Ulangtahun Kepiluan Tak Bai
Esok Selasa 25 Oktober genaplah setahun Peristiwa Berdarah di Pekan Tak Bai, Wilayah Narathiwat, Selatan Thai. Seramai 112 telah gugur syahid ditangan pemerintah Thai di dalam bulan Ramadhan ketika menjalani ibadat puasa.
Hamba-hamba Allah yang tidak berdosa ini pada awalnya telah berkumpul di hadapan balai polis di Tak Bai untuk menuntut agar dibebaskan seramai 6 guru agama yang telah ditahan oleh pihak polis Thai kononnya atas alasan terlibat dengan gerakan keganasan.
Tanpa peri kemanusiaan, tanpa pertimbangan, tanpa belas ehsan pihak berkuasa Thai dengan sewenang-wenangnya telah merempuh para penunjuk perasaan, pada awalnya disiram dengan pancutan air dan disusuli dengan belantan, tembakan dan akhirnya seramai 1,300 orang telah ditahan.
Yang ditahan telah diperlakukan bagai binatang, dipaksa merangkak, digari tangan dan dibelasah, dipijak dan dipukul, akhirnya mereka ini dihimpunkan berlapis-lapis, bersesak-sesak, bertindih-tindih dalam trak yang sempit untuk diangkut ke markas tentera wilayah selatan kira-kira 6 jam perjalanan.
Akibatnya seramai 78 orang telah meninggal dunia kerana sesak nafas, lemas dan patah leher mereka lantaran diperlakukan sedemikian rupa. Jumlah terkorban termasuklah yang ditembak adalah seramai 112 orang!
Mengimbas kembali perisitiwa pahit yan menyayat hati ini, tercetus difikiran kita manusia berhati binatang jenis apakah yang tergamak melakukan tindakan sebiadap itu terhadap sesama manusia?
Jelasnya semua itu kini telah berlalu. Yang syahid telah disemadikan, namun luka dibenak hati anak-isteri, sanak-saudara, mereka yang terlibat sudah pasti tidak akan terubat sampai bila-bila. Kerajaan Thai sehingga kini sekadar telah menyalurkan wang bantuan dan pampasan walaubagaimanapun tiada permohonan maaf dilakukan terhadap keluarga mangsa yang terkorban.
Kita di seberang sini dalam keadaaan serba mewah dan selasa namun tidak berdaya melakukan apa-apa. Mereka menangis-pilu, kita juga sekadar dapat menangis bersama, tidak lebih dari itu.
Di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini dibelenggu seribu satu kekangan marilah sekurang-kurangnya kita mengambil kesempatan memohon kehadrat Allah swt agar diampunkan dosa kita, dilindungi saudara-sauadara kita di sana dari kezaliman berterusan dan penghinaan serupa ini. Mudah-mudahan Allah swt menganugerahkan kesabaran dan ketabahan pada mereka dan disediakan ganjaran sebesar-besar ganjaran di akhirat kelak, insyallah.
Barangsiapa yang mati karena membela dirinya, maka ia mati syahid. Dan barangsiapa mati di saat membela hartanya, maka ia mati syahid, dan barangsiapa yang mati untuk membela kehormatannya, maka ia mati syahid
(HR Bukhari, jilid V halaman 88, dan HR Muslim No. 14)
No comments:
Post a Comment