Diambang Eidul Adha 10 Zulhijjah 1429
Umat Islam akan merayakan Eidul Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji esok Isnin 10 Zulhijjah 1429. Binatang-binatang ternak khasnya lembu dan kerbau akan mula ditumbang dan dikorbankan di Malaysia sejurus selesai solat Eidul Adha di masjid dan surau masing-masing pagi esok.
Disaat seumpama ini, alangkah baik kiranya kita merenung kembali kisah Nabi Ibrahim a.s dan putranya Ismail a.s, yang memungkinkan kita meraya dan melaksanakan ibadah ini. Bayangkan betapa beratnya suruhan yang diperintahkan oleh Allah swt ke atas Ibrahim iaitu mengorbankan anak kesayangannya Ismail, yang merupakan satu-satunya zuriat keturunannya ketika itu. Dan kerana ia perintah Allah, maka ia wajib dilaksana tanpa tangguh dan lengah.
Kita di sini sebenarnya biasa dengan isitlah korban ini dan saya kira yang paling lazim disebut adalah: “Berkorban untuk agama, bangsa dan negara”, Berkorban untuk tanahair dan ibu pertiwi” dan pada yang romantis “Berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia”.
Tidak pernah berkorban anak tercinta untuk Allah terlintas dibenak fikiran sesiapa pun kecuali mengingati apa yang berlaku ke atas Nabi Allah Ibrahim dan Ismail.
Kita akui perintah Allah ke atas Nabi Ibrahim itu terlalu berat dan mungkin mustahil dilakukan oleh manusia dizaman kita walaupun ia perintah Allah, tetapi disitulah sepatutnya kita mengambil iktibar, pengajaran dan menanam kefahaman tentang komitmen yang diperlukan oleh Allah swt terhadap kita hamba-hamba Nya ini.
Dan kita semua ketahui kesudahan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim itu apabila Allah berpuas hati dengan kesungguhan dan komitmen hambanya bernama Ibrahim, lalu disudahi dengan kesudahan yang melegakan dan memberi kebahagian kepada Ibrahim dan keluarganya serta mungkin juga kita anak cucunya, dengan syarat kita juga bersedia menyerahkan komitmen yang serupa. Allah swt berfirman:
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".
Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
(as Saafat 108-111)
Di ambang Eidul Adha kali ini marilah kita sama-sama bermuhasabah, sejauh manakah komitmen korban kita. Sejauh manakah kesediaan kita meletakkan kepentingan Allah swt mengatasi kepentingan dunia dan segala isinya? Sanggupkah kita mengorbankan harta-benada dan nyawa untik agama Allah swt? Apakah sumbangan kita ke arah memartabatkan tuntutan Allah dan rasul Nya saw?
Kebanyakkan kita (kecuali yang beradadi Tanah Suci) akan sibuk esok membantu kerja-kerja penyembelihan binatang ternakan di masjid dan surau-surau seluruh negara. Melapah dan memotong-motong serta membahagi daging-daging korban. Ada juga akan menghirup dan memamah sup dan daging korban. Tidak kurang akan berkunjung rumah ke rumah sempena hari kebesaran ini.
Jangan lupa akan korban yang dituntut dari kita oleh Allah swt.
Ibrahim sanggup menyembelih anaknya lantaran mematuhi dan menjunjung perintah Allah swt, bagaimana dengan kita? Tiada siapa pun dari kalangan umat Muhammad saw ini yang diperintahkan agar menyembelih anak mereka. Apa yang dituntut darti kita adalah menegak dan melaksanakan Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt melalui Rasul Nya Muhammad saw. Berkorban lah kita apa sekalipun dengan penuh komitmen dan kesungguhan sehingga Islam menjadi rahmat kepada sekalian umat manusia.
Memang tampak berat pengorbanan itu, tetapi tidakkah menyembelih anak sendiri itu lebih berat?
Sementara itu sekadar untuk berkongsi maklumat, sesungguhnya penganut agama Kristian juga mengiktiraf peristiwa korban yang melibatkan Nabi Ibrahim as ini. Kecualinya yang dikorbankan menurut fahaman mereka bukannya Ismail tetapi Ishak. Dan ia berlaku bukannya di Mekah tetapi di Baitul Maqdis.
Di dalam kitab Perjanjian Lama (Old Testament) disebut bahawa Ibrahin diperintah mengorbankan Ishak dengan cara disembelih dan dibakar (burnt offering).
Kerana menurut kepercayaan Kristian Ishak lahir dahulu diikuti Ismail sedangkan menurut Islam selepas dilahirkan Ismail melalui Siti Hajar barulah diikuti Ishak yang dikurniakan melalui Siti Sarah.
Apa pun sebagai umat Islam, bersyukurlah dengan kebenaran yang ada sebagaimana yang kita warisi dari al Quran, dan titipkanlah komitmen kita menjelang Eidul Adha ini untuk rela dan redha berkorban sehingga Islam berjaya dizaman kita, insyallah.
Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua.
2 comments:
selamat menyambut aidil adha dan mengerjakan ibadat qurban. semoga semua sentiasa dalam rahmat Allah s.w.t
satu post yang sangat menawan jiwa saya. Khutbah Raya di sini mempunyai isi yang lebih kurang sama dengan post ini. Di zaman yang serba canggih ini, kita mudah lupa. tanpa pengorbanan mereka mereka yang terdahulu, menegakkan syiar islam di dunia, di manakah kita berpijak sekarang? Lebih menyedihkan, apakah sumbangan kita kepada generasi akan datang?
Post a Comment