Thursday, July 30, 2009

Berjayakah perang jenayah guna tenaga sukarelawan?

Pelbagai usaha digunakan untuk memerangi jenayah dalam negara. Walaupun pelbagai senjata, peluru berpandu, gas beracun digunakan dalam peperangan ini tetapi kadar jenayah tetap mencacak naik. Inilah agaknya bahana apabila manusia lari dari formula yang telah ditetapkan oleh Allah swt terhadap mereka selaku hamba-hamba Nya.

Ragut, rogol, bunuh, samun, culik, cabul semuanya bagaikan sesuatu yang biasa hari ini, berlaku berulang-ulang kali saban hari bagaikan tiada hentinya.

Kini terbit pula inisiatif baru dari Perdana Menteri. Melalui inisiatif barunya ini kadar jenayah jalanan (street crimes) mahu diturunkan sehingga 20% dalam tempuh 14 bulan. Baguslah kalau berjaya. Soal membenteras jenayah ini soal bersama. Ia tidak seharusnya terbatas oleh perbezaan fahaman politik. Orang BN orang Pakatan Rakyat orang tak berparti semuanya mahu ia dibenteras.






Dan salah satu usaha yang akan diambil kerajaan ke arah itu adalah menggembeling tenaga RELA untuk membantu dalam tugas-tugas ini. Sesuaikah begitu?

Tanpa mahu merendahkan anggota RELA yang rata-rata merupakan sukarelawan, saya merasakan mengerah tenaga anggota sukarelawan untuk membenteras jenayah yang semakin menjadi-jadi ini mungkin tidak mampu mendatangkan hasil yang baik. Kaslau anggota polis yang terlatih itu pun kecundang, bagaimana pula dengan RELA yang khabarnya 142 orang akan menjalani latihan 2 minggu sebelum dihantar membantu misi ini. 2 minggu???

Menurut Ketua Pengarah RELA dalam tempuh dua minggu itulah anggota RELA berkenaan akan dilatih prosedur jenayah, menangkap dan menahan serta hal-hal berhubung hak asasi manusia.

Saya merasakan usaha melepaskan anggota sukarelawan yang hanya dilatih 2 minggu untuk berhadapan dengan dunia jenayah, adalah satu kesilapan besar malah akan mengundang seribu satu bencana yang lebih besar.

Kalau bagi tujuan pembenterasan jenayah jalanan ini kekuatan polis yang bertugas perlu dipertingkatkan maka mengapa kerah RELA? Mengapa tidak kerah unit-unit polis yang ramai tetapi tidak terlibat dalam urusan ini? Mengapa tidak dikerahkan FRU contohnya membantu, dari membuang masa menjaga stadium ketika perlawanan bolasepak, atau menyibuki mengawal himpunan aman itu untuk membantu? Gunakan keperkasaan mereka menyepak terajang orang awam itu ke atas penjenayah pula, biar kita saksikan bersama nanti.

Begitu juga contohnya unit pancaragam polis, mereka yang menjalankan tugas-tugas perkeranian di pejabat, kerahkan mereka ini semua ke tengah jalan. Mengapa pula nasib dan kebajikan rakyat harus diperjudikan dengan anggota sukarelawan yang tidak terlatih, sedangkan hasil cukai rakyat dibayar untuk membiayai ketumbukan polis yang saya sebutkan ini.

Kalau benar jujur mahu memerangi jenayah ini, biarlah kita juga serius dan kemukakan idea yang praktikal dan munasabah. Anda bagaimana?

3 comments:

pemanduteksi said...

saya rasa RELA ni hanya sesuai diletakkan sebagai petugas Rukun Tetangga jer..!

paperpez said...

Rela akan bantu banteras jenayah...training 2 minggu...WOW..!!!

Kenapa tak deligate kepada spiderman, superman, cicakman aje...kan senang...Polis kita pun boleh tumpu kepada usaha pembenterasan PR?

kahkahkah...

Anonymous said...

Pernah tengok RELA minta duit kopi dengan warga asing.. Naudzubillah...