Tuesday, July 21, 2009

Benarkah saya telah dikorbankan?

Saya memang tidak berhajat mendedahkan apa-apa berkenaan isu ini. Saya menganggap ia sebagai suatu dari banyak ujian dan cabaran yang perlu ditempuh dalam menggalas beban perjuangan yang sangat besar dan mencabar ini. Mereka yang ikhlas berjuang semata-mata kerana Allah swt bukannya kerana mana-mana individu atau kumpulan.

Tetapi rupa-rupanya ada juga pihak yang rajin menangguk di air keruh. Ianya tidaklah menghairankan saya kerana memang sejurus selepas muktamar lalu sudah memang ada beberapa kerat anasir yang telah menggunakan blog mereka masing-masing untuk mensensasikan perkara ini, “menggoreng” tulisan mereka mengikut selera dan nafsu maklumlah hajat hati nak memeluk gunung, tetapi akhirnya tangan tak sampai.........lalu angkara kecewa maka tak dapat tanduk kalau perlu telinga dipulas, dipulaslah juga asalkan puas.

Petang tadi saya dihubungi oleh pemberita dari Malaysiakini. Beliau meminta saya mengulas maklumat yang beliau perolehi katanya dari seorang pimpinan kanan dari kumpulan “Erdogan” (beliau yang katakan begitu bukan saya). Menurut sumbernya itu saya digugurkan dari jawatan Setiausaha Akhbar Presiden atas desakan kumpulan tertentu dalam parti. Saya dikatakan “instrumental” dalam kononnya mempengaruhi Presiden dalam membawa isu-isu tertentu termasuklah kononnya rundingan sulit dengan Umno dan kerajaan perpaduan.

Saya tidak boleh berselindung-selindung lagi kerana nampaknya ada pihak yang memang mahu mensensaikan perkara ini. Terus terang saya nyatakan sehingga kini saya sendiri tidak dimaklumkan oleh sesiapa secara rasmi tentang perkara ini. Saya memahami ini mungkin kerana masing-masing pihak tidak mahu ianya disensasi dan dipolitikkan.

Tetapi apabila ada jolokkan “nakal” maka sebagai manusia biasa saya punya maruah untuk dijaga dan hak untuk membela diri. Kalau keterlaluan saya mohon maaf, tetapi nampaknya golongan berkepentingan tidak pula segan-segan atau berasa apa-apa jadi mengapa pula saya perlu begitu.

Saya memang awal-awal ada mendengar khabar yang saya bakal dipulas-pulas angkara kekecewaan beberapa pihak. Ada yang mengatakan bahawa tokoh tertentu meletakkan syarat kalau mahu beliau dilantik si anu dan si anu perlu dinyahkan. Dalam perjuangan ini saya sudah sentiasa bersedia untuk menerima risiko, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

Saya dilantik menjadi Setiausaha Akhbar Presiden pada tahun 2007 lalu. Ianya bagi saya satu penghormatan besar kerana diberi peluang berkhidmat kepada salah seorang tokoh yang paling saya hormati yang telah banyak mempengaruhi pandangan dan sikap saya terhadap perjuangan ini sejak usia muda saya. Tetapi satu rahsia, saya tahu perlantikkan ini bukannya dicalonkan oleh beliau tetapi pihak lain namun kerana jiwanya besar, Presiden menerima pencalonan itu walaupun beliau secara peribadi tidaklah mengenali saya yang kecil ini ketika itu.

Kerana itu saya masih ingat apabila ada pihak mengadu pada beliau kononnya saya ini (pada satu peringkat setelah dilantik) bagaikan anasir subversif dalam parti, beliau berkata bukankah kamu (sipengadu) dan rakan-rakan yang mencalonkan nama saya dahulu...........

Sepanjang berkhidmat untuk beliau dari tahun 2007 ke 2009 saya cuba memberikan khidmat terbaik saya walaupun saya akur ianya penuh dengan kekurangan. Saya bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan beliau yang akan menghubungi saya apabila ada keperluan dan apabila sahaja beliau berada di KL. Setiap kenyataan media beliau itu terbit dari pancaran hati dan pemikirannya tidak ada yang saya bikin sendiri kecuali menyusunnya menjadi satu kenyataan yang kemudiannya dikirim ke pihak media.

Saya juga terlibat dalam menulis kata-kata aluan beliau untuk terbit dalam mana-mana buku cenderamata atau karya sesiapa yang mahu diterbitkan, tetapi semuanya berasaskan rangkuman idea dan pemikiran beliau bukannya pandai-pandai saya sendiri. Segala tulisan dan karya serta pandangan beliau menjadi rujukan saya.

Saya tidak pernah terlibat dalam melahirkan apa-apa gagasan atau idea besar buat beliau kecuali semuanya hasil penelitian dan ilmu serta limpahan pengalaman beliau sendiri. Memang kekadang saya dan rakan-rakan ada diajak berbincang dengan beliau tetapi untuk melahirkan satu idea untuk beliau bawa, demi Allah tidak pernah saya lakukan. Bohong dan fitnahlah malah bagi saya merendah-rendahkan kemampuan dan kewibawaan beliualah kiranya ada yang beranggapan bahawa sayalah yang melahirkan idea buat beliau selama ini.

Saya ingat pernah seorang tokoh meminta saya supaya memberikan nasihat (advice) kepada Presiden, lalu saya katakan bahawa saya ini bukan penasihatnya tetapi seorang pekerjanya.

Ringkaskan cerita benarkah saya digugurkan sebagai Setiausaha Akhbar Presiden? Saya tidak dimaklumkan begitu kerana setahu saya tempuh perkhidmatan saya tamat sejurus selesai muktamar lalu. Memang saya diberitahu bahawa ada pihak mahu saya digugurkan atas alasan terlampau banyak memegang jawatan (walaupun sebelum ini ada juga tokoh tertentu yang banyak juga pegang jawatan), entahlah, tetapi saya difahamkan lantaran syor itu saya disarankan membuat pilihan. Tetapi tiada pula yang mendekati saya untuk membuat pilihan itu.

Lalu apabila PAS Selangor menawarkan saya sebagai Ketua Penerangan Negeri, maka saya menerimanya kerana merasakan saya mahu beri tumpuan pada Selangor, dan kalau kehadiran saya sebagai Setiausaha Akhbar sekadar mengundang fitnah apalagi buat Presiden yang saya kasihi biarlah saya melepaskannya.

Adakah saya menjadi mangsa korban pertembungan dua aliran besar dalam PAS, tak dapatlah saya menjawabnya, tetapi saya masih hidup, dan akan terus aktif dalam parti kerana saya berjuang bukan kerana sesiapa tetapi kerana Allah swt.

Sebenarnya semasa saya menerima jawatan SU Akhbar dahulu saya terpaksa melepaskan jawatan Ketua Penerangan Selangor untuk beri tumpuan pada Presiden. Akan tetapi apabila berlaku rombakan dalam kabinet PAS Selangor sebelum muktamar baru-baru ini saya dirayu agar menerima kembali jawatan Ketua Penerangan ini bagi menggantikan Ketua Penerangan ketika itu yang digugurkan. Saya menerima tanpa berfikir panjang tetapi rupanya apabila saya maklumkan kepada Presiden saya perhatikan beliau tidak berapa bersetuju.

Memang saya bersembah durhaka ketika itu kerana kedua-dua jawatan ini merupakan minat saya, bukannya gila kuasa.

Oleh itu kini apabila ada yang mempertikaikan dan pinta saya buat pilihan, walaupun belum secara rasmi lagi, saya terpaksa akur dan membuat pilihan.

Bagi saya individu dan puak tidak penting yang penting adalah dasar dan perjuangan parti. Biarlah Islam terus berkembang subur dan terus diterima masyarakat sehingga berjaya memerintah dan membimbing ummah. Islam perlu kuat, berdiri teguh laksana satu bangunan yang kukuh. Memang ia tidak akan sunyi dari fitnah dan cabaran tetapi perjuangan perlu diteruskan dan kekuatan pemimpin terletak pada mereka yang mampu menyatupadukan ummah.

Saya yakin pada kepimpinan ulamak kerana itu saya memilih untuk bersama PAS dan saya yakin begitulah juga jutaan yang lain. Islam insyallah akan menang jika tidak hari ini esok, jika tidak dalam hayat kita nanti pada hayat anak-cucu jenerasi yang mendatang. Tiada siapa yang dapat menghancurkannya, walau segagah dan sejahat mana sekalipun mereka itu.

Allahu Akbar!

(Berikut adalah artikel dalam Malaysiakini bertajuk “SU Hadi jadi korban konflik PAS” http://www.malaysiakini.com/news/108939)

15 comments:

Anonymous said...

kalau tidak perlu berhenti,.... jangan berhenti. Takut UMNO disebalik semua ini. Lepas ni mesti UMNO ketawa terbahak-bahak....



hanya peringatan.... jika isunya hanya segelintir sahaja org yang tidak suka... Maka Tuan Presiden lgi ramai orang yang tidak suka kepada beliau... Maka... siapalah kita jika mahu dikomparekan dengan PRESIDEN....

pasnational_unity said...

Riwayat Abu Hurairah:Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda "Apabila umatku mengagungkan dunia, kehebatan Islam akan dicabut daripada mereka.Apabila mereka meninggalkan amr-bil-ma'aruf & nahi mungkar, mereka akan dilupakan daripada keberkatan wahyu, dan apabila mereka caci mencaci antara satu sama lain, mereka akan gugur daripada pandangan Allah SWT" (Kitab Durul-Maathur-Riwayat Hashim Tarmizi)

Teruskan Perjuangan dengan penuh kesabaran.Moga Allah SWT tetapkan hati-hati kita semoga istiqomah dalam perjuangan yang suci ini.Segalanya berlaku baik luaran mahupun dalaman ada hikmah disebaliknya.Mungkin semangat usrah sudah hilang dari perjuangan yang penuh dengan ujian ini.Marilah kita bersama lakarkan peta "ISLAM Memimpin Perubahan" & PAS Untuk Semua.

poksu said...

Salam hormat!

Lain orang lain ragam.Ada juga orang "main wayang" kononnya hendak tegakkan disiplin tapi dimasa yang sama mencampur adukkan dengan amalan kotor sepak teranjang politik,Ada orang suka cara gaya penulisan yang sentimentel atau pun instrumentel, ada orang guna gaya bahasa yang suka mengadu domba tidak kurang juga yang suka maki cerca,yang jadi mangsa ialah agama setelah itu akan ada pula pehak yang akan menangguk diar keruh.

kerana itu saya teringat disuatu zaman dimana kerajaan BN telah mengesyorkan agar perkataan
"islam" itu digugur dan tidak digunakan olih mana mana pertubuhan parti politik,olih kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali makanya adalah menjadi tanggung jawab kita semua untuk berfikir betul betul...!

MenateBroke said...

susah jugak hidup dalam Pas ni..
masuk Umno lah senang cerita .

Anonymous said...

assalamualaikum buat roslam sms
sedih dan terharu baca cerita anda
bersabarlah.....bukankah sabar itu ubat yang terbaik?
usah pedulikan manusia...pedulikan apa yang diinginkan tuhan
semoga berjaya
teruskan mnenulis..menulislah...walau kekadanga ianya pahit...ada yang tetap menghargainya..
semoga berjaya

KORBANDEMOKRASI said...

Saudara Roslan SMS,
Assalamu'alaikum

Saya ikut bertakbir bersama-sama saudara;

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR,
ALLAHU AKBAR !..
WALILLAAHIL-HAMD !

Salam,
TokPakir

Citarasa Pedas said...

Salam. saya amat simpati kepada sdr. roslan. Tapi itulah hakikatnya PAS hari ini, diera kemenangan ini penuh dengan cabaran dan dugaan yang bukannya datang dari luar tetapi dari dalam PAS sendiri. Saya perhatikan dari dulu sdr. roslan begitu konsisten dalam setiap tulisan dan tidak terpengaruh oleh emosi, tapi disebabkan oleh fitnah sebegini sdr. akhirnya bersuara dengan emosi bagi membela diri. Apa yg saya nampak anasir-anasir buas dalam PAS hari ni (yg gila kuasa)akan melakukan apa shj. untuk merosakkan perpaduan dan pegangan kita selama ini. saya mendoakan agar saudara akan terus konsisten dengan perjuangan ini dan Allah jualah yg akan membalas setiap baik buruk perbuatan kita. wassalam

Bah Lontong said...

Sdr Roslan, sabarlah.. inilah permulaan perjuangan!

Mr.KETAM said...

Allahuakbar!!!

Tuan walaupun kadang2 saya tak setuju dgn cara PAS dalam sesetengah isu terutamannya cara NIZAR diperkudakan oleh DAP tetapi ISLAM tetap terus ditegakkan..

Tuan sebagai Ketua Penerangan PAS Selangor saya berharap tuan dapat anjurkan majlis agama di seluruh selangor dgn lebih aggresive lagi..
Minta PAS buat lah lebih banyak program dan banyakkan promosi terhadap program2 tersebut.. bukan apa kadang-kadang saya hairan PAS dah berkuasa di Selangor tetapi dimana program yg berunsur ISLAMIAH?? Yang saya tahu hanya di Masjid Negeri dimana penceramah-penceramah yg datang alhamdulillah yg ditunggu-tunggu selama ini..
Dan juga kenapa PAS denagn izin Tuanku Sultan tak rombak Pusat Zakat Selangor menjadi lebih berkesan kerana kadang-kadang kita lihat eg memberi subsidi bayaran sewa bangunan untuk anak-anak yatim,kenapa tak dibelikan terus bangunan sedangkan jumlah kutipan beratus juta setiap tahun..

Harap tuan dapat memainkan peranan yg lebih aktif dalam memakmurkan ISLAM di negeri selangor ini..

wassalam

hassan said...

percayalah , bukan anda seorang yang bekerja utk Allah..
Kami juga bersama anda ..
Percayalah Islam akan menang.
Kita tidak memerlukan perhormatan dari siapa kerana ,kita berjuang kerana Allah..
Takbir..

Anonymous said...

Adat orang berjuang.Ada kala naik Ada kala turun.Ada kala susah, adkalanya senang. Ada kala miskin ada kalanya kaya.Ada kala org sayang ada kalanya, orang benci.Ada kala ramai kawan, ada kalanya kawan lari.
Sabo jelah ya Yeop..........

Mat Teropong said...

Agak sentimentel jugak tulisan En. Roslan kali ini.Walau apa pun pada saya En. Roslan telah melanggar arahan Tuan Presiden agar tidak mengulas tentang isu ini.Itu pun kalau benar Presiden ada menyebut begitu. Wallahualam.

wan said...

Tabahkan hati abang roslan. Presiden melantik abang ataupun tidak, sesungguhnya kita bukan faktor kekuatan pemimpin.

Baguslah seperti yang diiltizamkan abang roslan selama ini, jangan berlagak menjadi penasihat apabila kita menjadi SU Akhbar.

Paling komanpun, abang bukanlah penghasut presiden seperti yang di fitnah sesetengah pihak.

Anonymous said...

Salam...
Sabarlah, Allah sentiasa bersama-sama orang yang benar.
Takbir! Takbir! Takbir!

P/s: Kpd saudara Rahman "Tulang Besi" dan Wan Fudzail, puaslah hati kamu, tapi ingat, setiap perkataan kamu akan diambil kira oleh Allah s.w.t.

Drpd
Seorang Pemuda di Kawasan Gelang Patah

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum Sdr Roslan sms. Sesungguhnya kita sedang diuji dengan keadaan sekarang. Kadang-kadang terasa juga mujur kita belum menang kerana kalau inilah suasananya terasa juga sebenarnya kita seolah-olah menuju pada kegagalan dalam kemenangan. Hakikatnya kita mungkin menang tapi belum berjaya. Sabarlah Sdr. Sekurang-kurangnya sdr telah memberi sumbangan kepada perjuangan suci sedang saya masih tercari-cari cara untuk memberi sumbangan kerana tak banyak yang boleh saya buat atas kekangan kecacatan. Apa pun saya yang cacat penglihatan akan tetap terus berfikir apa yang saya mampu sumbangkan dalam perjuangan ini. Jadi bersyukurlah kerana sdr punya penglihatan dan kebolehan untuk berada dalam perjuangan ini. Syabas buat sdr kerana nampaknya sdr mampu menetapkan hati untuk terus berada dalam landasan yang sdr dan saya yakin benar. Insya Allah Islam pasti menang dengan membaw kejayaan kerana "ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN" dan "PAS FOR ALL". Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!