Saturday, December 27, 2008

Apabila tiba pertolongan Allah dan kemenangan
(Artikel ini terbit dalam ruangan "Menongkah Arus" di Harakahdaily)

Dewan tempat majlis pengisytiharan pada pagi itu dihiasi dengan kalimah: "Apabila tiba pertolongan Allah dan kemenangan", iaitu petikan dari Surah An Nasr (ayat 1). Ternyata itulah tema yang paling sesuai bagi majlis berkenaan.

Assyahid Syed Qutb di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat ini menghuraikan bahawa pertolongan dan kemenangan itu datang dari Allah pada masa yang ditentukan Nya dan dalam bentuk yang dikehendaki Nya.

Kerana itu tidaklah keterlaluan seorang yang telah pernah menjadi musuh politik satu ketika dahulu, yang keras dan agresif, yang tidak pernah terbayang akan memberi simpati tetapi hari ini membuat keputusan untuk duduk bersama dalam satu jemaah dianggap sebagai suatu pertolongan dari Allah swt.

Demikianlah yang berlaku pada PAS baru-baru ini apabila bekas Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) Kapten (B) Dato' Hj Zahar Hashim yang telah berjuang lebih 20 tahun di dalam Umno, bekas ADUN dua penggal, memutuskan untuk menyertai Parti Islam berkenaan.
Dato' Hj. Zahar bukan setakat membawa dirinya seorang menyertai PAS tetapi pada hari berkenaan sahaja lebih 28 AJK Bahagian dan ketua-ketua cawangannya turut berbuat demikian. Dan angka ini kata beliau akan terus meningkat sehingga Umno di bahagian berkenaan terus lumpuh.

Penyerahan borang keahlian bekas tokoh Umno berkenaan telah diterima oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dengan disaksikan oleh Dato' Dr Hasan Mohd Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor dengan kehadiran pimpinan kanan PAS Negeri.

Apa yang menarik dalam majlis berkenaan adalah kenyataan Dato' Zahar bahawa beliau mengambil keputusan menyertai PAS bukan kerana PAS adalah parti alternatif buat Umno, tetapi bagi beliau setelah dikaji seluruh aspek dan perkembangan politik negara, ternyata dan diyakini PAS kini adalah parti yang terbaik buat orang-orang Melayu dan umat Islam keseluruhannya.

Malah beliau berjanji akan menjaja isu ini sepanjang tempuh berkempen dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu nanti dan akan meyakinkan lebih ramai lagi ahli-ahli Umno khasnya di Selangor untuk mengambil keputusan sebagaimana yang dilakukan beliau itu.

Perkembangan ini adalah sejarah buat PAS, kerana bukan sesuatu perkara yang mudah untuk mendapatkan seorang bekas Ketua bahagian yang berpengaruh seperti beliau untuk menyertai PAS.

Malahan menurut rekod inilah kali pertama di Selangor seorang Ketua Bahagian Umno menyertai PAS. Mungkinkah ini satu permulaan baru bagi PAS? Mungkinkah setelah lebih sembilan bulan PRU ke-12 berlalu, kini rakyat khasnya orang-orang Melayu dan Islam sudah mula sedar, dan tergerak hati mereka untuk berlapang dada dan menerima perjuangan PAS yang selama ini mereka perkecil dan pinggirkan?

Kesedaran ini jika benar terpancar dihati sanubari mereka, insyallah PAS memiliki masa depan yang cerah di persada politik tanahair. Kekuatan PAS itu sekaligus akan memperteguhkan kekuatan Pakatan Rakyat untuk melonjak lebih tinggi lagi dalam mengmabil alih kuasa dalam negara.

Benarlah bahawa ini adalah pertolongan Allah dan satu kemenangan buat Islam yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh para pejuangnya yang ikhlas dan istiqamah. Semoga gelombang yang dicetuskan ini akan membuahkan hasil yang baik bagi Islam di Kuala Terengganu dan nanti ke seluruh negara dengan izin Nya. Sebagaimana dinukilkan dalam kitab tafsir di atas:

"Demikianlah terangkatnya manusia dengan keimanan mereka kepada Allah. Demikianlah jiwa mereka memancar dengan gemilang, melembut halus dan terbang bebas. Demikianlah mereka berjaya sampai kepada darjat kebesaran, kekuatan dan kebebasan."-

3 comments:

kifli said...

ANA HARAP ANTA TOLONG KOMEN SIKIT,KOMENTAR YANG ANA COPY PASTE INI………….. bungaraya said…
Selepas habisnya pemerintahan Khalifah Al-Rasihidin yang empat, timbul pemerintahan Abbasiyah dan Umayiah dan seterusnya, dan sejak Bani Abbasiyyah menerajui pemerintahan islam lagi para ulamak tidak lagi berada ditampuk pemerintahan negara islam. Islam berkembang hingga ke barat dan Asia dan Gebenaornya terdiri dari pejuang-pejuang islam yang bukan ulamak. Namun islam terus berkembang. Ramai ahli ilmuan yang bukan sahaja mahir dalam pentafsiran Al Quran dan Hadith dan Usuluddin dan Syariah dan hukum hakam islam yang bercambah, malah ahli kajibintang, ahli geogharaphy, ahli mathematik dan sebagainya yang dianggap oleh sebilangan ortodok islam sebagai sekular. Negara Turkey juga ramai yang mempertikaikan islamiknya apabila Othman Antartuk menjadi pemerintah negara tersebut. Tapi ramai juga yang menganggap sampai kini itulah sahaja negara terbesar islam dikawasan sebbelah eropah.
Sehingga kini berapa banyak negara islam didunia ini yang mengamalkan / melaksanakan hukum hudud? Kafirkah mereka jika tidak melaksanakan hukum tersebut.
Saya duduk dalam sebuah negera islam seperti Malaysia. Saya kata saya seorang penganut islam sejati. Sembahyang lima waktu sehari, saya juga kadang-kdang bangun waktu malam dan membuat sunat tahajud, kadang terus sampai kepagi membuat kial mulail. Saya melaksanakan arahan puasa bulan ramadahan, saya melaksanakan zakat dan saya seorang haji. Kadang jemahan islam kampong saya memanggil saya untuk membaca doa tahlil. Negara saya tidak mengamalkan hukum hudud. Bagi pihak saya secara ain saya telah membuat suruhan Allah dan meninggalkan larangan nya. Insyallah saya akan diterima sebagai salah seorang yang beriman dan termasuk orang-orang yang salleh. Mungkin kah saya bersalah kerana tidak marah kepada kerajaan?. Aatau mungkin salah berdosa kerana tidak memaki dan menuduh kerajaan munafiq sepertyi Bro dan kifli?

Anonymous said...

kapten zahar tu majuk sebenarnya. tp hebat gak la dia sebab borang dia serah kat ustaz nasha. ana terfikir juga, kenapa la kapten zahar tak masuk PKR.....nampak sangat, org umno yg macam dia pun tak teringin nak masuk PKR... :P

Anonymous said...

Sifat ujub itu amat halus dan sentiasa mendampingi kita di setiap masa dan tempat ...