliau tidak sedar rekod buruknya didedahkan kepengetahuan dunia!

Akhbar berkenaan mendedahkan darihal Laporan Odit Bebas terhadap Zon Bebas Pelabuhan Kelang atau PKFZ yang banyak mendedahkan kepincangan, salah-guna kuasa dan ketidaktelusan pengurusan yang melibatkan projek bernilai RM4.6 bilion itu, walaupun kos asalsepatutnya RM1.845 bilion.

Apa ada kena mengena dengan ADUN Sementa “subsidi” ini?

Menurut laporan itu Rahman merupakan Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) dan Pengarah Lembaga Pelabuhan Kelang (PKA) pada tahun 2002. Tanah untuk membangunkan PKFZ dijual oleh KPPL kepada PKA sedangkan Rahman terlibat dalam kedua-dua badan berkenaan.

Kerajaan telah dipaksa membeli 404 hektar tanah untuk membangunkan PKFZ ini dari Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dengan harga RM25 sekaki persegi sedangkan syarikat ini membeli tanah berkenaan dari KPPL dengan harga Cuma RM3 sekaki persegi iaitu lebihan sebanyak RM22 sekaki persegi! (Kuala Dimensi Berhad adalah kontraktor “turnkey” projek ini)

Antara kronologi kes PKFZ ini adalah:

2002
November 12 KDSB menandatangani perjanjian dengan PKA iaitu bersetuju menjual 999.5 ekar tanah di Pulau Indah dengan harga RM1.09 bilion atau RM25 sekaki persegi. KDSB dimiliki 70% oleh Datuk Seri Tiong King Sing, salah seorang rakan kongsinya adalah Datuk Abdul Rashid Asari Timbalan ketua Umno bahagian Kapar. KDSB membeli tanah berkenaan dari KPPL dengan harga RM95 juta.

2003
PKA melantik KDSB untuk membangunkan PKFZ dengan membina blok-blok pejabat, kemudahan pengangkutan perkapalan, gudang dan kemudahan industri ringan dan sederhana bernilai RM1.32 bilion tidak termasuk kos tanah. KDSB melantik Wijaya Baru Global Bhd sebagai sub kontraktor utamanya. (Faizal Abdullah, Ketua Pemuda Umno Kapar, merupakan Timbalan CEO syarikat ini!)

Ringkasnya inilah antara sumbangan Rahman Palil sehingga lingkupnya projek PKFZ ini angkara salah guna kuasa dan ketidaktelusan pengurusan. Dan hari ini ADUN “susbsidi”ini sibuk menuduh PAS ada krisi kepimpinan.

Beliau bagaimana?

Tuesday, May 05, 2009

Gawatkah suasana dalam PAS?

Kata orang suasana tampak makin gawat dalam PAS. Sehingga Harakah edisi terbaru, para kolumnis dan penulis jemputan pun tumpang menyala dan memadamkan apinya menurut selera masing-masing. Itu belum pun mengambil kira luahan perasaan dalam blog dan alam maya.

Begitulah senarionya, tetapi adakah ia menggawatkan PAS?

Semalam semasa mengunjungi Karangkraf, syarikat yang menguruskan akhbar harian Sinar Harian, Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang menyebut bahawa apa yang berlaku ini perkara biasa, malah katanya pernah lebih gawat lagi di zaman Asri, tetapi ia tidak menjejaskan parti, sekadar masing-masing mahu menonjolkan calon masing-masing, yang pentingnya PAS sebagai sebuah parti dan gerakan Islam perlu terus unggul dalam menjalan dan melaksanakan tugas dan amanahnya.

Lantas saya turut tertarik apabila adinda Nasrudin Tantawi menulis dalam posting di blognya:

Kem kita satu iaitu PAS . Kumpulan kita satu iaitu kumpulan pejuang . Line kita satu iaitu jihad fi sabilillah .

Adapun kumpulan yang macam - macam istilah hari ini saya kira seperti kumpulan basuh pinggan , kumpulan menyedia dan menambah makanan , kumpulan penyambut tetamu dan kumpulan berbual untuk menceriakan suasana namun semuanya untuk menjayakan majlis kenduri tadi . Habis kenduri nanti kumpulan tu akan bubar dengan sendirinya . Setuju tak ?

Siapa yang boleh tidak setuju?

Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab kita masih besar di hadapan. Agenda perjuangan yang kitra warisi sejak dari zaman junjungan besar Nabi Muhammad saw dan diperkasakan oleh para pengasas PAS lebih 50 tahun lalu dengan doa, darah, airmata dan hartabenda perlu terus dinobatkan.

Yang penting kita membuktikan bahawa proses pemilihan dalam PAS tidak seperti dalam parti-parti lain. Ia dijalankan dalam suasana penuh kasih-sayang dan hormat-menghormati. Kita mengharapkan calon yang kita calonkan menang, dan kita berusaha ke arah itu, tetapi kita sekali-kali tidak akan menyerang dan menggunakan fitnah untuk memburukkan lawan calon kita. Kerana kita akur daninsaf bahawa kita semua duduk dalam satu jemaah yang sama.

Belajarlah dari orang lama, saya kagum melihat bagaimana Dato Mustafa Ali contohnya boleh mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan parti dan boleh duduk mesra dengan Ustaz Hasan Shukri dalam satu jawatankuasa sedangkan mereka berdua pernah bertarung menantang satu sama lain satu ketika dahulu. Lihatlah juga betapa Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy dan Almarhum Prof Zulkifli Mohammad, pernah bertanding jawatan yang sama. Tetapi selepas keputusan gandingan keduanya dapat membawa PAS memenangi Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum pertama 1959.

Kita kini berada pada tahap yang lebih baik dari itu, hasil pencapaian bersama. Marilah kita syukuri apa yang Allah swt berikan pada kita ini, ia mungkin kekal dan mungkin juga buat sementara, yang pentingnya kita istiqomah dalam perjuangan, amalkan adab dan disiplin Islam. Jalan menuju kejayaan masih jauh di hadapan.

Saya yakin kita sudah matang melalui dan menempuh ini semua dan akhirnya akan ikhlas menyambung perjuangan sehingga kita menempuh syahid atau kemenangan.

Friday, May 01, 2009

PAS dan kempimpinannya: Meniti arus perjuangan

Adakah PAS sebuah parti yang bersifat inklusif atau eksklusif?

Adakah PAS sebuah parti yang menerima dan memperjuangkan hak dan kepentingan semua pihak atau ia eksklusif sekadar berligar dalam isu dan perkara yang melibatkan kelompok tertentu sahaja?

Nama Parti Islam Se Malaysia itu memberi konotasi seolah PAS adalah parti eksklusif untuk orang-orang Islam sahaja. Dalam hal tertentu mungkin benar kerana dari sudut keahlian PAS melalui perlembagaan partinya hanya membenarkan warga Malaysia yang beragama Islam sahaja mendaftar sebagai ahli biasa, namun PAS melalui Kelab Penyokongnya PAS memberi peluang masyarakat bukan Islam untuk turut serta dalam program dan aktiviti parti walaupun mungkin bukan sebagai ahli biasa.

Dalam erti kata lain walaupun PAS hanya boleh dianggotai oleh orang-orang Islam sahaja, namun PAS tidak menghadkan perjuangannya sekadar eksklusif buat orang-orang Islam. Ia menerima hakikat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum dan agama, lalu PAS terjun ke dalam kancah masyarakat untuk mengemukakan alternatif politik iaitu politik Islam sebagai formula penyemalat bangsa,agama dan negara.

Bermakna walau nampak eksklusif dalam hal keahliannya, tetapi dasar dan perjuangannya tidak ekskulif malah inklusif mencakupi semua pihak. Malah PAS menyerap masuk dan memberi pengiktirafan kepada masyarakat bukan Islam apabila ia diberi mandat oleh rakyat untuk berkuasa dalam satu-satu negeri.

Contohnya di Kelantan pimpinan masyarakat diperingkat daerah, penghulu dan seumpamanya ada yang dilantik dikalangan masyarakat bukan Islam sekaligu membuktikan ia bukan eksklusif. Di Terengganu, pindaan dibuat terhadap perlembagaan negeri sehingga membenarkan dilantik ADUN dikalangan masyarakat bukan Islam kiranya tidak ada anggota DUN dari kalangan mereka dalam satu-satu penggal dewan itu.

Masyarakat Malaysia didominasi oleh tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India selain suku kaum dari Sabah dan Sarawak. Kerana itu kita dapati parti-parti politik di sini banyak bergerak atas nama kaum lantas terbentuklah parti-parti eksklusif untuk kaum-kaum tertentu. Walaupun ada usaha untuk menggerakkan parti-parti berbilang kaum tapi lazimnya ia tetap didominasi oleh satu-satu kaum tertentu sahaja.

PAS bukan parti perkauman, kerana itu kaum-kaum bukan Melayu bebas menganggotainya sehingga ada yang telah dan sedang memain peranan besar dalam parti samada diperingkat Pusat ataupun negeri. Ada yang menjadi AJK Pusat dan EXCO kerajaan negeri umpamanya Dato’ Anuar Tan dan Ahmad Idham Lim, ADUN Perak (EXCO PAS Selangor, Dr Halimah Ali Abdullah juga dari suku kaumbukan Melayu). Cumanya syarat eksklusif menjadi ahli PAS mestilah Muslim, sebagaimana syarat ekskluif menjadi ahli parti-parti perkauman lain mestilah dari suku kaum tertentu.

Itulah PAS mungkin tampak eksklusif tetapi hakikatnya inklusif dengan beberapa “adjustments” berlainan dengan parti perkauman yang lain. Kerana itulah slogan “PAS for all” itu dilancarkan bagi menerangkan kepada seluruh masyarakat bahawa walaupun PAS ini parti Islam,tetapi perjuangannya tidak ekskulsif tetapi inklusif sebagaimana “universal” nya Islam itu sendiri.

Saya membawa posting ini sebenarnya untuk mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohamed Daud Iraqi yang terbit dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini. Ustaz Daud dilaporkan sebagai berkata bahawa:

Bagi saya, kedua-dua jawatan tertinggi (Presiden dan Timbalan Presiden PAS) itu mesti alim ulama, siapa yang tawarkan diri tidak kira sebab masing-masing hendak naik, cuma kita orang parti ada pertimbangan sendiri. Mesti utamakan kepimpinan ulama. Nombor satu dan dua mesti ulama. Untuk jawatan lain tidak apa. Intelek atau profesional

Ini berikutan ketetapan yang dibuat oleh Dewan Ulamak PAS Pusat yang beliau anggotai bahawa dua jawatan tertinggi Pas iaitu Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan ulama yang mempunyai pendidikan formal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama. Ketetapan itu dibuat bagi memastikan dasar parti untuk menubuhkan sebuah negara Islam diteruskan pada masa akan datang.

Tidakkah ini menunjukkan yang PAS itu sebenarnya parti inklusif sehinggakan Dewan Ulamaknya perlu tegaskan bahawa jawatan tertinggi nombor satu dan dua parti mestilah terdiri dari golongan ulamak?

Bagi mereka yang tidak jelas memanglah nampak begitu. Tetapi hakikatnya umum perlu memahami bahawa PAS itu parti Islam, lantas segala usahanya untuk membuka partinya buat semua sesungguhnya dikawal oleh beberapa tertib dan adab yang memberi makna kepada perjuangan Islam yang ia bawa. Memang boleh sahaja yang bukan ulamak pegang teraju PAS (pernah parti diketuai oleh seorang doktor perubatan Dr Abas Ilias selaku pemangku Presiden 1953), tiada larangan dalam perlembagaannya. Tetapi setelah parti itu menerima dasar kepimpinan ulamak sehingga melahirkan Majlis Syura dalam parti dan memperkasakan Dewan Ulamaknya maka yang dikira padan dan cocok menegpalai parti ini adalah golongan ulamak, dan ia disepakati semua.

Mungkin ada yang mahu buat perumpamaan bukankah gerakan Islam di Timur Tengah di sana-sini ada yang terdiri dari kalangan bukan ulamak, memang benar, itu di sana. Tetapi bagi PAS, demi memelihara dasar dan perjuangannya, keperluan kepada saf kepimpinan ulamak iniperlu diberi penegasan. Agenda perjuangan PAS adalah Islam, Islam laksana bahteranya, nakhodanya boleh sahaja sesiapa, tambah pula yang pakar ilmu laut, tetapi ilmu laut sahaja tidak cukup untuk membelah samudera yang bakal membawa bahtera dan anak-anak kapal ini sehingga ke akhirat. Kerana itu biarlah ia dinakhodai

Majlis Syura yang diketuai oleh Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, tak kiralah siapa nama dan batang tubuh mereka, selaku nakhoda dan pemimpin tertinggi bahtera besar ini perlulah ulamak, dan biarlah begitu sampai bila-bila.Menang dengan mereka, kalah dengan mereka, hidup dengan mereka syahid dengan mereka. Inilah asas kekuatan kita, inilah yang mahu kita persembahkan kepada Allah swt apabila bertemu dengan Nya nanti bahawa kita kekal berjuang dalam PAS atas dasar ini.

Kecualilah kita sudah bersedia untuk mentranformasikan Parti Islam ini yang dibina dengan doa, darah dan airmata para pejuang sejak zaman berzaman, dari status quo yang sedia ada sejak penubuhannya menjadi yang lebih inklusif kerana kita merasakan yang ada ini terlalu lekeh dan tidak relevan. Saya yakin orang-orang PAS tetap sayang dan hormat pada para ulamak mereka dan tahu memilih dan menimbang bila kita perlu eksklusif dan bila kita perlu inklusif, yang penting dasar dan perjuangan kita kekal dari sini sampai ke sana nanti, insyallah.

"Selamatlah Parti Islam berjuang, membimbing ummah ke medan siyasah......"