Hargai sensitiviti semua pihak
Satu perkara penting dalam membina sebuah negara Malaysia yang aman dan sejahtera tak kiralah apa jenama dan slogannya adalah kefahaman semua pihak tentang adat, budaya, kepercayaan masing-masing penghuni dan rakyat dalam negara tercinta ini.
Sejarah tidak dapat dipadam walau pahit bagaimanapun ia. Yang dahulu pahit mungkin kini tidak pahit lagi begitu juga sebaliknya. Sejarah membuktikan bahawa orang-orang Melayu atas tuntutan mahukan kemerdekaan bagi bumi ini akhirnya telah bersetuju memberikan hak kewarganegaraan kepada saudara-saudara yang turut menyumbang kepada kemakmuran tanahair ini disamping turut terlibat dalam perjuangan kemerdekaannya. Maka lahirlah Malaya dan kemudiannya Malaysia yang merdeka dari asal negeri-negeri Tanah Melayu, yang terdiri dari warganya orang-orang Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak serta masyarakat orang asli.
Kembali kepada realiti hari ini, kita sudah semakin dewasa dan sepatutnya semakin matang khasnya dalam kehidupan bermasyarakat yang majmuk namun muhibbah ini. Kita sudah belajar dari berbagai perisitiwa dan pengalaman bahawa di sana ada perkara-perkara yang tidak seharusnya kita sentuhn dan perkecilkan demi memelihara perpaduan yang telah lama dibina ini.
Isu hak orang-orang Melayu berhubung adat-istiadat dan agama dipelihara oleh Raja-raja Melayu, hak kebebasan penganut lain mengamalkan agama mereka terpelihara oleh perlembagaan negara begitu juga bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan hak pembelajaran bahasa ibunda masing-masing.
Saya membawa isu ini kerana sedih apabila sekali lagi isu berhubung masyarakat Islam menjadi kritikan dan dipolitikkan pula oleh pihak-pihak tertentu sekaligus mencerminkan masih ada pihak yang tidak menghargai apa yang telah sama-sama kita bina dengan darah dan airmata selama ini. Isu model yang dikenakan hukuman sebat kerana kesalahan minum arak di Kuantan itu adalah isu masyarakat Islam. (Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris Ahad lalu mensensasikan isu ini sehingga mempertikaikan hukum-hukum Islam, kononnya tiada disebut hukuman ini di dalam al Quran)
Ia melibatkan perundangan Islam dan ia dibicarakan di mahkamah syariah dan melibatkan orang-orang Islam. Kalau ada yang cacat yang kurang atau apa sahaja yang tidak kena biarlah ia dibahas dan dibincangkan dari kalangan masyrakat Islam sahaja.
Begitu juga apa sahaja isu berhubung masyarakat Kristian atau Hindu atau Buddha atau apa sahaja penganut warga Malaysia biarlah ia dibincangkan sesama mereka tanpa campurtangan mana-mana pihak kecuali isu itu turut melibatkan pihak-pihak lain.
Suka atau tidak akan ada sahaja pihak ekstrimis dan yang suka membuat kacau di luar sana. Kita seharunya menjauhkan diri dari kumpulan seumpama ini agar perpaduan yang telah dibina selama ini akan kekal seterusnya. Kita dibenarkan berbeza fahaman politik, anutan agama, tetapi janganlah perbezaan itu sehingga mencetuskan bencana yang akan meruntuhkan negara tercinta ini.
No comments:
Post a Comment