Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan
Kebelakangan ini tumpuan orang-ramai sudah pastilah pada pilihan raya kecil yang bakal berlaku di kawasan parlimen Kuala Terengganu bulan hadapan. Kuala Terengganu bakal menyaksikan pertembungan antara dua musuh politik tradisi di tanahair iaitu Umno yang mewakili BN yang akan menghadapi tentangan dari PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.
Sudah pastilah bagi Umno pilihan raya kecil itu nanti bukan hanya medan untuk berkempen bagi memenangkan siapa sahaja calon mereka tetapi ia juga akan menjadi medan untuk masing-masing lobi melobi dan berkempen sesama mereka menjelang pemilihan parti itu pada bulan Mac nanti. Pemilihan ini pada hakikatnya lebih penting dari Kuala Terengganu yang sekadar akan melihat calon Umno lawan PAS, sedangkan siapa yang menang Mac nanti akan duduk di atas takhta kuasa Umno, iaitu takhta yang akan menentukan hala tuju negara seterusnya pasca Dollah Badawi.
Kerana Umno sinonim dengan politik wang maka tidak mustahil wang akan bertukar tangan bukan hanya ke tangan pengundi tetapi juga dari tangan calon parti mereka ke tangan para perwakilan ke perhimpunan parti itu nanti.
Memang sukar membuang tabiat lama, lebih-lebih lagi pemilihan parti itu kali ini akan menyaksikan pengunduran orang nombor satunya, lantas akan berlakulah perubahan kuasa dipelbagai peringkat. Dengan perubahan dan prospek memegang kuasa ini maka barah politik wang yang melanda parti itu dijangka semakin memudaratkannya.
Kerana itu rakyat di Kuala Terengganu sebenarnya berkuasa memberi isyarat yang jelas kepada Umno, bahawa rakyat sudah muak dan jelek dengan permainan kotor mereka. Kalau kuasa dalam parti pun boleh dijuak beli, bayangkan apa yang akan berlaku pada negara dan masa depannya.
Sesungguhnya bibit-bibit bosan dan hilang kepercayaan kepada Umno itu semakin menular sejak dari pilihan raya umum Mac lalu. Ia tidak pernah kebah dan malah semakin menjahanamkan parti itu dari dalam. Kerana itu ahli-ahli Umno sudah mula berani bangkit dari malapetaka ini dan mula berjinak-jinak mencari wadah baru. Jika perahu yang ada sudah usang dan berlubang-lubang, lebih baik tukar sahaja kerana ia sudah tidak mampu dibaiki lagi sedangkan samudera yang perlu ditempuh begitu mencabar dan bergelora.
Di Terengganu sahaja saya difahamkan sudah ada kecenderungan ahli-ahli Umno berhijrah mencari tapak baru. Kemungkinan beberapa bekas pimpinan parti berkenaan berhijrah dalam suasana perang pilihan raya ini semakin kuat. Malah bukan di Terengganub sahaja, saya mendapat khabar bahawa di Selangor, bukan bekas pemimpin, tetapi seorang Ketua bahagian dan anak-anak buahnya bakal mengisytiharkan diri menyertai PAS beramai-ramai!
Apakah ini satu trend baru yang bakal kita saksikan? Sekiranya Allah telah takdirkan, maka tiada yang mustahil. Mudah-mudahan ia terus menjadi kenyataan. Benarlah firman Allah swt:
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, -
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
(an Nasr: 1-3)
1 comment:
ya kita ada imam @ pimpinan. maka serahlah kepada imam kita dalam satu jemaah ni. dia qiam kita qiam, dia rku' kita ruku'. dia berdoa kita aamii. kejapkan saf. istiqamah.
Post a Comment