Saturday, November 29, 2008

Kalau PAS gagal, Umno bagaimana?

“PAS gagal laksanakan agenda Islam di Selangor”, demikianlah tajuk laporan berita muka 5 Utusan Malaysia hari ini. Ia memetik kenyataan Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Rahman Palil yang juga ADUN Sementa (yang memenangi kerusi tersebut secara percuma dalam PR lalu).

Kata beliau walaupun PAS kini berkuasa di negeri Selangor melalui kerajaan Pakatan Rakyat namun seakan tidak berupaya melaksanakan agenda pembangunan Islam kerana rakan-rakan dalam PR seperti PKR dan DAP seolah-olah menidakkan peranan mereka.

Syabaslah Rahman Palil kerana mampu juga bersuara walaupun kini duduk dikerusi pembangkang. Selama ini Umno Selangor hanya bersuara melalui Khir Toyo dan sedikit-sebanyak dari Muhammad Taib selaku Ketua Perhubungan, yang lain termasuklah Rahman seakan sepi mendiamkan diri. Memang bukan mudah merubah diri dari duduk dibangku kerajaan ke kerusi pembangkang kini.

Apakah benar bahawa PAS selama ini gagal laksanakan agenda Islam? Apakah Umno sebelum ini berjaya?



Kita akui bahawa PAS dengan hanya 8 kerusi DUN Selangor, merupakan rakan kongsi terkecil dalam kerajaan Pakatan Rakyat berbanding PKR dan DAP (walaupun ada mengatakan sebenarnya yang paling kecil adalah PSM dengan 1 kerusi di Kota Damansara). Walaubagaimanapun Rahman lupa dan mungkin tidak tahu bahawa rakan-rakan dalam PR akur dan tidak pernah memperkecilkan peranan PAS kerana sedikitnya bilangan kerusi mereka lantaran kerajaan PR Selangor hakikatnya tidak akan terbentuk tanpa kehadiran PAS.

Kerana itu untuk mengatakan yang PAS tidak berupaya lantaran kecilnya saham kuasanya dalam kerajaan Selangor adalah tidak tepat. Sejurus terbentuk kerajaaan PR selepas pilihan raya lalu, Pesuruhjaya PAS, Dato Dr Hasan Ali yang juga ADUN Gombak Setia telah diangkat sebagai EXCO bertanggungjawab dalam hal ehwal agama dan adat sitiadat Melayu. Ini merupakan pengiktirafan pertama kerajaan negeri terhadap PAS.

Lalu apakah PAS gagal dalam agenda Islamnya selama 8 bulan kebelakangan ini? Rahman mungkin perlu berkata begitu kerana beliau Ketua Penerangan dari parti pembangkang, takkanlah beliau mahu katakana yang Dr Hasan lebih efektif sebagai EXCO Agama berbanding beliau dahulu.

Sesungguhnya dimana-mana sahaja PAS berada, samada dalam kerajaan yang ia dominasi, seperti Kelantan ataupun punya pengaruh seperti Kedah atau sekecil Perak dan Selangor, agenda Islam yang diperjuangkan parti itu akan terus ditonjolkan. Bukan hanya MB, EXCO dan ADUN PAS bertanggungjawab menjulangnya, malah apabila ada kerajaan, ahli-ahli PBT, ketua-ketua kampong, JKKK dan lain-lain semuanya perlu pikul tanggungjawab ini. Berlainan dengan Umno, walaupun kononnya memperjuangkan agama, bangsa dan negara, tetapi bila berkuasa, yang menjadi tumpuannya adalah projek, projek dan projek.

Rahman mengambil contoh kes pengharaman arak di Selangor yang dijadikan isu baru-baru ini.Kalau Rahman jujur sebenarnya apabila beliau memainkan isu ini keadaannya bagaikan meludah dilangit, jatuh terpalit ke muka beliau sendiri. Jangan putar-belitkan isu. Kenyataan MB selepas mesyuarat EXCO baru-baru ini menyebut bahawa penguatkuasaan terhadap peraturan yang sedia ada akan dilaksanakan mulai Januari 2009. Ini bermakna PAS telah berjaya menuntut kerajaan Pakatan Rakyat yang baru 8 bulan usianya itu agar menguatkuasakan pengharaman penjualan arak ke atas umat Islam di Selangor sebagaimana yang terkandung dalam enakmen pentadbiran Islam negeri, peruntukkan yang ada sejak zaman BN lagi tetapi langsung tidak diusaha atau dipedulikan oleh Rahman ketiak beliau EXCO Agama!

Bagaimana dengan pentadbiran masjid dan surau yang dibelenggu dizaman Rahman dan Umno sehingga masjid dan surau gagal memainkan peranannya sebagai pembentuk akhlak dan pemikiran masyarakat. Dizaman Rahman Almarhum Dato Ishak Baharom (bekas Mufti Selangor), Dato Dr Harun Din, Ustaz Dato’ Ismail Kamus semuanya walaupun tinggi dan diiktiraf ilmunya tetapi dilarang mengajar di masjid dan surau-surau seluruh Selangor! Jawatankuasa masjid dan surau-surau tiada lagi dipilih oleh ahli-ahli kariah tetapi ditentukan oleh kerajaan dengan bantuan kuat Umno peringkat cawangan dan bahagian dizaman Rahman. Kini kuasa ahli kariah mahu dikembalikan semula oleh kerajaan, mana lebih baik?

Kerajaan negeri Selangor kini melalui suara wakil-wakil PAS mengawal aktiviti hiburan berunsur maksiat, sejak 8 bulan kebelakangan ini banyak telah diharamkan, dikawal dan seumpamanya, tidak seperti dulu. Malah aktiviti hiburan melampau seperti konsert dan “funfair” turut tidak diluluskan oleh PBT di kawasan majoriti penduduk Islam. Zaman Rahman dulu bagaimana?

Begitu juga dengan pengagihan bantuan zakat, kini semakin meluas dan tidak lagi terhad kepada mereka yang sebulu dengan parti pemerintah semata-mata seperti dizaman Rahman dulu. Anak-anak yang layak dihatar untuk melanjutkan pengajian ke pusat-pusat pengajian di Timur Tengah dalam bilangan yang berganda lebihnya berbanding dizaman Rahman. Maahad-maahad Tahfiz yang dulunya hjampir tutup kedai kini dibantu oleh kerajaan melalui EXCO Agama.

Di PBT-PBT seluruh Selangor kini ahli-ahli majlis PAS memain peranan untuk melahirkan masyarakat yang bermaruah, bersih, telus dan bermoral. Lesen-lesen pusat-pusat hiburan terutama rumah-rumah urut yang merupakan sarang maksiat di zaman Rahman kini dikawal dan banyak yang telah ditutup dan tidak diluluskan lesennya.

Banyak lagi program yang sedang disusun oleh pimpinan PAS negeri khususnya berhubung Islam dan nasib serta masa-depan orang-orang Melayu disamping seluruh masyarakat berbilang kaum. Kami baru lapan bulan berkuasa sedangkan kita boleh bertanyakan soalan yang sama kepada Rahman, apakah yang telah beliau dan Umno lakukan untuk Islam selama hampir 50 tahun mereka berkuasa?!

Kata Rahman PAS sudah menjadi parti hipokrit, sedangkan beliau dan Umno yang hipokrit selama ini sehingga ditolak rakyat tidak beliau sedari.

Saya yakin PAS akan terus komited dalam memperjuangakn agenda Islamnya, kerana itulah tuntutan ahli-ahli dan mereka yang telah memberikan mandat kepada PAS. Selagi mana PAS adalah parti Islam maka selagi itulah ia tidak boleh memisahkan dirinya dari berjuang dan melaksanakan Islam. Rahman boleh terus kritik dan tabur fitnah, tetapi ingat kita semua bertanggungjawab di hadapan Allah swt apabila bertemu Nya kelak dimana semua bukan hanya PAS termasuklah Umno dan lain-lain akan ditanya tentang apa yang telah kita lakukan apabila diberi kuasa di atas bumi yang sementara ini.

Takziah kepada keluarga MP Kuala Terengganu

Petang semalam Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu, meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting.

Beliau dikatakan seorang timbalan menteri yang sangat berdedikasi dan tekun dalam memikul tanggungjawabnya. Semoga keluarga Allahyarham tabah dan diberikan kesabaran dalam melalui detik sedih ini.

Razali memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya umum ke 12 lalu setelah mengalahkan Naib Presiden PAS Hj Muhammad Sabu dengan kelebihan 628 undi. Sebelum itu dalam pilihanraya umum ke 11 tahun 2004 beliau merampas kerusi tersebut dari tangan PAS setelah berjaya mengalahkan calon PAS Dr Syed Azman dengan kelebihan 1,933 undi.

Dengan kekosongan kerusi parlimen ini, pihak SPR dijangka memanggil satu pilihan raya kecil dalam waktu yang terdekat. Mungkinkah PAS berupaya merampas kembali kerusi ini dari tangan BN? Mungkinkah tokoh PAS, Hj Muhammad Sabu akan sekali lagi dicalonkan untuk membawa panji-panji PAS dalam pertempuran pilihanraya kecil yang dijangka sengit itu?

Untuk rekod di kerusi inilah (Kuala Terengganu Selatan) Allahyarham Dato Onn Jaafar, pengasas Umno, melangkah masuk ke Parlimen melalui bantuan PAS apabila bertanding sebagai calon Parti Negara dalam pilihan raya umum 1959. Beliau sahaja calon Parti Negara yang menang kerusi Parlimen, namun disepakati untuk bertindak sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat (menurut catatan Allahyarham Ahmad Boestamam).

Alfatihah buat Allahyarham Datuk Razali, Dato Onn dan semua yang telah medahului kita, Alfatihah………….

Friday, November 28, 2008

Kebebasan dan keadilan: tubuh, darah dan daging polis kita

Saya tertarik dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini yang mengingatkan ahli-ahli politik agar jangan mencampuri urusan polis. Polis adalah penjaga dan pemelihara keselamatan dan kemanan negara, sudah pastilah tugas-tugas mereka akan terganggu kiranya ada mana-mana pihak yang menggunakan kedudukan politik mereka untuk mencampuri urusan polis.

Musa mengambil contoh dalam satu kes dimana seorang ahli politik telah mengirimkan kjepada beliau lebih 100 saman trafik dan mengarahkan agar beliau membatalkannya atas alasan mereka yang disaman adalah dari kawasannya dan tidak berduit untuk membayarnya!

Begitu juga saya percaya dalam hal-hal lain. Kita mahu anggota polis kita kekal sebagai sebuah institusi yang bebas dan tidak boleh ditundukkan oleh sesiapa pun.

Dalam waktu yang sama kita juga mahu pihak polis tidak menerima arahan dari orang-orang politik untuk bertindak. Orang Umno jangan arahkan polis bertindak terhadap orang PAS contohnya, biarlah polis bebas, membuat keputusan dan mengambil tindakan secara professional, tidak berat sebelah dan tidak pilih bulu, boleh?

Kalau ada orang BN melanggar undang-undang, tak kiralah berdemo tanpa permit atau apa sahaja, maka bertindaklah terhadap mereka. Jangan demo atau himpunan pembangkang sahaja yang diganggu tetapi yang dianjurkan BN contohnya, ditangani dengan begitu manja sekali.

Biar kebebasan dan keadilan benar-benar menjadi tubuh, darah dan daging pihak polis kita. Biar tiada lagi pengaruh atau tekanan politk terhadap mereka selepas ini. Sesungguhnya kita tidak dinafikan unsure-unsur kebebasan dan keadilan ini memang cuba ditegakkan, tetapi arus campurtangan itu kadangkala memukulnya tumbang.

Berilah harapan kepada rakyat Malaysia…………

Semoga beroleh Haji Mabrur

Petang semalam saya sempat berada di KLIA untuk mengucapkan selamat jalan kepada Tuan Guru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, yang berangkat bersama rombongan menunaikan ibadat haji. Antara yang turut berada di lapangan terbang antarabangsa itu adalah Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa, Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dato Mustapha Ali, ahli parlimen Kota Bharu Cikgu Wan Abdul Rahim, pimpinan Pemuda Pusat, pimpinan PAS dari Sepang, Kuala Langat dan yang berdekatan.

Tuan Guru terharu dengan kehadiran pimpinan dan anggota Unit Amal Wilayah, lengkap beruniform yang turut tidak mahu ketinggalan mengucapkan selamat jalan kepada pemimpin mereka yang dikasihi.

Seperti biasa kehadiran Tuan Guru di lapangan terbang menarik perhatian mereka yang ramai yang berada di sana, samada dikalangan para penumpang dan mereka yang menghantar sahabat dan saudara-mara. Mereka yang berkenaan telah mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan Tuan Guru disamping mengambil kesempatan merakamkan gambar beliau, termasuklah krew Mc Donalds di sana.

Turut bertegur-sapa dan berbual dengan Tuan Guru adalah beberapa tokoh korporat dan ahli-ahli perniagaan serta orang kenamaan.

Sambil mengucup tangan Tuan Guru tatkala beliau melangkah ke balai berlepas, saya teringat akan puisi yang ditulis oleh Naser Khosrow, seorang sasterawan Parsi yang pernah merakamkan pengalaman beliau menunaikan haji. Dalam puisinya itu Naser mencatatkan pengalaman beliau mengunjungi seorang sahabat yang baru pulang dari Mekah.

Antara lain beliau menulis:

When you were about to remove your clothes and wear the Ihram,
What was your intention during those exciting moments?

Ketika kamu melucutkan pakaian dan mengenakan Ihram,
Apakah perasaan (niat) kamu ketika saat-saat mendebarkan itu?

Did you absolutely avoid all the things that must be avoided
And whatever is inferior to Almighty Allah?

Apakah anda telah meninggalkan segala yang patut ditinggalkan
Dan segala yang lebih rendah dari Allah Yang Maha Berkuasa?

He replied NO!

Jawapnya TIDAK!

I asked him
If he said “labbaika”
With full knowledge and great respect?
If he heard the command of Allah?
Or, if he obeyed as Ibrahim did?

Saya bertanya
Jika beliau telah berkata “labbaika”
Dengan penuh pengetahuan dan penghormatan yang tinggi?
Apakah beliau mendengar akan perintah Allah?
Atau, mematuhi sebagaimana patuhnya Ibrahim?

He replied NO!

Jawapnya TIDAK!

I asked him:
While he was in Arafat,
While he stood so close to Almighty God
Did he have a chance to know him?
Was he not eager to learn a bit of the knowledge?

He replied NO!

Saya bertanyakan beliau:
Ketika beliau di Arafah
Ketika beliau berdiri begitu hampir dengan Tuah Yang Oerkasa
Apakah beliau berkesempatan mengenali Nya?
Tidakkah beliau ghairah meneroka sedikit sebanyak ilmunya?

Jawapnya TIDAK!

I asked him:
When he entered Kaaba
As the family of “Kahf and Raquim” had done
Did he deny his self centeredness?
Did he fear the punishment of the hereafter?

He replied NO!

Saya bertanyakan beliau:
Ketika menghampiri Kaabah
Sebagaimana keluarga “Kahfi dan Rakim”
Apakah beliau telah menghapuskan kepentingan dirinya?
Apakah beliau tidak takutkan balasan hari kemudian?

Jawapnya TIDAK!


I asked him:
When he offered the sacrifise
To feed a hungry person or an orphan
Did he first think of Allah?
And, did he then killed his selfishness?

He replied NO!

Saya bertanyakan beliau:
Ketika beliau berkorban
Dengan memberi makan si lapar atau anak yatim
Apakah beliau tidak mengingati Allah terlebih dahulu?
Dan, tidakkah beliau korbankan sekali sikap kepentingan dirinya?

Jawapnya TIDAK!

I asked him:
When he stood in Ibrahim’s position
Did he rely absolutely on God?
Sincerely and with strong faith?

He said NO!

Saya bertanyakan beliau:
Ketika beliau berdiri dtempat Ibrahim
Adakah beliau menggantungkan diri pada Tuhan?
Dengan keikhlasan dan penuh keimanan?

Kata beliau TIDAK!


I asked him:
While he circumambulated
When he made the Tawaf of Kaaba
Was he reminded of all the angels
Who constantly circumambulate this world?

He said NO!

Saya bertanyakan beliau:
Ketika berpusing
Melakukan tawaf mengelilingi Kaabah
Adakah beliau teringatkan akan para malaikat
Yang tidak henti-henti bertawaf mengelilingi dunia ini?

Kata beliau TIDAK!

I asked him
During his Sa’y
While he was running between Safa and Marwa
Was he sanctified and purified

He said NO!

Saya bertanyakan beliau
Ketika bersaie
Ketika beliau berlari-lari dari Safa dan Marwa
Apakah beliau telah suci dan dibersihkan?

Katanya TIDAK!


I asked him
Now that he had returned from Mecca
And felt home sick for the Kaaba
Did he bury his “self” there?
Was he impatient to go back?

He said NO!

Saya bertanyakan beliau
Sekarang setelah pulang dari Mekkah
Tidakkah beliau merindukan Kaabah
Apakah beliau telah mengabadikan dirinya di sana?
Tidakkah beliau rindu untuk pulang ke sana?

Kata beliau TIDAK!

“Of whatever you have asked me so far,
I have understood nothing!!!”

I said:
Oh friend, you have not performed the Hajj!
And, you have not obeyed God!


“Apa sahaja yang kau bertanyakan aku,
Aku tidak memahaminya langsung!!!”

Kata ku:
Wahai sahabat, kamu telah tidak menunaikan Haji!
Dan kamu tidak mematuhi Tuhan.


You went to Mecca and visited the Kaaba!
You spent your money to buy the hardships of the desert!

Kamu pergi ke Mekah sekadar melawat Kaabah!
Kamu belanjakan wang hanya untuk membeli kesusahan di padang pasir!


Dalam dan penuh bermakna puisi ini yang telah diabadikan oleh Dr Ali Shariati di dalam bukunya “Hajj”. Semoga ia berjaya mengetuk pintu hati kita semua samada yang telah ataupun belum berkesempatan menunaikan haji di Mekah.

Semoga Tuan Guru dan rombongan memperolehi Haji Mabrur begitu juga adinda Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz yang saya difahamkan telah pun berada di sana. Selamat pergi dan selamat kembali mereka semua insyallah.

Labbaikallah Hummalabbaik………………

Wednesday, November 26, 2008


Ucapan penangguhan
En. Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir
Sempena Mesyuarat Penuh Majlis MPSJ Bil. 7/2008 (26/11/08)

YBhg Dato Pengerusi dan ahli-ahli majlis sekalian

Sedar tidak sedar perlantikkan kami sebagai ahli majlis di majlis Perbandaran Subang Jaya ini sudah menghampiri ke tempuh separuh penggal, sudah pastilah dalam tempuh yang walaupun singkat ini banyak pengalaman dan ilmu yang telah ditimba dan diperolehi. Interaksi dan hubungan di antara kami selaku ahli-ahli majlis dengan para pegawai dan kakitangan MPSJ serta rakyat jelata di luar sana sedikit sebanyak telah membantu dalam kami memahami dan melaksanakan tugas dan amanah sebagai ahli majlis yang dipilih oleh kerajaan negeri.

Sesungguhnya pilihan raya umum ke 12 lalu telah menyaksikan peralihan kuasa diperingkat negeri, yang sebelum ini tidak pernah berlaku di Selangor. Hasilnya keluarlah kawan-kawan lama dan masuklah kawan-kawan baru. Yang keluar pergi dengan baik, yang datang masuk dengan tertib. Bagi kami yang baru ini mandat dan kepercayaan telah diberikan oleh rakyat, dan kami ke sini dengan amanah untuk membawa perubahan memperkenalkan sesuatu yang lebih baik dari yang ada sebelum ini.

YBhg Dato Pengerusi dan ahliahli majlis sekalian

Rakyat mahukan sesuatu yang baru dan baik bagi mereka, lalu kita memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak bagi menjayakan amanah ini. Saidina Abu Bakar as Sidiq r.a, Khalifah Islam yang pertama pernah menyebut:


'Wahai manusia, aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak daripada kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, maka perbetullah aku. Benar itu amanah, bohong itu khianah."

Insyallah sekiranya kita semua di MPSJ ini dari ahli-ahli majlis sehinggalah seluruh pegawai dan kakitangan dapat bekerjasama atas dasar hormat menghormati dan menjunjung amanah rakyat saya yakin kita akan dapat melahirkan MPSJ yang lebih baik dan berjaya.


Tidak dapat dinafikan kami semua melangkah masuk ke MPSJ, sebuah PBT yang telah pun paling baik dari segi pentadbiran dan pengurusannya di Selangor dan malah seluruh negara, inilah peluang bagi kita untuk mengembeling tenaga, ahli-ahli majlis secara profesyional menyumbang idea dan cadangan agar yang telah baik menjadi lebih baik bagi lagi membuktikan kemampuan kita, dengan didokong oleh para pegawai dan kakitangan demi memberikan nama baik kepada kerajaan negeri yang baru yang didokong oleh rakyat ini.

YBhg Dato Pengerusi dan ahli-ahli majlis sekalian

Satu perkara kita perhatikan cuba diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan YAB Dato MB Selangor yang baru ini adalah pengasingan kuasa, buat pertama kali dalam sejarah selangor ahli-ahli DUN tidak duduk di dalam PBT. Ini bagi memberikan kebebasan kepada pimpinan diperingkat kerajaan tempatan untuk membuat keputusan dan dasar demi kebaikan PBT tanpa camputangan dari wakil-wakil rakyat namun tidak pula lari dari dasar dan peraturan yang dibikin dan diluluskan oleh kerajaan negeri.

Langkah berani kerajaan negeri Pakatan Rakyat ini sewajarnya dihormati dan kita diperingkat PBT khasnya ahli-ahli majlis bertanggungjawab membuktikan yang ianya ”workable” dengna izin demi kebaikan rakyat dan kerajaan negeri Selangor.

YBhg Dato Pengerusi dan ahliahli majlis sekalian

Saya perhatikan ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh MPSJ demi memperabaikkan lagi mutu perkhidmatannya yang telah pun baik itu

1) Penguatkuasaan: kita di sini meluluskan pembangunan, menyediakan kemudahan dan infrastruktur, memberikan perkhidmatan, namun dalam waktu yang sama jika aspek penguatkuasaan tidak dipertingkatkan kecekapannya, segala yang baik yang kita laku dan perkenalkan akan dilihat tidak berkesan. Kita ada undang-undang dan peraturan tetapi ia tidak dihormati lalu masyarakat menjadi leka dan lalai akhirnya merugikan majlis. Pengutkausaan penting agar undang-undang dan pertauran dihormati supaya masyarakat menjadi lebih teratur sempurna dan selamat.

2) Pihak majlis perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap kejayaan JKP-JKP seluruh MPSJ. Kita telah tubuhkan JKP dipengerusikan kali ini oleh ahli-ahli majlis, pastikanlah semua kemudahan infra, sokongan dan tumpuan diberikan oleh semua jabatan agar peranannya dapat dijalankan sebagaimana yang dikehendaki oleh kerajaan negeri yang baru ini. Para pegawai MPSJ yang ditugaskan membantu pengerusi-pengerusi JKP mestilah proaktif dan cekap.

3) Ukhuwah ataupun ikatan hubungan yang baik antara ahli-ahli majlis dan para pegawai serta kakitangan MPSJ perlu sentiasa dijalin. Saya sebutkan diawal tadi tentang perubahan kuasa, kita semua datang bukan sebagai wakil-wakil pembangkang tetapi sebagai wakil kerajaan, sebagai pemimpin kepada para pegawai serta kakitangan MPSJ ini, mereka bukannya musuh tetapi anak-anak buah kita. Sebagai pemimpin kita membimbing bukannya menghukum, sebagai pemimpin kita membuktikan kemampuan bukannya mencetuskan keraguan. Dengan izin : ”Respect is earned and never freely given” ataupun ”Penghormatan itu diperolehi dan bukannya diberikan secara percuma”.

4) Kawasan perbandaran Subang Jaya ini mempunyai prospek untuk terus membangun dan semakin dekat dan hampir saya percaya untuk layak memperolehi taraf bandaraya, kerana itu majlis mestilah dilihat sebagai ”business friendly”, kita melaksanakan peraturan namun dalam waktu yang sama kita bersedia mendengar dan menimbangkan cadangan dan pandangan komuniti peniaga dan penduduk, keanjalan sikap ini akan merangsang kemajuan yang lebih pesat. Walaubagaimanpun aspek moral yang membina masyarakat yang sihat dan selamat perlu ditekankan. MPSJ mesti tegas dalam mengawal dan menutup pintu dan ruang maksiat dan keruntuhan moral. Biar Subang Jaya menjadi selamat dan selsea serta bersih untuk semua demi masa depan anak-anak dan jenerasi kita yang akan datang.

Sekian, terima kasih.

Isu arak di Selangor jangan kelirukan rakyat

Akhbar-akhbar berbahasa Cina tiba-tiba hari ini memaparkan kisah arak di Selangor (saya ditunjukkan perkara ini oleh sahabat saya rakan ahli majlis MPSJ dari DAP). Kononnya PAS Selangor sedang bertindak mendesak kerajaan negeri mengharamkan penjualan arak seluruh Selangor. Kononnya ada pelan “A” dan pelan “B”. Pelan “A” adalah melalui mesyuarat EXCO, jika tidak berjaya maka wakil-wakil PAS dalam seluruh PBT Selangor akan membawa usul diperingkat PBT. Tidak cukup dengan itu, portal berita Malaysiakini turut mensensasikan perkara ini.

Saya bertanyakan rakan-rakan pemberita akhbar Cina dari mana mereka dapat maklumat ini, kata mereka dari sumber-sumber tertentu.

Jelasnya, pertama, PAS Selangor tidask pernah membincangkan perkara ini dalam mana-mana mesyuaratnya. Kedua, arak ini haram buat umat Islam tetapi tidak untuk yang bukan Islam, kerana itu di Kelantan yang didominasi PAS, kerajaan negeri hanya mengharamkan penjualan arak dikalangan umat Islam (jika Kelantan begitu, takkanlah Selangor mahu mendesak mengharamkan arak secara total). Dan ketiganya arak ini memang diharamkan terhadap umat Islam di Selangor melalui Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam yang ada, tidak berbangkit PAS mahu buat tuntutan sedangkan undang-undang telahs edia ada dari zaman BN lagi.

Memang rakan-rakan ahli-ahli majlis dari MBSA ada menuntut agar dikuatkuasakan pengharaman ini di Shah Alam dan saya difahamkan ia telah pun diluluskan dalam mesyuarat majlis tanpa bangkangan mana-mana pihak.

Isu ini bagi saya sengaja disuakan bagi melihatkan seolah PAS cuba menggunakan pengaruhnya dalam kerajaan PFR Selangor bagi mendesak agar arak diharamkan secara total di Selangor. Ada pula laporan menyebut bahawa cadangan PAS dalam mesyuarat EXCO ditolak oleh MB.

Saya melihat ada usaha untuk melaga-lagakan antara PAS dan rakan-rakan lain dalam PR, dan ada usaha untuk menggambarkan seolah PAS ini tidak menghormati hak masyarakat bukan Islam. Adakah sebenarnya begitu? Saya telah merayu kepada rakan-rakan pemberita termasuklah dari Malaysiakini agar berlaku adil dalam isu ini dan jangan

Kenyataan Dato’ MB Selangor selepas Mesyuarat EXCO tadi alhamdulillah meredkan asakkan yang tidak bertanggungjawab ini.. Menurut Tan Sri Khalid sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini:

Selangor Mentri Besar Abdul Khalid Ibrahim said the state does not intend to impose a blanket ban on the sale of alcohol but is seeking to step up enforcement on existing restrictions. The existing restrictions in the state are no sale of alcohol to Muslims as well as those under-18s.

According to Khalid, the move to tighten enforcement on alcohol sale will be implemented after consultation with retailers, local councils, related government agencies and NGOs early next year.

MB Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat mengharamkan sama-sekali penjualan minuman berakohol, akan tetapi sedang berusaha mempertingkatkan penguatkuasaan terhadapa peraturan yang sedia ada. Peraturan yang ada di negeri ini melarang penjualan arak kepada umat Islam dan mereka yang di bawah umur 18 tahun.

Menurut Khalid, usaha menguatkuasakan larangan penjualan minuman berakohol akan dilaksanakan sebaik perundingan dibuat dengan pihak penjual, PBT dan agensi kerajaan yang berkaitan disamping NGO mulai tahun hadapan.

Ini isu berkaitan umat Islam dan tidak kena-mengena dengan yang bukan Islam. Peraturan yang ada pun bukannya digubal oleh PAS atau PKR tetapi oleh kerajaan BN yang lalu. Kerajaan Selangor PR hanya mahu melaksanakan apa yang telah sedia ada itupun terhadap masyarakat Islam. Diharapkan semua pihak melihat isu ini dengan jelas dan tidak dikaburi dengan agenda mana-mana pihak yang mahu memburuk dan melaga-lagakan satu pihak dengan pihak yang lain.

Perihal Mahathir yang fobia PAS

(Ini merupakan artikel saya terbaru dalam ruangan "Menongkah Arus" di Harakahdaily)

Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke empat (PM dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003) adalah seorang negarawan yang telah banyak mewarnai persada politik di negara ini.


Malah sejak menjejakkan kakinya ke dunia politik seawal 1950an sehingga sekarang, sebagai pengkritik sepenuh masa, beliau terus bertenaga mempengaruhi politik negara walaupun hari ini beliau telahpun keluar dari Umno.

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa sepanjang karier beliau dalam kerajaan dan terutama semasa menerajui negara, PAS lah merupakan tulang tajam yang tersengkang dalam kerongkongnya.


(gambar Harakahdaily)
Beliau bernafsu meneruskan agenda mahu melupuskan PAS sehingga tinggal satu kerusi di parlimen di zamannya, berhadapan dengan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat (ketika itu ahli parlimen Pengkalan Chepa) semasa krisis perlembagaan negara melibatkan penghakisan imuniti Raja-raja Melayu 1983 (ketika zaman 2M, Mahathir-Musa), pun PAS lah yang dilihat sebagai penghalang terbesar.

Malah kuasa PAS di zaman Mahathir sungguh tercabar dengan peristiwa Memali, peristiwa Lubuk Merbau, penangkapan besar-besaran terhadap pimpinan dan aktivis PAS, prpoganda memburuk-burukkan gerakan politik Islam semuanya berlaku secara besar-besaran di zaman beliau.

Tetapi PAS terus konsisten, membina kekuatan dalam tekanan yang serba mencabar ketika itu. Terbukti keteguhan kekuatan PAS itu terserlah apabila di zaman beliau juga, walaupun tekanannya kuat, PAS mampu bangkit dan akhirnya menebus kembali kerajaan negeri Kelantan yang tewas ke tangan Umno di zaman Allahyarham Tun Hussien.

PAS bangkit menempelak Umno di bawah Mahathir pada tahun 1990 ketika Almarhum Ustaz Dato' Fadzil Nor menerajui PAS, dengan merampas kerajaan negeri Kelantan. Dalam beliau berusaha mahu bangkit dari mimpi ngerinya, PAS menawan pula Terengganu pada tahun 1999 dan Mahathir terus dihantui parti itu.

PAS ternyata bangkit dalam arus tekanan untuk berhadapan secara "direct" dengan beliau di Parlimen diketuai Presiden PAS sendiri iaitu Almarhum Ustaz Fadzil dan diikuti Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi, apabila Ustaz Fadzil meninggal dunia.

Tanggal kebangkitan semula PAS pada tahun 1990 terus menghambat beliau sehinggalah beliau bersara pada tahun 2003. Kalau ada sesiapa yang masih ingat ketika beliau Presiden Umno, bagaikan tidak sah ucapan penangguhannya setiap tahun di Perhimpunan Agung Umno, jika tidak mencela dan mencemuh PAS.

Mungkin beliau menyangka dengan tiada lagi berjawatan maka PAS tidak akan menghantuinya lagi. Ternyata beliau silap. Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, walaupun beliau tidak lagi mempertahankan kerusi parlimennya, Presiden Umno yang baru Abdullah Badawi seakan menambahkan lagi mimpi ngeri buat Mahathir, apabila dalam hidupnya menyaksikan negerinya sendiri iaitu Kedah Darul Aman pula jatuh ke tangan PAS.

Lantas tidak menghairankanlah hari ini apabila Mahathir terus mahu membelasah PAS. Semasa hadir dalam satu majlis anjuran GAPENA baru-baru ini, Mahathir walaupun dalam senja usianya, masih bernafsu rupa-rupanya untuk mengkritik "puaka" yang terus tidak hilang dari hidupnya iaitu PAS.

Kata beliau PAS hari ini sudah tidak bercakap berkenaan penubuhan Negara Islam lagi. PAS hari ini hadir sekadar untuk memuaskan kehendak parti-parti rakannya. Bangsa Melayu kata beliau sudah tidak boleh mengharapkan PAS untuk melindungi hak-hak keistimewaan mereka memandangkan parti itu lebih kecil daripada DAP walaupun mempunyai penyokong yang ramai.
Begitulah Mahathir pada hari ini, di satu segi mahu menikmati zaman persaraannya tetapi dalam waktu yang sama terpaksa mengamalkan perangai lamanya, bukan apa kerana anaknya kini sedang menyediakan diri untuk mengganti legasinya. Jadi suka tak suka Mahathir terpaksa bersuara, dan apa lagi yang tinggal bagi beliau jika tidak menyerang kembali musuh tradisinya iaitu PAS.

Mahathir boleh berkata apa sahaja, tetapi beliau tidak dapat membohongi rakyat bahawa Umno kini semakin tenat, malah itulah juga kenyataannya sebelum ini. Dalam ketenatan Umno itu, realitinya hari ini orang-orang Melayu dan umat Islam, selain yang bukan Islam juga, semakin yakin dan mengharapkan PAS. PAS kekal sebagai parti Islam sejak dari Mahathir pandai berpolitik puluhan tahun lalu, semasa Mahathir manusia paling berkuasa dalam negara, sehinggalah kini ketika beliau tiada bertaring lagi.

Umno sudah penuh dengan noda rasuah dan kronisme, salah-guna kuasa, bagaikan kurap penuh di badan. Orang Melayu sendiri mengakui hakikat ini kerana itu PAS memperolehi undi Melayu yang besar di samping bantuan rakan-rakan lain sehingga mampu menawan Kedah dan bertahan teguh di Kelantan. Di kawasan-kawasan majoriti Melayu di luar Kedah dan Kelantan calon-calon PAS tewas dengan undi yang sangat kecil ada yang di bawah 50 undi!

PAS semakin bangkit dan Insya Allah akan terus bangkit dan relevan sebagai parti Islam untuk meneraju arus politik baru dalam negara. Politik yang tidak lagi bergantung kepada kekuatan dan pengaruh kuasa dan kewangan individu sebagaimana di zaman Umno, politik yang tidak bertenggek pada ektrimis bangsa yang membuta. PAS sedang meneraju politik Islam yang bersih, adil dan membela semua, yang mampu melahirkan kepimpinan yang diidamkan rakyat, bukan hanya untuk orang-orang Melayu dan umat Islam malah seluruh rakyat Malaysia.
Mahathir mungkin terus dengan phobianya terhadap PAS. Tetapi PAS akan terus bergerak melangsungkan agendanya berjuang untuk mencapai prinsip dan cita-cita perjuangannya sama ada Mahathir suka ataupun tidak.

Monday, November 24, 2008

Meniti perjuangan yang penuh mencabar

Apabila kita memilih untuk berada dalam gerakan Islam kita perlu yakin bahawa kita telah memilih jamaah yang benar. Kita perlu turut yakin bahawa bahtera yang kita naiki ini pasti menempuh dan ditempuh pelbagai gelombang dan ribut taufan, yang pentingnya lantaran kebenarannya maka kita perlu cekal, kalaupun mabuk laut dan pening-pening, lemah dan tak bermaya, angkara berada di atasnya, kita perlu perkuatkan azam dan bersabar, kerana destinasi yang dituju lebih besar dari segala-galanya.

Presiden PAS selalu berpesan, kalau di atas bahtera itu, kita berada di perut kapal dan kita keputusan bekalan air, jangan kita tebuk lantainya. Kelak kerana mahu mengubati haus, bukan hanya kita malah seluruh anak kapal akan ditimpa musibah.

Kadang-kadang ketika berseorangan terlintas juga di kepala perasaan lemas berada dalam jamaah ini, tekanannya terlalu kuat, cabarnnya tajam dan menusuk, tetapi syukur kerana para sahabat sentiasa ada untuk memberikan motivasi, semangat dan memupuk kesabaran. Kita perlu terus berkelompok dan bergerak dalam satu jemaah pada tiap waktu dan ketika.

Begitulah juga dalam membuat dan menerima keputusan. Kita berada dan dipandu dalam suatu qiyadah jamaiyah, kepimpinan berjemaah (bukannya kepimpinan individu), apa sahaja ditentu dan diputuskan secara berjemaah. Susah atau senang kita menongkahnya bersama dalam satu jemaah. Sebagai makhluk Allah kadang-kadang kita berbeza pandangan, tetapi adab berjemaah menuntut kita mematuhi keputusan syura’.

Kita semua menambat diri kita dengan keihklasan apabila bersetuju berada dalam jamaah ini. Al Quran dan Sunnah kita letakkan sebagai panduan dan hukum tertinggi kita, Allah, Rasul Nya dan orang-orang beriman dikalangan kita adalah pemimpin-pemimpin kita. Selagi mana pemimpin yang ada tidak membawa kita ke lurah maksiat dan mengingkari hukum dan peraturan Allah, maka adab berjemaah menuntut kita memberi wala’ kepada mereka.

Dalam susah dan dalam senang bersabarlah kita. Kadangkala keputusan dan apa yang diputuskan terlalu berat untuk diterima, tetapi pasti jika ia keputusan jemaaah, pasti ada manfaatnya, dan wajarlah kita akur. Mudah-mudahan kita semua terus berada di bawah redha dan perkenan Allah swt. Doakanlah agar jamaah ini terus kekal di atas jalan yang lurus. Semoga Allah swt melindungi kita dari muslihat dan kerja-kerja jahat musuh.

Allah swt berfirman:

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

(al Khaf:28)

Sunday, November 23, 2008

Kod etika apa?

Ada sahabat bertanya: “Apa pandangan saudara berkenaan kod etika buat bloggers?” Saya sekadar menggeleng kepala, tak setuju satu hal tetapi ianya tidak praktikal, ringkasnya tak masuk akal.

Kini kini berada dizaman ICT, kita bukan berada dizaman pendudukan Jepun atau 1900an lagi, apa sahaja dari A sehingga Z kini boleh diperolehi dengan pantas atas sentuhan jari, kod etika bloggers? Fenomena dunia “blogging” ini adalah fenomena global, bukan sekadar berlaku di bumi Malaysia tetap setiap pelusuk dan ceruk dunia.

Seorang blogger sekadar memindahkan apa yang di dalam kotak mindanya, ke dalam satu jurnal yang tersengkang di alam maya, bagaikan menulis di dalam buku catatan harian atau “dairy”. Cumanya tidak seperti buku catatan tadi, ianya boleh dilihat, dikunjungi dan dijenguk oleh sesiapa sahaja. Bagaimana kita mahu mengawal seseorang dari menyatakan apa yang di dalam kotak mindanya?

Cuma isunya adalah pertanggungjawaban. Memang akan ada yang bertanggungjawab sebagaiaman akan ada juga yang tidak bertanggungjawab. Lalu apa yang boleh dilakukan adalah membina pertanggungjawaban tadi. Saya kira di Malaysia kita sudah punya pelbagai peraturan dan undang-undang yang menuntut pertanggungjawaban ini. Seseorang tidak boleh memfitnah, mengaibkan seorang lain, mengadu-domba dan menyibar berita yang boleh mencetuskan kemarahan antara kaum, mendedahkan maklumat negara dan lain-lain.

Semua yang memiliki blog perlu bertanggungjawab, dan tidak boleh menyatakan ia tidak tahu atau tidak diberitahu. Saya teringat akan suatu ungkapan undang-undang “ignorantia jurist non gratia” atau “non excusat” iaitu seseorang tidak boleh terlepas dengan menyatakan ia tidak tahu atau maklum akan sesuatu undang-undang.

Tulis dan berkaryalah tetapi dalam waktu yang sama kita perlu memikul tanggungjawab. Jika ada yang kita nyatakan bertentangan dengan mana-mana undang-undang maka kita perlu bersedia menjawabnya di mahkamah, bukankah beberapa kerat blogger telah pun dihadapkan ke mahkamah?

Bagaimana dengan yang “anonymous”, yang berselindung disebalik nama samaran, nama pena tanpa mahu mengenalkan identiti diri? Mereka ini juga perlu bertanggungjawab, tetapi bagaimana jika mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang? Bagaimana mahu mendakwa mereka? Mungkin dalam hal ini polis “cyber” perlulah memantau dan jika sah ianya demikian maka lakukanlah apa yang sewajarnya. Bukankah sebelum ini pun ada yang telah disita oleh polis “cyber” kita.

Lalu berbalik kepada kod etika “bloggers” tadi, bagi saya tak perlulah. Ianya tidak praktikal dan hanya akan memalukan Malaysia di mata dunia. Maaf tetapi kalau ada ahli politik tak kiralah dari kerajaan atau pembangkang yang setuju, ternyata mereka ketinggalan bas, dari terperangkap dalam malu dan mengaibkan diri sendiri, lebih baik diam.

Saturday, November 22, 2008

Fatwa “yoga” menunggu reaksi masyarakat

Seperti dijangkakan Majlis Fatwa Kebangsaan akhirnya menerbitkan fatwa mengharamkan amalan “yoga”. Yoga atau kononnya amalan senaman ini sebenarnya merupakan amalan agama Hindu. Kalau di “google” kan perkataan “yoga” kita akan memperolehi lebih 88,000 hasil pencarian, jelasnya “yoga” adalah merupakan disiplin tradisional bagi mengawal dan membentuk mental dan fizikal seseorang yang bersumberkan falsafah Hindu.

Menurut Majlis Fatwa amalan yoga yang merupakan kombinasi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan adalah bertentangan dengan Islam. Oleh itu demi memelihara aqidah umat Islam, mereka dinasihat meninggalkannya. Pengerus Majlis Prof Datuk Dr Abd Shukor Husin menambah walaupun amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan namun demi memelihara aqidah, umat Islam dinasihatkan tidak mengamalkannya.



Patung Shiva yang sedang
mengamalkan yoga
Saya pasti umat Islam yang prihatin, jika ada mengamalkan senaman ini akan segera meninggalkannya. Dan saya juga pasti akan ada mereka yang telah mengamalkannya dan selesa pula dengan amalan itu akan bertindak menolak fatwa itu. Lebih dari itu saya juga menjangkakan akan ada pula pihak yang akan mempertikaikannya.

Apa pun, ini fatwa yang dikeluarkan buat umat Islam dalam negara ini. Diharapkan jika pun bertelagah dan berbahas biarlah yang terlibat itu hanya dikalangan umat Islam sahaja dan bukan yang tidak berkenaan. Walaubagaimanapun yang terbaik adalah tinggalkan sahaja ia.

Friday, November 21, 2008

Industri arak tidak mendapat tempat di Negara Buddha

Di Malaysia industri arak mewah dan makmur. Ia bukan sekadar dikilang dan dijual, malah syarikat-syarikatnya diapungkan di bursa saham. Mereka mengaut untung besar dan antara syarikat korporat yang paling aktif dalam negara. Ini berlaku walaupun Malaysia dikatakan sebuah negara Islam. Demikianlah toleran dan baiknya budi orang Malaysia.

Thailand adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Mereka kuat berpegang teguh kepada agama dan kepercayaan mereka dan malah saya merasakan rakyat Thai adalah antara penganut agama Buddha yang kuat dan ini ketara dari istana sehinggalah ke rakyat biasa.

Arak yang diharamkan oleh Islam juga turut diharamkan oleh agama Buddha. Bezanya bagi rakyat Thai mereka bukan sekadar akur dengan hukum itu tetapi sanggup bangkit mempertahankannya. Baru-baru ini usaha untuk mengapungkan sebuah syarikat arak, Thai Beverage PLC (pembikin “beer chang” yang popular di negara berkenaan) di Stock Exchange of Thailand (SET) telah menerima tentangan dari rakyat Thai dan sebuah protes telah dianjurkan oleh sami-sami Buddha negara berkenaan.

Menurut laporan hasil dari tentangan berterusan dari komuniti Buddha itu akhirnya SET membuat keputusan menolak permohonan syarikat berkenaan.

Menurut “The Thai Buddhist Channel” sekiranya syarikat ini diapungkan bermakna rakyat Thai bersubahat mengizinkan syarikat yang menghasilkan produk haram ini membuat lebih keuntungan. Negara berkenaan menurut saluran berita Buddha itu tidask memerlukan syarikat seperti ini dalam pasaran saham Thai.

Untuk makluman tidak ada syarikat arak yang tersenarai di SET. Malaysia bagaimana?

Hormati dan fahami hak orang lain

Isu fatwa terhadap “pengkid” atau wanita yang berpakaian seperti lelaki dan mengamalkan hubungan sejenis nampaknya terus diapikan. Saya rasakan hampir semua pihak dari menteri sehinggalah pimpinan Islam, NGO dan lain-lain semuanya telah bersuara agar isu ini tidak disensasikan kerana ianya melibatkan umat Islam dan tidak ada kena-mengena dengan yang lain.

Tetapi tidak, ada juga yang merasakan bahawa walaupun mereka bukan Islam, walaupun mungkin fatwa ini tidak berkenaan mereka, namun mereka tetap punya hak. Mereka tetap boleh bersuara dan mengeluarkan pandangan berkenaannya.

(Layulah titah DYTM Raja Muda Perak baru-baru ini – “Dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung)

Seorang pemuka NGO dari Pusat Kesedaran Komuniti Selangor atau EMPOWER bernama Honey Tan Lay Ean menulis sebuah artikel berkenaan hal ini dan dimuatkan di Malaysiakini:

http://www.malaysiakini.com/letters/93447

Kata Tan mereka tidak bersetuju yang fatwa berkenaan hanya melibatkan wanita Muslim. Menurut beliau secara lebih meluas lagi apa sahaja isu yang menceroboh hak seseorang tidak kira samada Muslim atau tidak, lelaki atau wanita serta sebarang jenis amalan dan kehendak seksual seseorang semuanya merupakan kepentingan mereka. Dalam erti kata lain hak seseorang menentukan cara berpakiannya, cara bertutur dan bergaya serta cara mengamalkan seks semuanya merupakan “hak asasi manusia”. Dan hak ini adalah hak sejagat.

Nampaknya Tan cuba mengimpot satu kepercayaan dan budaya baru yang ternyata asing dan tidak “compatible” dengan amalan, pemikiran dan budaya kita di sini. Budaya kebebasan mutlak ini mungkin laku dan boleh dijaja dan diterima di Barat, walaubagaimanapun saya yakin ianya tidak dapat bertahan di sini. Malah di Barat pun ianya bukan merupakan amalan majority rakyat di sana.

Berbalik kepada hal fatwa di atas, ternayata Tan tidak faham dan sangat kurang ilmu berkenaan amalan orang Islam walaupun beliau seorang rakyat Malaysia. Memang kita tidak mengharapkan seorang Muslim untuk tahu dan faham sepenuhnya amalan dan kepercayaan Hindu atau seorang Kristian untuk tahu dan faham sepenuhnya ajaran dan amalan Islam, tetapi dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia sekurang-kurangnya kita tahu yang asas-asas, bukankah kita sama-sama telah berganding bahu duduk dalam negara ini secara aman sejak lebih beratus tahun?

Sejurus menerima Islam samada melalui warisan baka atau keturunan atau melalui penukaran agama, semua kami menggantungkan hak kami kepada Islam, meletakkan diri kami dengan rela di bawah urustadbir Islam sepenuhnya. Ini bukan masalah paksaan atau pilihan, ini ketetapan dan ikrar setiap Muslim sekurang-kurangnya lima kali sehari dan dilafazkan terus ke hadrat Allah swt di dalam solat kami (dan terkandung dalam kitab suci kami):

Say: "Truly, my prayer and my service of sacrifice, my life and my death, are (all) for Allah, the Cherisher of the Worlds; "No partner hath He: this am I commanded, and I am the first of those who bow to His Will."

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".

Al Anaam: 162-163

Oleh itu mungkin bagi yang bukan Islam mereka ada hak mutlak dalam semua perkara sebagaimana yang cuba dijual oleh Tan dan rakan-rakannya, akan tetapi bagi seorang Muslim segalanya tertakluk kepada Islam, agama dan cara hidup yang kami percayai dan terima dari hidup sampai kemati. Kami memang memperjuangkan hak kemanusiaan tetapi ia tertakluk kepada apa yang ditentukan dan diberikan garispanduan dalam hukum tertinggi kami iaitu al Quran dan As Sunnah.

Oleh itu perjuangkanlah apa sahaja yang mahu diperjuangkan tetapi dalam waktu yang sama faham dan hormati hak orang lain itulah sepatutnya garispanduan sebuah masyarakat sivil.

Thursday, November 20, 2008

Lupakan sahaja Shah Rukh kalau nak jadi Timbalan Presiden

“Shah Rukh Khant come” demikianlah tajuk muka tiga akhbar The Star hari ini. Menurut laporannya bintang Bollywood yang difikirkan layak menerima anugerah “Datuk” Melaka oleh Ketua Menteri Melaka itu tidak dapat hadir menerima anugerah tersebut pada tarikh yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu 29 November ini.

Alasannya beliau sibuk.

Sebelum ini penganugerahan bintang-bintang kebesaran negeri sempena ulangtahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka telah pun berlangsung tanpa kehadiran Shah Rukh walaupun beliau diseneraikan menerima gelaran tertinggi negeri itu juga atas alasan yang sama. Maka kelam-kabut dan bergelutlah kerajaan negeri menetapkan tarikh baru khas untuk mengalungkan gelaran kepada anak asing yang tidak pernah berjasa kepada negeri itu.

Dikhabarkan pihak TV juga akan menyiarkan secara langsung majlis untuk anak Bollywood itu nanti, dan kini tiba-tiba beliau tiada masa untuk Melaka kerana sibuk! Bagi saya ini suatu penghinaan kerana ternyata si Shah Rukh tidak ambil berat apalagi meletakkan Melaka sebagai satu keutamaan buat beliau. Saya tidak faham kenapa kita perlu meletakkan diri kita terlalu rendah seolah kebulurkan sangat kelibat beliau yang tidak langsung memperdulikan kita pun.

Kini sekali lagi kerajaan negeri mencari pula tarikh baru.

Kalau pun benar Ali Rustam mahu menang jawatan Timbalan Presiden Umno, tak perlulah mahu mencuri “glamour” melalui Shah Rukh. Malah saya meraskana puaka Shah Rukh ini nampak-nampaknya akan menghantui Ali Rustam dan berkemungkinan beliau nanti kecundang kerananya. Sekarang pun isu ini dijadikan bahan senda gurau oleh semua pihak termasuk kalangan Umno.

Jebat rebah kerana Taming Sari, Ali Rustam tersungkur angkara Shah Rukh!

Tiada kebebasan agama untuk umat Islam di Malaysia

Semasa membentangkan kertaskerjanya bertajuk “Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan” dalam Seminar Antarabangsa Mengenai Undang-undang Perbandingan 2008, bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faiza Tamby Chik menyebut:

Undang-undang sedia ada melarang seseorang Islam menukar agama selagi dia masih berketurunan Melayu seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 160(2), Perlembagaan Persekutuan.

Manakala dalam hal seseorang bukan Melayu pula apabila dia telah memeluk Islam dan tiba-tiba mahu meninggalkan agama tersebut, beliau perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri terlebih dahulu bagi memperolehi kebenaran.

Dalam erti kata lain konsep kebebasan agama yang dipopularkan oleh Barat dan para orientalis sesungguhnya tidak terpakai bagi umat Islam di negara ini.

Mungkin mereka yang tidak Islam memandang ini sebagai suatu bukti betapa tertutup dan radikalnya Islam terhadap para peganutnya, tetapi bagi sesiapa yang memilih untuk menjadi seorang Islam itulah tanggungjawab yang perlu diterimanya. Saya percaya kawalan yang sedia ada sebagaimana yang disebut oleh Datuk Faiza itu menunjukkan betapa para pembuat undang-undang kita menyedari bahawa Islam adalah suatu agama dan anutan hidup yang serius dsan memerlukan komitmen sepanjang hidup.

Siapa sahaja memeluk Islam perlu sedar dan disedarkan darihal prinsip ini. Jangan memeluk Islam semata-mata atas tuntutan nafsu, ingin kahwin, ingin kontrak, harta dan seumpamanya, apalagi mencuba-cuba. Kerana sebaik memilih Islam, sipemilih tadi telah dengans sendirinya berikrar akana teguh dan terus berada dalam agama ini sampai akhir hayat, sebarang perubahan akan mengakibatkan ia berpaling tadah terhadap Islam dan terdedah kepada hukuman.

Kerana itu kita mengharapkan pihak berkuasa agama dan badan-badan dakwah dan NGO yang berkenaan agar memberi pendidikan dan pemahaman yang sewajarnya terhadap mereka yang mahu memeluk Islam atas apa alasan sekalipun. Biar mereka sedar bahawa Islam bukan agama main-mainan, Islam adalah komitmen dunia-akhirat, jika mereka tidak sanggup atau was-was maka lebih baik mereka tidak memilih untuk menjadi Islam.

Dan begitu juga kepada orang-orang Melayu. Jangan kerana hambatan nafsu mereka tiba-tiba memilih mahu meninggalkan agama ini, kerana bagi mereka sebenarnya tiada pilihan. Datuk Faiza memetik penghakiman dalam kes Lina Joy (wanita Melayu yang memohon untuk murtad) yang menyatakan:

"Orang Melayu tetap seorang Islam hingga mati, ia tidak dibenarkan langsung meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan memohon perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,"

(Ini keputusan yang terpakai di Malaysia walaupun Perkara 18 Persiytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) memberikan hak kepada semua orang memilih agama yang ia kehendaki)

Dalam hal itu jugalah maka sewajarnya penganut atau mubaligh agama lain jangan sekali-kali menghampiri atau memujuk seorang Islam khasnya orang Melayu untuk meninggalkan dan menukar agamanya, kerana ia bukan sekadar akan mencetuskan konflik yang besar malah dilarang oleh perlembagaan dan undang-undang negeri-negeri.

Memang Malaysia mengamalkan kebebasan beragama, walaubagaimanapun kebebasan itu tiada bagi seorang Melayu atau Islam. Ini satu hakikat yang perlu diterima semua pihak dalam negara ini. Jangan lagi ada kekeliruan selepas inis ehingga mencetuskan ketegangan yang akhirnya akan merugikan semua pihak.

Wednesday, November 19, 2008

Terima kasihlah PLUS dan Elite

Berbagai reaksi diberikan berikutan pengumuman penggendali lebuhraya PLUS dan Elite semalam, bahawa mereka masing-masing akan memberikan diskaun kepada para pengguna lebuhraya mereka mulai 1 Januari tahun hadapan. Antara yang diumumkan adalah:

: caj tol di lebuhraya PLUS dan Elite akan dikurangkan sebanyak 10 peratus bagi pengguna yang menggunakannya antara tengahmalam sehingga jam 7 pagi

: pengguna yang berbelanja RM200 sebulan melalui sistem pembayaran elektronik (EPS) akan menerima rebat 5 peratus

: tambahan 10 peratus disakun juga bagi pengguna lebuhraya semasa perayaan Rahun Baru Cina, Hari raya, Deepavali dan Krismas di luar waktu sesak

Ada yang mengalu-alukannya dan tidak kurang yang mengkritik kononnya ia tidak praktikal, kerana melibatkan waktu yang janggal dan berbagai lagi.

Saya lebih mahu melihat ia dari sudut positifnya. Tambahan dalam keadaan kita serba-serbi gawat hari ini sudah pasti apa sahaja penjimatan yang ditawarkan seharusnya diterima dengan tangan terbuka. Isunya jika pun ada, mengapa penggendali lebuhraya yang lain umpama KESAS, LDP, SILK dan lain-lain tidak turut membuat tawaran. Ada yang memberi alasan kononnya mereka masih menaggung rugi dan trafik belum memuaskan.

Benarkah LDP begitu, sedangkan ia antara yang paling sesak di Lembah Kelang??!!

Saya rasa masing-masing PLUS dan Elite prihatin terhadap kegawatan ekonomi yang dihadapi rakyat dan menghulurkan tanggungjawab sosial mereka dengan menawarkan diskaun ini. Memang ia mungkin dilihat kecil dan pada waktu-waktu yang janggal, sekurang-kurangnya mereka berani membuat tawaran, dari tiada lebih baik ada walaupun sedikit.

Presiden FOMCA contohnya memandang bahawa langkah PLUS itu secara tidak langsung mampu mengimbangi bebanan ekonomi yang dihadapi rakyat manakala Persatuan Penasihat Pengguna-pengguna Malaysia (PPPPM) menganggap usaha PLUS dan Elite ini tepat pada masanya sejajar dengan penurunan harga minyak.

Yang pentingnya sekarang ini semua pihak bukan hanya pengendali lebuhraya, seharusnya menunjukkan keprihatinan masing-masing dan bersama menanggung derita rakyat diwaktu susah. Bagaimana contohnya dengan pihak bank dan institusi kewangan, tiadakah cadangan meringankan beban rakyat khususnya para peminjam, bagaimana pula contohnya indiustri insuran dan takaful yang meraih untung besar dari premium yang dikenakan ke atas pemegangnya. Semua pihak perlu membantu, semua pihak perlu bertimbang rasa.

Terima kasihlah PLUS dan Elite semoga ramai lagi yang akan mencontohi jejak langkah anda.

Surat terbuka kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor

YAB Tan Sri,

Semoga Tan Sri dan keluarga berada dalam keadaan sihat dan sentiasa berada di dalam pimpinan dan rahmat Allah swt.

Saya ingin menarik perhatian Tan Sri kepada isu “Istana” Allahyarham Dato’ Zakaria Md Deros. Saya percaya Tan Sri masih ingat betapa kita telah bersama dengan rakan-rakan lain dari PKR, PAS dan DAP berhimpun di Majlis Perbandaran Kelang serta menyerahkan memorandum kepada Istana menyatakan bantahan kita terhadap pembinaan “Istana” ini ketika Dr Khir Toyo masih MB Selangor dahulu.






Ketika itu himpunan aman kita hampir mahu diganggu pihak polis apabila Tan Sri menyerahkan pembesar suara kepada Dato’ Dr Hasan Ali. Mujurlah kepantasan Tan Sri bertindak ketika itu telah mengelakkan suasana dari menjadi lebih tegang. Pihak polis enggan memberikan kebenaran kepada Dr Hasan berucap tetapi Tan Sri “insist” yang Dr Hasan akanb membaca doa. Akhirnya dalam doa beliau Dr Hasan telah berjaya menyampaikan mesej yang turut diaminkan semua pihak termasuk polis.

Segala-galanya telah berlalu. Tan Sri dan Dr Hasan kini ditakdirkan Allah swt bersama memimpin negeri ini dengan Tan Sri selaku MB dan Dr Khir pula kini ketua pembangkang. Manakala Dato Zek pula telah mendahalui kita bertemu Allah swt.

Tan Sri sendiri baru-baru ini telah menerangkan bahawa isu “Istana” ini telah selesai apabila Allahyarham dan kemudian keluarganya telah memetauhi syarat-syarat PBT dan kerajaan negeri yang sebelum ini mereka ingkari dan tidak beri perhatian. Kini tinggal isu kawasan halaman “Istana” nya di Kampung Idaman, Pandamaran seluas 2,269 kaki persegi yang dikatakan berada atas tanah milik kerajaan.

Kawasan itu dipagari oleh Allahyarham dan ditanam pula dengan pokok buah-buahan. Menurut anak Allahyarham tiada binaan kekal yang dibuat di atas tanah berkenaan dan kini keluarga mereka merayu agar mereka diberikan TOL (Lesen Pendudukan Sementara) untuk terus mengekalkan halaman berkenaan.

Anak Allahyarham dalam laporan akhbar hari ini berkata:

“Saya memohon maaf kerana menanam pokok berkenaan sebelum mendapat kelulusan TOL. Kami tidak berniat untuk melanggar mana-mana undang-undang nselain berharap kerajaan negeri menimbang semua permohonan sebelum ini”

Atas dasar perikemanusiaan dan mengambil kira jasa Allahyarham yang sebelum ini pernah menjadi ADUN Selangor, walaupun tidak sehaluan dengan kita, walaupun pernah zalim terhadap kita (termasuk menampar YB Teng di Dewan) saya yakin Tan Sri tidak akan keberatan untuk menimbang dan meluluskan permohonan keluarga Allahyraham ini walaupun mereka tidak sefahaman (politik) dengan kita.
Tunjukkanlah Tan Sri bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat ini bukan kerajaan yang berdendam apalagi zalim dan tidak mengenang jasa. Kita tegas dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan namun dalam waktu yang sama kita bertimbang rasa dan sentiasa terbuka dan bersedia memaaf dan melupakan yang lepas-lepas.

Tan Sri akan muncul sebagai MB Selangor yang “magnanimous”, yang besar jiwa dan membela semua pihak tanpa mengira fahaman politik kepartian.

Biar rakyat melihat dan dapat mengesan beza antara kita dan kerajaan negeri BN dahulu. Walaupun kita pernah diperlakukan semasa berhimpun di MPK dahulu tetapi kerana kini kita kerajaan, kita buktikan yang kita tidak seperti mereka.

Khir Toyo telah mencabar Tan Sri dan kerajaan negeri agar bertindak terhadap “Istana” ini. Biarkan Khir Toyo begitu, kerana beliau bukan seperti kita.

Mengenali hati budi Tan Sri dari dekat saya yakin dan percaya Tan Sri tidak akan keberatan mengambil kira rayuan keluarga Allahyraham ini. Mudah-mudahan Tan Sri dan seluruh pimpinan Pakatan Rakyat Selangor terus dihormati dan dipandang tinggi oleh rakyat, dan mudah-mudahan pihak BN sedar akan kesilapan dan kelemahan mereka selama ini.

Terima kasih Tan Sri dan selamat maju jaya.

Tuesday, November 18, 2008

Noh ketandusan idea?!

Pemandu teksi boleh jual minuman dan kad “prepaid” untuk menambahkan pendapatan. Itulah idea “bijak” Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar. Bayangkan sambil kita dipandu dalam teksi, kita boleh “order” minuman untuk membasahi tekak. Bagaimana agaknya pemandu tadi mahu melayan kita dan dalam waktu yang sama memberi tumpuna kepada tugas utamanya sebagai pemandu? Dan dalam pada itu kalau anda menggunakan “handphone” “prepaid”, kiranya kredit kehabisan boleh beli dari pemandu tadi.

Ideanya sahaja nampak kelakar apalagi sebagai sumber pendapatan tambahan buat pemandu teksi.

Kita bukan naik pesawat Airasia untuk membeli minuman dan barangan lain, yang kita naik adalah teksi, maaf tetapi saya merasakan idea menteri ini sangat dangkal dan tidak masuk akal.

Jika pendapatan pemandu teksi masalahnya, maka terbitlah dengan cadangan dan langkah-langkah yang lebih praktikal dan berkaitan dengan aktiviti pekerjaan pemandu teksi bukannya menambah sesuatu yang tiada kaitan dengan bidang tugasnya. Takkanlah ini sahaja idea yang mampu terfikir oleh Noh? Saya yakin jika diminta pandangan dari kawan-kawan kita yang memandu teksi, pasti idea mereka lebih geliga dari idea menteri ini.

Monday, November 17, 2008

Anak bangsa dipasung di Gitmo

Guantanamo Bay di Cuba adalah simbol kedurjanaan jaguh demokrasi dunia iaitu Amerika Syarikat. Di pengkalan tentera laut mereka ini terdapat Kem Tahanan yang menempatkan apa yang digelar sebagai “enemy combatants”, kononnya musuh-musuh Amerika yang terlibat dalam peperangan untuk menyerang kepentingan Amerika.

Mereka ditahan tanpa bicara dari merata pelusuk dunia bermula dari Afghanistan, Pakistan, Timur Tengah dan lain-lain. Di sana mereka diperlakukan bagai binatang, anehnya dunia seolah menutup bukan sebelah tetapi kedua-dua belah mata terhadap apa yang berlaku dalamm kem puaka ini.

Pada satu waktu Amerika Syarikat menyombong diri sebagai jaguh demokrasi dunia yang sepatutunya turut membela dan mempertahankan hak asasi manusia, tetapi dalam waktu yang sama mereka tanpa peduli mengizinkan kewujudan kem ini. Memang ia tiada beza dengan Kem Kamunting kita yang menyumbat mangsanya melalui undang-undang zalim ISA, tetapi sekurang-kurangnya kita di sini akur dan tahu yang demokrasi kita pincang dan tempang, lalu apalah mahu diharap pada hak asasi manusia. Tetapi Amerika kan jaguh, melahirkan JFK dan kini Obama!



Saya terperanjat apabila mendapat tahu yang kem puaka Gitmo ini turut memasung dua anak Malaysia iaitu Mohd Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep. Mereka ini dituduh merupakan rekrut pemimpin JI Hambali, bagi menjadi penyerang berani mati yang akan mensasarkan bandaraya Los Angeles di Amerika Syarikat.

Kata Menteri Luar Rais Yatim:

“Mereka tidak didakwa atas sebarang tuduhan dan ini lebih teruk daripada ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri),”

Pokoknya kedua-duanya teruk iaitu Gitmo dan ISA. Kezaliman Gitmo tidak menghalalkan kecelakaan ISA, jangan pula si menteri kita pandai-pandai. Isunya sekarang apakah usaha kerajaan Malaysia untuk membawa balik kedua-dua anak bangsa ini?

Jangan pandai melolong dari jauh, ambillah usaha serius untuk membawa mereka pulang. Dan apabila pulang jangan lagi mereka ini ditahan tanpa bicara, jika tidak kita pun celaka bagai mereka, dakwa sahaja di mahkamah terbuka atau kalau ketiadaan bukit bebaskan emreka. Kemudian kaji juga rakyat kita yang merengokok di Kamunting angkara kerajaan yang ada.

Memang Amerika zalim dan tiada peri kemanusiaan lantaran mengekalkan Gitmo, tetapi apa kurangnya kita?

Konvensyen Tarbiyah PAS Selangor

Sudah lama tidak berpeluang berkumpul dan berjumpa rakan-rakan seperjuangan dari Selangor. Ahad lepas sempena Konvensyen Tarbiyah Negeri, berpeluang juga bersapa dengan mereka yang sejauh Sabak Bernam, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sepang dan lain-lain.

Sesungguhnya himpunan sesama ahli jemaah berbeza dengan himpunan atau perjumpaan lain termasuklah sesama sanak-saudara sendiri. Ikatan ukhuwah sesama jemaah seperjuangan sebenarnya lebih erat dan hangat berbanding ikatan kekeluargaan.

Konvesnyen itu telah diserikan dengan kehadiran Dato Seri Tuan Guru Presiden dan Timbalan Presiden yang masing-masing membentangkan kertas kerja berhubung tarbiyah dengan ucapan penutup disampaikan oleh Dato’ Pesuruhjaya Selangor. Dewan Dato Fadzil Nor di Taman Melewar sarat dipenuhi dengan pimpinan pelbagai peringkat dari seluruh Selangor.

Bezanya kali ini kita berhimpun dalam keadaan memerintah Selangor melalui Pakatan Rakyat. Walaupun pimpinan dan penggeraknya orang yang sama, namun masing-masing kini dengan tugas, tanggungjawab dan amanah baru. Dari ahli parlimen, ADUN dan EXCO sehinggalah ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli JKKK.

Berbeza sungguh apabila orang-orang PAS memegang jawatan dan kedudukan. Apabila berhimpun dan berkumpul tiadalah yang mereka bual dan ceritakan melainkan mengenai tugas dan amanah masing-masing. Kesusahan, kepayahan, bagaimana mahu memastikan hala tuju perjuangan dapat dipikul dan diterapkan melalui kedudukan yang ada, itulah yang dikisahkan. Mungkin sedikit aneh, kerana lazimnya bagi yang lain-lain masing-masing akan bertepuk-tampar, membanding-bandingkan peluang, projek, kemewahan dan apa sahaja yang lumayan. Tetapi oang-orang PAS tidak (mungkin ada juga tetapi kecil sangatlah bilangannya).

Berhimpunlah orang-orang yang ikhlas, yang berjuang bukan kerana upah dan nama tetapi berjuang kerana mahu menjunjung amanah Allah dan Rasul Nya saw. Bukannya mereka tidak ambil elaun, gaji dan imbuhan yang datang dengan amanah baru itu, mereka ambil juga (berlainan dengan Ketua Pembangkan DUN Pulau Pinang) tetapi yang lebih mereka pentingkan adalah untuk melaksanakan dasar dan prinsip perjuangan.

Itulah bezanya apabila kita mengangkat orang yang sanggup mati kerana agama, berbanding dengan mereka yang sanggup bermati-matian untuk harta dan kedudukan.

Dalam konvensyen berkenaan selain berpeluang merapatkan ukhuwah, masing-masing tekun menadah ilmu dan bimbingan dari pucuk pimpinan. Saya melihat wajah-wajah yang serius mengikuti arahan dan panduan yang diberikan oleh pimpinan tertinggi parti. Mereka masing-masing sedar dan insaf sebagaimana yang dinyatakan Tuan Guru Presiden: “Wawasan kita wawasan dunia dan akhirat”, oleh itu perjuangan jauh dan perlu dilalui dengan penuh tekun dan disiplin.

Mari kita terus istiqomah dalam perjuangan ini. Mudah-mudahan Allah swt mengurnikana kita kekuatan untuk terus menempa kejayaan di masa depan. Sama-samalah kita menjalankan amanah dan tanggungjawab baru ini dengan sebaik mungkin berdasarkan acuan kita.

Pagi Sabtu yang mencemaskan

Pagi Sabtu saya dikejutkan dengan panggilan dan SMS bertalu-talu dari adik-beradik saya. Ayahanda tercinta terpaksa dikejarkan ke hospital kerana muntah-muntah dan pening-pening kepala. Beliau pernah menjalani prosedur “angioplasty” di IJN bagi melancarkan perjalanan darahnya. Sudah pastilah kebimbangan kami sekeluarga begitu tinggi sekali, takut-takut jika apa yang dialaminya merupakan tanda-tanda awal serangan jantung. Beliau yang walaupun mencecah usia 78 tahun namun masih sihat tubuh-badan.

Kakak saya mengejarkan beliau ke IJN dan kami adik-beradik dari rumah masing-masing bekejar ke sana. Ibu saya pagi ini berada di Sunway Medical Centre bagi menjalani rutin dialisisnya.

Saya dan isteri bekejar dari Subang Jaya dan sepanjang perjalanan ke sana tidak berkata apa-apa. Syukurlah kerana hari ini hujung minggu maka tidaklah banyak kenderaan di jalanraya. Sepanjang perjalanan berbagai-bagai bayangan tergambar di kepala saya, kenangan bersama ayah tercinta yang memang sangat memanjakan saya, maklumlah anak bongsu. Saya cuma terdaya berdoa agar beliau selamat dan mohon dari Allah swt jika beliau dalam kesakitan biarlah saya yang menanggungnya.

Memang tiada anak yang akan mengatakan ayahnya tidak baik. Tetapi ayah saya memang seorang insan yang baik disamping bapa yang baik dan berjaya membesarkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna menurut caranya yang tersendiri. Beliau sentiasa disenangi orang dan sepanjang kariernya dalam pasukan polis, memang beliau disenangi ramai. Beliau cemerlang saya yakin hasil dari minat dan tumpuan sepenuh hati terhadap kariernya itu. Dan malah setelah bersara pun sehingga hari ini bekas-bekas pegawai polis dan mereka yang berkhidmat yang pernah sewaktu dengan beliau masih menghormati beliau.

Saya teringat semasa kecil-kecil dahulu, ketika beliau berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan (OCCI) di Kota Bharu, pernah satu ketika kami sekeluarga bersiap-siap mahu berkelah di tepi pantai. Masing-masing telah masuk ke kereta menunggu beliau, tiba-tiba telefon di rumah berdering. Panggilan dari Ibupejabat Polis, beliau terpaksa bergegas ke balai kerana ada kes jenayah. Kami adik-beradik dipaksa mak keluar kereta kerana beliau terpaksa ke balai. Saya yang tidak faham apa-apa sekadar meraung menangis. (Di Kota Bharulah beliau menjadi Ketua Pegawai Penyiasat kes bunuh ahli parlimen PAS Allahyarham Samad Gul)

Pernah juga semasa beliau berkhidmat di Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Tatatertib dan Kenaikan Pangkat, saya terjaga ditengah malam. Saya sangkakan sudah awal pagi dan memang perangai saya mahu menjadi yang pertama bangun dan bersiap ke sekolah, nak lawan adik-beradik yang lain. Saya lihat lampu diruang tamu rumah menyala, saya sangkakan pembantu rumah bersiap-siap, lalu saya tuju ke sana. Rupa-rupanya waktu itu bukannya telah pagi tetapi tengah malam dan ayah saya yang berada di sana sedang tekun dengan fail-fail yang dibawa pulang dari pejabat, bekerja tengah malam di rumah!

Begitulah juga ketika beliau Pesuruhjaya Polis Sabah (Ketua Polis Negeri Sabah) beliau bukan sekadar tekun bekerja malah terlibat dalam menghidupkan masjid polis di sana. Program-program agama dipertingkatkan. Disitulah saya berpeluang mengenali Ustaz Ahmad Awang dan Dato Dr Harun Din, yang sering ke Kota Kinabalu atas jemputan ayah saya. Malah di Kota Kinabalu jugalah rumah kami dikunjungi oleh Almarhum Pak Hamka yang ketika itu dalam lawatan ke Sabah.

Begitulah juga beliau ketika menyandang jawatan ketiga paling kanan dalam Pasukan Polis iaitu sebagai Pengarah Pengurusan di Bukit Aman berpangkat Komisioner Polis sehingga bersara pada tahun 1985.

Sampai sahaja di IJN pagi tadi saya dapati abang dan kakak saya sudah berada di sana. Setelah menjalani pemeriksaan alhmadulillah doktor mendapati tiada yang serius dan tiada yang melibatkan jantung beliau. Kira-kira jam 12 tengahari beliau dibenarkan pulang. Betapa gembiranya hati kami sekeluarga, Allah swt telah mengkabulkan doa kami sekeluarga.

Sesungguhnya pada saat-saat cemas beginilah kita sebagai anak, mula mengenang dan menghargai jasa ayah. Betapa besarnya pengorbanan mereka pada kita. Segala kasih sayang dan belai manja yang dicurahkan pasti tidak tertebus di dunia ini. Allah selamatkanlah ayah saya dan ayah sahabat-sahabat dan seluruh kenalan saya yang lain, kiranya mereka telah pulang ke rahmat Mu, maka cucurilah nikamt Mu ke atas mereka, insan yang paling banyak berjasa kepada kami selain ibu.

(artikel ini sepatutnya terbit Sabtu lepas tetapi kerana celcom 3G saya meragam baru pagi ni berkesempatan buat update)

Friday, November 14, 2008

“Rule by majority” di Kedah

Kalau sentuh nanti ada orang kata kita anti Pakatan kalau tak sentuh nanti kita dilihat pengecut dan buta isu. Isu ini khabarnya telah dibincang sehingga keperingkat tertinggi Pakatan Rakyat. Isunya adalah berkenaan kuota perumahan 50% untuk golongan Bumiputera yang diumumkan kerajaan negeri Kedah pimpinan Ustaz Dato’ Seri Azizan Abd Razak (yang pernah diulas dalam blog ini)

DAP membantah keras keputusan MB Kedah itu dan ADUN tunggalnya di negeri berkenaan, Lee Guan Aik khabarnya mengancam untuk keluar dari kerajaan Pakatan Kedah dan duduk di kerusi pembangkang jika MB enggan menarik balik keputusannya itu. Anehnya yang kuat menyokong tuntutan ADUN DAP itu adalah MCA Kedah. Setiausaha MCA Kedah Chong Itt Chew dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan menyokong tuntutan DAP itu dan malah mencadangkan agar tekanan dikenakan terhadap MB Kedah. Kata beliau:

MCA dari awal lagi menentang kuota baru itu yang diguna pakai untuk semua projek perumahan baru yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bulan lepas. MCA Kedah berharap penasihat DAP, Lim Kit Siang membangkitkan dasar baru itu di Parlimen.

(Sejak bila pula MCA perlukan bantuan Kit Siang di Parlimen, tidakkah MCA juga ada wakil disana?)

Sementara itu ADUN MCA Gurun, Dr Leong Yong Kong turut memberikan sokongan terhadap tindakan ADUN DAP itu.

Saya tidak tahu bagaimana isu ini mahu diselesaikan tetapi rasional dan justifikasi kerajaan negeri Kedah perlu diberi pertimbangan dan perhatian semua pihak terlebih dahulu sebelum melompat megambil tindakan. Kerajaan negeri Kedah berhak mengambil keputusan dan tindakan apa sahaja yang baik untuk rakyat di negerinya.

Mungkin kita perlu raikan perbezaan pandangan. Mungkin kita boleh memberikan kebebasan kepada mana-mana parti dalam Pakatan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap satu-satu isu. Tetapi syaratnya semua perlu matang dan bertanggungjawab.

Bagi saya MB selaku ketua pegawai eksekutif di negeri serta rakan-rakan EXCO nya perlu diberi ruang dan kebebasan untuk memikir dan melaksanakan dasar dan polisi yang terbaik buat rakyat. Jika Pakatan ditubuhkan atas dasar konsensus dan saling faham-memahami sepatutnya tidak perlulah sampai keperingkat mahu bertindak keluar Pakatan sedangkan kita hanya ada satu suara, dimana prinsip perintah melalui demokrasi/majoriti?

Saya yakin MB Kedah akan mampu memberikan hujah beliau dan seterusnya meyakinkan semua pihak bahawa dasar ini sebenarnya adalah untuk emmelihara kepentingan rakyat negeri Kedah.

Thursday, November 13, 2008

Tarbiyah dan peranannya dalam perjuangan
(Ini merupakan artikel terbaru saya dalam ruangan “Menongkah Arus” Harakahdaily)

PAS adalah satu-satunya parti dalam negara ini yang memperuntukkan aspek tarbiyah atau pendidikan sebagai satu disiplin penting dalam perjuangannya.

Hala tuju pentarbiyahan PAS berteraskan menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah SWT dengan menyokong dan mengangkat kalimat-kalimat perintah-Nya beragendakan "penyeruan ke arah yang makruf dan pencegahan kemungkaran". Prinsip pentarbiyahan PAS bersandarkan al-Quran dan Sunnah.

Lalu dalam PAS, aspek pentarbiyahan ini bukan hanya diwajibkan malah diuruskan secara berjemaah oleh para ulamak yang menjadi teraju qiyadah sehingga wajib dituruti dan dipatuhi oleh para jundiyyah selaku ahli-ahli yang berdisiplin, kerana itu kekuatan parti akan hanya terserlah kiranya aspek pentarbiyahan ini ditekan, dilaksana dan ilmunya dipraktikkan dalam perjuangan.

Hanya PAS sahaja selaku gerakan Islam, memperuntukkan di dalam perlembagaannya penekanan pada aspek pendidikan ini apabila fasal 14(2)(d) perlembagaan parti menyebut bahawa ahli-ahli PAS wajib:

"Memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum Islam".

Perkara tarbiyah ini akan diulang, disebut-sebut dan diperingatkan dalam setiap situasi dengan harapan agar ahli-ahli dan pimpinan PAS tidak akan lari atau tergelinciri daripada prinsip dan dasar perjuangan parti.

Almarhum Prof Zulkifli Muhammad semasa berucap di hadapan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan sejurus kemenangan PAS pada pilihan raya 1964, (dua hari kemudian beliau terkorban dalam kemalangan jalanraya) berkata:

"Jadikanlah satu kewajipan tuan-tuan mulai dari hari ini mengkaji pengajaran Islam supaya tuan-tuan memikul kewajipan tuan-tuan sebagai orang yang tahu apa yang diajarkan oleh Islam. Jangan ada seorang pun yang takbur, yang merasa dirinya sudah pandai, bahawa dirinya sudah tahu apa pengajaran Islam. Bahawa dirinya tidak perlu diajar oleh sesiapa kerana dia sudah menjadi wakil rakyat."

Demikianlah sepatutnya teguh dan kemasnya ikatan ahli-ahli PAS dalam perkara ini.
Kerana itu dalam muktamar PAS yang lalu apabila Dato' Seri Tuan Guru Presiden menyentuh dalam ucapan penggulungannya, bahawa ahli-ahli PAS perlu membina parti menjadi parti yang perkasa dan membina diri masing-masing agar menjadi ahli yang perkasa sebagaimana yang ditunjukkan oleh Islam, maka beliau sesungguhnya merujuk dan menekankan kepada aspek tarbiyah. Kerana wasilah utama bagi mencapai penyusunan tanzim yang kukuh hanyalah melalui tarbiyah harakiyah Islamiyah.

Menyedari akan pentingnya kerja menyemarakkan kembali asas kekuatan PAS ini, maka Dato' Seri Tuan Guru Presiden dan Timbalannya yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat, kini dalam rangka menjelajah seluruh negara bagi menjayakan Konvesnyen Tarbiyah peringkat negeri yang dimulakan di Pahang baru-baru ini.

Konvensyen ini adalah peluang yang terbaik buat ahli-ahli PAS untuk duduk berbincang bersama pimpinan tertinggi di samping memahamkan diri akan isu-isu semasa dan sikap serta pendirian pimpinan.

PAS kini melangkah melampaui usia setengah abad yang sudah pasti semakin mematangkan ahli-ahlinya dalam bertindak dan berfikir.

Kita bergerak dalam waqi' yang sungguh mencabar dan berubah-ubah dengan begitu pantas. Atas kesedaran itulah maka akan hanyut dan barangkali lemas sesiapa sahaja yang tidak cermat dan memilih untuk memutuskan dirinya dari jemaah walaupun sekejap atau atas apa alasan sekalipun.

PAS kini dalam zon selesa hasil pencapaian besarnya dalam PRU ke-12 baru-baru ini. Disaat sebeginilah aspek tarbiyah ini sangat penting dan perlu buat kita agar kita terus konsisten dalam perjuangan walaupun dalam keadaan mewah ini.

Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa semasa berucap di konvensyen tarbiyah peringkat negeri Pahang baru-baru ini berkata:

"Keadaan ini menuntut PAS untuk menyediakan asas tarbiyyah yang kukuh kepada ahli dan pimpinannya. Sesungguhnya tanpa berpandukan ilmu dan tarbiyah yang ampuh lagi mantap, anggota dan pimpinan PAS tidak dapat memacu dan menggerakkan PAS lebih jauh lagi untuk menghadapi mehnah (ujian) dan fitnah yang semakin mencabar.

Penglibatan serius kita di medan poltik terbuka tidak menjadi alasan untuk kita abaikan tarbiyah. Kesibukan berpolitik bukanlah sebab untuk kita tidak menghadiri usrah di Cawangan, Kawasan, Negeri dan Pusat.

Kesibukan memegang portfolio sebagai Ahli Parlimen (MP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bukanlah lesen bahawa tarbiyah sudah tidak perlu lagi. Malah sebagai MP dan Adunlah, jamaah perlu pertingkatkan tarbiyah mereka supaya memahami dan mematuhi arahan pimpinan parti!"

Atas semangat yang samalah maka sesuai sangat kita mengingatkan diri kita akan apa yang pernah diwasiatkan oleh Almarhum Prof Zulkifli Muhammad (dalam majlis yang dipetik di atas) ketika beliau menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dan ahli parlimen Bachok:

"Rapatkanlah diri saudara-saudara kepada Quran yang diturunkan oleh Tuhan dan rapatkanlah diri saudara-saudara kepada hadis yang diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Jangan ada orang yang sombong, aku sudah tahu, jangan ada orang yang mengata, aku sudah luput. Kalau kita sudah luput dari mempelajari Islam, berhentilah dia dari menjadi ketua orang-orang Islam. Duduklah dia di rumahnya supaya jangan dituduh orang memakai warna-warna Islam, tetapi tidak ada mempunyai isi Islam. Biarlah kita menghadapi Tuhan kita dengan hati yang suci. Dengan mengatakan aku sentiasa berjuang untuk Engkau, dan aku lengkapkan diriku untuk demikian".

Semoga sistem tarbiyah yang kita warisi zaman berzaman ini akan terus mengukuhkan dan mengentalkan perjuangan ini sehingga mampu kita melonjakkan ia demi menjulang cita-cita Islam yang suci. Selamat berkonvensyen.

Calon Timbalan Presiden Umno punya rekod buruk, siapa?

Tumpuan para pemerhati politik tempatan kebelakangan ini sudah pastilah terhadap kempen pemilihan pucuk pimpinan Umno. Hampir kesemua media tempatan memberikan liputan dan ruangan kepada apa yang berlaku terhadap parti berkenaan. Ini kerana akan berlaku peralihan kuasa dalam Umno menjelang perhimpunan mereka Mac depan dan ia melibatkan jawatan tertinggi negara.

Setakat ini jawatan Presiden dimenangi tanpa bertanding oleh TPM Najib Tun Razak manakala jawatan Timbalan Presiden (yang biasanya membawa bersamanya jawatan TPM) akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara Muhyuddin Yassin, Ali Rustam dan Muhammad Taib, setelah ketiga-tiganya memperolehi cukup pencalonan untuk layak bertanding.

Sesungguhnya apa yang berlaku terhadap Umno ini adalah masalah rumah tangga mereka. Jangan jaga tepi kain orang, jaga tepi kain sendiri, akan tetapi oleh kerana Umno menerajui pimpinan negara peringkat tertinggi maka suka tidak suka semua kita terbabit bersama samada secara langsung ataupun tidak.

Bila suami-isteri bergaduh, yang banyak terlibat dan terdedah pada masalah dalam kelambu sudah pastilah kaum keluarga mereka. Kalau orang luar yang berhujah, mungkin separuh benar atau reka-rekaan semata-mata, tetapi apabila kaum keluarga sendiri yang membocorkan, biasanya ia diterima bulat-bulat.



Semalam bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir membuat ulasan tentang pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno. Beliau mempertikaikan bagaimana salah seorang calon yang menurut beliau memiliki “very bad history” (sejarah yang sangat buruk) boleh layak bertanding. Pasti katanya terdapat kerja-kerja kotor sehingga orang berkenaan yang walaupun mempunyai rekod buruk dapat meluncur laju dari belakang mengumpul pencalonan sehingga akhirnya layak bertanding.

Siapakah calon Timbalan Presiden Umno yang memiliki sejarah yang sangat buruk itu?

Muhyuddin Yassin? Saya yakin Tun tidak memkasudkan beliau kerana Tun telah mengeluarkan kenyataan bahawa Muhyuddinlah yang paling layak untuk jawatan itu. Jadi tinggal dua iaitu antara Ali Rustam dan Mat Taib, yang mana satu?

Ali Rustam saya tidak berapa tahu sejarahnya, dan beliau pun tidak pernah menonjol dari sudut skandal (walaupun ini tidak bermakna beliau bersih). Tetapi Mat Taib memang berjela-jela sejarahnya. Kalau Selangor dahulu tiada jawatan Timbalan MB tetapi semasa Mat Taib menjadi MB Selangor, Almarhum Tuanku Sultan telah menitahkan agar diwujudkan jawatan TMB kerana Tuanku tidak mahu berurusan dengan MBnya!

Seluruh Selangor malah saya yakin seluruh Malaya tahu akan skandal Mat Taib yang terbit dan hangat ketika itu. Mat Taib juga memegang rekod tertangkap dengan berkilo-kilo wang tunai di dalam bag galasnya ketika di Australia, walaupun beliau kemudian dibebaskan mahkamah atas sebab-sebab teknikal namun hakikatnya duit dalam bag galasnya yang berta berkilo-kilo itu tetap miliknya.

Mungkin Tun tidak maksudkan Mat Taib, mungkin kawin lari dengan anak Raja dan bolos dengan berkilo-kilo wang tunai tu belum buruk lagi, kerana mungkin ada yang lebih buruk dari itu, hanya Tun yang tahu.

Hakikatnya dengan terjahan Tun ini sukar untuk rakyat Malaysia tidak ambil pusing darihal rumah tangga Umno yang bergolak itu. Semoga kita diselamatkan dari semua jenis pemimpin yang bergelumang dengan sejarah buruk termasuklah Tun jika beliau juga demikian.

(Tetapi calon Timbalan Presiden MCA walaupun ada rekod buruk menang juga!?!)

Wednesday, November 12, 2008

Bolehkah selain Melayu jadi PM Malaysia?

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed tidak mahu ketinggalan dalam turut mengulas isu bukan Melayu menjadi PM. Isu ini dipopularkan setelah kejayaan Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 baru-baru ini. Obama akan menjadi Presiden kulit hitam iaitu dari golongan minoriti yang pertama di negara yang didominasi oleh warga kulit putih itu.

Sebelum ini saya membuat posting betapa PM Singapura Lee Hsien Loong menyatakan Singapura belum bersedia menerima bukan Cina sebagai PM negara tersebut.

Jadi adakah Malaysia bersedia menerima bukan Melayu sebagai PM nya?

Kata Tun:

"Everyone could be Malaysia's prime minister as long as he is of "Bangsa Malaysia" (or Malaysian race) and acceptable to all Malaysians, regardless whether he is a Malay or non-Malay."

Siapa sahaja boleh menjadi PM Malaysia asalkan beliau seorang "Bangsa dan diterima oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira samada beliau Melayu atau bukan Melayu.

Mungkin ramai yang memberi perhatian dan menaruh minat terhadap kenyataan Tun ini walaupun hakikatnya realiti politik menunjukkan ianya juga seperti di Singapura iaitu sesuatu yang mungkin tetapi akan mengambil masa yang panjang. Anehnya bila pimpinan PAS mengeluarkan kenyataan berkenaan isu ini, tiada siapa yang beri perhatian, malah PAS sudah berkata berkenaannya sejak sekian lama.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz yang juga MB Kelantan umpamanya pernah membayangkan seorang bukan Melayu sebagai MB Kelantan dari PAS. Malah PAS bukan hanya membayangkan tetapi kini sudah pun berbangga dengan 2 orang bukan Melayu sebagai wakilnya, seorang sebagai EXCO kerajaan negeri Kelantan (YB Dato Annuar Tan yang juga AJK PAS Pusat) dan seorang lagi sebagai ADUN di Perak (YB Drs Khalil Idham Lim - ADUN PAS Titi Serong).

Kesimpulannya memang berbeza dengan Singapura sebahagian rakyat Malaysia sudah pun bersedia menerima siapa sahaja menjadi PM Malaysia termasuklah PAS yang acapkali dicap sebagai parti "racist" dan ekstrimis itu.

Allah swt berfirman dalam surah al Hujuraat ayat ke 13:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Mewahnya dan makmurnya profesion GRO di Malaysia

Ketua Polis Perak menggesa agar kerajaan negeri dan PBT membatalkan lesen-lesen premis pengusaha pusat-pusat hiburan yang menggunakan wanita asing sebagai GRO atau pegawai perhubungan pelanggan. Kata beliau pihak polis banyak menerima rungutan dan banyak juga kes tangkapan dilakukan contohnya Januari – September 2008 sebanyak 983 wanita warganegara asing telah ditahan dalam 305 serbuan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri ketika bekerja di premis berkenaan.

Dengan kerjasama kerajaan negeri dan PBT pihak polis mengharapkan gejala ini dapat dibendung.

Saya mahu melihat isu ini dari dua perspektif. Pertama apa dia GRO ini sebenarnya? Budaya atau amalan siapakah yang kita ambil sehingga ia menjadi begitu popular dan diminati ramai? Mengapa NGO dan pejuang-pejaung wanita tidak berjuang untuk menghapuskan sama-sekali kerjaya NGO ini?

Kalau dahulu profesion ini dikenali sebagai “social escort” kini walaupun terma itu masih digunakan tetapi isitlah GRO lebih popular. Wanita menemani lelaki untuk berhibur-hibur dan bersuka-suka, dan wanita ini tiada kaitan atau hubungan dengan lelaki tadi (semestinya tiada ikatan perkahwinan), sebagai balasan beliau akan menerima upah.

Lebih mesra dan pandai ia melayan lelaki tadi maka lebih lumayanlah “tips” yang akan diterimanya. Jika semua berjalan baik atas dasar suka-sama-suka GRO tadi boleh sahaja mengakhiri tugasnya dengan menawarkan tubuhnya untuk dimamah oleh pelangannya tadi juga dengan upah dan “tips”.

Itulah GRO dan itulah amalannya di Malaysia ini, ringkasnya wanita memperagakan diri dan tubuh untuk melayan nafsu buas lelaki! Anehnya profesion ini terus subur berkembang dan kerana ada permintaan maka pengusaha-pengusaha tadi turut mengimpot GRO dari luar untuk mewujudkan kepelabgaai dalam produk yang ditawarkannya. Dan kerana GRO ini juga menerima upah dan “tips” yang lumayan maka berkejar-kejarlah bukan hanya warga tempatan malah yang dari luar termasuklah Negara Cina, Thailand, Vietnam, Indonesia tak ketinggalan Rusia, Eropah dan lain-lain untuk menjadi rumpang menjadi mewah.

Wanita dipergunakan untuk melariskan perniagaan, wanita disyaratkan memperaga diri dan tubuh untuk memajukan perniagaan, mana dia pejuang wanita? Mana dia juara hak wanita? Kenapa dalam hal ini mereka membisu?

Kedua, ternyata profesion ini bertentangan dengan budaya dan nilai-nilai semua bangsa dalam negara kita, dan Islam mengharamkan amalan seumpama ini, soalnya mengapa kita masih mengizinkan ianya terus berklembang?

Isteri manakah yang sudi melihat suaminya dilayan serba-serbi oleh betina lain di luar rumah? Anak-anak siapakah yang tergamak melihat bapanya memuaskan nafsu dengan betina lain? Ibu manakah yang merelakan anaknya menggadaikan tubuh untuk mencari rezeki, kadangkala wang lumayan kerana berkhidmat sebagai GRO itulah digunakan untuk menampung belanja ibu dikampung malah sehingga membiayai ibu mengerjakan Umrah dan Haji!

Profesion ini perlu dihentikan kerana ia menghina wanita, memporak-perandakan rumahtangga (tak kira dari agama atau bangsa mana sekalipun), menjadi tapak subur maksiat dan jenayah. Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri perlu ada kekuatan untuk memutuskan yang amalan GRO atau “social escort” ini bertentangan dengan nilai budaya dan kepercayaan kita rakyat Malaysia, lalu ia perlu diharamkan sama-sekali.

Lantas sekaligus kita membantu pihak polis disamping melindungi rakyat kita dari terjerumus dalam amalan yang sia-sia ini. Soalnya berupayakah kita?

Monday, November 10, 2008

Tiada Obama di Singapura

Singapura ini dulu Temasik namanya. Sang Nila Utama adalah Raja Melayu yang pernah memegang tampuk kuasa di sana beratus tahun dahulu. Baginda berasal dari Sumatera dan bertanggungjawab dalam membuka negara pulau ini, Bagindalah menukar namanya dari Temasik ke Singapura. Memerintahnya selama 48 tahun dan mangkat serta dimakamkan di Bukit Larangan di pulau tersebut.

Dari Sang Nila Utama pulau ini bertukar tangan, melalui berbagai perubahan, dijajah, bergolak dan kini berdiri atas nama Republik Singapura. Tiada lagi Raja Melayu yang bersemayam di sini malah kuasa politik Melayu pun sudah semakin mengecil.

Dari bumi Melayu, Singapura melalui evolusinya sendiri, menjadi masyarakat berbilang kaum dan kini didominasi oleh kaum Cina yang memegang tunggak kuasa lantaran besarnya bilangan mereka di sana hari ini. Itulah realiti politik Singapura hari ini.

Saya terpanggil untuk menulis artikel ini tanpa mahu melelehkan sebarang sentimen perkauman takut nanti dicap “racist”, sekadar mahu menunjukkan berbezanya sungguh suasana antara kita dan negara jiran kita itu.

Sabtu lepas PM Singapura Lee Hsien Loong telah hadir dalam satu majlis bersama pemimpin-pemimpin akar umbi Melayu di sana, berkebutlan kehadiran beliau dalam suasana Amerika Syarikat baru menyaksikan seorang kulit hitam (yang merupakan penduduk minoriti di Amerika) menang menjadi Presiden negara yang didominasi sebelum ini oleh warga kulit putih.

Lalu dalam majlis tersebut beliau ditanya apakah Singapure bersedia untuk menerima seorang dari kaum minoriti menjadi PM. Kata Lee boleh tetapi tidak dalam waktu yang terdekat. Alasannya masyarakat Singapura masih terdorong dengan isu perkauman walaupun ia sudah semakin berubah.

Saya ingat satu ketika dahulu semasa Lee seorang Jeneral dalam Tentera Singapura, ada dilontarkan pertanyaan apakah Tentera Udara Singapura bersedia mengambil anak Melayu Singapura menjadi juruterbang jet penggempurnya (fighter pilot), kata Lee ketika itu, Singapura belum bersedia kerana bimbang akan ketaatan juruterbang itu kiranya Singapura bertegang dengan negara jirannya!

Bagi saya selagi PM ini menjadi PM Singapura, memang tiadalah tempat buat golongan minoriti di sana, khasnya orang Melayu. Ini berbeza dengan sejarah Obama kerana orang kulit hitam tidak pernah menjadi kaum majoriti di Amerika sedangkan Sang Nila Utama pernah menjadi Raja!

Bersyukurlah kita di Malaysia tidak begitu, Majulah Singapura!

Ke arah Malaysia yang bebas dadah

Saya gembira membaca kenyataan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Abd Bakar Zin bahawa seramai 117 orang bekas penagih dadah akan pulang kepangkuan masyarakat minggu hadapan untuk sebagai tenaga kerja die stet-estet FELDA. Memanglah jumlah penagih dadah begitu besar angkanya tetapi sekurang-kurangnya kita telah berjaya mula mengeluarkan mereka dari Pusat-pusat Serenti untuk menjadi manusia yang berguna buat masyarakat.

Sememangnya usaha untuk memulihkan seorang penagih bukannya kerja yang mudah dan seringkali mereka ini cenderung untuk menjadi penagih yang berulang apabila dilepaskan keluar.

Hakikatnya pada Jan-Julai 2007 lalu sahaja terdapat 26,000 penagih dadah yang dikenal pasti seluruh negara (mungkin bilangan sebenar puluhan kali lebih besar dari itu). Dan 80 peratus dari yang dikenal-pasti itu adalah anak-anak Melayu.

Kini menurut angka terbaru terdapat 7,000 penagih yang sedang menerima rawatan di Pusat-pusat Serenti seluruh negara. Kiranya mereka ini semua dapat dipulihkan, dilatih dan mahu keluar sebagai tenaga kerja tak kiralah samada di sektor perladangan, perindustrian atau apa sahaja, alangkah bertuahnya kita.

Sesungguhnya penagihan dadah ini adalah penyakit masyarakat, ianya hanya boleh dipulihkan kiranya kita semua memain peranan, galakkan diberikan agar mereka ini dihantar ke pusat-pusat, dan masyarakat pula memberikan dorongan dan sedia menerima mereka apabila lulus keluar dari pusat-pusat ini. Dan sama-samlaha kita memain peranan agar mereka tidak kembali ke tabiat buruk mereka.

AADK meletakkan sasaran 2015 Malaysia bebas dari penyalahgunaan dadah, ianya mungkin kelihatan sebagai sesuatu yang terlalu besar, tetapi tidak mustahil kiranya semua pihak memain peranan disamping kita tidak putus berdoa dan bergantung harap pada bantuan Allah swt.