Happy Deepavali Uncle Veloo
Saya masih ingat seorang jiran yang merupakan sahabat karib saya semasa kanak-kanak dahulu. Walaupun kami tidak ke sekolah yang sama namun apa sahaja masa yang kami ada di luar waktu sekolah akan kami manfaatkan bersama, apa sahaja aktiviti yang terdetik dan tergerak dalam fikiran akan kami lakukan bersama.
Sahabat saya ini ayahnya seorang bekas tentera berbangsa India dan beragama Hindu manakala ibunya seorang Cina yang mengamalkan kepercayaannya. Beliau kelihatan macam anak Melayu lantaran hasil kahwin campur ayah dan ibunya itu, tambahan beliau fasih berbahasa Melayu macam anak Melayu. Kami berpisah ketika ditingkatan tiga apabila saya berpindah ke kawasan lain. Sahabat saya ini kemudiannya telah melanjutkan pelajaran ke Kanada. Dan kami tidak berjumpa lagi setelah itu.
Dengan takdir Allah swt beberapa tahun yang lalu saya berpeluang bertemu kembali dengan beliau. Sahabat saya telah pun berkahwin rupanya dengan seorang wanita Melayu dan namanya kini Mohd D (nama penuh dirahsiakan). Saya begitu terharu dengan perubahan beliau itu walaupun saya tidak terkejut kerana memang dari zaman kanak-kanak lagi saya telah jangkakan yang D ini satu ketika nanti akan menganut agama Islam, Alhamdulillah.
Yang saya tahu ibu dan ayahnya masih menganut agama dan kepercayaan asal mereka.
Di bulan Ramadhan yang mulia ini saya terfikir sejenak bagaimanakah agaknya apabila bertembung dua perayaan bagi Mohd D. 1 November penganut Hindu termasuklah ayahnya akan merayakan Deepavali dan dua hari berikutnya Mohd D dan seluruh umat Islam insyallah akan merayakan Eidul Fitr.
Saya pasti sebagai seorang anak yang taat dan menghormati ibu-bapanya Mohd D pasti akan mengunjungi ayah kesayangannya itu. Dan demikian juga pada Eidul Fitr sudah pasti ibu dan ayahnya akan berkunjung ke rumah Mohd D untuk merayakannya bersama.
Di sinilah kita sepatutnya perlu dengan penuh hikmah, teliti dan cermat menjelas dan menghuraikan bab hukum umpama kata pepatah tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak
Kerana sesungguhnya isu ini terlalu sensitif kerana ia bukan sekadar melibatkan Mohd D dan mereka yang senasib dengannya, ianya malah melibatkan juga hubungan antara kamu dalam negara kita yang majmuk ini. Adakah kita berpuas hati dengan menghukumkan tiada kongsi raya lalu noktah berhenti setakat itu? Kita tidak menjawab dan memberi penyelesaian terhadap realiti kehidupan masyarakat kita atau barangkali kita terlupa mahu memikirkan.
Saya akur dari satu sudut bahawa umat Islam tidak dibenarkan merayakan perayaan agama penganut lain kerana ia menjurus ke arah menyengutukan Allah swt. Dalam bab ini kita taat dan terima tanpa sebarang pertikaian.
Bermakna tiadalah perayaan besar-besaran kongsi raya dan seumpamanya.
Cuma takkanlah berbalik kepada kes Mohd D tadi mengucapkan Selamat Deepavali pun tidak boleh. Membawa hadiah kepada kedua orang tuanya di hari tersebut dengan niat menghiburkan mereka itu salah? Malah saya sendiri kalau bertemu dengan ayah Mohd D yang saya kenali lebih 30 tahun itu takkanlah bersalah jika saya mengucapkan kepada beliau Happy Deepavali.
Dalam hal ini kita perlu membuka ruang dimana yang diboleh dan dibenarkan, kerana Islam jangan pula dilihat seolah membenci dan memulau sesama warganegara dalam kes Malaysia ini.
Saya difahamkan Prof Dr Yusof al Qardhawi mengharuskan mengucapkan selamat perayaan kepada sesama jiran dan kenalan, merayakan bersama memang diharamkan. Saya kira penjelasan yang dibuat dalam IslamOnline. Net di mana Qardhawi adalah pakar rujuknya lebih komprehensif dan berhikmah.
Dan dalam mengharungi realiti masyrakat berbilang kaum dan agama di Malaysia ini, pendekatan sedemikianlah yang perlu kita ambil dan bawa bagi mencerminkan betapa hebat dan tolerannya Islam walaupun pada yang berbeza aqidah dan kepercayaan.
Selamat berpuasa dan selamat Eidul Fitri kepada sahabat saya Mohd D dan Happy Deepavali kepada ayah beliau Uncle Veloo.
No comments:
Post a Comment