PJS bumi harapan kebangkitan PAS di Selangor
Kalau kita perhatikan reaksi pimpinan Umno, masing-masing seolah memperkecil dan memperlekehkan tindakan bekas Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) Kapten (B) Dato’ Zahar Hashim dan rakan-rakannya menyertai PAS baru-baru ini. Mat Taib dan Khir Toyo semuanya menganggap tindakan Kapten Zahar itu tidak akan menjejaskan Umno dan malah menganggap Kapten Zahar sebagai golongan “desperado” dalam politik. Kononnya kecewa kerana tidak dapat kontrak dan seumpamanya.
Sehinggakan saki-baki pimpinan Umno bahagian dalam PJS pun berani bersuara mengatakan Kapten Zahar pergi pun tidak mendatangkan kesan keranan kononnya beliau tidak pun banyak menyumbangkan kepada bahagian. Siapa yang sebenarnya “desperado” tak tahulah?
Tetapi dalam pada memperkecil dan memperlekehkan tindakan itu tiba-tiba kita mendapat khabar Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak akan mengunjungi bahagian PJS dan mahu berjumpa dengan semua pimpinan parti termasuk mereka yang telah buat keputusan meninggalkan Umno. Tiba-tiba PJS menjadi penting. Tiba-tiba Kapten Zahar yang dikatakan tidak berpengaruh dan “desperado” itu menjadi ancaman, jika tidak mengapa perlu secara tergesa-gesa orang nombor dua dalam Umno perlu turun berjumpa dengan orang-orang bahagian.
Itulah nasib Umno yang retak menantikan belah itu.
Sementara itu Kapten Zahar kini bukan sekadar telah menyerahkan segala pejabat dan jenteranya kepada PAS di PJS malah kini memenuhi permintaan PAS untuk berceramah di sana-sini dan malah akan berkampung di Kuala Terengganu bagi membantu memenangkan calon PAS di sana dalam PR kecil nanti.
Di Selangor sahaja program sedang disusun bagi membawa Kapten Zahar ke lubuk-lubuk Umno bagi mempengaruhi rakan-rakan yang masih berada di dalam parti yang semakin rebah itu, agar mengikuti jejaknya dan meninggalkan Umno beramai-ramai. Umno sudah tiada masa-depan, percakaran dan sengketa dalaman semakin meruncing, politik wang yang cuba dibunuh rupanya kini bangkit menjadi jerangkong terus-menerus menghantui parti itu. Lalu sebagaimana seruan Kapten Zahar tempoh hari apabila menyerahkan borang keahlian PAS nya, bahawa hanya PAS satu-satunya kini parti pilihan bagi orang Melayu/Islam, maka ayuhlah kita bernaung bawah wadah yang baru ini.
Insyallah semua akan selamat apabila kita kembali kepada Islam. Selamat datang ke PJS Najib, bumi harapan kebangkitan PAS di Selangor!
No comments:
Post a Comment